FILIA
RALIT menghadap foto-foto yang baharu di berikan Farhan. Dia tersenyum.
Pelbagai karenah dan ragam orang ramai boleh dilihat di showcase Ariel,
yang paling mengujakan dapat bergambar dengan para artis terkenal.
Filia
ketawa sendiri. Ini yang terbaik apabila mendapat kawan yang juga seorang
penyanyi terkenal. Dia juga boleh menumpang sekaki terberkenalan dengan mereka.
Senyuman masih tidak lekang di bibirnya. Jikalau dahulu memang dia agak bengang
dengan Farhan kerana membohonginya. Akan tetapi kini dia sudah boleh menerima ‘split personality’
Si Farhan Nerdy yang langsung tidak nerdy ini.
Filia tidak menyedari akan
kehadiran Tira. Tira langsung duduk di sebelah Filia. “Mak aih,” suara Tira mencelah di tepi
telinganya.
Filia
hampir terlompat, pantas dia menutup album di tangannya. “Bagilah salam ini
tidak main terjah macam itu sahaja.”
“Salam?
Dah wassalam dah pun. Berkerak tekak aku ini. Aku ketuk pintu pun kau buat tak
tahu sahaja. Jadi aku terus serbu masuk”
Tira menarik senyum segaris. Kening di angkat.
“Ini
kenapa pula? Tadi membebel tiba-tiba senyum? Apa hal ini?”
“Kawan,
cukup sudah. Tidak usahlah pakai sembunyi segala. Mari sini aku nak tengok
album gambar itu.” Terus dirampasnya album di tangan temannya itu.
Filia
tersentak. Tira jelir lidah lalu menyelak helaian yang pertama. Matanya
membulat. “Mesranya gambar kau dan Ariel. Fikri pun ada? Dashyat tu.” Tira
pandang Filia penuh tanda tanya.
Filia
tarik album. “Mana ada biasa sahaja, bak sini balik.”
Tira
berdegil. Dia pasti Filia ada menyembunyikan sesuatu. “Janganlah kedekut. Aik,
yang ini di restoran masa kita berempat keluar sekali. Farhan pula tetiba
sahaja missing in action? Ke mana dia pergi ?”
“Tira,
kau ni apa hal. Sudahlah aku nak tidur.” Filia menyambar foto album dari tangan
Tira.
“Kau
nak tahu satu perkara tidak? Sebenarnya aku tahu satu rahsia ini. Besarlah
juga.”
“Tahu
apa?” Filia menepis kemungkinan Tira tahu akan siapa Farhan yang sebenarnya.
Mustahil!
“Identiti
Farhan? Atau aku patut gelar dia dengan nama yang sepatutnya?”
“Merepeklah
kau.”
“Tidak.
Aku siap ada bukti. Gambar kau bersama Farhan di showcase
Ariel. Setahu aku Farhan dia kurang meminati artis lelaki melainkan…”
Filia
kelu. Mulutnya terkunci. Memang sah itu
aku dengan Farhan di belakang pentas dan macam mana pula Tira boleh snap gambar
ni? Tira ni part-timer reporter ke?
“Tira
ini bermakna, kau tahu yang Farhan itu..?” Filia musykil. Benarkah Tira
mengetahuinya atau dia hanya serkap jarang.
“Ya,
aku tahu. Sebenarnya sudah agak lama juga aku tahu. Ingat tak lagi, semasa kau hendak
hantar jaket Farhan tu, aku ikut kau dari belakang.”
Filia
teringat kembali, memang Farhan ada memesan padanya supaya menghantar jaket yang
dipinjamkannya kepada Filia. Farhan memang tidak betah jika tidak memakainya di
konsert.
“Jadi
kau ikut aku? Aku kan minta kau tunggu di tempat parkir. ..”
“Ya,
tetapi rasa ingin tahu aku membuak-buak. Hati aku rasa macam ada sesuatu yang
tidak kena. Mengapa siang hari Farhan minta kau kirimkan jaket setebal itu? Aku
ikut gerak hati dan intip kau sehinggalah aku nampak Ariel berdiri di luar
bilik persalinan artis.”
