Bab 6

Entah kerana keletihan atau kebingungan aku tertidur tanpa kusedar.

“Zea, kamusta ka.” 

“Okey, lang…”

“Mag- ingat- ka.”

“Oo po.”

Aku menangis melihat wanita tua itu. Dia seperti berbicara sendirian. Siapakah dia? Wajahnya sedih ketika berkata. Ketika aku cuba menghampirinya tubuhku seperti semakin jauh dan suaraku kuat memanggil-manggil. “Nanay!” jerit suaraku serentak dengan seorang gadis entah siapa pula. Aku cuba melihat betul-betul. Itu aku!

“Saan ka anak ko!” jerit wanita tua itu lagi. (Di mana kau anakku)

“Tulong! Tulong!” jerit gadis yang menyerupaiku. (Tolong, tolong)

Aku ingin berteriak kepada kedua-duanya yang aku sedang mendengar dan mahu memberi bantuan.

“Nanay! Tulongggg!!” 

“Tidak… tolonglah… tolonglah…”

“Hei…” ada suara lelaki memanggilku.

“Tulongan ako!”

“Hei! Bangun…!”

Mataku terbuka beserta nafas laju dan terkejut melihat seorang lelaki dengan sedikit misai dan jambang dengan matanya tajam menikam wajahku. Cepat-cepat aku bangun dengan leherku berpeluh, tekakku terasa kering dan terbersin beberapa kali, mungkin sebab suhu sejuk. Bilik itu sudah diterangi cahaya lampu. Aku melihat ke tingkap dan perasan yang matahari sudah tenggelam sepenuhnya.

“Sorry…”

“Apa yang kau mimpi?”

“Ergh…” aku memicit dahiku. “Aku mimpi apa?” aku bertanya semula kepada Adin. Fikiranku masih sama seperti beberapa jam yang lalu, kosong dan tidak mengingati apa-apa.


Dahi Adin bergaris lagi, dia menatapku beberapa saat sebelum menghela nafas. “Aku dapatkan baju dan keperluan penting untuk kau, kau boleh cari barang lain esok saja,” dia meletakkan dua beg kertas yang besar di hujung katil.

“Mari…”

Adin mengarahkan aku mengikutinya lagi. Kali ini menuju ke sebuah bilik mandi yang hanya terletak di dalam bilik juga. Dia membuka pintunya…

“Ini bilik air, mandilah tapi hati-hati jangan melanggar apa-apa. Kalau kau cedera terhantuk lagi… kau mungkin bukan saja masuk hospital tapi juga wad orang gila.”

Tanpa mempedulikan aku yang tercengang Adin keluar tanpa sebarang riak wajah dan melangkah dengan langkah Adinnya. Langkah yang teratur maksudku, kakinya sangat sempurna memakai seluar berwarna biru dan baju yang kemas. Itu juga sangat asing kurasa. 

Oh, aku sepatutnya mandi! Cepat-cepat aku masuk ke dalam dan berhati-hati seperti pesanan Adin.

 Lega rasanya dapat mandi air hangat seperti di hospital pagi tadi. Aku benar-benar rasa tenang, itu jauh berbeza dengan apa yang kurasa ketika di Pavillion tadi. Selepas terasa agak lama di dalam, aku mengambil tuala dari lipatan yang rapi di tepi pintu kaca lalu menyarungkan ke tubuhku kemudian keluar dan segera mendapatkan pakaian. Sehelai baju berwarna ceria dan seluar panjang yang lembut. Aku patut bertanya di mana Adin mendapatkan semua ini. Setelah menyikat rambutku yang panjang, aku mencari di mana aku meletakkan kepingan wang tadi.

Oh, di atas meja di tepi katil yang aku tindih dengan lampu bulat yang cantik. Selepas mengambil wang itu aku pun keluar mencari lelaki itu dan menemui Adin sedang meletakkan makanan di meja bersebelahan jendela besar. Dia sudah menukar pakaiannya dengan baju panjang tangan berwarna coklat gelap.

