Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 52

Majlis harijadi Tan Sri memang meriah. Semua orang yang kenal rapat dengan Tan Sri dan Tok Zauyah dijemput untuk datang pada hari itu. Termasuklah rakan-rakan Faris, Nabila dan Wafiq. Majlis dibuat bersebelahan tempat lapang di swimming pool mahligai itu. Sejak semalam lagi kawasan itu dihias cantik dengan khemah-khemah dan meja-meja untuk tetamu. Sebuah band juga telah dijemput untuk memeriahkan majlis.

Majlis yang meriah itu bermula pada pukul 8.30 malam. Sambil menunggu tetamu, band itu memainkan lagu-lagu kegemaran Tan Sri yang berada di generasi ‘baby boomers’. Maka lagu-lagunya juga berentak senada dengan generasi Tan Sri. Kebanyakkannya lagu Elvis Presley. Ramai juga yang hadir memenuhi ruang tersebut. Masing-masing datang dengan bermacam-macam gaya mengikut citarasa masing-masing. Majlis pula majlis separa formal dan kasual.

Layla sejak tadi telahpun bersiap. Malam itu dia memakai dress potongan ala princess berwarna ungu gelap bersequin dan mempunyai corak detail di pergelangan tangan. Tudungnya pula jenis kain chiffon korea dwiwarna hitam dan ungu. Sesuai dengan menjadi satu-satunya menantu di situ, dia membantu Tok Zauyah dan Mak Neng dalam memastikan semuanya berjalan lancar. Memanglah semuanya diuruskan oleh catering dan event organizer tetapi dari segi menyambut tetamu dan cenderahati Layla turut sama membantu.

Rakan-rakan Faris juga ramai yang datang meraikan Tan Sri. Boleh tahan juga rakan-rakan Faris itu. Patutlah Faris bersungguh supaya dia menukar imej tempohari kalau tidak memanglah malu dia kalau isterinya asyik berbaju kurung lusuh sahaja. Masing-masing kelihatan sofistikated dan hebat sebab mereka datang dari golongan elit. Cream of the cream of society.

Faris pula lebih banyak menghabiskan masa melayan tetamu yang berkunjung begitu juga Tok Zauyah. Waktu itu juga Layla diperkenalkan dengan saudara mara sebelah Tok Zauyah. Ada yang datang dari jauh semata-mata untuk meraikan Tan Sri.

Layla melirik pada Faris yang memakai baju kemeja dari jenis kain linen berwarna kuning air di sebuah meja berdekatannya. Dia sedang berbual-bual dengan seorang lelaki berketurunan Cina, seorang lelaki Melayu yang asyik memerhatikannya dan seorang wanita yang Layla rasa pernah datang semasa majlis pernikahannya dahulu. Wanita itu juga asyik memerhatikannya. Layla pasti itulah rakan-rakan baik Faris.

Sejak peristiwa pertemuan dengan Ariel di One Utama, Faris lebih banyak berdiam diri dengannya. Balik-balik saja hari itu Faris mengamuk. Layla pun bila begitu tak mahu cari nahas kena marah pula dengan Faris jadi tidaklah dia bercakap apa-apa. Dia biarkan sahaja Faris cool sendiri. Selama beberapa hari itu dia biarkan sahaja keadaan itu. Dia tahu marah Faris itu akan reda sendiri dan semua balik normal. 

Sebenarnya balik dari One Utama itu dia terfikir kembali kata-kata Faris yang Faris hanya mahukan dia sahaja dalam hidupnya. Thrill juga bila Faris berkata begitu. Tapi benarkah apa yang Faris rasakan terhadapnya? Hanya mahukan dia sahaja? Seriusnya susah Layla mahu percaya. Dia sebenarnya tidak kenal Faris langsung jadi bagaimana hendak dia mempercayai? Kata-kata Ariel juga sering menghantuinya. Selamatkah untuk dia meletakkan hatinya pada Faris? Tak kecewakah dia nanti? Persoalan itulah menyebabkan Layla masih menjaga hatinya dari jatuh hati pada Faris.