“Kau
mengekori aku hingga ke dalam?” Mulut Filia ternganga luas.
“Aku
benar-benar minta maaf, aku tidak sengaja. Aku hanya hendak tahu benda apa yang
kau cuba hendak rahsiakan dari aku. Bila Fikri pun ada sekali ketika itu,
ramalan aku jadi benar belaka. Lidah aku bagai di gam.”
Filia
pandang Tira “Kau marahkan aku? Sebab sembunyikan hal ini dari pengetahuan kau?”
Tira
geleng. “Tidak sebab aku tahu, Farhan pasti minta kau jangan bongkarkan rahsia
ini.”
Deringan
telefon bimbit milik Filia menghentikan perbualan mereka. Usai salam di jawab,
bibir Filia mengukir senyum ceria.
“Ibu
nak Filia jemput di terminal? Ayah pun ada sekali? Baik, esok kita jumpa.!”
Filia
memeluk Tira. “Tahu tak esok ibu dan ayah aku nak datang sini.” Beritahu Filia
dengan riangnya. “Sudah hampir 3 bulan sejak mereka berdua ditugaskan untuk
bantuan di Palestin.”
Tira
turut teruja untuk mengetahui lebih lanjut. “Bagusnya dapat menghulurkan
bantuan pada mereka di sana. Kalaulah aku pun diberi peluang macam ibu dan ayah
kau, aku pun mahu turut serta. Mesti ramai sukarelawan dan doktor seperti ibu
bapa kau dari seluruh pelusuk dunia ini mengharapkan dapat berkhidmat untuk
rakyat Palestin tetapi itulah terlalu banyak sekatan yang dikenakan oleh
Israel. Misi Keamanan Palestin dari negara kita bernasib baik kerana berjaya
melepasi sekatan mereka.”
“Syukur
pada-Nya, kalau niat kita baik ianya tentu dipermudahkan!”
Mereka berdua merenung jauh moga masih ada
sinar buat saudara seislam di Palestin, dengan izin-Nya pasti ianya akan menjadi
kenyataan.
NAFAS
SHASHA tersekat-sekat menahan penat. “Filia, kau tahu tak?”
Filia mengangkat muka dari bacaan novel.
“Apanya?”
Shasha
sengih. “Ariel dia nak buat konsert di sini bulan depan di stadium bola!”
Filia merenung jauh. Berita itu sudah pun dia
ketahui terlebih dahulu. Al-maklumlah dia sekarang merupakan penasihat tidak
bergaji kepada Ariel.
Shasha
menggoncang badan Filia. “Filia terujanya aku tak sabar rasanya nak tengok
konsert Ariel yang julung kali diadakan di pantai timur. Mesti gempak kan?”
Filia
hanya membalas dengan anggukan.
Shasha
sedikit menempelak apabila melihatkan Filia tampak kurang berminat dengan
ceritanya. “Filia cakaplah sesuatu, dari tadi asyik diam sahaja. Kau pun fans
Ariel juga kan?”
Filia
angguk lagi, kali ini dia mula bersuara, “Ya, tetapi takkanlah sampai aku nak
menjerit sampai pecah anak tekak kot? Aku bukannya fanatik macam sesetengah
orang itu..”
Shasha
cebik bibir. “Pegi da. Dulu satu bilik kau ni penuh dengan poster Ariel apa
cerita? Mengata aku, dia pun lebih kurang aja. Hairan aku benda apa yang dah
merasuk kau hingga membuatkan kau slow
down dengan hal Ariel ini?”
Filia
senyum tawar. Dia tidak tahu jawapan apa yang boleh meyakinkan Shasha supaya
tidak mengesyaki yang bukan-bukan. “Bukanlah macam tu, dia masih sumber
inspirasi aku. Aku bukannya seorang yang fanatik, aku kagum dengan suara dan
bakat dia itu sahaja.”
Ketawa
Shasha pecah. “Suka hati kaulah, asalkan kau bahagia.” Bingkai gambar di tepi
katil menggamit perhatian Shasha, di ambil dan direnungnya lama. “Tetapi aku
musykillah?”
“Musykil?
