Bab 5

Dua lelaki itu pantas pergi dengan motosikal.

Aku melopong dengan lidahku seperti baru sahaja dipotong. Bagaimanapun, kekeluan lidahku sekurang-kurangnya berganti dengan perasaan lega sebaik melihat Adin Hakimi lagi. Mungkin disebabkan dialah satu-satunya lelaki yang aku kenal di tempat ini.

Pantas saja langkah kakinya membawaku. Beberapa kali kakiku hampir tersadung jalan kerana lambat menyaingi langkah Adin hingga tiba di kawasan kereta. Aku masih mengingati warna keretanya yang kehitaman kerana ia satu ingatan yang paling baru termasuk Adin. 

“Masuk.” Nadanya kedengaran tegas ketika pintu kereta dibuka. Satu perintah, begitulah yang kurasa. 

Aku masuk dan duduk dengan patuh sambil mataku mengekori Adin yang berpusing ke sebelah. Pintu sebelah dibuka, Adin ikut masuk. Dia duduk dengan tegak dan sedang menghidupkan enjin kereta. Sesaat kemudian bangku yang aku duduki bergetar dalam senyap sebelum mula bergerak sementara aku kekal diam memerhatikan. Dia sangat tenang. Jauh benar dengan tingkahku yang hilang kawalan di seberang jalan tadi. Tapi semakin lega bila sakit kepalaku sudah mula berkurangan dan menyukai hawa dingin dalam kereta itu yang rasanya lebih menenteramkan perasaanku bahkan aku menyukai perasaan setiap kali ada Adin berdekatan. Sedikit-sedikit aku mula faham tentang perasaan baru ini, aku sudah dapat membezakan dengan jelas di antara rasa takut dan rasa selamat.

Suasana dalam kereta senyap. Aku ataupun Adin, keduanya tidak bercakap. Di mana dia akan membawaku? Kereta yang dipandunya menyusuri jalan raya yang lebar dengan kereta-kereta di kiri dan kanan bergerak laju. Aku menunggu lagi apa yang akan berlaku seterusnya dan kenapa Adin membawaku bersamanya kembali selepas dia meminta aku pergi. Tetapi dia tidak bercakap sehinggalah kereta yang dipandu Adin masuk ke bangunan yang lebih tinggi dari Pavillion tadi.

Ada seseorang berbaju seragam putih mengangkat tangan dari tepi pondok. Adin mengangkat tangannya juga dan memandu menaiki lorong berbukit rendah lalu berpusing ke kawasan yang lebih sunyi di mana banyak kereta parkir di bawah bangunan itu.

“Lelaki tadi tu doktor?” aku bertanya perlahan yang entah kenapa tidak semena-mena membuatkan Adin menoleh padaku dengan padangan aneh.

Mungkin pertanyaanku salah. “Jadi, ini bukan hospital?” soalku lagi. Aku rela dia membawaku ke hospital semula dan bertemu doktor semalam bolehlah aku meminta penjelasan dan siapa tahu Dr. Aminah itu boleh menolongku. Hairan? Aku begitu mengingati semua yang berlaku semalam. Cuma semalam, tapi bukan sebelumnya.

Tetapi Adin hanya merenungku dengan dahinya membentuk garis-garis panjang. “Ini kondominium. Lelaki di pondok itu ialah pengawal keselamatan. Dia ditugaskan menjaga keselamatan kondo ini dari diceroboh orang yang tidak dikenali.”

“Seperti aku?”

“Tak. Kau bersama aku… dan kau bukan orang jahat.”

“Jahat?”

Dahi Adin semakin banyak garisannya bila menatap mukaku. “Aku rasa kau memerlukan kamus untuk keluarkan semua ingatan kau. Kau macam seseorang yang baru keluar dari hutan tebal. Macam orang purba.”

“Purba?”

“Emm.” 

Aku ingin bertanya lagi tapi mulutku kaku bila memandang wajah serius Adin.

“Begini, anggaplah aku bersalah kerana telah melanggar kau dan membuatkan kau hilang ingatan. Aku benarkan kau tinggal di rumahku sampai ingatan kau pulih. Aku akan pastikan kau pulih.”

“Jadi, bangunan ini rumah?” aku benar-benar seperti orang purba yang bukan sebarangan purbanya mungkin menurut fikiran Adin. Apakah purba itu maksudnya keadaan fikiranku yang benar-benar kabur?

“Ya. Rumah. Rumah untuk aku dan kau tinggal, tidur, makan dan berehat.”

“Selamat?”

“Selamat.” 

Aku mengangguk laju kerana semua yang berkaitan dengan perasaan selamat aku tidak sesekali meraguinya. Kemudian kereta itu berhenti. Aku menunggu…

“Kenapa kau bagi lelaki tadi wang kau. Duit tu…” tanya Adin tiba-tiba.

“Duit?” aku yang seperti baru habis berkhayal segera mengetahui masih ada wang yang kugenggam dalam tanganku.