     “ Layla, Faris panggil tu…” ujar Tok Zauyah yang berada di situ. Mereka sama-sama mengisi cenderahati dalam satu bekas cantik sementara menanti semua tetamu datang, Layla saja membantu Mak Neng dan penolongnya. Lagipun Layla bosan kerana tiada apa sangat yang dia dapat lakukan untuk majlis itu. Semua telah diuruskan oleh catering dan event organizer.

Layla mengangkat kepala melihat Faris yang memandangnya sambil mengisyaratkan gadis itu ke sisinya. Matanya tajam melihat Layla. Serta-merta Layla berjalan ke arah Faris yang masih lagi dengan mereka yang bertiga tadi. Mata Faris tidak lepas dari wajah isterinya itu. Cantiknya isterinya itu malam itu. Terserlah dari semua wanita yang ada dalam majlis. Tiba-tiba hatinya terasa pedih mengingat peristiwa semalam. Teringat kata isterinya itu. Bukan mudah untuk dia terima kata-kata gadis itu semalam. Terasa seperti kena reject. Untuk orang seperti Faris sungguh sakit egonya bila ada penolakan begitu. 

Tambahan lagi, dia telah pun mengisytiharkan semalam yang dia hanya mahukan Layla. Bagaimana dia boleh terlepas kata?. Sedangkan gadis itu tidak berkata apa-apa pun sama ada dia juga berperasaan seperti itu. Ah! Dia sebenarnya termalu kerana jelas Layla tiada perasaan sepertinya. Bayangkan Layla mahu berkongsi dia dengan tiga wanita lain!. Sedangkan dia hanya mahu satu Layla. Sikit pun gadis itu tidak ada perasaan cemburu. Sedangkan orang kata cemburu tanda sayang!

Layla menegur rakan-rakan Faris. Desmond dan Tunku Shahri. Mereka hanya tersenyum mengatakan hai sahaja. Mereka tahu nanti kalau lebih-lebih marah pula Faris. Terutamanya Desmond, dia sudahpun pernah merasa penumbuk Faris sebelum ni. Tak sanggup dia bergaduh lagi dengan Faris yang memang sensitif dengan bila sesuatu itu berkait dengan Layla.

    “ You nampak cantik Layla “ ujar Tunku Safinas yang berada di situ. Dia memandang Layla ke atas ke bawah.

     “ Terima kasih. You pun cantik juga. Saya suka baju awak.” Ujar Layla ikhlas dan ramah melirik pada dress ekslusif Tunku Safinas. Dia memang teruja melihat baju yang cantik sebegitu. Faris serta merta memegang lengan Layla.

      “ Oh, thank you!” balas Tunku Safinas berbasa-basi sahaja. Sudah tentu dia tidak maksudkan pujiannya pada Layla tadi kerana pada saat itu dia sangat cemburu melihat gadis itu bersama Faris. Tangan Faris pada lengan gadis itu begitu posesif sekali nampaknya. Hatinya pedih. Bilakah Faris akan jadi miliknya? Dia yang selalu berada di sisi Faris? Tapi sekarang entah siapa-siapa yang mengisi ruang hati Faris.

     “ Layla, saya nak kenalkan awak pada kawan-kawan saya yang tak sempat datang masa wedding kita dulu” ujar Faris pada Layla sambil matanya melihat ke arah beberapa pasangan yang baru melewati ruang masuk majlis itu. Layla mengangguk. Mereka pun berjalan kea rah rakan-rakan yang Faris katakan itu.

      “ Hai Layla, how are you?” kata seorang wanita, isteri kepada salah seorang rakan Faris. Mereka bersalaman dan Layla tersenyum ramah lantas mengatakan.

       “ Alhamdulillah, saya sihat “ jawabnya kemudian bertanya khabar pula pada wanita itu.

Kemudian dia diperkenalkan pula kepada beberapa tetamu yang hadir. Selama beberapa minit Layla menunggu di situ, turut sama menyambut tetamu yang hadir bersama Faris di sebelahnya. Selepas semua hadir mereka berdua kembali ke meja yang sama dengan Desmond, Tunku Safinas dan Tunku Shahri.