“Mari kita makan malam,” Adin bersuara sebaik melihat aku muncul.

Aku segera melangkah mendekati meja dan ikut duduk seperti permintaannya. Diam-diam aku menyoroti wajah Adin. Dia tidak melihatku dan sedang makan dengan sopan.  Lantas dengan gerakan tangan perlahan, aku menyorong wang yang diberikannya kepadaku pagi tadi. Sejurus melihat wang di hadapannya, Adin pantas mengangkat muka dan memandangku serius.

“Aku kembalikan duit ini sebab kau sudah belikan baju-baju untuk keperluanku,” aku mengatakannya dengan takut-takut. 

“Ambil. Aku tak perlukannya. Kau yang akan perlukannya nanti,” Adin menyorong kembali kepingan duit kepadaku.

“Tak…”

“Ambil,” katanya lebih tegas.

“Kau sepatutnya tinggalkan aku di hospital pagi tadi, mungkin Dr. Aminah boleh membantuku mengatasi masalah ingatan,” aku sebenarnya baru terfikirkan perkara itu.

Adin berhenti makan, dia memandangku dengan wajahnya yang tanpa riak sebelum menjawab.

“Cadangan yang bagus. Tapi tak boleh sebab aku sudah terlanjur mengaku yang kita suami isteri. Aku pula tak suka disiasat sebab aku yang telah melanggar kau malam itu. Kalau aku dedahkan hal sebenar masalah akan jadi lebih besar. Ia akan melibatkan polis dan hal remeh lainnya. Jadi, jangan ambil kisah. Tinggal saja di sini sampai ingatan kau pulih sepenuhnya.”

Aku fokus mendengar bicara Adin yang jelas, walaupun kadang-kadang nadanya menjadi perlahan tetapi kerana riak wajah lelaki dihadapanku  itu sangat tegas aku memutuskan untuk berdiam. Mungkin juga disebabkan aku terlalu takut berada di luar sana maka aku berfikir lebih baik tinggal sahaja di rumah Adin buat beberapa waktu lagi.

“Makan. Kau kena makan supaya fikiran kau dapat berfungsi lebih baik,” arahnya.

“Ya. Terima kasih,” aku menurut arahan itu dengan begitu patuh. Tetapi ketika aku cuba mula makan, aku merenung seketika makanan di hadapanku dengan perasaan ingin tahu. “Tapi ini apa? Maksudku nama makanan ini?” 

“Stik. Stik daging.”

“Oh, tentu aku tak pernah makan stik sebab tu aku tidak biasa melihatnya,” suaraku samada terlalu perlahan atau  pelik hingga Adin kehairanan lalu bertanya.

“Apa maksud kau?”

“Err… tentang fikiranku. Kadang-kadang aku tahu nama-nama benda yang rasanya aku sudah biasa nampak sebelum ini. Macam motosikal di Pavillion tadi, aku mengenali motosikal dengan mudah cuma aku tak ingat di mana aku pernah melihatnya,” jelasku.

Dahi Adin membuat kerutan lagi sepertinya itu merupakan kebiasaan dahinya.

“Mungkin otak kau sedang dalam proses pemulihan,” jawab Adin dan menyambung makannya.

Aku meniru gerakan tangan Adin yang memotong daging itu dengan pisau dan garpu mengikut gerakan berhati-hati sehingga menjadi kepingan kecil. Selepas kaku beberapa saat, aku mengerling tangan Adin yang menyucuk daging yang dipotong dengan garpu lalu aku pun menirunya lagi dan mula makan dengan kunyahan perlahan. 

“Sedap, kau pandai masak?” soalku dan terus menyuap kepingan daging seterusnya.

“Cuma stik.”

Aku tersenyum kepada Adin sambil menikmati makanan malam itu dengan penuh rasa syukur yang berulang kali kukatakan dalam hati dan semoga lelaki di hadapanku ini akan betul-betul membantuku. Biarpun wajahnya kelihatan selalu serius tetapi aku masih berharap dia seorang lelaki yang baik.