Maksudnya?”
“Gambar
kau dan Ariel ni, nampak macam tersangat rapat. Macam kau orang berdua
bersahabat baik. Entahlah ini pendapat aku saja. Takkanlah kau dan Ariel ada
skandal itu memang mustahil.”
Filia
tidak memberikan sebarang reaksi. Sebenarnya dia lebih kepada risau jika Shasha
dapat mengesan perubahan riak wajahnya.
Tira
yang baharu sahaja pulang dari kuliah dan terdengar perbualan antara mereka
berdua hanya mampu menahan tawanya agar tidak meletus. Dia terus mengambil
tempat di sebelah Filia.
Kini,
apabila Tira juga sudah mengetahui perkara yang sebenar barulah dia sedar
mengapa dahulu Filia cuba mengelak daripada Shasha. Jadi tidak menghairankan
baginya jika Filia ‘geli’ minat dengan kawan sendiri. Paling kelakar, habis
semua poster yang dilekatkan di dalam bilik asrama di tanggalkan dan di letak
di dalam laci.
Filia
yang perasan akan tingkah laku Tira, spontan tangannya mencubit mesra lengan
temannya itu. Sejurus selepas Shasha beredar, terburai ketawa Tira.
“Sumpah, aku tak tahan. Perut aku ni dah macam
kena sembelit. Melucukan! Cerita kau ni kalau di buat filem sah pecah
panggung.”
Tira
menyambung lagi, “Geli hati aku tengok Shasha soal siasat kau.”
Filia
tarik muka “Tira yang kau ni pun dah ada dekat luar tadi kenapa tak masuk saja,
bukannya dia nak tolong di gelakkan kita pula,” Fila merajuk, mukanya mencuka.
Tira
senyum. “Kau nak aku buat macam mana? Aku cuma rasa lucu gila. Kau dan Ariel
skandal? Memang terbaiklah kalau benda ini betul. Akan heboh satu poli dan satu
Malaysia!”
Meledak
tawa mereka berdua.
“Sudahlah
pergi mandi, bau kambinglah.” Filia menolak badan Tira.
Tira
mencebik. “Kata aku kau pun sama bau hapak!”
Filia sengih. “Cepat sikit nanti ibu dan ayah
aku dok tunggu kenapa kita tak sampai lagi”
Mata
Tira bersinar “ Eh, betullah hari ni kan?” Tira sudah menghilang ke dalam bilik
mandi.
Filia
angkat kening. “Ibu dan ayah aku yang nak datang dia pula terlebih teruja.”
TERMINAL
semakin sesak dengan ketibaan bas yang ingin mengambil dan menurunkan penumpang
juga orang ramai yang ingin menuju ke destinasi masing-masing.
“Ibu
dan ayah sudah sampaikah belum?” Telefon bimbit didekatkan lagi ke telinga.
Hinggar di terminal menyukarkan Filia mendengar suara ibunya. Matanya melilau
mencari kelibat ibu dan ayahnya.
Tira
membawa bungkusan minuman lalu duduk disebelah temannya itu. Keningnya
terangkat bertanya. Filia angkat bahu tanda dia juga tidak tahu. Jam di tangan
di pandang sekilas. Tidak mungkin dia terlambat. Suara ibunya, Puan Eliza
menjawab, “Ibu dan ayah di belakang awak saja.” Filia menoleh, di usap dadanya
perlahan terkejut di tegur begitu. Tira turut menoleh.
Filia
sengih. “Ibu. Ayah.” Dia tunduk menyalami kedua orang tuanya. Tira membalas
salaman dari ibu Filia. Pada ayah Filia, hanya senyuman yang diberikan.
“Ibu,
ayah mari kita ke gerai depan tu,” ajak Filia. Dia menolong mengangkat
sebahagian beg yang di bawa mereka. “Banyaknya barang. Ibu bawa buah tangan apa
untuk Filia? ”
Puan
Eliza memaut mesra bahu anaknya. “Bertuah punya anak bukannya dia nak tanya
ibunya ini sihat ke tidak? ” Filia menggigit bibir. “Minta maaf, madam.”
