Home Cerpen Seram/Misteri Puaka Pisang Raja Kisah Seram Malam Jumaat oleh Julie Jasmin
Puaka Pisang Raja Kisah Seram Malam Jumaat oleh Julie Jasmin
11/8/2016 22:03:56
3,581
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Huh...keluhan halus tercicir dari ulas bibir merah remaja berkenaan. Tak semena-mena bulu tengkuknya meremang ketika dia betul-betul sudah berada di hadapan rimbunan pohon pisang raja yang lebat itu. Entah kenapa setiap kali melintas di situ pasti merinding tegak segala bulu romanya!

Tebaran kaki semakin dilajukan.. Perasaantakut yang bukan-bukan mula menguasai jiwanya sehinggakan bajunya tak pasal-pasal lencun dengan peluh takut. Dia mula berlari-lari anak. Dia nak cepat-cepat tinggalkan rumpun pisang raja dengan segera. Debaran jantung kian kuat menghentam dinding dada. Peluh di dahi diseka sekilas. Tatkala kelibat rumah semakin dekat. Debaran jantung Airel semakin mengurang. Lega dia rasa.

Sampai sahaja di muka pintu, lekas-lekas Airel membuka kasut dan stokin lantas dengan pantas melangkah masuk ke dalam rumah. Emak Airel yang sedang berada di ruang tamu terkejut dengan kepulangan Airel ditambah lagi dengan wajah Airel yang kelihatan pucat.

“Airel, kenapa ni?” tanya Puan Suzy berasa cemas bila melihatkan keadaan Airel begitu. Tak sihat ke?” Puan Suzy mengekori langkah Airel dan turut masuk ke bilik anak bujangnya. “Pucatnya wajah kamu. Kenapa ni sayang?” sepasang matanya mengekur langkah Airel yang langsung duduk di birai katil. Puan Suzy mula berasa tak sedap hati. Pertanyaannya tidak berjawab. Naik senak pula kepalanya memikir. Tak sihat ke anak aku ni?

Puan Suzy menghampiri Airel lalu melabuhkan punggung tirusnya di sebelah anak terunanya. Anak matanya memandang dengan penuh kasih-sayang zuriat sulungnya itu.

“Kenapa sayang? Cuba beritahu dengan umi,” Puan Suzy menyelak anak rambut Airel yang menutup sebelah mata dengan jari-jemari runcingnya. Hati Airel berbolak-balik. Samada hendak beritahu uminya atau pun tidak. Dia bimbang kalau uminya tidak percayakan ceritanya. Lagipun perasaan takut dan seram sejuk yang dia alami sebentar tadi sudah pun reda sepenuhnya. Dia sendiri pun tidak tahu macam mana hendak ceritakan kepada Puan Suzy.

“Airel penat sikit sebab tadi di sekolah ada saringan bola sepak untuk pemilihan pemain wakil sekolah,” bohong Airel setelah beberapa lama diam. Tangan sebelahnya mula sibuk membuka butang baju sekolah satu demi satu. Dia berharap Puan Suzy tidak akan bertanya lagi soalan yang tak mampu dia sediakan jawapannya.

Puan Suzy masih merenung Airel lagi buat seketika. Hati keibuannya dapat merasakan seperti ada ‘sesuatu’ yang telah mengganggu ketenteraman anak terunanya. Lama anak matanya merenung tubuh Airel. Spontan Puan Suzy membaca Al-fatihah dan ayat tiga Qul pada tapak tangannya setelah dihembus ke tapak tangan lalu diusapkan ke tubuh Airel. Usahanya semoga apa-apa sahaja gangguan halus yang sedang cuba hendak mengacau anaknya dapat dihalang dengan ayat al-Quran.

“Pergilah mandi dan berwuduk dulu. Kalau belum solat, cepat solat. Kemudian kamu makan. Umi dah hidangkan makanan tengahari kamu dalam tudung saji tu,” usul Puan Suzy. Dia keluar dari bilik anaknya untukmenyambung menonton cerita yang tertinggal tadi.

Sepeninggalan Puan Suzy, Airel menarik nafas dalam-dalam. Dia cuba untuk mencari kekuatan semangatnya kembali. Setelah beberapa saat, dia bingkas bangkit dari katil lalu melangkah ke almari baju untuk mengambil penyangkut baju yang kosong. Sambil tangannya hendak menarik pintu almari, sekilas dia terpandangkan kelibat seorang perempuan pada biasan cermin almari baju yang panjang dan penuh. Kelibat perempuan itu sedang tersenyum padanya. Berpakaian kebaya labuh kuning gading berserta kuntuman bunga mawar merah darah menghiasi rambutnya yang panjang tersisir ke tepi pipi kirinya, menutupi separuh dari wajahnya yang pucat lesi..