“Aku rasa kau bukan berasal dari KL. Wajah kau sedikit berbeza dengan kebanyakan perempuan di sini,” cerita Adin.

Oh, itu memang menggusarkan. Jadi, dari mana aku datang? Apa yang telah aku buat sampai aku boleh berada di sini?

“Dan kadang-kadang bahasa kau pelik, aku rasa kau mungkin pekerja asing yang bekerja di Malaysia.”

“Mungkin,” sahutku juga dan kembali makan dengan senyap tetapi otakku terisi dengan maklumat-maklumat baru. “Aku percaya aku bukan berasal dari kehidupan seperti ini juga, seperti rumah kau yang cantik, Gambaran secantik ini tidak ada dalam ingatanku, sebab tu aku percaya aku datang dari situasi berbeza,” ceritaku juga.

Adin mendengar dan merenung aku dengan kedua-dua tangannya saling bertaut di atas meja. Mungkinkah dia juga sedang menyerap semua apa yang ada di dalam fikiranku saat ini.

“Jangan terlalu fikirkan.” Kemudian dia berdiri. “Aku akan keluar bekerja malam ini, kau boleh berehat. Tengok tv, mungkin kau boleh dapat lebih banyak maklumat  tapi jangan terlalu memaksa otak kau berfikir. Nanti kau pengsan,” habis bercakap Adin menuju ke sinki dapur lalu membasuh pinggan makannya tadi. 

Setelah selesai dia keluar dari dapur ketika aku sedang mengemas pingganku juga. Aku mengambil giliran membasuh pinggan baki dari makan malam yang tidak bersisa. Perutku terasa lebih selesa setelah dapat makan makanan yang baik. Tetapi selesai membasuh, aku tidak terus keluar dari dapur, sebaliknya berlegar-legar mengagumi perabot berwarna putih yang bersih berkilat. Semua peralatan dapur tersimpan dan kemas. Tinggal seorang diri di rumah sebesar ini, Adin memang luar biasa dalam mengatur hidupnya. Meja makan tadi terletak di suatu sudut yang tenang dan ringkas dipisahkan dengan rak-rak kayu di antara dapurnya dan tempat makan. 

Aku sempat mengelap sinki yang basah sehingga kering dan lebih bersih. Bukan sahaja sinki bahkan hingga ke meja segiempat yang di tengah-tengah dapur aku bersihkan dan memastikan tidak ada sisa-sisa kekotoran termasuk habuk.

“Apa kau buat?” tegur Adin yang tiba-tiba muncul.

Aku berpaling terkejut dan tergagap menjawab. “Ber… bersihkan…”

Ada garisan sedikit pada bibirnya yang terukir janggal. Seperti sukar benar dia hendak melakukan, maksudku Adin mungkin hendak tersenyum tetapi dia hanya kembali serius.

“Kau boleh tengok tv di ruang tamu sekarang. Aku akan keluar. Jangan buka pintu dan jangan ke mana-mana.”

Aku mengangguk laju.

“Ini?” Adin kemudian menunjukkan kepadaku suatu benda yang tidak asing padaku.

“Itu telefon.”

“Ya. Telefon. Baguslah kalau kau tahu,” lantas Adin menghulurkan telefon ke tanganku yang segera menyambutnya. “Kalau kau takut atau sakit telefon aku. Kau cuma perlu tekan nombor satu dan aku akan datang dengan segera. Faham?” kata Adin lagi selepas memberi tunjuk ajar.

“Oo po…” 

Sekali lagi Adin membuat wajah pelik mendengar sahutan balasku. Tetapi aku tidak merasa janggal mengatakannya. Aku tentu selalu menyebut perkataan itu. Bagaimanapun tidak ada lagi pertanyaan dan Adin terus sahaja keluar bekerja.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.