Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 21

Hari itu hari Jumaat. Hari yang sepatutnya bersejarah dalam hidup Layla. Tapi sebenarnya satu hari yang Layla anggap malang dalam hidupnya. Hari itulah Layla akan diijabkabulkan dengan seseorang yang dia benci. Seseorang yang jelas tidak suka langsung pada Layla dan Layla juga tidak suka. Sejak kedatangan Tok Zauyah dua minggu lepas dan Faris kemudiannya sudah banyak kali Layla berendam air mata. Dan pada hari-hari menjelangnya pernikahan itu Layla selalu menangis di tengah malam. Tapi hari itu air matanya telahpun kering. Layla jadi macam orang tiada jiwa tiada perasaan lagi. Dan ketika ibu menyuruh Layla memakai baju kebaya chiffon berwarna putih bersulam renda Perancis hadiah Tok Zauyah, Layla turutkan sahaja. Wajahnya kaku tanpa ada sekelumit perasaan. Menangis pun tidak ketawa pun tidak sehingga ditegur oleh Mak Andam yang ibunya upah supaya Layla senyum bila mereka mengusik. Layla seolah berada di dunia lain. Dan Layla berharap Layla yang tengah disolek itu adalah orang lain. Bukan dirinya dan hidup dalam dunia lain.

Tudung yang bergemerlapan dari jenis kain yang sama disarung ke kepala dengan tiara sekali. Mak Andam mencuit dagunya sehingga Layla sedikit tersentak.

   “ Berseri sungguh awakni. Jelita betul anak Mak Mah ni. Patutla kena pinang cepat” usik Mak Andam separuh usia itu. Layla dengar mereka yang dibiliknya itu turut ketawa. Layla hanya tersenyum hambar. Tiada siapa faham perasaan Layla. Mereka sangka Layla bertuah dipinang anak jutawan.

   “ Janganlah masam sangat Layla. Kau ni macam nak kena hukum bunuh je. Senyum sikit” bisik Asha kepada Layla. Layla cuba memaniskan muka. Tapi, dengan hati bergejolak seperti itu bukannya mudah untuk Layla tersenyum girang.

  “ Sabar dik, akak doakan semoga ini semua berakhir dengan sesuatu yang baik” ujar Kak Nura begitu mengerti perasaannya. Kedua beradik itu berpelukan seketika. Nura mencium pipinya. Mata Layla bergenang air mata tapi segera diseka.

Sebelum ke masjid di mana akad nikahnya akan berlangsung Layla bersalaman dengan ayah dan ibu. Hampir sahaja airmata nya mengalir lagi tapi ibu mengeleng.

   “ Jangan nangis nanti rosak make up Layla, tak cantik “ Ibu mengingatkan. “ Nasihat ibu, bersangka baiklah dengan rancangan Allah ni nak. Mungkin ada hikmahnya” nasihat ibu. Ayah mencium dahinya.

   “ Jadilah isteri solehah, Layla. Ayah doakan kau kekal dengan Faris sehingga ke akhir hayat”. Air mata Layla ingin tumpah lagi tapi segera dia tahan. Layla tak mahu memalukan ayah dan ibunya. Layla tak mahu orang kampung tahu yang Layla sebenarnya dipaksa berkahwin dan bukanlah atas sebab kerelaannya. Biarlah hari itu dia gembirakan hati ayah dan ibunya.

Walaupun hatinya gundah gulana, pernikahan Faris dan Layla di masjid kampung itu berjalan lancar. Faris Nabhan Omar yang memakai baju Melayu warna putih bersulam perak siap bertanjak melafazkan akad nikahnya dengannya sekali lafaz. Dia tampak kacak dan segak. Beberapa wanita melihatnya dengan rasa cemburu, berbisik-bisik. Cemburu yang Faris Nabhan Omar memilih Layla untuk jadi suri hidupnya dan bukan mereka. Betapa mereka sanggup buat apa saja untuk berada di tempatnya. Jadi isteri kepada anak seorang hartawan. Orang terkenal. Sedangkan mereka tidak tahu Layla sanggup buat apa sahaja untuk tidak berada di situ dan dinikahkan hari itu. Malahan masjid itu meriah lebih dari biasa. Ada stesen tv yang datang merakam perkahwinan itu terutama bila Faris melafaz akad memegang tangan ayahnya.    

Betapa Layla mahu ketawa. Kalaulah mereka tahu ini adalah sandiwara terbaik dari Layla dan Faris Nabhan Omar. Baru Layla tahu nama penuh Faris. Faris Nabhan Omar. Bunyinya begitu asing. Bila Faris melafaz nikah dengan sekali nafas Layla lihat Tok Zauyah gembira benar. Tan Sri Omar juga nampak gembira. Nampak bangga memandang anaknya. Faris mendapatkan bapa Layla untuk bersalaman, kemudian Mak Mah dan Tuk Zauyah.

 Seorang gadis tanpa segan silu memeluk Faris manakala seorang pemuda menepuk-nepuk bahunya. Pemuda itu berkata sesuatu menyebabkan Faris memandang Layla seketika. Seolah mendapatkan reaksinya. Layla segera menundukkan kepala. Hatinya terasa begitu sedih tapi ditahan. Ada air mata yang macam mahu menitis tapi segera dia seka. Dia tak mahu Faris dan semua di situ melihat dia menangis. Dia tidak mahu Faris nampak dia lemah.