ALLAHUAKBAR! Terkejut Airel. Lantas tubuh dia terdorong ke belakang dan pada waktu yang sama pantas sahaja tangannya menutup pintu almari semula. Dadanya turun naik dengan laju kerana dihambat rasa terkejut. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah cermin almari kembali. Kus semangat! Mujurlah kelibat perempuan berkenaan telah hilang. Lekas-lekas Airel menuju ke bilik mandi untuk mengerjakan apa yang disuruh uminya dengan segera. Gementar seluruh tubuhnya menahan rasa terkejut yang masih bersisa.

Airel kembali tenang dan ceria seperti sediakala seusai solat. Senang hati Puan Suzy melihatkan perubahan anaknya yang telah kembali normal. Airel makan dengan berselera dan dia membuat kerja sekolah seperti biasa di dalam bilik. Sekali-sekala terdengar suara Airel mendendangkan lagu kegemarannya dari Alan Walker iaitu Sing Me to Sleep.

“Sedap suara kau nyanyi...” Satu suara tiba-tiba saja menyapa gegendang telinga Airel. Terpusing kepala Airel pantas ke belakang. Siapa? Tegur Airel halus. Namun tiada sesiapa pun di belakangnya saat itu.

Tiba-tiba leher Airel terasa seperti dihembus orang. Serta-merta bulu tengkuknya merinding tegak! Dia mendengar dengan jelas suara perempuan menegurnya sebentar tadi. Tak boleh jadi ni, baik aku blah dulu dari bilik ni, gumam Airel lantas mengangkat punggung keluar dari biliknya. Buku-buku latihan sekolahnya terbiar saja di atas meja.

“Kenapa Airel?” tegur Puan Suzy bila dia lihat wajah anak terunanya berkerut seperti terganggu oleh sesuatu sejak keluar dari bilik. “Tadi elok saja umi dengar Airel menyanyi dalam bilik tu, tiba-tiba ni keluar pulak? Dah habis ke kerja sekolah?” Puan Suzy memandang Airel denganpelik.

“Tak ada apa-apa umi. Airel dah habis buat kerja sekolah jadi Airel keluar sekejap nak tengok tv pulak,” sambil tersengih macam kerang busuk Airel mengalih pandang ke skrin televisyen 40 inci milik keluarganya. Dia cuba melupakan bisikkan suara misteri tadi.

Puan Suzy menjenguk ke bilik Airel. Kelihatannya meja tulis Airel kemas bersih tiada sebarang buku yang kelihatan. Siapa yang mengemasnya? Satu jam kemudian Airel masuk semula ke dalam bilik. Matanya terbuntang besar bila melihatkankeadaanmejanya licin tidakberselerak dengan bukuseperti ditinggalkan sebentar tadi. Pantas dia mendekati meja dan mengambil buku latihan matematik yang tersusun dengan baik di tepi meja. Mungkin Umi yang kemaskan tadi, gumam Airel untuk menyedapkan hatinya. Dia ada terlihat Puan Suzy masuk ke dalam biliknya sekejap tadi.

Malam itu lena Airel terganggu. Dia terjaga dengan tubuh yang basah dengan peluh walaupun angin dari kipas siling menyapa kulit tubuhnya. Matanya terbuka luas. Rasa kantuk sudah lama lenyap dari kelopak matanya. Tiba-tiba dia terdengar suara gemersik menyanyi sayup-sayup di luar tingkap biliknya. Kebetulan tingkap bilik Airel menghadap tepat ke arah rumpun pokok pisang raja yang lebat itu. Namun begitu jarak antara tingkap rumah dan pohon pisang agak jauh kira-kira dalam 100 meter jauhnya.

Siapa pula yang menyanyi tengah-tengah malam buta ni? Berani betul perempuan tu keluar waktu malam-malam macam ni. Airel cuba melelapkan kelopak mata. Namun masih sukar untuk dia menjemput lena. Airel mengiringkan tubuh mengadap ke arah almari baju. Kebetulan anak matanya terpandangkan tingkap bilik yang berlangsir jarang. Sekilas dia ternampak bayang orang berdiri berhampiran tingkap!

Hampir saja dia nak terlompat jatuh dari katil. Kelihatan jelas bayangan sekujur tubuh berambut panjang sedang mengadap tingkap biliknya. Akhirnya Airel berguling ke bawah katil. Jantung Airel mula berdegup kencang.