Majlis bermula dengan doa dan kemudian Faris bangun memberikan satu ucapan pendek mengalu-alukan kedatangan tetamu yang meraikan bapanya kemudian bercerita sedikit mengenai bapanya. Ada juga anekdot yang mencuit hati menyebabkan semua hadirin ketawa. Layla tersenyum kagum. Pandai juga Faris berucap di hadapan dengan santai sekali. Gayanya memikat hadirin yang datang.

Selepas itu Tan Sri pula ke depan bercakap tentang harijadinya dan juga kesudiaan mereka semua datang ke majlis itu. Dia juga mengumumkan pemergiaan Layla dan Faris ke Boston kepada para hadirin.

Kemudian sebuah kek besar berlilin menyala entah berapa batang dibawa keluar. Tan Sri diminta untuk memotong kek selepas semua hadirin bangun menyanyikan lagu selamat hari lahir. Selepas itu kek diagihkan dan makan malam diteruskan dengan persembahan. Tan Sri yang memulakan nyanyian dengan menyanyi lagu evergreen berentak perlahan bertajuk “ Only You.” yang pernah dinyanyikan oleh Elvis Presley. Entah pada siapa dia menujukan lagu itu tapi Tan Sri menyanyi dengan penuh perasaan sekali. Mungkin untuk arwah isterinya, Sophie.

Kemudian Tan Sri duduk di meja VIP bersama-sama dengan kerabat dan rakan-rakannya. Hadirin mula disajikan dengan makan malam. Sambil makan, band tersebut memainkan musik. Ada yang rancak ada yang perlahan. Bila band tersebut mula memainkan lagu berentak perlahan bertajuk “ I will always love you” lagu Whitney Houston yang sesuai untuk menari, beberapa pasangan mula bangkit untuk menari. Faris bangun lantas menarik Layla di sebelahnya. Layla tersentak. Hah! Kenapa pulak?

      “ Jom kita menari” ajaknya. Aduhai! Menarilah pulak. Layla melihat sekeliling. Dia terasa malu. Seumur hidupnya dia hanya menari di Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah sahaja. Itupun semasa di sekolah rendah. Tarian Inang pula tu.

      “ Tapi saya tak pandai menari” Layla bagi alasan. Faris tersenyum. Namun dia tarik juga Layla di ruang kosong berdekatan dengan band itu. Layla rasa wajahnya yang hangat. Dulu kalau nak menari di sekolah, berbulan praktis. Ini pula menari spontan. Terasa macam ada banyak kupu-kupu dalam perut. Kalau dia jatuh macamana? Malu semua orang tengok. Kemudian menari bersama Faris pula!

       “ Ikut saya.” Bisik Faris ke telinganya lantas menyatukan tangan kanannya dengan tangan kiri Layla. Tangan kanan Layla pula diletakkan di bahunya manakala tangan kirinya menyauk pinggang Layla sehingga betul rapat dengan dirinya. Kemudian kakinya berhayun ke kiri dan ke kanan mengikut rentak musik. Perlahan pada mulanya supaya Layla boleh mengikutnya. “ Ikut” arahnya sambil berbisik lagi. Layla pun mengikut rentak badan Faris walaupun pada mulanya agak kekok hampir terpijak kaki Faris, tetapi lama kelamaan tarian mereka menjadi seirama mengikut alunan tempo music dari band itu. Ada masa bila dia tersalah stepFaris mengangkat tubuhnya yang kecil itu sedikit supaya kakinya tidak terpijak kaki Faris. Layla tersenyum menghargai apa yang Faris lakukan. Kalau tidak malu juga dia.

       “ Relax, and trust me” bisik Faris ke telinganya. Layla mengangguk. Dan badan mereka berhayun lagi mengikut tempo musik “I always love you” itu.

