“DARI tadi ibu tengok kamu ni asyik termenung
aje? Ada masalah besar ke?” tegur Puan Eliza. Dia kemudian duduk di hujung
katil Filia. Filia tidak terus membalas panggilan ibunya, surat tawaran dari
politeknik itu di tatapnya lama. Ada rasa terkilan. Ada rasa pahit. Permulaan
dunia baru yang teruk. Hampir kesemua rakan sekelas mendapat tempat di universiti.
Dia pula? Sekadar politeknik? Filia tertunduk lemah. Surat di tangan, di beri kepada
Puan Eliza.
Puan Eliza hela nafas panjang. “Kenapa ni? Ini bukan Filia yang ibu
kenal. Cepat sangat berputus asa. Kenapa kalau dapat politeknik pun. Tempat
menimba ilmu juga kan?”
Filia mengumam perlahan, “Memanglah... tapi pada mulanya Filia minta universiti,
tapi tengoklah yang dapat politeknik.”
“Nak buat macam mana lagi. Mungkin rezeki
Filia belajar di universiti tidak kesampaian. Ramai lagi yang tidak dapat
menyambung pelajaran. Anak ibu antara
yang bertuah tahu? Ingat! Tak kira di mana kita belajar, kalau niat kita betul
dan tekad serta azam kita kuat, pasti akan berjaya juga.” pujuk Puan Eliza
dengan lembut.
AKHIRNYA Filia termakanlah jua dengan pujukan
ibunya dan tercampaklah dia di salah sebuah negeri di pantai timur. Hari-hari
di sini amat memenatkan. Filia rasa macam mahu menghilangkan diri dan terbang
keluar dari daerah yang asing ini. Kuliah pertama sudah pun bermula. Kantuk di mata
sudah tidak mampu di tahan lagi.
Rakan sekuliah di sebelahnya menggoncang kuat
bahu Filia. “Filia, bangunlah!! Pensyarah panggil kau tu.” Filia tersentak.
Panik. Dalam kelam-kabut dan separuh sedar, dia berdiri tegak dan membuat tabik
hormat. Seisi kelas ketawa dengan aksi kartunnya itu.
“Nur Filia Haifa, awak kalau hendak tidur
sangat, sila keluar dari kelas saya! Kalau tidak, sila tumpukan perhatian.” tempik
Puan Nik Sarah, pensyarahnya itu mula memberi kata dua padanya. “Kali ini, saya
maafkan awak tetapi lain kali tiada maaf bagimu. Sudah turunkan tangan kamu tu.
Sini bukannya markas tentera nak tabik spring segala.” Puan Nik Sarah
berlelucon dalam tegasnya. Gamat terus dewan kuliah dengan tawa para pelajar. Filia
tertunduk.
MALU gila! Hishh, sakit hati aku. Ini Encik Allan punya pasallah. Bagi
kerja punyalah banyak! Sampai tak menang tangan aku jadinya. Filia membebel sendiri. Sesampainya di kantin,
beg galas di hentaknya kuat ke atas meja, tanpa menyedari tali begnya itu,
terkena seorang pelajar lelaki yang sedang menjamu selera.
“Hoi, perempuan! Kalau iya pun tengah marah,
nak melepas geram ke hapa. Mata tu tolong pandang belakanglah! Itu pun nak kena
ajar ke hah?” jerit pelajar lelaki itu.
Filia sedar memang salah dia. Tapi apahal
yang mamat ni kerek sangat pula ni? Filia memaniskan muka sebaik mungkin walhal
kalau ikut hati. Makan penampar mamat ni jadinya. “Maaf, saya tak sengaja. Saya
tak sedar awak ada di belakang.”
“Kepala otak kau tak perasan. Aku tak kira
kau bayar balik air aku yang dah tumpah ni,”
Filia mula bercakap kasar, “Aku dah pun minta
maaf yang kau ni, angin sangat kenapa? Nak kata datang bulan. Dah memang jelas
kau ni lelaki. Tapi tak tahulah pula aku, kalau kau ni normal ke tidak!”
Pelajar itu terkebil-kebil matanya. “Boleh
tahan laser juga mulut kau. Tapi lantaklah aku kira apa. Kau bayar juga kat
aku. Sekarang!!”
Bangang gila mamat ni. Air seciput macam itu pun nak
berkira. Memang dasar haji bakhil, tangkai jering, kedekut.
“Ambil dua ringgit ni, cukup tak? Kalau masih
tak cukup aku tambah lagi.” sindir Filia.
Pelajar lelaki itu kemudian tersenyum nakal.
“Barulah betul begini. By the way, aku
lelaki yang normal tau. Nama aku Imzi Farhan. Panggil sahaja aku Farhan.” Mata
kirinya di kenyitkan dan senyumnya semakin meleret.
Ini yang aku malas ni, Filia menggumam
perlahan, beg terus di sangkutkannya ke bahu. Selera makannya terus mati.
“La... dah nak pergi? Tak nak makan dulu
kasihan perut tu nanti.”