Siapa tu? Gumam Airel sambil gelunsur keluar dari bawah katil lalu bangkit dengan tangannya mengampu berat badan sendiri lalu menolak tubuhnya untuk berdiri. Terketar-ketar Airel menahan rasa takutnya. Tak sempat dia hendak membaca sepatah ayat suci pun. Bayangan hitam sudah hilang dari pandangan. Namun Airel sudahtidak boleh melelapkan matanya walau sepicing pun. Degup jantungnya berirama deras. Peluh sejuk membasahi dahi dan bajunya.

‘Pulangkan cinta hati ku...’ suara gemersik itu beralun lagi. Kali ini kedengaran bagaikan sangat jauh berbatu-batu dari rumah Airel. Akhirnya senyap. Keadaan malam menjadi sunyi-sepi kembali. Hanya bunyi cengkerik yang mengisi malam. Akhirnya Airel tertidur dengan ditemani mimpi berjumpa dengan sang gadis yang menyanyi tadi.

***************

Berpusing-pusing tubuh Airel memandang sekeliling. Kini dia berada di suatu tempat yang dia sendiri tidak tahu di mana. Keadaan sekeliling berkabus tebal dan suasana ketika itu berbalam-balam dengan hanya disinari cahaya bulan purnama. Pelik! Bulan berwarna kuning keemasan yang terang sekali sepertinya bulan purnama itu diperbuat daripada emas layaknya!

Airel berjalan mencari jalan keluar setelah agak lama berada dalam kebingungan akhirnya dia sampai diserumpun pohon pisang raja. Sebiji macam rumpun pisang raja yang ada di hadapan rumahnya. Tiba-tiba kelibat seorang perempuan berpakaian putih gading muncul dengan bau harum mawar semerbak memenuhi ruangan udara. Keadaan saat itu sangat romantis dan indah. Bagaikan berada dalam dunia kayangan!

Airel melangkah mendekati gadis yang sedang menunggu di pohon pisang raja. Ragu-ragu sahaja Airel melayangkan tapak kakinya. Belum pun sampai lagi pada gadis misteriitu,bau wangi mengharum sudah mencucuk batang hidungnya.

“Perfum apa yang perempuan ni pakai? Wangi betul, sampaikan dalam jarak jauh macam ni pun dah berbau harum,” monolog Airel. Anak matanya memerhati kelibat sang gadis di balik pohon pisang raja hingga tak berkelip-kelip. Dia bimbang kalau-kalau matanya berkelip, sang gadis akan hilang tiba-tiba. Dia mesti cepat mendekati gadis yang misteri itu.

Tiba sahaja di bahagian sisi pohon pisang raja, lekas-lekas Airel menjengah di sebalik pokok. “Oh mak kau!” terkejut Airel bila tiba-tiba kelibat gadis tiada di situ tetapi terjengul mengejut di hadapannya sambil tersenyum malu-malu dengan sekuntum bunga mawar merah darah berada dalam pegangan gadis tersebut. Namun wajahnya menunduk dan separuh dari wajahnya tertutup dek rambutnya yang panjang.

Hati Airel berdebar-debar. Perasaan takut, gembira, gementar dan teruja bercampur-baur sekali. Badannya dirasakan bagaikan melayang dan kakinya tidak menjejak tanah. Laju sahaja dia merapati sang gadis misteri.

“Erm...aaa... awak tunggu siapa... di sini sorang-sorang?” sapa Airel teragak-agak memulakan bicara dengan suara yang tertahan-tahan. Tangannya mencapai daun pisang yang terhampir dengannya. Cuba menahan rasa gementar dan darah gemuruhnya.

Sang gadis masih lagi menunduk, separuh dari wajahnya tersembunyi di sebalik rambut yang panjang, dia menjawab, “...saya tunggu awaklah...” tubuhnya tergoyang-goyang sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Malu-malu gitu. Tangannya jatuh ke sisi dan akhirnya dengan perlahan-lahan gadis tersebut mengangkat wajahnya bila Airel terjenguk-jenguk hendak mengintai wajah sigadis misteri.

Terbeliak mata Airel. Bagaikan nak gugur jantung disaat itu juga. Masakan tidak, sigadis di hadapannya amat jelita rupa parasnya. Kecantikan yang tak terperi tidak pernah digambarkan oleh Airel akan wujud di alam maya ini. Terlopong sekejap mulut Airel. Manusia apakah ini?

