“IMAGINASI itu lebih penting dari ilmu pengetahuan!”
Filia membaca perlahan petikan itu dari sebuah buku yang di ambilnya. Ya,
memang benar semuanya bermula dari daya imaginasi yang tinggi. Sesuatu bangunan
yang unik tidak akan terhasil tanpa imaginasi seorang arkitek yang
hebat.Teknologi juga tidak akan berkembang dengan pesat.
Di dalam dunia yang
semakin maju dan moden ini, ianya menuntut minda kita berimaginasi jauh ke
hadapan. Tidak lupa juga imaginasi itu juga, harus berlandaskan syariat yang
boleh membawa kita kepada kejayaan dan bukannya kemunduran. Filia menutup buku
itu. Dia melangkah menuju ke kaunter pembayaran.
“RM27,”
beritahu cik juruwang itu.
Filia menelan liur. Alamak terlupa pula nak check duit.
Filia senyum serba salah, “Maaf, kak saya pergi bank sekejap. Nanti saya datang
balik.”
Juruwang itu
mengangguk. Belum sempat Filia mengatur langkah, ada seorang lelaki
menghulurkan not lima puluh dari belakang. “Kakak, kirakan sekali buku saya
dengan cik ini.”
“Bertuah adik ada kawan
yang pemurah. Bukan senang tau ada orang nak belanja.” tutur kakak juruwang itu
ramah.
Filia hanya membalas
dengan senyuman. Dia menonong keluar, di percepatkan langkahnya, pemuda itu
pula mengejar dari belakang. “Ini buku kau, ambillah. Aku belanja.”
Filia langsung tidak
menghiraukannya. “Aku ikhlas. Kalau kau rasa berat, tak apa nanti kau bayar
balik boleh?”
Filia memandang Farhan meminta kepastian.
“Betul? Lagipun aku tak nak dan tak suka berhutang dengan orang yang aku tak
kenal macam kau.”
Farhan senyum mencebik.
“Yalah. Lepas ni kau nak ke mana? Apa kata kita…” Belum sempat dihabiskan
kata-kata, Filia sudah hilang ditelan dalam keramaian orang. Farhan mengeluh,
niatnya bagi meminta maaf atas kejadian di kantin dan di festival terbantut,
mungkin di kesempatan lain agaknya.
FILIA semakin rimas. Ke mana sahaja dia
pergi, semestinya terserempak dengan makhluk asing. Perpustakaan di jabatan, di
kedai buku dan sekarang di pantai pula? Ingatkan bolehlah dia ambil angin dan
tenangkan fikiran tapi…
“Kau memang selalu keluar
seorang saja? Tak bosan?”
Farhan juga tidak
menyangka dia boleh bertembung lagi dengan gadis yang mula mencuri
perhatiannnya. Dari apa yang dia tahu Filia tidak mempunyai kawan baik jauh
sekali kekasih. Baginya tidak sukar untuk mendekati Filia kerana dia dahulu
pernah tiada kawan. Hidup terkurung di dalam sangkar emas amat menyesakkan
nafas dan siapa tahu Filia juga mungkin ada alasannya sendiri.
Filia tidak
mempedulikan Farhan, dia berjalan menaiki jambatan kecil di tepi pantai itu.
Farhan turut melangkah.
Filia mula naik angin
“Kau memang tak ada kerja lainkah, yang kau ikut aku kenapa?” jeritnya kuat.
Farhan tetap tenang.
“Awak, saya ni memang tak bekerja pun. Saya masih belajar macam awak juga.
Lagipun saya hendak pergi ke seberang sana juga. Salahkah?”
Filia terus membisu.
Malas mahu berbalah tapi kalau diikutkan hati mahu sahaja dicepuk makhluk asing
ini. Tiba di penghujung pantai, Filia mula memanjat batu-batu besar di situ.
Farhan setia di belakang mengekorinya.
“Boleh tak kau pergi duduk jauh sikit dari aku, sebelum aku tendang kau
masuk ke dalam air pantai yang jernih ni?” tempik Filia.
“La… nanti kalau kau jatuh macam mana? Batu ni
dahlah sikit punya tinggi,”
Filia
meraup mukanya “Ya Allah, itu hal akulah nak jatuh ke hapa. Lantaklah.”
Farhan masih becok
bercakap. “Sebenarnya aku risaulah juga kalau jadi benda yang tak diinginkan.
Dibuatnya kau kena culik tak ke haru tu? Aku juga yang kena tanggung dan jawab,
sebab biar kau jalan seorang diri!”
Mulut Filia terus
terherot ke kiri dan ke kanan. Macamlah aku kenal kau sangat, getusnya
perlahan. Matanya melirik melihat penampilan Farhan.
“Wei, apahal yang kau
butang baju sampai ke atas hah? Spek mata pula tak boleh lagi tebalkah? Rambut
tu kenapa belah tengah kenapa tak belah tepi aje?” Filia ketawa mengejek. “Tapi
nanti, silap-silap orang akan ingat kau tu pesakit wad sakit jiwa pulak.” perli
Filia yang sudah letih mendengar bebelan Farhan.
“Boleh
tahan laser juga mulut kau kan?” ujar Farhan menahan marah. Penampilan aku ke yang jadinya isunya
sekarang ni? Hodoh sangat ke aku ni?
