Home Novel Fantasi Pengembaraan ke Dunia Watika
Pengembaraan ke Dunia Watika
15/9/2013 20:35:16
13,705
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Kelibat Pemuda Misteri

Pengembaraan di Dunia Watika.

BAB 1

Amani sangat gembira dan lapang sungguh fikirannya hari ini, manakan tidak peperiksaan akhir tahun untuk tingkatan satu telah pun selesai. Semua kawan-kawannya telah mengajak Amani untuk meraikan sama-sama hari ‘merdeka’ mereka di restoran makanan segera di Bandar Tasik Puteri pada hari ini.

“Jomlah Amani,” ajak kawannya Hakim agak hampa bila Amani telah membuat keputusan tidak ikut serta dengan kumpulan mereka pada hari tersebut.

“Tak apalah Hakim, aku rasa nak rehatkan minda aku kat rumah sajalah. Sepanjang minggu peperiksaan ni aku tak cukup tidur. Kau pun tahukan, aku puas bersengkang mata mengulangkaji pelajaran semata-mata untuk mendapatkan A’s untuk semua mata pelajaran aku,” jelas Amani matanya memandang Hakim tanpa berkedip.

Dengan wajah yang sungguh gembira dan beriak nakal Amani mencubit manja lengan kawannya itu, “Aku nak balas dendam sekarang ni dengan tidur sepuas-puasnya……!,” ungkap Amani untuk melempiaskan niat hatinya yang telah lama terbuku semenjak dari pagi lagi.

“Alah, Amani kalau setakat tidur, malam karang pun kau boleh balas dendam kau tu. Kau tidurlah selama mana yang kau nak, lagi pun besokkan cuti sekolah?” umpan Hakim. Kumpulan mereka tentu tak akan lengkap dan happening tanpa kehadiran Amani bersama mereka. Tentu Shin, Hazim, Monika dan Danial akan kecewa bila Amani tak turut serta. Itu sudah pastinya, hubungan persahabatan diantara mereka memang rapat dan telah terjalin sejak dari sekolah rendah lagi.

Persahabatan itu terus membawa hingga ke sekolah menengah walaupun mereka tak sama kelas lagi. Amani, Hakim, Danial dan Hazim mereka di dalam satu kelas manakala Monika berserta Shin mereka masing-masing berasingan kelas dan jurusan. Tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh bersama-sama sentiasa walaupun minat dalam pelajaran lain-lain. Yalah seperti yang selalu diungkap oleh para remaja atau sesiapa saja, ‘asalkan kepala sama saja, semua pun boleh masyuuk’.

Minda Amani memproses maklumat dan ‘umpan’ yang Hakim telah ajukan kepadanya dengan cepat sekali.

“Ha’ah lah, betul jugakan Hakim. Geligalah otak kau, tak sia-sia kau menjadi ketua kelas untuk tingkatan kita…,” puji Amani.

“Ha! Baru kau tahu penangan aku. Tengok oranglah kalau kau nak kelentong pun.” Hakim sedikit bangga dan kembang hidung bila Amani memujinya, walaupun dalam nada mengusik.

Amani dan Hakim berjalan seiringan menuju ke pintu pagar depan sekolah sambil Hakim menyanyi-nyanyi kecil lagu kegemaran remaja sekarang ini dari kumpulan Bunkface ‘Revolusi’.

“Wah! Hakim gembira nampak, almaklumlah peperiksaan dah habis. Tapi aku berani jamin kau tentu akan dapat keputusan yang cemerlang seperti biasa. Kalaulah aku ada otak bijak macam kau tak perlulah aku bersengkang mata setiap malam untuk mengulangkaji pelajaran.”

“Bukan macam tu Amani, akupun kena buat ulangkaji juga. Macam aku ni, cabarannya lagi besar. Bila kau dah selalu dapat keputusan cemerlang, kau kena kekalkan kecemerlangan kau tu. Susah sebenarnya untuk mengekalkan kedudukan yang cemerlang sebenarnya…..tension tau! Tension!,” balas Hakim sambil ketawa bila mengingatkan kembali kesusahan yang perlu dia hadapi untuk mengekalkan keputusan cemerlang dalam pelajarannya setiap tahun.

Di pintu pagar sekolah Sri Kemboja, Amani telah nampak kelibat kawan-kawannya yang lain Monika dan Danial. Agaknya mereka sudah lama menuggu, wajah Monika yang berpeluh-peluh tu tak henti-henti dilapnya dengan sapu tangan kerana menahan panas cuaca hari itu. Manakala rambutnya yang panjang sampai ke pinggang di ikatnya tocang dua. Tocang itu dihiasinya dengan reben berwarna hitam.

