Home Novel Fantasi Pengembaraan ke Dunia Watika
Pengembaraan ke Dunia Watika
15/9/2013 20:35:16
13,705
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Cuti Sekolah Bermula

BAB 2

Akhirnya Amani keletihan memikirkan perkara yang terjadi siang tadi. Hazim juga tak dapat membantu banyak. Mungkinkah pemuda itu datang dari masa hadapan? Amani mula berangan dengan imaginasi yang mengujakan. Kalaulah benar dia dari dunia asing bukan dari dunia kita kan bagus! Biarlah adventure sikit cuti kali ini. Bagusnya! Kalaulah kita semua boleh merantau ke luar negara atau mengalami satu peristiwa yang ganjil...... Amani mula berangan lagi. Akhirnya Amani tertidur di temani dengan anganannya mengenai pemuda misteri itu.

Hakim mengambil kedatangan semua murid di dalam kelas tingkatan satu M itu. Selalunya di minggu terakhir persekolahan sudah ramai murid yang memulakan cuti sekolah mereka sendiri. Lagipun pinjaman buku teks untuk tahun hadapan pun mereka sudah dapat, jadi sesiapa yang malas dah hendak datang ke sekolah sudah boleh mula bercuti dan balik kampung. Dalam kelas tingkatan satu M yang berjumlah tiga puluh lima orang murid pada kebiasaannya, telah berkurangan tujuh murid. Nampaknya mereka sudah pun mula pulang ke kampung untuk bercuti, jangka Hakim di dalam hatinya. Wajah-wajah kawannya masih lagi ada. Mereka pasti akan datang ke sekolah sehingga ke saat-saat akhir. Pada masa akhir hari persekolahan selalunya mereka dapat berjumpa dengan guru tingkatan baru mereka. Jadi peluang ini mereka tidak mahu ketinggalan. Mereka sangat-sangat ingin tahu guru kelas baru mereka nanti.

Amani termenung sebentar memandang kepada kerusi belakang yang kosong. Masih terbayangkan kelibat pemuda yang memapah Hazim semalam. Mata Amani memandang kepada Hazim pula, apa yang pemuda tu sudah lakukan kepada Hazim sehinggakan Hazim tak ingat satu apa pun? Amani tertanya-tanya. Apa tujuan kedatangan pemuda misteri itu? Amani masih tak dapat nak melepaskan topik tersebut di dalam mindanya. Amani ralit memerhatikan Hazim, ingin melihat kalau-kalau ada sebarang perubahan kepada sikap Hazim atau apa-apa saja sebagai bukti akan kewujudan pemuda misteri tersebut. Sambil meraup wajahnya, perasaan ingin tahu Amani semakin meruap-ruap.

“Hah! Kenapa ni? Masih tak puas hati lagi ke dengan kes semalam tu?” tanya Hazim dengan senyuman menawannya.

“Hem, mestilah! Aku tak puas hati. Dari mana munculnya mamat tu? Apa yang dia dah buat kepada kau sampaikan kau tak dapat mengingati satu apa pun? Kau tak risau ke Hazim? Entah-entah dia sudah lakukan sesuatu kepada kau atau sudah mengubah kau punya daya ingatan ke?” provok Amani kepada Hazim yang masih tersenyum mendengarkan hujahnya.

“Tak.” pendek saja jawapan dari Hazim.

“Yang peliknya aku sahaja yang tahu akan kewujudan mamat tu..” tukas Amani lagi tak puas hati.

“Sudah-sudahlah tu Amani, dah nak masuk waktu rehat. Jom kita ke kantin sama-sama nanti. Monika kata dia tak makan tetapi dia ada bawakan buku novel yang kau nak pinjam tu..” Hazim berlalu dan duduk semula ke tempatnya selang dua meja di hadapan Amani.

“Hakim kau makan tak?” Amani menoleh kepada Hakim di sebelahnya.

“Tak, aku nak pergi ke pusat sumber ambil aku punya lukisan. Cikgu Razali hendak pulangkan kembali lukisan tu” terang Hakim yang memenangi pertandingan lukisan peringkat daerah sebagai wakil sekolah mereka. Memang tidak dinafikan lukisan-lukisan Hakim sentiasa menjadi perhatian malah dia juga sentiasa menang bila ada pertandingan. Hakim juga suka melukis untuk majalah komik G3 sebagai mengasah bakat, katanya. Khalina pembantu ketua kelas memandang kepada mereka dan menunjukkan isyarat supaya diam. Amani hanya memandang sinis kepada Khalina yang suka berlagak itu. Danial pula sempat membalingkan sesuatu seperti cebisan kertas kepada Amani. Sambil jari telunjuknya menuding ke arah Amani. Amani mengambil cebisan kertas itu lalu membacanya. ‘Petang nanti kita pergi ke rumah Shin. Dia nak ajak berbincang tentang aktiviti cuti sekolah’.

Selepas membaca nota itu, Amani memberikan pula kepada Hakim dan Hakim menganggukkan kepalanya. Hakim bangun lalu cebisan kertas itu diberikan kepada Hazim pula. Sementara menunggu masa berlalu, Amani sempat memikirkan tempat-tempat menarik untuk mereka berenam lawati. Dia juga mencari aktiviti lain untuk mereka lakukan bersama sempena cuti nanti.