“Ya. Kenapa? Kau dalam bahaya kalau kau berkelakuan seperti begitu lagi,” katanya tegas.

“Aku tak tahu,” lalu aku memandang  dinding kosong di hadapan. “Fikiranku kabur, aku seperti orang yang tak tahu apa-apa dan semuanya nampak asing. Aku cuma ingat kata-kata kau yang duit itu boleh bantu aku, jadi aku pun berikan pada lelaki itu untuk membantu aku tapi dia lari lepas dapat duit.” Perasaanku menjadi sedih sebaik aku mengingati apa yang berlaku kepadaku tadi dan… airmataku mengalir, apa? Aku menangis…lagi, aku mengangkat kedua-dua tanganku lalu menutup muka, bau wang dari tangan kananku jelas menusuk hidung. Aku menyedari semua perasaan dan tahu apa yang akan berlaku kalau aku terus kabur begini. Perlahan aku merasakan sentuhan tangan dibahuku. Aku berpaling pada Adin yang hanya memandangku kaku. 

“Jadi, itulah yang kau rasakan sekarang? Fikiranmu kabur,” Adin bertanya dengan wajahnya kekal begitu, maksudku serius.

Aku pun mengangguk dengan airmata kusapu dengan lengan baju.

“Aku tahu apa itu bahaya, apa itu sendirian, apa sahaja emosi, aku bahkan takut dengan lelaki-lelaki yang tidak aku kenal tadi tapi aku tak tahu apa yang perlu aku buat. Lepas kau pergi tinggalkan aku di situ, aku jadi keliru kenapa aku berada di tempat yang aku sendiri tak tahu… “ aku cuba memberitahu Adin apa yang sebenarnya aku rasakan.

“Aku nampak kau menangis di tepi jalan sebab tu aku datang semula,” kata Adin.

“Jadi, kau tak pergi?”

Dia menggeleng sebelum berkata lagi. “Saraf-saraf otak kau perlu dilatih, kau sedang mengalami kecelaruan dan hilang ingatan jangka pendek kata doktor semalam.”

“Ya, tolonglah aku. Aku betul-betul perlukan bantuan, aku takut dengan fikiranku yang kosong ini.”

Adin tidak menjawab dengan suara. Dia hanya mengangguk sekali yang aku anggap sebagai bantuan. Kemudian dia menyuruh aku turun dan dia menyebut sesuatu seperti berehat cuma nada Adin sangat perlahan hingga aku terkadang tidak mendengarnya. Aku mengikut langkahnya dari belakang. Dia melangkah dengan teratur, mungkin sebab dia normal. Bajunya berwarna biru gelap dengan bahunya lebar, oh… aku sudah mengenal warna. Warna biru itu seakan satu warna yang paling kukenali sekarang. 

Aku dan Adin menaiki suatu benda yang Adin sebutkan sebagai lif. Benda itu kurasa bergerak senyap dan menuju ke atas. Ada nombor berkelip-kelip di tepi pintunya. Dari nombor 1 sehinggalah ke angka 27 lif itu kemudian berhenti dan pintunya terbuka.

Bila Adin keluar dari lif, aku pun mengikutinya. Hanya perlu berjalan sedikit sahaja lagi ke bahagian kanan sebelum tiba di depan pintunya. Adin sedang memicit sesuatu di tepi pintu sebelum ia terbuka lebar.

“Masuk.”

Aku menurut. Melangkah masuk sebelum… terpegun. Rumah itu sangat cantik. Itu bukan rumah pada anggapanku. Agaknya bagaimana rumahku sebelum ini, sebelum aku hilang ingatan? Tentu bukan seperti ini, otakku akan mengenali sesuatu yang seakan aku sudah biasa melihatnya. Seperti motosikal tadi. Aku begitu mengenali motosikal tetapi aku tidak mengingati di mana aku terbiasa melihat motosikal itu. Dan rumah Adin suatu benda yang juga asing bagiku, jadi sudah tentu rumahku sebenar bukan seperti ini. Ia terlalu besar dan cantik.

Adin terus berjalan, kami melintasi ruangan tengah yang kukatakan cantik tadi. Kemudian Adin berpaling ke kiri dan akhirnya berhenti di depan sebuah lagi pintu berwarna hitam gelap.

“Ini, bilik kau. Kau boleh tidur di sini buat sementara. Aku akan fikirkan apa yang perlu aku buat untuk dapatkan pengenalan diri kau nanti. Buat masa sekarang, kau tidurlah. Berehat,” dia menyuruh aku masuk.

Sekali lagi aku termengkelan melihat ruang yang dikatakan bilik. Katilnya sangat-sangat menyelesakan berbanding katilku di hospital semalam.

“Aku akan dapatkan kau keperluan lain.”

Sejurus selesai bercakap Adin keluar tanpa sedikitpun senyuman dan menutup pintu bilik itu. Lagaknya seperti mengingatkan aku pada seseorang tetapi entah siapa.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.