Pada waktu itu bila mereka menari berdua, terasa seperti mereka berada di dunia mereka sendiri hanya ada Faris dan Layla sahaja. Dunia terasa berhenti berputar. Berhenti untuk mereka sahaja. Sesungguhnya, Layla terasa begitu selamat apabila berada dekat dengan Faris begitu. Faris pula terasa tenteramnya jiwanya bila memeluk Layla begitu dalam sebuah alunan musik. Satu perasaan yang tidak dapat dimengertikan oleh mereka berdua. Kalau boleh mereka mahu tetap begitu sahaja. Namun lagu itu berhenti juga dan membawa mereka kembali semula ke realiti.

Sebenarnya hadirin juga dapat melihat kesesuaian pasangan suami isteri itu menari bersama menyebabkan mereka bertepuk tangan ke arah pasangan itu apabila musik berhenti. Merah muka Layla. Rupa-rupanya mereka jadi perhatian pula sedangkan ada ramai juga pasangan suami isteri yang menari seperti mereka tadi. Faris hanya tersenyum sambil membetulkan bajunya kemudian memegang tangan Layla dan membawa Layla kembali ke meja makan.

Sakit hati Tunku Safinas melihatkan kemesraan Faris dan Layla. Hatinya dibalut rasa cemburu yang amat sangat. Terasa mahu lari saja dari tempat itu. Tapi dia tetap tegar di situ. Melihatkan lelaki yang dia cintai bersama isterinya. Menari tadi dengan begitu asyik sekali.

       “ Boleh jadi couple of the year lah you all berdua ni.” Dia memuji apabila Layla duduk di sebelahnya bersama Faris. Faris tersengeh bangga. Layla hanya tersenyum tidak berkata apa-apa. Dia masih tidak percaya dengan apa yang berlaku tadi. Dia dan Faris telah menari bersama dengan begitu rapat sekali. Dia rasa dia perlukan masa untuk tenangkan diri.

Majlis diteruskan sehingga ke pukul 11.00 malam. Kemudian satu-satu tetamu meninggalkan majlis. Setiap mereka diberikan cenderahati sebelum pulang. Persekitaran yang tadi agak riuh kini reda apabila semua tetamu pulang ke rumah masing-masing selepas majlis itu.

Tok Zauyah meminta supaya ahli keluarga berkumpul untuk menyaksikan Tan Sri membuka hadiah.. Tan Sri Omar baru sahaja habis membuka semua hadiah yang dia terima dari teman dan keluarga. Macam-macam yang dia dapat. Waktu itulah Faris memberikan ayahnyanya hadiah Layla dan dia.

       “ Ayah, ini dari saya dan Layla. Khas untuk ayah.” Faris memberikan satu kotak tertera jenama Royal Selangor. Tan Sri Omar menyambut hadiah tersebut.

      “ Terima kasih Layla dan Faris. Oh bagus untuk meja ayah ni.” Ujar Tan Sri bila membuka balutan hadiah itu dan mengeluarkan desk organizer dari pewter itu.

      “ Kami harap ayah suka” ujar Layla melirik pada Faris yang tersenyum.

       “ Lebih dari suka. Ha, ada tulis pula ‘the best dad in the world, from Faris and Layla with love’!” baca Tan Sri sewaktu melihat hadiah itu. Tan Sri ketawa suka lantas memeluk Faris dan Layla. Ada air mata bertakung di matanya. Tok Zauyah yang juga berada di situ gembira melihat hadiah tersebut.

      “ Cantik hadiah ni, Layla dan Faris.” Puji Tok Zauyah. Turut terharu.

      “ Thanks Tok” balas Faris. Matanya melirik kepada Layla sambil tersenyum pada gadis itu. Layla pun tersenyum.

     “ Ayah bangga dengan kamu berdua. Ayah harap kamu berdua bahagia sehingga ke syurga!” doa lelaki itu. Faris dan Layla terharu.

     “ Terima kasih atas doa ayah. Kami pun sayangkan ayah. “ ujar Faris ikhlas lalu memeluk bapanya erat-erat. Kemudian dia memeluk Layla sekali. Layla ikutkan saja. Betapa seronok dan puas hati Faris melihat air muka ayahnya apabila menerima hadiah itu. Betul kata Layla hadiah personal seperti itu lebih bermakna!

Previous: Bab 51
Next: Bab 53

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.