“Saudara macam mana boleh datang ke mari?” sapa si gadis manis. Senyuman yang sungguh memikat terpancar indah pada wajahnya yang mulus murni pada pandangan Airel.

“Erm...saya tak tahu macam mana saya boleh sampai ke sini. Saya pun tak ingat macam mana...” kaki Airel terus menongkah ke depan mendekati sigadis misteri. Hatinya berkocak deras. “...se...sebenarnya saya ni berada di mana?” soal Airel pula setelah dia melirik suasana sekeliling sekali imbas. Keadaan sekeliling masih lagi berkabus tebal. Tangan sebelah Airel menyentuh hujung daun pokok pisang raja.

“Saudara nisudah tersesat ke?” soal gadis dengan lembut. Sepasang matanya yang indah bak bintang kejora telah mengundang Airel untuk lebih merapati. Airel bagaikan sudah terpukau dengan keindahan paras gadis misteri itu.

“Erm...saudara..” lunak suara sigadis menyapa Airel.

"Janganlah panggil saya saudara. Nama saya Airel” potong Airel. Dia tersenyum lebar sambil memberitahu namanya. “Panggillah saya Airel sahaja.... Nama awak siapa?”

“Saya Seroja...Seroja Emalin,” gadis itu malu-malu memperkenalkan dirinya lantas menjauhi Airel lalu menuju ke sebatang pohon pisang raja tak jauh dari situ. Jarak dalam tiga langkah dari Airel sahaja.

“Eh, janganlah lari Seroja Emalin.” Airel lantas mengejar gadis itu lalu berdiri di sisinya. Emalin sedang menunduk ke tanah, malu-malu. Bau harum tubuh Emalin menyentuh deria bau Airel. Tergugat sebentar naluri kelelakiannya. Terdetik dalam hati Airel nak memiliki gadis yang mulus ini. Namun mampukah dia? Sudikah gadis itu terhadap dirinya?

“Kenapa awak lari dari saya? Saya bukannya orang jahat. Saya berada di mana sebenarnya ni Emalin?” soalan demi soalan terhambur dari mulutnya. Airel berwaspada sambil matanya melingas melihat sekeliling. Suasana masih sama seperti tadi. Berkabus dan bulan purnama masih menguning.

“Airel takkan tak tahu. Inikan tempat yang biasa Airel lalu setiap hari?” jawab Emalin lembut. Tangannya bermain-main dengan bucu bajunya dan bunga mawar merah darah pula sudah tersisip indah di tepi rambutnya yang mengurai. Airel tergamam seketika dan menelek sekeliling. Yelah macam kenal saja dengan jalan dan rumpun pokok pisang ni. Tetapi sebelum ini, dia paling tak gemar bila lalu di hadapan rumpun pisang raja ni. Pasti meremang dan seram-sejuk seluruh tubuhnya. Tak sangka pulak tempat yang paling dia tak suka nilah dia berjumpa dengan gadis lawa yang telah mencuri hatinya.

“Saya tahu awak bukan orang jahat...” sambung Seroja Emalin menjawab soalan Airel sebentar tadi. Sekali lagi gadis itu menjauhi Airel. Dia kini sedang berdiri di sebalik pohon pisang yang agak gemuk batangnya dan kelihatan jantung pisang muda terjulur keluar dari batangnya.

Aisy! Main nyorok-nyorok pula Emalin ni, rungut Airel. Dia melangkah lambat-lambat mendekati Emalin. Naluri ingin tahunya semakin kuat.

“Berani Emalin keluar malam-malam begini. Tak takut ke kalau ada orang jahat ke ....atau ..terjumpa hantu?” soal Airel tiba-tiba. “Sekarang nikan sudah malam-malam buta?” sambung Airel lagi.

“Saya dah biasa di tempat ini. Memang saya suka keluar malam-malam begini sambil melihat bulan mengambang penuh. Dalam kampung kita ni mana ada orang jahat. Mereka pun tak berani nak mendekati kawasan sini...” jelas Emalin dengan penuh yakin. Airel merenung ke arah bulan buat seketika. Cahayanya cerah luar biasa. Airel tergamam.

Beberapa ketika kemudian, kedengaran kokokan ayam jantan sayup-sayup memecah keheningan pagi. Apa lagi, embun jantan pun sudah mula muncul di hujung rumput. Airel mengusap-ngusap lengannya, barulah dia sedar tubuhnya sedang kesejukkan bermandikan embun. Pasti Emalin pun kesejukkan juga, duga Airel. Belum sempat Airel mencadangkan supaya Emalin pulang ke rumahnya, gadis itu sudah terlebih dulu memulakan langkah.