Seperti yang sudah dijanjikan mereka berenam berkumpul di rumah Shin. Shin sudah menyediakan snek petang buat mereka semua dan air teh ais lemon buat pembasah tekak yang sedang dahaga. Masih lagi cuaca pada hari itu berbahang dengan kuatnya hari ini. Amani berbasikal ke rumah Shin, berpeluh-peluh dia . Rambut ikalnya di ikatnya tinggi sedikit lagi bagi mengurangkan panas. Dia sampai di rumah Shin serentak dengan Danial yang menunggang basikal mauntain bikenya. Nampak segak, memang sesuai benar dengan kaki Danial yang panjang itu.

“Masuklah! Mereka semua dah berkumpul di atas bilik Shin,” auntie May sudah mengarahkan Amani dan Danial terus naik ke atas.

“Marilah masuk,” Shin menguakkan daun pintu dan menjemput mereka berdua masuk. Kelihatannya Monika, Hazim dan Hakim sedang duduk bersila mengelilingi meja yang terletak di tengah-tengah ruang bilik tersebut. Monika kelihatan comel bila rambutnya di biarkan lepas mencecah lantai.

“Marilah duduk di sini,” Monika menepuk-nepuk tempat duduk di sebelahnya. Amani mengikut apa yang disuruh. Wajahnya masih lagi kemerah-merahan sisa dari bahang panas di luar tadi. Monika tersenyum. Amani membalas senyumannya.

“Semua dah ada dah?” Shin memandang semua kawannya.

“Bolehlah kita teruskan macam ni..” sambungnya lagi sambil duduk di sebelah Hazim dan mencapai kertas di atas meja. Penghawa dingin dibukanya lebih kuat lagi bagi menambahkan kuasa sejuk untuk menampung penghuni yang bertambah.

“Apa kata minggu pertama cuti ni kita pergi tengok wayang. Nak? Cerita Harry Potter yang terbaru dah keluar dah..” cadang Amani tiba-tiba.

“Yelah..betullah..kita minat cerita tu. Jomlah kita pergi tengok,” Hazim menyokong, lapan pasang mata lagi tertumpu kepada Hazim yang sedang tersenyum. Amani pula memandang sekeliling untuk melihatkan reaksi semua kawan-kawannya.

“Jomlah...satu cadangan yang menarik juga. Saya pun minat dengan cerita Harry Potter tu. Tentang budak ahli sihir dan kawannya, kan?” cerita Danial seakan teruja. Hakim mendiamkan dirinya dari tadi, bila semua kawan-kawannya telah memberikan reaksi yang positif barulah Hakim menganggukkan kepalanya tanda bersetuju. Shin menulis di atas kertas aktiviti pertama yang mereka semua telah persetujui.

“Jangan lupa ye, masukkan sekali aktiviti pergi ke perpustakaan di stesen keretapi lama tu. Kita semua pun tak pernah pergi ke sana lagikan?” Hakim mengarahkan. Shin tekun menulis dan tangannya mencapai gelas teh ais lemon lalu minum. Monika menjengukkan kepalanya untuk melihat nota yang sudah ditulis.

“Oh ya, ada sesiapa yang akan mengikut keluarga pergi melancong ke mana-mana ke, bercuti balik kampung rindukan datuk-neneknya ke?” Hakim bertanya lagi. Wajahnya nakal mengusik kawan-kawannya.

“Saya bertanya ni, kerana saya sendiri akan bercuti balik kampung nenek saya di Tanjung Karang..” bilik itu menjadi gamat tiba-tiba kerana Hakim di sorakkan oleh kawan-kawannya.

“Cakaplah awak tu yang sudah rindukan nenek awak sebenarnya,” laung Danial ambil membaling kusyen kecil ke arah Hakim untuk bergurau.

“Bila awak nak balik ke kampung awak tu?” Amani bertanya.

“Selepas semua aktiviti kita selesai kita lakukan,” kata Hakim sambil memandang semua wajah kawan-kawannya.

“Oh ya! apa kata kalau awak semua ikut saya balik kampung? kita bercuti sama-sama di kampung saya di Tanjung Karang. Tentu nenek saya gembira kerana rumah nenek saya di kampung tu pun besar. Tentu kita boleh buat bermacam-macam aktiviti di sana..” bersinar mata Hakim bila meluahkan pendapatnya dan mengajak kawan-kawannya pulang ke kampung bersama dengannya.

“Wah seronok tu..” sampok Danial. “ Kalau macam tu akulah orang pertama yang nak sangat ikut kau balik kampung, macamana Hazim, Shin, korang semua?” Mata Danial mencerlang bulat gembira dengan idea yang bernas itu.

“Bolehlah kita merasa suasana kampung kan...” Monika pula mencelah. Matanya memandang kepada Amani menyampaikan isyarat ajak ikut sekali. Amani tersenyum lalu menganggukkan kepalanya.

“Hei! Kau buat apa tu Danial?” tegur Hazim bila dia melihatkan Danial sedang menconteng sesuatu di atas kertas. Mereka berlima terus menumpukan perhatian kepada Danial yang sedang melukis gambar sebuah motor berkuasa tinggi. Mereka semua kagum dengan kecantikan lukisan itu.

“Ini aku belajar dari Hakimlah ni, seronok tau bila melukis ni. Dapat macam satu kepuasaanlah orang kata! Alangkah bagusnya kalau lukisan aku ni boleh bertukar menjadi real,” Danial merenung lukisannya.

“Jadi kau patut panggil aku sifu..tau!” Hakim mengusik Danial.

“Baik sifu Hakim. Nanti bolehlah saya menghantar lukisan saya ni ke majalah G3 macam kau.,” Danial menambah. Kawan-kawan yang lain ketawa memberikan sokongan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.