Bab 1

Hujan semakin melebat ketika aku terpusing-pusing di luar kedai 24 jam dengan perasaan cemas. Aku tercari-cari bagasi dan beg tanganku yang baru sahaja rasanya aku letakkan di tepi pintu kedai. Aku sedang bercakap dengan seseorang hendak bertanyakan arah dan entah… aku tak perasan macam mana boleh hilang.


“Aku salah letak agaknya?” aku berpusing lagi ke ke kiri, ada sebuah tangga di situ, tapi aku tak nampak apa-apa pun yang menyerupai bagasiku itu. “Mana aku nak cari…” bisikku resah bukan kepalang. Semua barang penting ada di dalam beg tangan… semuanya! Handphone, kad pengenalan, passport, lipstik, losyen dan minyak kapak… minyak wangi kegemaranku. Apa lagi…? Duit? Duitku, kad bank? 


Aku memicit dahi. Bimbang dan hampir panik! Pantas aku masuk ke dalam kedai 24 jam dan menuju ke kaunter dengan suara cemas.


“Adik,  nampak tak bagasi saya di luar? Di sana dekat pintu kedai ni?” telunjukku mengarah tepat ke arah pintu.


“Tak ada. Tak ada kak,” jawab budak yang kurus kerempeng itu. “Kenapa kak? Beg kakak hilang ke?” 

Aku mengangguk. “Macam mana ni?”


“Kakak kena hati-hati, kawasan ni memang banyak pencuri.”


“Habis tu, macam mana ni?”


“Kakak pergi ke pondok polis dekat seberang jalan, dekat dengan jambatan Bazarr, buat laporan pada polis di pondok tu nanti.”


“Ok, terima kasih,” aku hampir berlari menerjah pintu kedai dan berhenti sekejap mencari mana pondok polis yang dikatakan. Ya, tak jauh sangat, aku cuma perlu menyeberang jalan untuk ke situ.


Aku segera melangkah, lebih pantas dengan hujan semakin lebat, kerana tidak sabar, aku terpijak jalanan berlubang yang membasahi sebelah kasutku. Air bercampur tanah memenuhi paras kaki tidak kupedulikan dan terus berlari, tidak sabar hendak ke seberang. Bajuku mula basah dihempas badai hujan yang tidak punya belas kasihan kepada aku yang bernasib malang hari ini. Malam sudah semakin lewat. Aku tak dapat menghubungi kakak aku dan lebih teruk lagi, dia tak tahu pun aku hendak melawatnya. Nak buat kejutan konon! Sekarang aku sendiri yang susah.


Kereta-kereta bersimpang-siur dengan lampu-lampu yang menyilaukan ketika aku cuba melihat ke kiri bersedia hendak menyeberang. Namun… cuaca yang teruk buat pandanganku sedikit kabur akibat hujan, aku baru sahaja hendak melangkah bila tiba-tiba tubuhku dihempas sesuatu dari arah kiri… serentak dengan kepalaku terhantuk ke suatu benda keras…! 


Argh… aku merintih kesakitan. Gigiku bergetar ngilu.


Aku mendengar suara lelaki, suara kebimbangan tapi pandanganku semakin kabur dan rasa ngilu pada bahagian luka entah di mana. Kakiku seperti lumpuh, aku tidak dapat berdiri walau tanganku cuba meraba-raba benda keras di tepi untuk kujadikan tempat bertahan supaya aku dapat berdiri. Tetapi, dengan pantas seseorang mengangkat tubuhku lalu di bawa masuk ke dalam kereta bila aku mendengar suara enjin dan suhu aircond yang mendinginkan. Aku cuba membuka mata, tetapi hanya gambaran kabur yang ditayang di sekelilingnku. Di belakang kereta, aku masih cuba hendak bangun dengan nafasku bagai tersekat. Akhirnya, tubuhku berputus asa dan dengan perlahan mata tertutup rapat, semuanya gelap dan mengelirukan. Apa yang berlaku?



Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.