“Wah cepatnya masa berlalu. Ayam pun dah mula berkokok. Saya kena pulang segera. Nanti orang tua saya bimbang pula. Selamat tinggal Airel. Gembira saya dapat bertemu dengan awak,” usai mengucapkan kata-kata tersebut dengan tergesa-gesa, Seroja Emalin segera berpaling ke arah bertentangan Airel dan membelakangkannya. Tiba-tiba saja hati Airel dijentik rasa cemas.

“Sekejap, tunggu Emalin! Boleh ke kita berjumpa lagi di lain kali? Saya suka nak berkawan dengan awak,” luah Airel tanpa segan-silu. Terbeliak seketika mata Emalin. Wajah Airel pula bagaikan orang terkejut. Dia sendiri tak sangka yang dia boleh meluahkan rasa hatinya kepada Emalin secepat itu. Sudah terlambat untuk berasa malu. Tiada gunanya, kalau malu terlepaslah dia nanti.

Setelah beberapa berlalu, akhirnya Emalin menjawab dengan suara perlahan, “Boleh. Tetapi tunggulah sehingga bulan purnama menguning lagi,” jelas Seroja Emalin sebelum berlalu pergi sambil diiringi dengan hembusan angin yang agak kuat bagaikan menolak dia pergi.

Airel hanya mampu merenung sahaja pemergian Emalin bersama hembusan angin dingin dinihari. Perlahan-lahan pandangan Airel menjadi kabur. Ddia berasa mengantuk yang amat sangat secara tiba-tiba. Sedar-sedar sahaja hari sudah pun pagi dan azan subuh sedang berkumandang mengitari ruang biliknya sekali. Tingkap biliknya terbuka sedikit dengan langsir kuning cair bertebar-tebar lembut disentuh angin.

Bila pulak tingkap tu dibuka? Aku dah tutup rapat malam tadi sebelum tidur. Omel Airel lantas bingkas bangkit dari katil menuju ke bilik air untuk bersiap solat subuh dan ke sekolah.

**************************

“Cepatnya anak umi dah siap nak ke sekolah. Tak sarapan dulu ke Airel?” tegur Puan Suzy bila dia lihat Airel tangkas menyapu kaya di atas rotinya. Lantas dengan gesa-gesa juga Airel minum air teh panas selepas ditiup beberapa kali untuk menyejukkannya. Hanya dua tiga sisip air masuk ke kerongkong sekadar untuk membasahkan tekaknya yang kering.

“Airel nak cepatlah umi..ada perhimpunan pagi ni,” jawab remaja itu ringkas. Tangan Puan Suzy dipaut lalu dicium macam selalu. Terasa sejuk tangan anaknya. Berderau darah Puan Suzy namun dia membiarkan sahaja Airel dengan pandangan keibuannya.

“Petang ni Airel baik lambat sikit ya umi. Ada latihan bola macam biasa,”dia menuju ke pintu. Puan Suzy lekas-lekas masuk ke biliknya hendak mengambil duit buat belanja Airel di sekolah kelak.

“Airel, nah duit belanja. Makan kenyang-kenyang tau. Nanti tak ada tenaga nak tendang bola tu karang,” pesan Puan Suzy sambil menghulurkan duit sekeping lima ringgit kepada anak terunanya lalu disambut gembira oleh Airel yang sudah bersedia di muka pintu.

Airel melintasi kawasan pohon pisang raja dengan berlari-lari anak. Macam biasa hatinya akan berdetak kencang dan cemas tanpa sebarang sebab bila melalui rumpun pohon pisang tersebut. Ei! Seram pulak aku rasa bila tengokkan kau ni, gumam Airel sambil memandang sekilas ke arah pokok pisang raja berkenaan. Kelihatan sungguh misteri dengan daunnya yang sangat lebat dan melebar. Airel membulatkan matanya dan membuat muka ke arah pohon pisang raja. Meluahkan perasaan.

Di luar sedar, tutur kata Airel telah didengari oleh ‘sesuatu’ yang mendiami rumpun pisang raja tersebut. Memerah matanya terasa bagai tercabar bila terdengarkan rungutan Airel. Selama ini ia amat meminati pemuda tersebut. Sentiasa memerhatikan pemuda berkenaan di suatu sudut tersembunyi di pangkal pohon pisang raja tak kira masa siang dan malam.