“Aik?, Mana yang lain?” tanya Hakim kehairanan kerana kelibat dua orang lagi ahli kumpulan mereka tak muncul.

“Hazim kena bersihkan papan hitam kelas dulu baru boleh balik. Kau tak tahu ke? Kau kan ketua kelas tu? Shin pula tengah beli air untuk kita semua. Kata Shin, tentu kita semua akan kehausan sebab cuaca hari ini luar biasa panasnya. Kau tak perasan ke?” Monika memberitahu kepada Hakim kenapa dua orang sahabat mereka tiada di situ sambil tangannya mengipas-ngipas mukanya kerana kepanasan.

“ Yelah, berbahang betul hari ni.” Hakim baru perasan dengan bahang cuaca pada hari itu. Dia berdiri di sebelah Danial yang kelihatan sedikit memerah wajahnya menahan bahang cuaca.

‘Berpeluh dah ketiak aku ni,” Danial pula menambah serentak dia duduk mencangkung, selepas puas berdiri. Dia mengibas-ngibaskan kemeja sekolahnya bagi mendapatkan angin.

“Hei! Dah sampai dah yang lain? Mana Hazim? Takkanlah tak siap lagi bersihkan papan hitam tu. Ni bersihkan ke atau buat papan hitam semula ni?” Shin melangkah dengan penuh gaya ala-ala hero dari cerita Jepun yang selalu dia ceritakan kepada kawan-kawannya. Shin adalah peminat kepada cerita anime Jepun. Apa saja tentang anime Jepun terutama sekali adiwira-adiwira dari sana seperti Kamen Rider dan Power Rangers, pastilah Shin orangnya yang akan memberikan perkembangan terkininya diikuti oleh Hakim dan Amani.

Sepuluh minit sudah berlalu, mereka menunggu Hazim di pintu pagar sekolah. Air yang dibeli oleh Shin pun hampir habis diteguk mereka berempat bergilir-gilir.

“Eh, mana Hazim ni? Biar aku pergi tengok jap. Korang tunggu sini.” Amani bergegas masuk semula ke kawasan sekolah. ‘Apalah yang dibuat dek Hazim ni, lama sungguh dia membersihkan papan hitam. Papan hitam tu taklah besar sangat, takkan dia nak bersihkan semua papan hitam yang ada di sekolah ni kut?,’ bisik hati Amani sambil tergelak kecil. Bayangan nakal dan lucu mula bermain di kepala Amani sambil dia mengatur langkah mencari Hazim.

Sampai di kelas Amani terlihat kelibat seseorang sedang memapah seorang murid dan mendudukkan murid tersebut di meja belakang kelas. ‘Eh apa dah jadi ni? Amani melajukan langkahnya dan kelibat budak tadi telah hilang dan kelihatan Hazim sedang duduk dan seperti terpukau.

“Hoi! Hazim! Hazim!” panggil Amani mengejutkan kawannya.

“Hazim, apa dah jadi kat awak ni? Awak sihat ke?” Amani menggoyang-goyangkan bahu Hazim untuk menyedarkan Hazim ke dunia realiti semula.

“Eh! Amani? Apa awak buat kat sini?” Hazim melihat sekeliling seperti orang kebingungan dan tercari-cari sesuatu.

“Cari kaulah. Apa dah jadi pada kau? Kau macam bingung je? Siapa yang papah kau tadi tu Hazim?” tanya Amani bertalu-talu. Perasaan ingin tahunya membuak-buak bagai air terjun yang melimpah di sungai.

“Entahlah, akupun tak ingat sangat,” jawab Hazim sambil tangannya menyentuh dahinya seperti ingin mengingati kembali sesuatu tapi tak boleh.

“Dah! Jomlah semua tengah tunggu kita kat pintu pagar sekolah, sampai air pun dah habis kita orang bedal,” Amani mencuit lengan Hazim yang masih kebingungan sedikit.

“Boleh jalan tak ni?” tegur Amani bila dia melihat Hazim masih di dalam keadaan tak menentu. Hazim dan Amani melangkah anak longkang di depan bilik guru sekolah mereka.  Kawan-kawan yang lain melambaikan tangan ke arah mereka bila ternampakkan kelibat mereka berdua.