Tira
senyum melihat kemesraan mereka berdua. Ayah Filia menyampuk. “Ibu dan anak
kalau bertemu beginilah jadinya. Ayah diketepikan.”
Tira
ketawa mendengar kata-kata ayah Filia. “Pak cik dan mak cik tinggal di mana
nanti?” dia bertanya sambil tangan
membantu memberi minuman yang di bawa oleh pelayan. Jawab ayah Filia, “Di hotellah agaknya. Kenapa?”
Tira
pandang Filia. Filia angguk. Ibu dan ayah Filia pandang mereka berdua. “Begini
pak cik, mak cik. Saya ada beritahu ibu dan ayah dan dia orang berbesar hati
kalau pak cik dan mak cik sudi bermalam di rumah kami.” Ibu dan ayah Filia
terdiam.
“Saya
tinggal di hostel jadi bilik saya terbiar kosong. Saya fikir kalau pak cik dan
mak cik sudi, saya boleh bawa pak cik dan mak cik ke rumah saya.” tutur Tira
hati-hati bimbang juga dia jika tersinggung hati mereka berdua.
Filia
pula berkata “Ibu dan ayah tak perlu bimbang. Ibu dan ayah Tira pesara kerajaan
mereka lagi suka dapat menambah kenalan.” Mereka berdua angguk perlahan. “Kalau
begitu, tidak ada alasan untuk kami menolak.” ujar Puan Eliza.
MULUT Filia becok menerangkan itu dan ini di
sepanjang perjalanan. Sebaik sahaja kuliah terakhir berakhir dia terus
mendapatkan kedua ibu bapanya di rumah Tira lalu membawa mereka bersiar-siar di
sekitar bandar.
“Filia
kita berhenti makan dulu, ibu dah laparlah.” Filia senyum. Wajah ibunya tampak
keletihan. Ayahnya angguk menyetujui kata-kata ibunya itu. Sebaik sahaja
selesai menjamah makanan mereka singgah di sebuah taman rekreasi yang
berdekatan. Semakin ramai pengunjung membanjiri kawasan rekreasi ini.
Keriangan
sekumpulan kanak-kanak menarik perhatian mereka bertiga. “Ayah..” panggil
Filia. Ayahnya menatap wajah Filia. Bertanya kenapa. “Dekat Palestin tentu
susah nak melihat suasana yang sebegini kan?”
Senyum ayah Filia tampak pudar sebelum berkata,
“Ada tetapi jarang, berlainan dengan kanak-kanak kat sini yang tak perlu risau akan kehilangan
sahabat atau ibu bapa mereka bakal di bom atau di tindas oleh rejim yang kejam.
Disini kita hidup aman jadi kita patut menghargai keharmonian negara kita.
Susah bagi ayah untuk melihat setiap wajah kanak-kanak di Palestin benar-benar
tersenyum.”
Filia
memeluk erat bahu ayahnya. Dia yang mendengar sudah terasa sebak. Ayahnya
tentulah berkali ganda pilu di hati apabila menyaksikan sendiri kedaifan dan
kesengsaraan hidup mereka.
“Ibu
pula tentu sukarkan nak merawat mereka? Dengan kelengkapan perubatan yang
kurang?” Filia tidak dapat menghilangkan rasa ingin tahunya.
Puan
Eliza berkata “Ya, jujur ibu katakan minggu pertama kami disana amat
menyukarkan. Stok ubatan yang kami bekalkan habis. Kebetulan misi keamanan dari
negara lain turut bekerjasama menghulurkan bantuan mereka setakat yang
termampu. Segala puji bagi-Nya, semuanya berjalan lancar.”
Filia
merenung jauh mendengar kata-kata ibunya. Kepalanya dilentokkan ke bahu ibunya.
“Segala puji bagi-Nya juga kerana mengembalikan ibu dan ayah dengan selamat.”
tuturnya perlahan. Mata mereka bertiga kembali tertumpu ke arah sekumpulan
kanak-kanak tadi.
“Filia
are you feeling okay?”
