Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
23/4/2015 13:13:21
5,534
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 15

PELIK betullah perangai Pak Busu tu, getus Amani Sofea ketika dia memandu pulang ke chalet.

Badannya berpeluh-peluh dan dia sengaja tidak membuka penghawa dingin kereta. Cuaca di luar redup dan sangat mendamaikan. Gerak-geri Pak Busu yang mencurigakan itu bermain-main di benak Amani Sofea.

Kenapa orang tua itu macam takut-takut je? Apa kaitan Pak Busu dengan orang tua yang bermata garang tu? Hisy, macam ada perkara yang disembunyikan pula. Argh! Pening dibuatnya bila memikirkan perkara yang tiada mendatangkan jawapan ni.

Sampai di tempat parkir, enjin kereta dimatikan dan dia tidak terus keluar. Tiba-tiba Amani Sofea menjerit kecil di dalam kereta. Tangannya meramas-ramas wajahnya untuk melonggarkan otot-otot wajahnya yang tegang.

Stereng kereta dipautnya seketika. Fikirannya melayang jauh dan sorotan mata Amani Sofea sayu melihat bangunan chalet itu. Kemudian dia melangkah keluar.

Selesai makan dan Solat Zohor, Amani Sofea membaringkan tubuh langsingnya di katil yang bercadar maroon itu. Dua keping gambar di dalam tangannya direnung sayu.

Mana kamu semua ni menghilang, hah? Hairan betul, takkanlah aku dah salah tempat? Zaf tak cakap pun mereka nak ke tempat lain. Memang nama kampung ni yang disebut, kata hati Amani Sofea.

Anak matanya ralit menjamah gambar itu tanpa berkelip. Wajah Zafrizan yang sedang tersenyum manis telah menggamit rasa rindu yang mendalam buat gadis itu. Tanpa disedari, kolam mata Amani Sofea digenangi mutiara-mutiara jernih. Diseka dengan jari-jemarinya yang runcing itu.

Petang itu, tatkala cahaya matahari menyapa dinding bilik, Amani Sofea sudah siap berseluar jeans, t-shirt putih dan berkardigan hitam. Penampilan Amani Sofea yang ringkas itu menyenangkannya untuk bergerak.

Niat Amani Sofea ingin menyambung pencariannya dengan bertanya penduduk-penduduk di situ. Rambutnya dibiarkan lepas dan hanya berkelip comel berwarna merah. Bibir mungilnya dioles dengan pelembab bibir berwarna pink lembut. Terserlah wajah keanak-anakkannya dan kelihatan sedikit ‘nakal’.

Kereta dipandu dengan tenang. Anak mata Amani Sofea ligat melihat-lihat sekeliling. Manalah tahu kalau-kalau terjumpa seseorang yang boleh memberikan maklumat yang memberangsangkan kepadanya. Namun tiada seorang pun yang dijumpai.

Semangat Amani Sofea semakin luntur. Petang semakin merangkak senja, Amani Sofea mendesah kecewa di dalam kereta.

Mana semua orang pergi ni? Takkan dah pergi masjid? Belum masuk waktu Maghrib lagi? Rungut Amani Sofea sambil tangannya cekap mengendalikan stereng kereta.

Sampai di suatu simpang yang dibayangi sebatang pokok besar, tiba-tiba kereta Amani Sofea terasa berat. Dah mula buat hallah pulak kereta ni. Apasal tiba-tiba terasa berat ni? Amani Sofea berasa hairan.

Pedal minyak ditekan berkali-kali. Namun keretanya semakin perlahan. Langsung berhenti dengan sendirinya. Meter minyak diperhatikan.

Alamak! Aku lupa isi minyak kereta rupanya. Nyanyuk betul aku ni, mengalahkan nenek kebayan, rungut Amani Sofea. Kesal dengan sikapnya yang terlupa perkara penting itu.

