Bab 8

Langit kebiruan cair terbentang dari jendela kaca sebesar dinding sewaktu aku terjaga di sofa yang sama. Aku tersentak dan terus bangun melihat ke kiri dan kanan mencari kelibat Adin. Dia tidak ada. Adakah dia belum pulang? Atau mungkin ada di kamarnya, sedang tidur. 

Rasa lapar yang menusuk perut membuatkan aku terus masuk ke dapur dan ingin memasak sesuatu. Aku tak tahu samada aku kena memberitahu Adin tetapi aku juga tidak tahu adakah dia sudah ada di dalam rumah.

Perutku semakin mendesak ketika aku berdiri lagi di depan perabot  yang bersih berkilat sama seperti semalam. Dengan berhati-hati aku membuka pintu rak almarinya mencari makanan. Bagaimanapun kosong dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda adanya sesuatu yang berupa makanan. Memang petanda buruk untuk perut yang lapar, aku mengeluh sambil memegang perut yang berbunyi. Lantas aku beralih ke peti sejuk yang berwarna putih mengkilat sama seperti peti sejuk keluarga yang memiliki anak 14 orang di tv semalam. Aku meletakkan hujung jari jemari pada lubang pintu dan menariknya perlahan. 

Sebaik pintunya terbuka mataku melebar melihat telur ayam berbaris-baris kemas pada bahagian atas pintu peti sejuk. Selepas mengambil empat biji telur, aku menemui sayur-sayuran segar dalam laci di bahagian bawah pula. Laju sahaja tanganku menarik keluar lada benggala dan lobak. Semuanya tercetus hasil dari menonton rancangan masak-masak di tv semalam.

Tanpa memikirkan Adin, aku melakukan kerja-kerja pemotongan dengan lancar. Seolah-olah tanganku sangat biasa melakukan kerja-kerja memasak di dapur. Sayur-sayuran bermacam warna aku potong dengan teliti menjadi bentuk kecil-kecil sebelum dicampurkan semuanya ke dalam telur yang sudah digoncang dalam sebuah mangkuk yang kutemui rak di atas dinding berdekatan jendela.

Bagaimanapun, selepas menggaul semuanya, aku mengalami masalah utama. Masalah besar sebenarnya dan boleh menyebabkan aku kebuluran kerana tidak dapat makan. Aku tidak pandai menggunakan dapur masak Adin yang sangat luar biasa dan tidak terjangkau dengan akalku yang purba ini. Entah berapa lama aku berdiri di depan permukaan berwarna hitam gelap, meraba-raba tulisannya dengan berhati-hati bimbang ia membakar tanganku. Aku langsung tak tahu apa yang harus aku tekan untuk memasak semangkuk telur.

“Emmm...” aku menggumam panjang... masih ragu-ragu dan hampir terfikir hendak keluar mencari makanan lain walaupun aku tak tahu macam mana caranya hendak keluar dari pintu yang banyak nombor-nombor itu.

“Tekan yang ini...” 

Aku hampir melompat terkejut melihat jari telunjuk seseorang tiba-tiba muncul menekan sesuatu. “Oh, kau buat aku terkejut!” aku memegang dadaku ketika berpaling kepada Adin.

“Aku tak tahu apa yang kau fikirkan di depan dapur ni dari tadi,’ Adin lalu mengambil kuali pan dan meletakkan di atas permukaan berwarna hitam tadi.

“Berapa lama kau berdiri di belakangku.”

“Cukup lama untuk seorang perempuan purba yang masih tidak ada identiti,” jawabnya dengan riak Adinnya. “Minyak ada di atas sini,” dia kemudian membuka pintu rak tepat di atas kepalanya. 

“Kau baru balik?”

“Ya,” jawapannya pendek dan kemudian dia pun keluar dari dapur.

Dia masih menggelar aku orang purba juga. Aku tersenyum kecil sebelum menyambung kerja memasak telur campuran sayur untuk sarapan pagi dua manusia janggal dan saling tidak mengenali.


..........


Adin memberikan maklumat penting kepadaku siang tadi. Sangat-sangat penting untuk aku katanya sehingga membuatkan aku tertanya-tanya dan tidak sabar bersiap-siap mengenakan pakaian baru. Dia ingin membawaku keluar ke tempat kejadian dan di mana dia telah menyebabkan aku dilanggar hingga mengalami masalah hilang ingatan.

Malam sudah mula menutupi langit Kuala Lumpur. Bangunan-bangunan tinggi menjulang dengan penuh bergaya. Sinaran-sinaran lampu dari bangunan yang tinggi itu membuatkan malam lebih cantik dari atas. Tetapi bila pandanganku kembali memandang ke darat aku sedikit rimas melihat kesesakan jalan raya dan orang ramai yang bersimpang-siur di tengah-tengah kota. Adin yang jenis tidak begitu suka berbual hanya memandu tenang. 

Aku mengerling Adin dari celahan rambutku yang melepasi paras bahu dan terhurai rapi dari tepi pipi ketika sedikit menunduk. Entah mengapa aku terlalu ingin bercakap, desakan dari perasaanku yang memang agaknya sebelum ini suka bercakap. Cuma melihat wajah Adin yang err... serius kadang-kadang buat aku segan tetapi itu tidak menghalang keinginanku hendak bercakap dan bertanya.

“Semalam masa aku tengok tv, aku terbaca maklumat tentang Covid 19 sedang menjadi wabak di seluruh dunia, sebab itukah semua orang memakai face mask? Kau tahu apa tu Covid?” soalku, aku sendiri memegang face mask cuma belum memakainya sementara Adin memang sudah siap sedia dengan face mask berwarna hitam yang dibiarkan melekat pada dagunya sahaja.

“Iya. Wabak penyakit yang sedang menular dan boleh menyebabkan kematian. Untuk bulan ogos 2020 ini saja kes kematian sudah melebihi 820,000 orang dan mungkin akan meningkat. Memakai face mask sekarang merupakan satu perkara penting untuk mengelakkan penularan jangkitan wabak, jadi kau kena berhati-hati.”

Aku menutup mulut kerana terkejut betapa teruknya wabak itu. 

“Belum ada ubat untuk wabak itu?”

“Aku tak tahu tapi kajian sedang dijalankan di negara-negara besar, Beberapa negara sedang giat menghasilkan vaksin,” jawab Adin.

“Vaksin?”

“Vaksin. Ubat untuk mencegah wabak itu terus merebak.”

Itulah sebabnya aku suka bercakap dan menyoal Adin. Dia akan memberikan aku jawapan yang sangat teliti dan bahasanya teratur selain jelas. Aku mahu bertanya lagi tetapi Adin sudah pun memberhentikan pemanduannya dan enjin kereta sudah berhenti dari bergetar.

“Pakai face mask,” arahnya sebelum dia membuka pintu kereta dan menyuruh aku turun.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.