Dalam hati Amani masih lagi tertanya-tanya siapakah budak lelaki yang dia nampak sedang memapah Hazim sebentar tadi? Oleh kerana Hazim sendiri pun tak ingat jadi Amani membiarkan saja perkara tu buat sementara.

Sepanjang perjalanan mereka berenam ke restauran makanan segera tersebut, mereka sentiasa bergurau dan bercerita mengenai kertas soalan peperiksaan pada hari tersebut. Hari yang terakhir. Karangan Bahasa Malaysia memang merupakan satu subjek kegemaran Amani dan Monika tetapi bukan pula bagi kawannya Danial dan Hakim. Manakala Shin dan Hazim pula biasa saja, mereka sedaya-upaya menjawab mengikut kepada tajuk yang mudah. Mereka memilih untuk duduk di meja berdekatan dengan dinding cermin, senang hati melihatkan aktiviti yang dilakukan oleh pejalan kaki di luar. Hakim dan Danial menjadi wakil mereka semua untuk membuat pesanan makanan. Yang lain-lain menunggu di meja makan.

“Cuti sekolah ni nanti kita nak buat apa ye?” Monika memulakan perbualan. Monika gadis sunti India tunggal dalam kumpulan tersebut. Namun begitu dia kelihatan seperti budak melayu kerana bapanya berbangsa cina dan ibunya berbangsa India. Monika amat sukakan subjek sains dan sedikit pendiam . Selalunya mereka pasti akan melakukan berbagai aktiviti di waktu cuti sekolah penggal akhir yang panjang ini. Seperti cuti tahun lepas mereka habiskan dengan aktiviti kem remaja ‘Summer Kem’ di Ampang. Habis saja kem tersebut yang memakan masa cuma seminggu itu, mereka melawat Taman Tema Genting Highlands dan bermalam di sana dengan ibu-bapa Danial selama tiga hari dan dua malam. Tahun ini mereka masih belum lagi merancang untuk membuat apa- apa. Amani mengeluh sedikit kerana masih belum terlintas lagi di fikirannya aktiviti yang hendak mereka lakukan bagi cuti kali ini. Amani pula seorang gadis yang bermata hitam bulat, berambut ikal paras bahunya dan berkulit putih merah. Alis matanya lebat dan lentik, merupakan seorang yang panjang akal dan bijak. Seorang anak gadis yang amat comel dan menarik, lincah orangnya.

“Apa kata kita pergi melawat Zoo Negara beramai-ramai nak? Kali ni kita pergi tanpa diiringi oleh ibu-bapa kita boleh?” Hazim memberikan cadangannya. Hazim berambut sedikit kerinting dan perang, berkulit putih kuning dan bermata sedikit sepet, manakala anak matanya pula berwarna coklat cair. Wajahnya kacak seperti pelakon Korea senyumannya manis dan bijak berkata-kata.

Setelah sepuluh minit menunggu, akhirnya makanan mereka sampai di bawa oleh Hakim dan Danial. Hakim seorang yang berbadan tinggi dan tegap. Berambut hitam lebat dan berkulit sawo matang. Seorang yang bijak dan suka mereka cipta dan melukis. Perwatakannya matang dan selaku ketua bagi kumpulan mereka berenam ini. Danial memberikan makanan masing-masing dan duduk di sebelah Hazim sambil menghisap air milo aisnya dengan laju sekali. Danial seorang budak yang kurus dan tinggi. Berbulu mata melentik dan bermata bulat, berkulit putih dan hidungnya mancung kecil. Seorang yang cergas, berlari laju dan suka bersukan. Dia juga seorang yang pandai berkata-kata dan panjang akal. Danial selalu menggantikan Hakim selaku ketua bila Hakim tidak hadir di kalangan mereka. Manakala Shin pula jejaka cina yang kacak seperti pelakon Hong Kong Eddison Chang. Bertubuh tinggi tapi tidak kurus, bermata kecil dan berhidung mancung. Seorang yang bijak, suka membaca dan bersukan. Mereka berenam selalu menghabiskan masa bersama dan melakukan setiap aktiviti yang menarik bersama-sama juga.

“Kawan-kawan, cuti ni nanti kita semua nak buat aktiviti apa?” Danial mula mengajukan pertanyaan yang sama dengan Monika sebentar tadi. Mulutnya mula mengunyah burger ayamnya dengan laju.

“Saya dah tanyakan soalan tu tadi, tapi masih belum dapat idealah..,” Monika mencelah dan memandang kepada semua kawan-kawannya. Matanya memandang kepada Hazim yang sedang memegang air milonya, tersenyum.