Habis macam mana ni? Hari semakin gelap. Dahlah kat kampung orang? Dengan siapa pulak aku nak mintak tolong ni? Hati Amani Sofea mula dilanda bimbang.

Meter di dashboard diketuk-ketuk dengan jari-jemarinya beberapa kali. Macamlah bila buat begitu, jarum meter minyak boleh naik semula. Seketika mata Amani Sofea melingas ke kiri dan ke kanan mencari kalau-kalau ada kelibat orang yang lalu di jalannya itu. Sebuah motor cabuk pun tak nampak.

Huh! Habislah kalau macam ni! Amani Sofea mula bersandar dan memandang jauh ke depan menembusi cermin keretanya. Dalam hatinya berdoa, moga-moga ada orang yang lalu di jalan itu.

Amani Sofea tidak berani keluar dari kereta, lebih-lebih lagi waktu-waktu begini. Remang senja, di mana hantu dan syaitan sudah mula berkeliaran. Kalaulah Puan Jalina tahu yang dia sedang berada di luar ketika ini, pasti nyaring suara Puan Jalina menjerit memanggil dia masuk ke dalam rumah. Saat itu, hatinya terkenangkan mama.

Maafkan Amani, mama, desis hatinya penuh sayu.

Kalau duduk dalam kereta ni, macam mana orang nak nampak aku? Tawakal jelah! Lantas pintu kereta dibuka dan Amani Sofea mengeluarkan sebelah kakinya dahulu.

Dia cuba mengumpul keyakinan diri sebelum dia keluar terus dari kereta. Amani membaca beberapa potong ayat al-Quran yang dia tahu untuk melindungi diri. Usai saja membaca tiga Qul dia melangkah keluar dengan ‘Bismillah’ lantas menuju terus ke depan kereta.

Nasib Amani Sofea baik, tak sampai lima minit menunggu tiba-tiba dari kejauhan kelihatan cahaya sebuah kereta menuju ke arahnya. Dia sudah bersedia untuk menahan kereta itu. Dia nekad.

“Assalamualaikum. Ayah, saya dalam perjalanan ni. Lagi sepuluh minit saya sampai,” ucap pemuda yang memiliki wajah tampan yang berkulit sawo matang itu.

Anak jati Kampung Nilam Setia. Dia pulang ke kampung setelah mendapat panggilan penting daripada ayahnya.

“Waalaikumussalam,” sahut suara dari hujung talian.

Suara garau seorang ayah menanti kepulangan anak kesayangannya. Ada tugas besar yang sedang menanti anaknya untuk diselesaikan. Bukan dia tidak boleh melakukannya sendiri tetapi usianya yang sudah lanjut dan kekurangan kudrat membataskan dia untuk melakukan aksi-aksi yang lasak.

“Baik-baik memandu tu, Andy. Jangan pandu laju. Ayah bukannya tak tahu perangai kau. Lagi sepuluh minit sampai? Berapa laju kau bawa kereta tu? 160 km sejam?” tegur suara garau itu lagi sambil menasihati anak kesayangannya.

“Eh, taklah yah. Saya pandu macam biasa je. Tak sampai160 km sejam. Ayah jangan bimbang, saya akan sampai kejap lagi,” ujar Andy.

Di bibirnya terukir senyuman pahit kerana tekaan ayahnya tepat. Memang dia pandu laju pun. Kalau pandu perlahan, mengantuk.

“Ayah, saya tak boleh cakap lama-lama. Kena saman nanti,” ujar Andy lagi, mengakhiri perbualan.

Talian diputuskan. Matanya tertumpu ke depan dan pada pemanduan. Sampai di satu selekoh berhampiran dengan simpang, Andy memperlahankan keretanya. Samar-samar di hadapan, Andy ternampak kelibat seorang gadis cuba menahan keretanya.

Apa yang perempuan ni buat, kat jalan sunyi ni? Berani betul dia. Hisy, perempuan zaman sekarang, tak tahu takut. Itulah yang selalu jadi mangsa. Eh, ada kereta! Agaknya kereta dia rosak.

