Home Novel Cinta Tersilap Pinang Isteri
Tersilap Pinang Isteri
Niesya Hanie
20/6/2014 13:54:43
66,834
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 6
     HARI berganti hari, minggu berganti minggu. Hubungan Syarina Azwana dan Hairul Zafrel semakin intim. Boleh dikatakan setiap hari Hairul Zafrel akan menghubungi kekasih hati yang disangkanya Syarina Azwani. Hubungan mereka juga direstui Encik Rostam dan Puan Rosmini walaupun dia belum sempat memperkenalkan diri kepada kedua-dua ibu bapa kekasih hatinya itu.
     “Jenn, I nak keluar sekejap. Nak ajak buah hati makan.”
     “Hmm... nak jumpa Zwani ya, bos? Amboi... sejak kebelakangan ni boleh dikatakan hari-hari bos makan dengan dia. Tak jemu ke, bos?” usik Jenny.
     “Jemu? Tak ada pulak. Agaknya I memang dah syok sangat bercinta, tu yang tak jemu-jemu tu,” jawab Hairul Zafrel sambil menuju ke arah pintu keluar.
     Jenny hanya tersenyum melihat gelagat majikannya.
     “Jenn, kenapa aku tengok bos sejak kebelakangan ni happy semacam aje?” tanya Linda.
     “Biasalah tu, Linda. Kau ni macam tak tahu, kan bos tengah angau dengan kerani Mr. Lim tu,” terang Jenny.
     “Zwani ke? Jadi ke bos dengan dia?”
     “Kalau angaunya dah sampai macam tu, jadilah tu,” balas Jenny, ringkas.
     “Alhamdulillah, aku memang sentiasa doakan moga-moga bos dapat isteri yang baik-baik macam Syarina Azwani tu.”
     “Iyalah, pada aku, mereka berdua memang sepadan. Bos baik, Zwani pun baik. Suka senyum, cantik pulak tu,” puji Jenny.
     “Aku sokong.”
     “Dahlah, jom kita lunch sama-sama. Hari ni boyfriend aku tak datang agaknya,” ajak Jenny.
     “Boleh tapi aku kena tunggu mamat office boy kita tu. Katanya sekejap lagi sampai sebab bos suruh hantar story board ni kat pelanggan petang ni jugak,” terang Linda.

     DI pejabat Mr. Lim, Syarina Azwani dan Norin sedang sibuk mengemas fail lama di dalam bilik simpanan. Banyak dokumen yang sudah dimakan lipas dan ada juga yang telah berwarna kekuningan. Dokumen yang dirasakan boleh digunakan semula dilabel baik-baik dan disusun semula di atas rak. Mr. dan Mrs. Lim amat sayangkan kedua-dua pekerjanya.
     “Zwani, akak tengok Zwani dengan Erul dah semakin rapat. Ada apa-apa ke?” soal Norin.
     “Tak ada apa-apalah, kak. Kami kawan biasa aje,” jawab Syarina Azwani, ringkas.
     “Tapi akak rasa macam ada apa-apa aje. Janganlah malu dengan akak. Ceritalah, akak nak tahu jugak,” desak Norin.
     “Entahlah kak, kadangkala Zwani pun confuse dengan Encik Erul tu. Dia selalu cakap benda yang bukan-bukan. Kadang-kadang tu Zwani sampai tak faham apa yang dia maksudkan,” luah Syarina Azwani lagi.
     “Akak tak fahamlah. Apa maksud Zwani?” soal Norin.
     “Entahlah kak, kadang-kadang dia cakap yang bukan-bukan. Akak tengoklah sejak kebelakangan ni, tak pasal-pasal panggil Zwani sayanglah, ajak lunch sama-samalah dan macam-macam lagi. Zwani tak fahamlah, kak. Macamlah dia kenal Zwani sangat,” luah Syarina Azwani.
     “Agaknya Erul tu dah jatuh cinta kat Zwani tak? Tengoklah Mr. Lim dan Mrs. Lim pun ada cakap kat akak yang Zwani dengan Erul tu memang sepadan,” komen Norin.
     Syarina Azwani hanya tersenyum dengan pandangan Norin yang kadangkala memang mencuit hatinya. Dalam diam dia juga mengakui kata-kata Norin. Mungkin benar Hairul Zafrel sudah jatuh hati dengannya dan dia juga mengagumi lelaki itu.
     “Zwani, your boyfriend coming already,” panggil Mrs. Lim.
     “Haa... kan akak dah cakap, tu mesti Erul yang datang nak ajak lunch. Hai, bertuahnya badan hari-hari dapat makan sedap dengan pakwe handsome pulak tu,” usik Norin.
     “Mana ada, kak. Kalau akak nak ikut, boleh Zwani cakap dengan Encik Erul.”
     “Tak naklah kacau daun. Lagipun suami akak kejap lagi mesti datang,” terang Norin.
     “Okeylah kak, kita sambung jam 2.30 nanti ya.
     ”Norin hanya mengangguk tanda bersetuju sambil membetulkan rambut Syarina Azwani yang kelihatan kusut di matanya.
     “Thanks, kak,” ucap Syarina Azwani sambil mencium pipi Norin.
     “Hai, sayang. Jom kita pergi makan,” ajak Hairul Zafrel, kegembiraan apabila melihat Syarina Azwani keluar dari bilik simpanan fail.