“Perut aku bukannya perut kau. Lagipun, aku
dah tak ada mood nak makan. Tambah-tambah nampak muka kau, mamat skema!!” Filia
terus beredar.
Farhan terus balun ketawa. Memang tak makan
godaan minah ni.
Teman Farhan yang baru sahaja duduk itu
menggeleng kepala. Faham sangat dia dengan sikap Farhan yang gemar menyakat
pelajar baru. “Kau ni tak habis-habis hendak menyakat. Dengan budak junior pun
nak cari gaduh, dari jauh aku dengar suara kau memekik.”
Farhan ketawa lagi. Cermin mata yang hampir
jatuh ditarik naik ke atas. “Tapi kan
Fikri, dia ni memang lasaklah. Habis tumpah air aku hanya sebab dia hentak beg
dia tu. Jiwa pun kental. Aku tengking, langsung mata dia tak berkelip. Nampak
macam tenang tapi sekali dia bercakap ternganga aku.”
Fikri
turut ketawa. “Aku tengok budak ni boleh tahan comel juga. Agak-agaknya kan
kalau akutackle dapat tak?” Fikri angkat kening dua kali.
“Banyaklah kau punya agak, spesis macam dia
tu, sipi pun belum tentu tau,” Mereka berdua terus tergelak besar.
Fikri menduga Farhan, “Aku tengok dari cara
kau sakat budak tadi tu bukan main lagi. Lain macam sahaja entah-entah kau pun
ada hati nak pikat dia?”
“Tak inginlah aku dengan perempuan yang tak
macam perempuan. Jalan pun sudah macam king-kong.”
“Banyaklah kau punya king- kong. Tersangkut
nanti baru tahu.”
“Kalau betul tersangkut, bergegar bumi ni.” kata-kata
Farhan mengundang tawa Fikri. Farhan juga ikut ketawa.
PUNAT volume di radio dikuatkan. Mulutnya
mula membebel, “Sakitnya hati aku. Sudahlah kena dengan Puan Nik, terjumpa pula
dengan makhluk asing yang sawan. Memang hari yang teruk.” Dalam tengah
membebel, tanpa sedar Filia terus terlelap.
Teman sebilik Filia yang baharu sahaja balik
terus menggeleng kepala.“Apalah nak jadi dengan perempuan ni.” Dia lalu
memperlahankan volume radio. Badan Filia di goyangnya perlahan. “Filia, bangunlah.
Sudah Asar ni. Kau dah solat ke belum?” Filia masih lagi di bawah sedar. Mata
di bukanya separuh. “Tira aku periodlah.” Tira angguk. Patutlah… angin semacam.
SORAKAN dari para peminat mula menggamatkan
suasana. Kelihatan Ariel berjalan perlahan-lahan menaiki pentas, petikan gitar
dan alunan piano sayup-sayup mengiringi langkahnya. Sepi. Seakan peminatnya
bertafakur seketika, menunggu lantunan suara Ariel. Ariel senyum. Nafas di hela
lembut. Gemersik suara Ariel mula bergema memenuhi stadium.
Tiupan sang bayu menyapa dirimu
Terpana diriku diulit cinta
Agungnya kasih dari-Nya
Menyatukan hati kita
Oh sayang,
Haruman kasihmu membelai jiwaku
Tika malam berlabuh
Engkaulah Nur dihatiku
Peminat-peminat Ariel turut serta menyanyikan
lagu ‘Nur Dihatiku’. Stadium semakin hangat dan riuh apabila Ariel berjalan
mendekati peminatnya. Bila sahaja dia berhenti dan mengambil gambar bersama, jeritan
mula kedengaran. Mungkin sahaja ada yang cemburu dengan peminat bertuah itu.
Fikri di sebalik tirai pentas hanya mampu tersenyum
melihat telatah Ariel.
“Sayang korang semua. Korang memang
terbaiklah.” laung Ariel sebagai tanda terima kasih, lalu di sambut dengan, “We love you!!” mula bergema menyelubungi stadium.
“Thanks again, jumpa di konsert yang akan datang.” akhiri Ariel sebelum menghilangkan diri di sebalik tirai besar.
FIKRI menepuk bahu Ariel yang sedang
termenung jauh di atas pentas. “Hei bro, keep up the good work!” puji Fikri.
Ariel senyum. “Thanks bro, ini pun berkat bantuan dan sokongan kau juga
kalau tidak impian aku ni hanya tinggal impian.”
“That’s what friend are for right? Apa yang penting sekarang, mari kita raikan
kejayaan konsert kau ni. Orang lain dah berkurun tunggu kau. Kasihan dia
orang,”
Fikri faham sangat tabiat pelik Ariel yang
satu ini. Selesai sahaja konsert dia pasti akan ‘bertafakur’ di pentas konsert
kononnya hendak mengambil aura untuk konsert yang seterusnya.
Ariel lantas ketawa mendengar seloroh Fikri.
“Yalah, sahabatku.”