Anak mata Andy tertancap beberapa saat pada kereta oren itu. Akhirnya Andy memberhentikan keretanya di tepi jalan, beberapa ela jaraknya dari kereta Kelisa oren yang tersadai itu.

Amani Sofea tidak terus menerpa ke arah kereta biru yang baru berhenti itu. Dia mesti berhati-hati sebelum menghampirinya. Dia hendak melihat pemandu kereta itu dahulu. Hati Amani Sofea berdebar-debar. Degupan jantungnya menendang kuat dinding dadanya.

Takut, kalau-kalau ketua gengster pula yang keluar dari kereta tu. Siapa tahu? Cermin kereta diturunkan oleh pemandu kereta biru itu. Seperti Amani Sofea, pemandu kereta biru itu juga berhati-hati. Ingin pastikan yang berdiri depannya itu benar-benar manusia, bukan syaitan yang menjelma seperti manusia. Maklumlah, dah senja-senja begini, macam-macam boleh berlaku.

Amani Sofea melangkah beberapa tapak ke depan. Ingin melihat dengan lebih jelas wajah pemuda yang menegurnya itu. Dari raut wajahnya, pemuda itu nampak macam orang baik-baik.

“Ya cik? Boleh saya bantu?” Andy menyoal gadis itu dulu.

“Maafkan saya. Kereta saya kehabisan minyak. Encik tahu tak, mana-mana stesen minyak yang dekat-dekat sini?” tanya Amani Sofea, gugup.

“Setahu saya, tak ada stesen minyak dekat-dekat kawasan ni. Paling dekat pun, 30 kilometer jauhnya dari sini,” jelas Andy.

“Oh... begitu ya?”

Wajah gadis itu berubah. Jelas menunjukkan kekecewaan. Tak sangka betul macam ni punya susah nak dapatkan minyak.

“Beginilah cik. Kalau cik tak keberatan dan percayakan saya, saya boleh tolong hantarkan cik ke destinasi yang cik nak tuju tu,” ujar Andy menawarkan diri.

Wajah gadis itu direnung. Sesekali anak matanya meneliti keadaan sekeliling. Untuk pastikan keadaan selamat. Suasana di sepanjang jalan perkampungan itu sungguh lengang. Lebih-lebih lagi bila hampir nak masuk Maghrib. Banyak buruk dari baiknya.

“Cik saya cadangkan lebih baik cik ikut saya. Saya tak yakin dengan keadaan sekeliling. Sunyi... saya bimbang kalau saya tinggalkan cik di sini, nanti apa-apa berlaku, saya yang akan menyesal,” cadang Andy.

Dia sendiri berasa tidak selesa dengan keadaan di situ. Terasa macam ada sepasang mata misteri yang sedang memerhati secara sembunyi dari semak-semak hutan berdekatan.

Amani Sofea menimbang-nimbang tawaran pemuda itu sama ada nak tumpang atau tegas dengan pendiriannya. Tunggu sahaja di sini. Berani ke dia tunggu seorang-seorang di sini. Lagipun pemuda itu nampak macam orang baik-baik. Hari semakin gelap, apa-apa boleh berlaku.

Tak apalah aku nekad. Percaya pada diri sendiri, getus hatinya.

“Baiklah, saya ikut encik. Tunggu sekejap. Saya ambil barang-barang dalam kereta.”

Amani Sofea lantas melangkah ke kereta. Rambutnya yang terjurai di pipi diselak ke tepi telinga. Tas tangan dan telefon bimbit dicapai. Kunci kereta dicabut lalu menyimpannya di dalam kocek seluar.

Lantas dia melangkah ke arah kereta biru itu dengan hati yang berat. Namun dia tetap bersyukur, ada juga orang yang ingin menolong. Dia sendiri pun berasa tidak selesa dengan suasana di tempat ini.

Tanpa berlengah lagi, Amani Sofea terus melangkah masuk ke dalam kereta itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.