Pertanyaan ibunya di biar sepi. Ayah Filia angkat kening bertanya. Filia
angguk. “Filia sihat. Ibu dan ayah tak perlu risau dan tolong jangan kata
apa-apa pada Tira. Tolong!” Wajah Filia penuh mengharap.
Kegusaran
tetap terpancar jelas di wajah mereka berdua. Ibu bapa mana yang tidak
sayangkan anak, sementelah mengetahui kesihatannya tidak menentu.
“Filia,
ibu awak ni doktor jadi ibu amat peka kalau ada sesuatu yang tidak kena pada
anak ibu ni.” Kedengaran lirih suara ibunya.
Filia menggetap bibir. “Ibu, seriously I am really okay!”
ujarnya cuba menyakinkan.
Keluhan
perlahan dilepaskan. Ibunya mengangguk.
Hampir
seminggu sebelum dia menjejakkan kaki ke Palestin berita tentang penyakit Filia
telah mengugat perancangannya untuk mengikuti misi keamanan. Itu pun dia di
beritahu secara tidak
sengaja
oleh rakan setugasnya yang kebetulan mengesahkan penyakit anak tunggalnya itu.
Filia ketika itu bertegas dan berkata keadaannya baik, dia beralasan
kemungkinan ujian yang dijalankan tidak benar.
“Kalau
rasa tidak sihat jangan ke mana-mana stay
saja di hostel.” pesan ayah Filia setelah seketika mendiamkan diri. Filia
menjawab perlahan. “Baik, doctors.”
HARI
INI hujung minggu jadi Filia dan Tira memutuskan untuk bermalam di rumah Tira.
Hari ini juga hari terakhir bagi kedua ibu bapa Filia kerana esok petang mereka
akan berangkat pulang. Halaman ruang tamu kecoh dengan suara Tira dan Filia
bercerita mengenai hal kuliah dan rakan-rakan sekuliah. Ada yang melucukan, ada
juga yang memalukan.
“Kalau
nak tahu Filia ni kalau bukan Tira yang kejutkan dia gerenti kuliah dia
tertuang. Tidur mengalahkan apa entah.”
Ibu
Filia ketawa. “Di rumah pun macam tu, kalau cuti hujung minggu menjadilah
malasnya, Azura. Kejutlah dua tiga kali tetap liat mata dia nak terbuka.” Laju
mulut Puan Eliza bercerita kepada ibu Tira, Puan Azura.
Filia
menebar pandangan, “Ibu, ayah ke mana?” Jawab Puan Eliza, “Tadi dia ada di
luar.”
Puan
Azura menyampuk, “Saya ada lihat Abang Helmi dengan suami saya pegang peralatan
memancing, agaknya mereka ke sungai dekat hujung kampung sana tangkap ikanlah
tu.”
Filia
sengih.“Habislah nanti, ayah saya tu memang kaki pancing, memang kenalah
sangat.”
Terhambur
ketawa mereka.
“Satu
lagi mak cik Liza, Filia memang pandai tukar topik perbualan agaknya berjangkit
dengan Farhan.” Filia cepat-cepat menekup mulut Tira.
Ibu
mereka berdua saling berpandangan.
Puan
Eliza merenung tajam ke arah Filia. “Dalam diam rupanya ada teman tapi mesra.”
Filia
sengih. “Ibu, dia kawan sahajalah.” Jelingan tajam di berikan kepada Tira yang
sudah terkukik ketawa di sebelah Puan Azura.
“Gelakkan
orang dia pun sama Chik Zura, secret
admire dia Si Zikri tu bertahun tunggu dia
tapi dia jual mahal.” Filia mengorak senyum kemenangan.
Tumpuan
beralih ke arah Tira. Tira senyum kelat. “Mana ada, Filia reka aja cerita tu.”
Filia
menongkat dagu kemudian keningnya di angkat. “Ada aja. Itu memang kenyataan.”
Tira
bangun dan cuba mencubit Filia. Filia pantas berlari menyelamatkan diri
daripada menjadi mangsa cubitan Tira. Mereka saling berkejaran seperti budak
kecil tidak cukup tanah. Ibu mereka berdua hanya mampu menggeleng perlahan
melihat telatah mereka sebelum menghamburkan tawa.
