Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
23/4/2015 13:10:28
5,600
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB14

KEESOKAN harinya keempat-empat pemuda itu dikejutkan dengan berita tergempar semasa mereka menikmati sarapan di sebuah warung di Kampung Nilam Setia itu.

Pengunjung warung kecoh memperkatakan tentang penemuan satu mayat yang amat mengerikan di pinggir hutan bersebelahan kebun Pak Aki.

Terdetik di hati Zafrizan akan peristiwa tengah malam tadi. Masih terngiang-ngiang di telinganya suara sayup-sayup meminta tolong. Tidak semena-mena bulu romanya berdiri tegak. Namun Zafrizan tetap tenang menyembunyikan perasaannya. Kisah malam tadi tidak ceritakan kepada sesiapa pun. Biarlah kisah itu menjadi rahsia peribadinya.

“Kasihan betul aku tengok mayat tu. Macam terseksa sangat,” ujar seorang Pak Haji yang berkunjung ke warung itu. Gigi depannya agak jarang-jarang sedikit.

“Mana Pak Haji tahu dia terseksa?” tanya kawannya yang sedang mengacau gula dalam minuman.

“Aku sendiri yang nampak keadaan mayat tu. Kulitnya melecur, berair macam terkena asid dan daging-dagingnya reput,” beritahu Pak Haji itu lagi.

“Iya? Kasihan betul dengar cerita Pak Haji ni. Mayat tu sekarang kat mana?” tanya kawannya itu dengan penuh rasa simpati.

“Dah dihantar ke hospital. Mayat tu keadaan pelik. Apalah yang dia buat kat dalam hutan tu pada waktu malam? Anak siapalah tu?” rungut Pak Haji itu.

“Dahlah tu haji. Tak usah pening-pening kepala memikirkan hal mayat tu. Ramai jugak orang luar datang ke kampung kita ni. Entah apalah yang mereka cari?” ujar kawannya.

“Yang hairannya, macam mana mayat tu boleh jadi macam tu? Apa sebenarnya terjadi?”

“Biarlah pihak polis yang siasat. Kita akan tahu nanti.”

Keempat-empat pemuda itu yang kebetulan duduk berdekatan dengan meja Pak Haji itu mula berasa panas punggung.

Ikmal menendang kaki Zafrizan tiba-tiba. Zafrizan terkejut dan habis tumpah air teh panas yang dipegang. Bulat mata Zafrizan merenung Ikmal.

“Kau ni kenapa? Sakit kaki aku tau!” marah Zafrizan sambil menarik sehelai dua tisu yang ada di atas meja dan mengelap sisa-sisa air teh yang tumpah.

“Kau tak dengar ke apa orang belakang kita ni cakap tadi?” jelas Ikmal perlahan, seolah-olah berbisik.

Tidak mahu orang yang dimaksudkan itu terdengar perbualan mereka.

“Aku dengar. Tapi bukan ada kaitan pun dengan kita. Yang kau tu gelabah semacam tu kenapa? Bukan kita penyebabnya mayat tu jadi macam tu. Kita pun tak tahu-menahu hal tu,” sahut Zafrizan.

“Yalah, kau ni kenapa? Takut ya?” sampuk Morgan, jari telunjuknya tegak menuding ke dahi Ikmal.

Ikmal mencebik. Dia menjeling Morgan kerana merendah-rendahkan egonya.

“Aku tak takutlah, bimbang aje. Kita pun akan masuk ke hutan tu jugak, takkan kau orang lupa. Manalah tahu kot-kot dalam hutan yang berusia beribu-ribu tahun tu ada makhluk misteri di dalamnya. Ada ‘monster’ yang sedang menunggu nak makan manusia atau makhluk misteri yang sifatnya suka membunuh,” sambung Ikmal mengingatkan.

Tubuhnya terasa seram sejuk. Seriau bila membayangkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku. Eee... ngeri!

“Kau ni Mal, tak habis-habis dengan imaginasi terlampau kau tu. Hello! Wake up man, this is real life and reality not fantasy like Sinbad the Sailor kau tu okey,” sahut Afzan dengan lantang.

Bulat mata Ikmal dengan tindakan kawannya yang seorang itu. Pantas Ikmal menoleh ke belakang, nasib baik dua orang tadi sudah pun keluar dari warung itu.

Afzan memang tidak suka ambil tahu dengan perkara-perkara yang melibatkan dunia mistik atau paranormal. Kadang-kadang cerita itu semua membuatkan dia panas hati kerana perkara mistik dan paranormal itu kebanyakkannya tidak masuk akal langsung. Jauh dari sifat semulajadi akal dan penjelasan logik sains.

“Eh, boleh cakap perlahan tak? Yang kau nak tinggikan suara kau tu kenapa? Aksyennya budak ni, aku cepuk karang dengan kain lap meja warung ni baru tau,” marah Ikmal.

“Dah, dah, jangan buat diri sendiri tension.Jom, kita habiskan sarapan dulu. Kerja kita ni penting dan harus dibanggakan tau. Kalau kajian kita ni berjaya dan menjadi, tentu nama kita akan harum ke seantero dunia,” jelas Morgan sambil rancak mengunyah nasi lemak daun pisang yang tersedia di warung itu.

Selepas membayar makanan, pemuda berempat itu terus bergegas ke destinasi asal. Kisah tentang mayat yang dijumpai oleh penduduk Kampung Nilam Setia dilupakan buat sementara.

SEJAK penemuan mayat di kebun Pak Aki, penduduk kampung mula berasa tidak tenteram. Mereka tidak berani keluar pada waktu malam. Selepas waktu Maghrib, pastinya semua penghuni Kampung Nilam Setia berada di dalam rumah masing-masing, tutup tingkap dan pintu.

Tidak habis-habis kisah mayat itu diceritakan. Orang-orang tua di kampung itu mula bimbang. Adakah peristiwa yang berlaku 70 tahun dulu akan berulang lagi? Tidak semua penduduk Kampung Nilam Setia yang tahu kisah ngeri yang pernah berlaku dan telah menjadi lipatan sejarah pada kampung itu.

Hanya beberapa orang tua saja yang masih ingat peristiwa itu. Yang lainnya sudah meninggal dunia atau berpindah mengikut anak masing-masing ke bandar.

Pak Aki mengurut-urut dagunya yang kasar ditumbuhi tunggul janggut yang mula memutih. Fikirannya sesak dengan cerita-cerita mayat yang dijumpai itu. Otaknya sudah menjadi tepu.

Pak Aki adalah salah seorang dari penghuni asal Kampung Nilam Setia, malah semasa kejadian ganjil dan ngeri itu berlaku dia masih muda lagi. Keadaan mayat yang dijumpai itu bagaikan sama dengan peristiwa yang pernah terjadi suatu masa dulu.

Hatinya mula berasa tidak sedap. Kawasan hutan sudah menjadi tidak selamat lagi. Susahlah kalau ‘benda’ itu mula menyerang lagi. Apa lagi yang tidak kena kali ini? Sudah hampir satu abad ‘benda’ itu tidak muncul, ingatkan sudah hilang rupa-rupanya masih wujud lagi.

Orang tua itu mengeluh. Wajahnya dihiasi dengan kerutan dahi yang menampakkan usia sebenarnya. Betapa beratnya dia sedang berfikir. Payahlah kalau macam ni, bisiknya. Hujung ibu jarinya menggaru-garu dahinya yang sedang merenik peluh-peluh halus.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.