Filia berhenti ketawa,
dapat dilihat dengan jelas riak wajah Farhan terus berubah. “Okey,my bad. Sorry. Aku tak patut judge
penampilan kau.”
Farhan
senyum tak berperisa. “Tak apa. Kiranya kita seri. Aku pun dah minta maaf pasal
hal di kantin dan di festival, tapi kau tu yang macam tak nak maafkan aku.”
Filia
pandang Farhan lama. “Bila masa kau minta maaf? Cuba kau story sikit.
Manalah tahu kan aku boleh rewind balik hari bersejarah
tu?”
Farhan tersengih. “Tapi
betullah, rasanya aku macam pernah minta maaf, tapi bila iya?” Filia terus
bangun. “Rileklah. Kau ni memang mudah kecil hatilah. Baik, aku minta maaf. Aku
janji tak akan sakat kau lagi.” Filia membisu. Farhan masih cuba menjernihkan
keadaan “Angin pantai ni, sejuk juga petang-petang macam ni.”
Filia terus membalas
dengan, “Banyaklah kau punya sejuk. Rimaslah aku. Aku lebih suka bersendiri.
Aku lebih selesa begini.” luah Filia.
“Rugi gila.” ucap
Farhan perlahan.
“Apa yang rugi? Pada
aku, bila ada kawan ni buat menyemak sahaja. Bukannya boleh di pakai pun! Dan
untuk apa berkawan kalau langsung tiada keikhlasan?” Suaranya separuh berbisik.
Farhan
terus bertanya, “Kenapa dengan kau ni? Aku tengok kau ni macam bencikan
perkataan sahabat? Kau pernah di sakiti sahabat kau?” soalnya ingin tahu.
“Kenapa kau nak tahu? Ini hal aku! Dunia aku!”
suaranya mula melengking.
Farhan terkejut melihat
perubahan Filia. “Filia aku minta maaf aku bukan nak masuk campur hal kau, aku
rasa kau…”
“Kau rasa aku apa?’ suaranya mula mengendur.
“Walau apa pun yang
pernah terjadi antara kau dan sahabat kau. Kau jangan anggap semua orang pun
begitu.”
Filia membawa pandangan ke arah sekawanan
burung yang terbang membelah awan. Farhan tidak tahu perkara yang sebenarnya.
Kenyataannya amat menyakitkan.
“Kau tak payahlah nak
ceramah. Rimaslah.
One
more thing you need to know. Aku tak pernah anggap
semua orang macam kawan aku. Aku hanya tak nak bercampur. Faham?”
Farhan geleng.
“Bukankah lebih kurang sama sahaja. Kau tak nak berkawan sebabnya kau takut
orang lain pun akan buat benda yang sama macam kawan kau kan?”
Filia menjerit kuat.
“Diam!!! Lebih baik kau berambus sebelum aku sepak kau jatuh bawah.” Filia
sudah berdiri dan bersedia memulakan
serangannya.
“Filia aku hanya nak
memperbetulkan persepsi kau akan nilai persahabatan.” jelas Farhan.
Filia ketawa, ketawa
yang dibuat-buat. “Kau tak payah nak buat lawak. Kau dan aku bukannya rapat.
Aku rasa lebih baik kau balik.”
Farhan tidak berganjak.
Filia membuat keputusan kalau Farhan tak nak pergi lebih baik dia sendiri yang
angkat kaki dahulu.
“Filia kau tahu kan
dunia ni hanya tempat persinggahan? Akhirat sana yang kekal abadi. Jangan biar
hati kau sunyi. Kau patut keluar dari zon selesa. Mix up with people then
your life will be more meaningful!”
Sepi, yang
kedengaran hanyalah desiran ombak menghempas pantai.
“Apa kata sebagai permulaan biar aku
yang jadi kawan pertama kau?” Farhan menghulurkan tangannnya. “Aku janji takkan
tanya perkara yang berkaitan sahabat kau dahulu melainkan kau sendiri yang rela
bercerita.”
Luka lama masih lagi
terasa. Apakah benar yang di katakan Farhan? Dia terlalu selesa dengan hidupnya
ini? Filia senyum. Anggukan darinya menunjukkan dia menerima huluran
persahabatan dari Farhan, namun huluran tangan Farhan tidak dibalasnya.
Farhan mengukir senyum.
“Angguk tu, maknanya kau setujulah? So deal, we are friend?”
Filia juga tersenyum
“Baiklah, tapi kalau aku masih tidak dapat…” Filia tidak menyambung ayat seterusnya.
Farhan mengangguk tanda mengerti. “But for now we are
friend.”
“Yes, we are.”
Matanya di bawa ke tengah pantai.
Farhan turut menghantar
pandangannya, menikmati panorama indah di kala senja kian menjelma. “Filia aku
nak tanya sikit? Shasha tu bukan kawan kau kan?”
Filia merenung dalam ke
arah anak mata Farhan. “Kau rasa aku patut sepak kau sekarang atau tidak?”
Farhan
terus bangun dan melompat ke bawah. Filia ketawa geli hati. Farhan menggaru
kepala. Ceh, dia kenakan aku rupanya.