Puan Suzy masuk ke dalam bilik Airel. Dia memungut pakaian malam yang Airel pakai dari tempat penyidai baju.

“Hem... masamnya baju anak bujangumiseorang ni...” rungut Pn Suzy sendirian tatkala baju t-shirt Airel yang bermandikan peluh malam tadi terlayang berhampiran hidungnya lalu disangkutkan ke bahunya. Tersenyum dia sebentar bilateringatkan anak sulungnya yang sudah meningkat remaja.

Umi tak sangka anak umi dah besar panjang dah. Agak-agaknya dah ada buah hati ke belum ye? cepatnya masa berlalu... gumam Puan Suzy lagi berhampiran tingkap. Tangannya sibuk membetul-betulkan cadar katil berwarna biru krim yang agak berkerenyut. Dia berpusing hendak menyelak langsir agar kitaran udara dalam bilik lancar. Langsir di ikat dengan reben hijau yang sudah tersedia di situ bagi menghilangkan bau kepam dalam bilik Airel.

Sebaik saja reben hijau sudah terikat kemas pada langsir, angin dingin menerpa pipinya secara mengejut dan rambut depan Puan Suzy terjuntai jatuh ke pipi. Dia lantas menolak juntaian rambut ke belakang telinga. Akhirnya, dia mula hendak melangkah ke luar dari bilik.

‘Dia kepunyaan aku!’ satu suara halus tiba-tiba berdesup menyusup ke gegendang telinga Puan Suzy. Sangat jelas walaupun perlahan. Meremang terus bulu tengkuknya. Terangkat sedikit tubuhnya dan langkahan kakinya terhenti serta-merta kerana terkejut. Bola mata Puan Suzy melingas sekeliling bilik mencari punca suara.

“Aduh!” tangan Puan Suzy mencapai betisnya yang tiba-tiba terasa sakit macam dicakar sesuatu. Kain batik yang dipakainya diselak sedikit. Menampakkan betisnya yang seperti bunting padi itu. Lelehan darah mengalir mengenai lantai bilik. Lekas-lekas Puan Suzy menarik kerusi di meja belajar Airel. Lantas membelek betisnya yang sakit. kelihatan bekas luka seperti cakaran muncul pada betisnya.

Puan Suzy naik panik lantas dia bangkit dan meluru keluar dari bilik Airel. Jantungnya berdetak kencang. Perasaan keliru dan cemas berbaur dalam dirinya. Dia hairan dari mana pula dia boleh terluka sedangkan dalam bilik Airel tiada pula benda-benda tajam?

‘Dia kepunyaan aku!’ sekali lagi suara halus itu mendesah dekat cuping kanan Puan Suzy. Mengasak fikirannya yang sedang ketakutan. Suara itu seperti mengancam!

“Siapa?” tegur Puan Suzy. Dia menoleh pantas ke kiri dan kanan mencari arah mana datangnya suara itu. Anak matanya membulat dan debaran jantungnya semakin deras.

DUM!

Kedengaran pintu hadapan berdentum kuat ditutup oleh sesuatu. Puan Suzy meluru keluar pantas dari bilik anak bujangnya. Mungkin angin yang bertiup kuat tadi telah menutup pintu secara tak sengaja. Ruang tamu kelihatan muram tanpa cahaya . Sepantas kilat satu kelibat melintas di hadapan Puan Suzy. Angin berderu seiring dengan pergerakkan kelibat berkenaan menyapa hidungnya. Bau hanyir menjalar pantas keseluruh urat saraf.

Aaarrgghhh!

Terkejut. Terjerit kecil wanita separuh umur itu lantas meluru ke pintu dan membuka pintu dengan luas. Ruang tamu kembali terang-benderang. Puan Suzy mendakap dadanya yang sedang senak disantak rasa takut. Namun tiada sesiapa di situ. Sisa-sisa bau hanyir masih berbekas walaupun tidak sekuat tadi baunya.

Apa yang dah jadi ni? Peristiwa misteri yang mengganggu hanya didiamkan sahaja Langsung tidak diberitahu kepada sesiapa.

Pulang dari sekolahdikala hari menghampiri senja,Airel terus masuk ke dalam biliknya. Bau harum mawar menyambut kepulangan Airel. Lalu Airel merebahkan dirinya berbaring di katil empok kepunyaannya untuk merehatkan badan yang keletihan. Amboi, wanginya bau bilik aku ni. Umi mesti dah mopkan lantai bilik. Selalunya sabun lantai tu yang berbau wangi macam ni.