PUAN
Eliza menapak perlahan memasuki bilik tetamu. Tira menyahut. “Mak Cik Liza,
Filia dah tidur nak saya kejutkan dia?”
Perlahan
dia menggeleng. “Tak perlu, sebenarnya mak cik nak bercakap sikit dengan Tira,
berkenaan hal Filia. Kita sembang di luar?”
Tira
menuruti langkah Puan Eliza. Puan Eliza membuka kata. Dia menarik nafas
panjang. “Filia, dia sebenarnya kurang sihat.”
Tira
tekun mendengar apa yang ingin di sampaikan oleh Puan Eliza. Dadanya sedikit
berdebar. Apakah ibu Filia turut mengetahui? Benar juga takkanlah keluarga
sendiri pun hendak di rahsiakan.
“Maksud mak cik Liza?” tanya Tira meskipun dia
sudah menjangkakannya.
“Selama
ini, Filia merahsiakan sesuatu dari kami. Sebagai doktor mak cik dapat rasakan Filia bukannya pening
atau sakit kepala yang biasa. Kekerapan sakitnya menyerang terlalu
membimbangkan mak cik dan pak cik Helmi. Mak cik berkeras mahu membawa dia
menerima ujian tetapi Filia tetap berdegil berbagai alasan yang dia berikan.
Sehinggalah
seminggu sebelum kami berangkat ke Palestin barulah kami mendapat tahu, itupun
kebetulan dari rakan setugas mak cik yang bertanggung-jawab mengesahkan
penyakit Filia.” Ada air mata yang bergenang di tubir mata Puan Eliza.
Tira
sendiri cuba menahan air matanya daripada jatuh.
“Filia
larang mak cik beritahu Tira tapi mak cik...”
Tira
memeluk erat ibu sahabatnya itu. “Mak Cik
Liza, Tira sudah lama tahu. Filia selalu kata dia telan vitamin. Tira
tak percaya, sebabnya setiap kali dia telan vitamin tu, wajah dia pucat
sangat.”
Puan
Eliza angkat muka. “Selama ini Tira dah tahu?”
Tira
angguk. “Saya pantau kesihatan dia dalam diam. Saya jumpa doktor, dan ternyata
tekaan saya memang tepat, barah otak.”
Suaranya bergetar menahan sebak, muka diraup.
“Saya
kelu seribu bahasa. Tangan saya terketar bila doktor beri saya laporan sampel
ubat yang di telan Filia saban minggu. Setiap malam saya pandang wajah Filia,
masihkah ada hari esok untuk sahabatku ini menjalani hidupnya. Saban malam saya
berdoa, supaya di sembuhkan penyakitnya.”
Air
mata sudah merembes keluar tanpa dapat di tahan lagi. “Barulah saya faham
mengapa dulu Filia sering mengasingkan dirinya. Rupanya derita yang di
alaminya…”
Sepi.
Mahu pun Tira atau Puan Eliza terdiam seribu bahasa; saat sepasang mata itu
bertentangan dengan mereka berdua.
Pantas
Tira merangkul badan sahabatnya itu. “Maafkan aku. Aku tak patut buat begini
tapi aku benar-benar sangsi.”
Pipi
Filia sudah basah dengan air mata sejak dari mula dia terdengar perbualan
ibunya dan Tira. Filia tidak tidur dia hanya mahu melelapkan mata seketika,
selepas itu dia terdengar ibunya memanggil Tira, dia lantas berpura-pura tidur
namun tidak disangkanya ibunya membongkarkan rahsia tentang penyakitnya dan
sebaliknya pula Tira sudah lama tahu.
“Janji
dengan aku. Simpan rahsia ni. Aku tak mahu yang lain tahu.” ujar Filia sambil
jemarinya mengesat perlahan saki baki air mata dari pipi Tira. Tira angguk.
Ibu
Filia menghampiri anaknya. “Tira mak cik amanahkan Filia dalam jagaan Tira.
Kalau dia berdegil tak nak makan ubat Tira repot pada makcik” Air mata Puan
Eliza jatuh lagi. Filia dan Tira di peluknya erat.