Kemudian Tuk Zauyah menyuakan dulang cincin kepada Faris. Faris, Tuk Zauyah dan beberapa orang datang ke tempat Layla duduk bersimpuh. Entah siapa yang memegang tangannya dan menghulurkannya supaya Faris dapat menyarungkan cincin. Ibu menyuruh Layla mencium tangan Faris yang rasa hangat di jejarinya yang sejuk dan berpeluh. Faris cepat-cepat menarik tangannya. Seolah macam terkena kejutan elektrik. Layla terasa kecil hati. Muka Layla terasa merah. Hina benarkah dia? Layla mengangkat muka. Seorang gadis berselendang putih memandangnya tajam dengan sedikit senyuman puas. Siapakah dia? 

Tiba-tiba mereka diminta bergambar pula oleh satu stesen tv dan beberapa kenalan. Pada mulanya Layla agak kekok. Tapi Faris yang tiba-tiba datang merangkul pinggangnya dan memeluk dari belakang berbisik sambil pura-pura tersenyum.

“ Senyum sikit. Tak kan awak nak semua tahu kita ni kawin paksa. Saya perlukan awak untuk make this work. So senyum” paksanya menguatkan rangkulannya tiba-tiba sehingga Layla rasa seperti tidak boleh bernafas. Nak tak nak Layla terpaksa akur untuk “berlakon” dengannya. Bergetar juga hati wanita nya kerana semasa berlakon itu Faris seolah macam seorang suami yang akhirnya dapat mengahwini wanita pujaannya. Selamba sahaja dia memeluk dan mencium pipinya sewaktu berposing itu. Macam-macam shot yang ada dan semuanya romantik seolah-olah macam betul-betul sahaja mereka pasangan pengantin yang bahagia. Layla tak pasti Faris terpaksa atau saja mengambil kesempatan.

Selepas jurugambar dapat apa yang mereka hajatkan Faris kembali menjadi dirinya semula. “ Thanks for the good show” ujarnya berbisik pada Layla agak kasar dan tanpa perasaan. Layla sedikit terpempan. Kemudian dia melangkah ke kereta Audinya yang dipandu oleh seorang rakannya. Layla lihat wanita tadi ada di situ. Mereka naik kereta itu bersama meninggalkan Layla yang sedikit tercengang.

“ Alah, tak ke mana lah pakwe awaktu. Esok dia datanglah” usik seorang makcik yang melihat insiden itu. Macamlah apa...getus hatinya. Sebenarnya, Layla lega apabila melihat Faris pulang petang itu dan hanya akan datang keesokkan harinya untuk kenduri serta majlis persandingan di rumah nya esok. Jadi malam itu Layla masih lagi boleh bersendirian dalam bilik pengantin. Tambahan pula ada majlis berinai yang hanya dihadiri oleh orang perempuan sahaja.

Layla sekali lagi bersalin pakaian pengantin malam itu sedangkan penat selepas nikah belum habis lagi. Kali ini Layla disandingkan seorang diri di atas pelamin. Dan masa itu berdesup-desup bunyi kamera digital masing-masing mengambil gambar. Asha, Kak Nura, ibu, ayah dan saudara mara tak lepaskan peluang bergambar dengannya. Riangnya mereka. Sedangkan Layla sedikitpun tidak rasa gembira. Namun demi mereka Layla lontarkan senyuman yang sebenarnya langsung tidak ikhlas dia berikan. Penat rasa otot pipinya tersenyum.

Majlis perkahwinan memang memenatkan tapi malam itu apabila Layla baring di katil pengantin yang dihias cantik itu Layla tidak boleh melelapkan mata. Entah apalah masa depannya. Air mata jatuh lagi. Laylalah pengantin yang paling malang. Bukan begini Layla bayangkan dan angankan perkahwinannya. Layla sepatutnya bahagia. Tapi nampaknya nasibnya tidak mengizinkan untuk berkahwin dengan orang yang dia cintai.

Dulu, Layla selalu bayangkan perkahwinan yang romantik. Yang Layla akan berjumpa dengan pasangan yang sesuai sewaktu belajar. Bercinta di Universiti mungkin. Berkahwin selepas masing-masing sudahpun berjaya. Bukan itukah yang selalu dihadapi oleh orang lain. Ini tidak, dalam usia 18 tahun Layla sudahpun menjadi isteri orang. Belajar pun tidak. Kawin pula dengan orang yang tidak dicintai dan dikenali. Memang malang sungguh. Masa depan nya di rasakan gelap tiba-tiba. Terutama bila mengingatkan selepas ini dia akan berada di sisi Faris tanpa ada apa-apa jaminan. Sedar bahawa hidupnya akan dipersia-siakan nanti kerana Faris memang tidak sukakan Layla dan perasaan itu juga yang dia rasakan terhadap Faris. Hanya benci untuknya.

Akhirnya Layla terlelap jua. Esoknya sewaktu solat subuh Layla berdoa panjang. Berdoa supaya semuanya berjalan dengan baik. Dan kalau ini jodohnya. Layla pasrah biarpun tiada cinta antara mereka. Dan Layla berharap juga supaya satu hari nanti Faris akan lepaskan Layla juga supaya Layla dapat mengejar cita-cita nya melanjutkan pelajaran di menara gading seperti kakak dan abangnya.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.