‘Selamat kembali...’ tiba-tiba satu suara halus lunak menyentak gegendang telinga Airel. Dia bingkas bangun dari posisi baringnya dalam keadaan terkejut. Suara siapa pula ni? Pada waktu yang sama cuping telingaAirel terasa bagai dihembus-hembus oleh seseorang, terasa nyilu dan geli menerokaisekujurtubuhnya. Terus meremangtegak bulu tengkok Airel.Pantas saja sebelah tangan menekup telinga untuk menghilangkan rasa nyilu dan geli yang menyerang.

“Jangan kacau aku, aku tak kacau kau pun!” jerkah Airel perlahan. Bimbang kalau-kalau uminya terdengar.Dalam takut-takut ituAirel berpusing dan ternampak kelibat gadis berdiri di sudut dinding biliknya melalui biasan cermin almari. Gadis itu hanya menunduk. Rambut menutupi wajah dan Airel perasan kulit yang pucat membiru membaluti tubuh yang kurus itu. Airel kaku dia tidak dapat menggerakkan anggota tubuhnya. Ketakutan telah mengunci pergerakkannya. Lupa terus dia untuk membaca surah Qursi yang sudah dia hafal sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Tubuhnya gementar.

Hehehe...hilaian halus memenuhi ruang bilik Airel. Menambahkan rasa keseraman yang memang sudah terbit sejak tadi. Terasa-rasa bagai nak terkucil saat itu juga.Nak menjerit suaranya bagai sudahtersekat di kerongkongan. Airel cuba hendak melangkah ke arah pintu, namun terasa bagaikan kakinya sudah disimen. Langsung tak dapat digerakkan!

ALLAH! Apa yang aku nak buat ni? Desis Airel. Kepalanya mula mengembang, fikirannya terbejat sehinggakan nak membaca Bismillah yang mudah itu pun dia berasa sangat takut! Kelibat gadis pucat yang menyeramkan itu mula mengorak langkah dan ia semakin mendekat.

Suhu di bilik serasakan semakin sejuk dan tubuh Airel mula menggigil. Airel lekas-lekas memejamkan matanya. Tak sanggup dia nak berdepan dan menatap wajah yang huduh itu! Sedangkan pintu bilik semacam jauh saja dari tujuannya.

“Kenapa? Kau takut?” suara garau lagi menjengkelkan menggetar gegendang Airel. “Hahahaha! Bukan ke kau yang offer diri kau hendak berkawan dengan aku? Kau sudah lupa?” gadis itu membongkok dan mendekatkan wajah hodohnya ke muka Airel. Grrrr... Deram makhluk tersebut.

Aduh! Makin dekat pulak dia ni...Umi! Umi tolong Airel Umi... Airel Takut! Jerit hati Airel namun tidak dapat diluahkan ke peti suara. Mulutnya terasa kering. Tak mampu hendak berbunyi. Bagaikan sudah terkunci! Kakinya semakin terasa lemah...

Tiba-tiba tangan makhluk hodoh itu menyentuh bahu Airel. Menyenget ke bawah langsung bahu Airel terasa bagai ada pemberat di situ. Sejuk, dingin, keras dan .... Hanyir! Dia dah mula main sentuh-sentuhlah pulak! Getus hati Airel lagi. Tubuh Airel mula bergetar halus bila tangan makhluk hodoh itu mula menyentuh pipinya, akhirnya Airel tidak tertahan untuk menanggung rasa takut dan gerun lagi. Dia berjaya membuka mulut dan menjerit sekuat hatinya.

“Umi! Tolong Airel Umi!” serentak dengan itu Airel terus meluru keluar dari bilik sehingga terjatuh-jatuh lututnya menghentam lantai. Sampai sahaja di ruang tamu, suasana sungguh asing sekali. Keadaan tidak sama macam ruang tamu rumah Airel yang biasa. Ruang tamu Airel sudah bertukar menjadi suram dan gelap. Dia sedang berseorangan sekarang. Tiada sesiapa yang ada di situ. Keadaan di situ tiada angin dan tiada bunyi!

“Kau tak akan terlepas Airel. Kau mesti temankan aku. Kau dah janji Airel!” tempik makhluk huduh berkenaan serentak mengejar Airel sambil melayangkan tubuhnya. Makhluk itu tidak menjejak lantai ia melayang-layang di udara bila bergerak.

Airel kecut perut. Dia melingas mengitari sekeliling yang asing baginya.