“Kalau susah-susah, belum dapat idea lagi. Jomlah datang ke rumah aku. Kita menonton cd terbaru Kamen Rider Zero...,” ajak Shin selamba. “Tak pun marilah kita membaca buku baru saya mengenai Ikhtiar Hidup di Hutan Amazon dan Ikhtiar Hidup di Pulau Terpencil pasti berguna nanti maklumat yang di berikan,” jelas Shin lagi.

“Hei! Hazim yang kau ni asyik tersenyum saja, kenapa?” Monika menegur sambil matanya menilik dan membelek Hazim dari atas ke bawah untuk mencari punca yang membuatkan Hazim tersenyum. Namun tidak diketemukan.

“Monika...macamlah kau baru kenal semalam dengan Hazim ni. Kan dia memang suka tersenyum. Mesti dia sudah ada idea tapi tunggu kita semua tanyakan pada dia barulah dia nak cakap,” Amani mencebikkan bibirnya sedikit bengang dengan Hazim yang kadang-kadang suka berahsia dengannya. Masih lagi terbayangkan pemuda misteri yang memapah Hazim, Amani masih tak dapat nak lupakan pemuda tersebut. Siapa dia ye? Pelajar sekolah mereka atau orang luar? Amani tak perasankan pakaian pemuda itu. Kalau orang luar, macamana dia boleh memasuki kawasan sekolah? Banyak persoalan di benak Amani yang dia tak menjumpai jawapannya. Nak tanya kepada Hazim, dia sendiripun macam tak sedar saja apa yang telah berlaku kepada dirinya ketika itu. Fikiran Amani ligat memikirkan tentang pemuda itu masih dia tak senang hati selagi belum lagi terjawab akan misteri ini. Di luar sedar dahi Amani berkerut seribu dan tangannya menyentuh bibirnya yang mungel itu. Keadaan begitu, memang situasi biasa bila Amani mula menggunakan akalnya ke tahap maksimum. Kawan-kawan yang lain semua terdiam dan memerhatikan gelagat Amani.

“Hei! Amani takanlah begitu serius sekali awak berfikir untuk aktiviti kita kali ini. Sampaikan berkerut seribu wajah awak tu!” Hakim menegur dan yang lain tersenyum.

“Jangan begitu Amani nanti lekas tua tau!” usik Danial pula diiringi dengan ketawa kawan-kawan yang lain. Monika mengajuk dengan menyepetkan matanya ke arah Amani.

“Hish! Mana ada!” Amani agak terkejut kerana tingkah-lakunya telah diperhatikan oleh kawan-kawan yang lain. Tanpa dia sedari. Amani tersenyum sipu-sipu sambil membetulkan duduknya.

“Apa kata kita pergi ke perpustakaan yang terletak bersebelahan dengan stesen keretapi lama Kuala Lumpur?” Danial memberikan cadangannya.

“Nak tak. Apa pendapat kau Hakim?” sambungnya sambil menoleh ke arah Hakim yang duduk di sebelahnya.

“Boleh juga. Memandangkan kita masih belum ada rancangan yang tertentu lagi,” Hakim memandang kepada semua kawannya. Yang lain hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju.

“Alah! Apa kecoh-kecoh ni, kita masih ada lagi masa seminggu untuk bersekolah. Masih ada lagi waktu untuk memikirkan aktiviti yang kita nak buat,” celah Shin selamba sambil mengumpil penutup minumannya.

Amani dan lain-lain hanya menganggukkan kepala mereka. Fikiran masing-masing menerawang sudah entah ke mana. Banyak imaginasi yang mereka bayangkan untuk diisikan sewaktu cuti sekolah. Bagaimana kalau kita hanya bermalas-malasan menghabiskan masa dengan berkelah dan membaca novel di rumah saja. Tetapi cadangan itu hanya tersemat di minda Amani saja. Kawan-kawan yang lain sudah bersedia untuk pulang ke rumah. Masing-masing mangangkat bag dan melangkah keluar dari restauran itu.

Semasa melangkah kaki keluar restauran, Amani terasa seperti ada seseorang sedang merenung ke arah kumpulan mereka. Amani menoleh ke arah tersebut, tetapi tiada sesiapa di situ. Matanya masih meliar melihat-lihat sekeliling, takut-takut sekiranya pemuda tadi ada mengekori mereka. Namun, tiada sesiapa pun....

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.