Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 37

Selepas peristiwa itu Faris makin possesif dengan Layla. Layla tidak dibenarkan ke mana-mana tanpa pengetahuannya. Dia mula curiga dengan tindak tanduk gadis itu walaupun dia pasti Rafi tidak akan mengganggu lagi setelah diugut. Mengikut orang upahannya, Rafi telahpun pulang ke kampungnya di Johor. Dia lega tapi dia tahu akan ada lagi yang seperti Rafi sekiranya gadis itu dibenarkan keluar.

 Layla pula masih sedih dengan peristiwa tempohari di mana telefonnya hancur berkecai. Memanglah telefonnya bukan semahal Samsung atau iPhone malahan jenama biasa-biasa sahaja tetapi itulah satu-satunya alat untuk dia berhubung dengan keluarga dan rakan-rakannya. Tanpa telefon itu dia akan mati kutu dalam mahligai itu. 

Sekurang-kurangnya kalau dia ada telefon boleh juga dia berbual dengan ibu bapanya ataupun dengan Asha dan yang penting sekali dapat bercakap dengan Rafi. Dia mahu meminta maaf kerana tidak menjawab mesej lelaki itu tempohari dan seterusnya tidak dapat berjumpa hari itu. Hairan dia kenapa Faris marah sangat dan bertindak demikian. Kalau betul dia mahu Layla menjadi isteri kenapa dia tidak melayan Layla sebaiknya? Tetapi bila dia baik dengan orang lain, lelaki itu marah pula? Dia benar-benar keliru. Apa yang lelaki itu mahu darinya?

Sejak hari itu Layla lebih banyak diam malahan tidak bercakap langsung dengan Faris. Dia memang terasa sungguh dengan tindakan Faris yang melampau itu. Faris pula membiarkan sahaja. Dia juga seolah-olah cuba untuk tidak mengendahkan gadis itu. Setelah tiada telefon, tiada Rafi sudah tentu dia tak perlu risau apa-apa cuma dia perlu memantau sekiranya Layla keluar ke mana-mana. 

Tambahan pula gadis itu sudah pandai memandu sekarang. Tan Sri Omar pula begitu mempercayai Layla sehingga memberikan gadis itu kunci kereta Mini Coopernya. Melihatkan itu Faris serta merta pasang strategi. Di rumah itu Mak Neng telah diarahkan untuk merepot padanya setiap hari aktiviti Layla. Satupun dia tidak mahu Mak Neng tertinggal. Mak Neng pula yang suka bercerita seronok saja melaporkan aktiviti gadis itu. Menurut Mak Neng, kadang-kadang Layla memandu untuk Tok Zauyah menghantar orang tua itu ke masjid dan pasar. Ada juga rasa kurang senangnya mendengarkan itu. Entah siapa pula gadis itu jumpa di masjid dan pasar nanti. Dia mula sedar tarikan Layla. Tetapi takkanlah Faris mahu menyimpan sahaja gadis itu di rumah. Apa pula kata semua orang tentang sikapnya yang possesif itu. Sudah tentu Tok Zauyah dan bapanya tidak setuju.

Setiap petang sekembalinya dari kerja dia akan datang berbual dengan Mak Neng tanpa pengetahuan sesiapa di dapur kedua rumah itu. Dia memang mesra dengan Mak Neng yang telah bertahun-tahun bekerja dengan keluarganya. Selalu dia duduk di meja makan di situ sambil berbual dengan Mak Neng sambil minum-minum kopi kegemarannya yang dibuat oleh Mak Neng ataupun dari mesin kopi automatik buatan Itali yang ada di situ. Sejak dia belasan tahun lagi. Bila ibunya meninggal dunia, Mak Neng adalah tempat kedua dia menumpang kasih selepas neneknya Tok Zauyah. Macam-macam cerita keluar dari Mak Neng yang agak riuh. Terutamanya tentang Layla sehingga Faris terpaksa meminta Mak Neng jangan bercakap kuat-kuat sangat supaya tiada siapa termasuk Layla dapat mendengar perbualan mereka.

     “ Ni Mak Neng nak bagi tahu seminggu dua ni Layla nampak sedih saja. Tak banyak bercakap dan ketawa macam selalu. Makan pun macam tak lalu. Faris ada marah dia ke? Kesian kat dia Faris. Dahlah ibu bapanya jauh. Mesti dia sedih.” Ujar Mak Neng.

     “ Ye ke Mak Neng?” tanya Faris di celah hirupan kopinya.

     “ Betul Faris, asyik temenung aje di kolam ikan tu. Sebelumni kalau datang tolong Mak Neng dan Tok kamu masak selalu dia ceria berbual dan bercerita tapi sekarang cakap sepatah-sepatah. Risau Mak Neng. Manalah tahu dia sakit ke. Faris kan suami dia, eloklah Faris tanya-tanya dia kot lah ada yang buat dia sedih.”

     “ Hmm…nantilah Faris tanyakan. Alah, Mak Neng bukan tak tahu perempuan ni kadang-kadang ada masa dia tak stabil emosi.” Faris tahu sangat kerana kadang-kadang teman-teman wanitanya yang lepas-lepas selalu emosional bila datang masa “istimewa” mereka setiap bulan.

     “ Tapi takkan lah sampai 2 minggu Faris…” balas Mak Neng.

     “ Yelah, nanti Faris tanyakan.” Lebih-lebih pula orang tua itu mengambil berat tentang gadis itu. Tapi hatinya terdetik juga. Layla bersedih sebab peristiwa tempoharikah? Dia tahu agak melampau juga dia kerana melemparkan telefon gadis itu ke dinding. Pecah berderai telefon itu. Dia hanya dengar gadis itu menjerit sahaja tapi mungkin perasaannya lebih teruk lagi. Anyway serves her right! Kalau tidak pasti gadis itu dapat berhubung dengan Rafi di belakangnya. Tapi hatinya dibalut kasihan pula. Ish!

     “ Tapi kan Faris, Mak Neng sukalah Layla tu. Orangnya cantik dan lemah lembut. Kalau Faris ada anak mesti comel macam Layla. Faris, Mak Neng tak sabar nak timang anak Faris.”

 Anak? Faris yang baru meneguk kopi macam mahu tersedak. Macam-macam pulak fikiran Mak Neng itu. Apa-apa pun belum bagaimana boleh timang anak pula? Tidur pun asing-asing! Layla pun benci pada dia macamana pulak nak dapat anak?

    “ Hisyh Mak Neng ni, Layla tu budak lagilah. Saya nak bagi dia belajar dulu Mak Neng. Biar dia dewasa sikit baru boleh jadi ibu kalau tak perangai macam budak-budak. Kalau dia nangis anak pun nangis susahlah saya Mak Neng. Saya nak pujuk mana satu?” Balas Faris bergurau lantas ketawa kecil. Mak Neng turut ketawa.

 Mak Neng memerhatikan anak muda itu yang dah banyak berubah. Sejak dua menjak itu Faris sudah selalu berada di rumah. Agaknya ada juga pengaruh Layla. Yelah kalau Mak Neng yang perempuan pun terpegun melihat Layla apatah lagi Faris suaminya. Mudah-mudahan bahagialah mereka berdua! Doa Mak Neng dalam hati. Dia tahu Faris dan Layla kahwin atas aturan keluarga. Tapi aturan keluarga pun boleh bahagia biarpun asalnya masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain. Serta-merta Mak Neng terkenang arwah suaminya sambil tersenyum bahagia.

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.