“Di mana aku? Di mana aku sekarang ni hah? Setan!” Airel sudah hilang akal. Dia tidak dapat berfikir dengan waras lagi. Rasa takut dan gerun menguasai jiwanya. Akhirnya Airel menjerit sekuat hati sepuas-puasnya tanpa mahu berhenti. Dia melepaskan jeritannya hingga ke puncak suaranya. Sedangkan makhluk bermuka huduh itu pula sedang galak mengitari tubuh Airel sambil melayang-layang mengilai di sekeliling Airel..

Heeeeee..heeeee...heeeee...heeeee...

Rambutnya yang panjang mengerbang lalu menampakkan wajahnya dengan jelas. Sepasang mata galak merah bak biji saga. Ada darah hitam pekat dan busuk mengalir pada tepi matanya mencomoti pipinya yang pucat kebiruan!

Aaarrrgggghhhh! Aaaaaarrrggghhh!

Jeritan Airel memanjang pada senja yang sedang rembang itu. Tubuhnya sedang meronta-ronta, tangannya ligat melibas-libas kiri dan kanan seperti menghalau sesuatu. Kakinya menerajang angin. Menyukarkan ayahnya Encik Zaidi untuk menyedarkan Airel.

“Apa dah kena dengan anak kita ni bang?” soal Puan Suzy. Dia kelam-kabut tak tentu arah bila melihatkan Airel berkeadaan macam tu. Sekejap di pusing ke kana , sekejap dia pusing ke kiri macam kucing hilang anak lagaknya! Sejak dari tadi air matanya deras mencurah-curah dek risau dengan hal anak sulungnya. Ikan di dapur langsung terbiar belum bergoreng lagi.

“Apa lagi... Kesurupanlah budak ni. Kan saya dah pesan banyak kali dengan awak, jangan dibiarkan Airel ni bersidai dekat dengan pokok pisang raja tu bila hari dah petang. Awak dah lupa ke? Dia kan dah ada ‘benda’ yang berkenan sejak dari kecil lagi tinggal dekat pokok tu? Awak dah lupa ke?” Encik Zaidi menjeling sambil tangannya kejap menekan bahu Airel.

“Maaflah bang. Saya tak perasan yang dia ada duduk menunggu kawan dia dekat bawah rumpun pisang tu, bang. Habis ni macam mana ni bang? Apa kita nak buat ni?” Puan Suzy menekap lengan baju kurung coklat yang dipakainya ke matanya yang kebasahan.

“Awak jaga Airel ni sekejap. Saya nak ke rumah Ustaz Bahari. Biar Ustaz tu ubatkan Airel ni.” serentak dengan itu Encik Zaidi bergerak ke luar bilik lantas dia melangkah keluar rumah dan menunggang motor Honda EX5nya ke rumah ustaz yang dimaksudkan.

Sedangkan Airel pula berhempas-pulas sedang cuba hendak melepaskan dirinya dari gangguan makhluk huduh yang sedang berterbangan dan sekali-sekala menyentuh beberapa bahagian tubuhnya sambil menyeringai seram.

“Jomlah berkawan dengan aku. Temankan aku,” seru makhluk huduh itu lagi.

“Pergi aku kata! PERGI!” jerit Airel. Dadanya laju turun-naik menarik nafas. Dia sendiri sudah tidak tahu berapa lama lagi dia dapat bertahan sebelum dia tidak sedarkan diri. Kalau itu yang terjadi, maka padahlah natijahnya. Airel tidak tahu-menahu sebenarnya dia sudah melanggar pantang. Rumpun pohon pisang raja itu ada ‘penghuni lain’ yang mendiaminya.

Airel adalah insan yang ditunggu-tunggu sejak dulu lagi oleh penghuni pisang raja tersebut untuk menemaninya di situ. Sehinggalah pantang-larang itu telah dilanggari. Apakah pantang larang itu?

Akhirnya setelah hampir setengah jam Airel berperang dengan bayangan makhluk huduh berkenaan, Airel tewas juga kerana dia sudah tidak bertenaga lagi. Puan Suzy hanya mampu merenjiskan air bacaan Yassin ke wajah Airel sebagai ikhtiar untuk melindungi dia.

“Ya ALLAH... lindungilah anak ku, Airel Ya ALLAH.” Sekilas Puan Suzy terpandang ke arah rumpun pisang raja yang kelihatan kelam dan gelap terlindung dari biasan cahaya lampu kalimantang rumahnya. Sayup-sayup dari kejauhan dia terlihatkan kelibat gadis berkebaya labuh dengan mawar merah darah di rambutnya sedang memerhati ke arah rumah nya.

Tamat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.