     “Hai,” balas Syarina Azwani, ringkas.
     “Mrs. Lim, I borrow your staff.”
     “Okey,” balas Mrs. Lim, ringkas.
     Syarina Azwani mengekori Hairul Zafrel menuju ke kereta. Seperti biasa Hairul Zafrel akan membukakan pintu untuk kekasih yang amat dicintainya. Satu-satunya gadis yangamat dikasihi dan disanjung walaupun kadangkala dia juga tertanya-tanya dengan sikap kekasihnya yang berubah-ubah. Di pejabat, Syarina Azwani amat sopan dan terlalu menjaga tatatertib seorang wanita sejati manakala jika mereka keluar bersama pada hari minggu atau pada waktu malam, Syarina Azwani akan berubah seperti seorang gadis liar yang seksi dan mengada-ngada.
     Hairul Zafrel pernah berasa cemburu dan ingin memutuskan perhubungan mereka apabila dengan selambanya Syarina Azwani telah membenarkan seorang lelaki mencium pipinya di hadapan matanya. Ketika itu dirasakan jiwanya telah hilang dari jasadnya. Apabila ditegur, Syarina Azwani akan mengatakan dia lelaki yang tidak pandai bersosial.
     Hatinya kerap disakiti apabila mereka keluar pada hujung minggu dan kesakitan itu biasanya akan terubat apabila mereka bertemu pada hari bekerja. Syarina Azwani akan bertutur dengan sopan dan lembut membuatkan hatinya yang terluka akan sembuh tanpa meninggalkan parut. Syarina Azwani sepertinya mudah melupakan punca pertelingkahan mereka. Dia menjadi seorang yang amat berbeza.
     “Encik Erul?” panggil Syarina Azwani lagi.
     “Hah?”Hairul Zafrel tersedar daripada lamunan.
     “Kenapa ni?” tanya Syarina Azwani.
     “Maaf, abang mengelamun tadi. Kita makan nasi ayam KFC kesukaan sayang ya?” cadang Hairul Zafrel.
     “Nasi ayam KFC? Tu makanan kegemaran kakak Zwani,” jawab Syarina Azwani, lembut.
     “Dan makanan kegemaran sayang jugak, kan?” soal Hairul Zafrel lagi.
     “Mana ada, Zwani suka makan mi goreng mamak.”
     “Sayang ni pandai betul melawak. Hari tu cakap sayang suka makan nasi ayam KFC, hari ni dah mi goreng mamak esok apa pulak,” pintas Hairul Zafrel pula.
     “Encik Erul yang salah dengar kut? Zwani memang suka mi goreng mamak”
     “Sayang, please jangan panggil Encik Erul.”
     “Habis Zwani nak panggil apa?” soal Syarina Azwani.
     “Just call me abang, macam yang kita pernah persetujui. Please ya, sayang.”
     “Abang? Zwani pernah cakap nak panggil Encik Erul abang ke?” soal Syarina Azwani sambil mengangkat kening.
     “Dah...dah...buat-buat lupa lagilah tu.”
     “Tapi Zwani tak...”
     “Dah, panggil abang aje. Kalau tak abang cium sayang nanti,” ugut Hairul Zafrel sambil memegang tangan Syarina Azwani.
     Syarina Azwani cepat-cepat menarik tangannya daripada genggaman Hairul Zafrel. Hatinya berdebar-debar dan terasa panas menjalar ke mukanya menahan malu kerana diperlakukan seperti itu. Inilah pertama kali seorang lelaki memegang tangannya dan perlakuannya itu telah memeranjatkan Hairul Zafrel.
     Kenapa dia tarik tangan? Macamlah aku tak pernah pegang tangan dia. Kenapa dia berubah bila... ah, malas aku nak fikir. Mungkin dia malu kalau ada kawan-kawannya yang terserempak dengan kami, getus Hairul Zafrel.
     Pon! Pon! Pon!
     Lori di belakang membunyikan hon.
     “Opocot! Terperanjat abang. Kurang ajar punya lori!” rengus Hairul Zafrel tidak puas hati.
     “Kenapa Encik Erul marahkan pemandu lori tu? Kan Encik Erul yang salah.”
     “Yalah, Cik Syarina Azwani sayang. Abang salah, maaf ya,” ucap Hairul Zafrel, lembut.
     Syarina Azwani tersenyum.
     “Okey, kita dah sampai. Kejap ya, abang bukakan pintu untuk sayang,” ujar Hairul Zafrel, kemudian cepat-cepat keluar dari kereta untuk membukakan pintu buat kekasihnya.
     “Silakan, sayang,” ujar Hairul Zafrel sambil menunduk.
     “Encik Erul, Zwani boleh buka sendirilah. Buat malu aje kalau ada orang nampak,” ujar Syarina Azwani.
     “Sayang ni macam tak biasa pulak. And one more, please don’t call me Encik Erul. Just call me abang. Okay?” pinta Hairul Zafrel lagi.
     Dia berasa kurang senang apabila Syarina Azwani asyik memanggilnya dengan panggilan Encik Erul.
     “Okeylah, mulai hari ni Zwani akan panggil Encik Erul dengan panggilan abang. Puas hati?”
     “Hmm... macam nilah buah hati abang” balas Hairul Zafrel sambil terus masuk ke dalam restoran makanan segera KFC.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Niesya Hanie