Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
6/2/2015 18:34:09
4,120
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 5

“ALAH, tak seronoklah kalau awak tak ada,” ucap Amani Sofea melontarkan rasa rajuk hatinya kepada Zafrizan sebelum pemergiannya ke Kampung Nilam Setia.

Ketika itu, Amani Sofea dan Zafrizan sedang duduk berbual di buaian depan rumah gadis itu. Kunjungan Zafrizan kali ini adalah untuk bertemu tunangnya bagi melepaskan rindu sebelum bertolak ke Kampung Nilam Setia. Dia akan bersama Morgan, Ikmal dan Afzan untuk ekspedisi mencari tumbuhan-tumbuhan ajaib yang belum pernah ditemui.

Misi kali ini mungkin memakan masa hingga berbulan-bulan lamanya. Dia dikehendaki merakam beberapa banyak gambar tumbuhan-tumbuhan pelik yang hidup di dalam hutan. Kalau boleh, dia nak bukukan setiap jenis tumbuhan yang dapat dirakam di dalam kameranya itu.

“Nanti masa kat sana, jangan lupa saya pulak, selalu-selalulah call,” ujar Amani Sofea memberi amaran sambil mencubit manja paha Zafrizan.

“Aduh! Sakitlah! Cakap aje tak boleh ke? Tangan tu, janganlah merayap macam ketam. Sakit tau!” marah Zafrizan, sengaja buat-buat merajuk.

“Eh, sakit ke? Alah, sorrylah. Tercubit kuat kot. Sorry, sorry, sorry...” pohon Amani Sofea meminta maaf.

Bukan niat Amani Sofea ingin menyakiti tunangnya. Tapi hatinya diamuk cemas. Berkerut wajahnya bila memikirkan hal itu.

“Alah, saya gurau sikit dah nak cemas semacam,” usik Zafrizan sambil mencuit pipi Amani Sofea pula.

Amani Sofea tidak menjawab. Hanya buat muka selamba sahaja.

“Dahlah tu, jangan buat muka. Dah rupa macam asam kecut. Belum lagi kahwin, muka awak dah macam nenek kebayan dari Gunung Ledang,” sakat Zafrizan lagi.

“Apa? Awak cakap muka saya macam asam kecut!”

Sakit betul hati Amani Sofea apabila mendengar kata-kata Zafrizan. Tak sangka tunangnya boleh kata macam itu.

Zafrizan hanya tersengih. Memang dia suka menyakat tunangnya itu.

“Hisy, menyesal saya tak cubit awak kuat-kuat tadi,” sambung Amani Sofea sambil menjeling.

“Awak ni kan, cepat sangat melenting! Saya gurau ajelah.”

“Gurau konon. Banyak kedutan ya? Nenek kebayan yang banyak kedutan nilah yang awak tergila-gilakan sampai nak buat bini tau!” tukas Amani Sofea geram lantas jari telunjuknya mencuit hidung Zafrizan.

Kemudian Amani Sofea mengalihkan pandangan ke serumpun pokok bunga kertas merah jambu milik Puan Jalina. Cepat-cepat dia bangun dan melangkah ke arah pokok bunga kertas itu.

“Nak ke mana tu?” tegur Zafrizan.

Namun Amani Sofea tidak menjawab. Hatinya benar-benar sakit dek gurauan yang melampau itu.

“Sayang, kenapa ni? Marah saya ya?” pujuk Zafrizan lagi.

Amani Sofea masih membisu. Zafrizan lantas bangun daripada buaian dan melangkah mendekati tunangnya itu.

“Hai, takkan marah kot? Gurau ajelah. Nanti kita tak dapat gurau macam ni lagi tau. Saya pergi lama jugak. Mahu makan bulan,” ujar Zafrizan, berbaur ugutan.

Amani Sofea masih diam. Bukan dia tidak dengar. Dia dengar tapi hatinya terasa sayu apabila Zafrizan berkata begitu. Lebih-lebih lagi air jernih sudah mula bertakung di kelopak mata. Dia malu sekiranya Zafrizan nampak air matanya mengalir atas perkara yang remeh-temeh ini.

Apa kata Zafrizan nanti. Dia tidak mahu tunangnya menganggap dia seorang gadis yang lemah dan berfikiran sempit kerana mudah sangat mengalirkan air mata.

“Amani Sofea, saya ni sedang bercakap dengan pokok bunga kertas tu ke?” perli Zafrizan, sudah mula rasa kurang senang dengan sikap Amani Sofea.

Perlahan-lahan Amani Sofea memalingkan wajahnya memandang Zafrizan. Wajahnya redup.

“Maafkan saya Zaf. Saya kecil hati sikit dengan gurauan melampau awak tadi,” jelas Amani Sofea berterus-terang, matanya berair.

“Saya pun mintak maaf jugak. Tak sepatutnya saya bergurau macam tu. Dahlah, kita lupakan saja hal tu. Nanti semasa ketiadaan saya, jangan nakal-nakal tau! Jangan main mata,” pesan Zafrizan mula menukar topik perbualan.

Dia tidak mahu tinggalkan kenangan yang mengguris hati tunangnya itu. Dia mahu Amani Sofea sentiasa gembira di sampingnya. Biarlah alam pertunangan mereka dipenuhi dengan kebahagiaan dan kekal hingga hari ‘bersejarah’ mereka kelak.

“Dahlah tu. Tak mahu sedih-sedih, tak bestlah!”

Amani Sofea menyelak rambutnya dan mencapai gelas minuman lalu diberikan kepada Zafrizan. Sepinggan buah-buahan yang sudah disediakan Puan Jalina disuakan ke arah Zafrizan untuk dijamu selera.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.