Home Novel Cinta Tersilap Pinang Isteri
Tersilap Pinang Isteri
Niesya Hanie
20/6/2014 13:54:43
66,911
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 7
     “ABANG, bilalah kita nak dapat cucu macam Ungku Hamidah tu?” soal Datin Aida.
     “Hmm... awak ni gopoh sangat nakkan cucu. Menantu pun kita belum ada, jangan berangan nakkan cuculah, Ida,” balas Datuk Mokhtar, selamba.
     “Iyalah bang, saya pun bukannya tak berusaha nak carikan isteri untuk anak kita tu, tapi awak tahu ajelah Erul tu. Bukannya dia berkenan dengan semua calon yang saya cari. Ada aje alasannya nak mengelak,” leter Datin Aida, panjang lebar.
     “Awak dah cuba kenalkan dia dengan Sherry, anak Datin Normah? Abang tengok, cantik jugak budak tu,” cadang Datuk Mokhtar lagi.
   “Dahlah bang tapi Erul tak berkenan kat budak Sherry tu. Katanya tak serasi dengan jiwalah, tak sepadanlah, tulah nilah, macam-macam lagi.”
     “Kalau macam tu, biar dia cari sendiri calon yang dia suka. Lagipun yang nak kahwin dia, bukan kita. Abang tak kisah dia nak kahwin dengan siapa pun. Anak orang kaya ke, tak ke, yang penting abang nak tengok anak kita tu bahagia”
     Datin Aida hanya mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata suaminya. Dia cuma mengharapkan agar calon menantunya nanti mempunyai paras rupa yang cantik dan ayu supaya dia dapat menunjuk-nunjuk kepada teman-temannya.
     Trit! Trit! Trit!
     “Haa... panjang umur budak ni. Kita baru cakap pasal dia,” ujar Datuk Mokhtar.Datin Aida cepat-cepat mengambil telefon bimbit yang dihulurkan suaminya.
     “Helo... waalaikumussalam,” jawab Datin Aida.
     “Mama, Erul ada berita baik nak beritahu mama.”
     “Hmm... apa berita baik tu? Dapat projek baru lagi? Atau Erul dah sedia nak terajui syarikat papa?” soal Datin Aida, acuh tak acuh.
     “Bukanlah, ma. Kan mama pun tahu yang Erul nak berdikari. Sebenarnya Erul call ni nak beritahu yang Erul nak bawak balik bakal menantu mama petang ni.”
     “Apa? Apa? Cakap sekali lagi, mama nak dengar,” pinta Datin Aida.
     “Ya ma, saya, Hairul Zafrel Bin Datuk Mokhtar dengan ini memberitahu sejelas-jelasnya bahawa saya akan membawa pulang bakal isteri saya yang bernama Syarina Azwani pada petang ini selepas habis waktu kerja. Mama dengar tak?” ulang Hairul Zafrel.
     “Alhamdulillah... mama tunggu ya, sayang. Mama akan masak sedap-sedap untuk bakal menantu mama nanti,” ujar Datin Aida, gembira. 
     “Okey mama, kirim salam sayang Erul untuk papa. Jumpa petang nantilah ya. Assalamualaikum,” ucap Hairul Zafrel kemudian mematikan talian.
     “Waalaikumussalam. Anak awak kirim salam,” ujar Datin Aida sambil menghulurkan telefon bimbit kepada suaminya.
     “Waalaikumussalam, apa yang dia cakap? Berseri-seri muka awak saya tengok?” soal Datuk Mokhtar lagi.
     “Entahlah, macam mimpi lagi ni, bang. Anak bujang kita tu nak bawak bidadari dia jumpa kita petang ni.”
     “Hah? Apa awak cakap? Ya ke? Alhamdulillah, terbuka jugak hati anak kita tu ya, Ida. Abang ingatkan dia nak membujang sampai ke tua. Macam manalah rupanya bidadari yang dia cari selama ni, kan?”
     “Entahlah bang, harap-harap yang ni melekatlah jodoh mereka tu nanti. Mana bibik ya, bang? Bibik! Bibik!” laung Datin Aida.
     “Saya, Datin,” jawab Bibik Suminah, sopan.
     “Hari ni Erul nak bawa bakal menantu saya. Jadi bibik masak yang enak-enak ya,” arah Datin Aida.
     “Apa, Datin? Tuan Erul nak bawa bakal isterinya? Alhamdulillah, syukur ketemu jua dia sama jodohnya,” jawab Bibik Suminah sambil meraup muka dengan kedua-dua belah tapak tangan.
     “Ya bik, saya jugak senang dengan berita ni. Bibik masak yang enak dan kalau boleh bibik buatkan puding sekali ya.”
     Bibik Suminah hanya mengangguk dan berlalu ke dapur untuk melaksanakan tugas yang baru diberikan. Bibik Suminah telah lama bekerja dengan keluarga Datin Aida sejak Hairul Zafrel berusia tiga tahun. Dia juga berasa gembira apabila Hairul Zafrel yang telah dianggap seperti anak sendiri telah bersedia untuk berkahwin. Hairul Zafrel juga amat menghormati Bibik Suminah seperti dia menghormati mamanya.
     Di pejabat, Hairul Zafrel masih tersenyum-senyum sendirian. Petang ini dia akan memperkenalkan Syarina Azwani kepada kedua-dua orang tuanya. Persetujuan yang diucapkan Syarina Azwani di Restoran KFC tengah hari tadi membuatkan dia kerap melihat ke arah jam dinding.
     “Ah, baru jam 3.30 petang,” keluh Hairul Zafrel.
     “Syarina Azwani...”Hairul Zafrel menyebut nama kekasihnya.
     Memang aku dah terperangkap dalam cinta seorang gadis. Dah banyak kali jugak dia menyakiti perasaanku dan banyak kali jugak dia telah mengubati lukaku. Inikah namanya cinta? Kalau ini yang dinamakan cinta, aku kena banyak bersabar. Cuma yang sering buat aku tertanya-tanya, Syarina Azwani ni macam dua orang yang berbeza. Ah, mana mungkin! Aku banyak berkhayal agaknya, getus Hairul Zafrel.
     “Bos...bos...” panggil Linda.
     “Ya, Linda. Apa-apa pun, ketuklah pintu tu dulu,” tegur Hairul Zafrel.
     “Ops! Sorry bos, dah jam 5.00 petang ni. Tak nak balik ke? Jenn pun dah balik,” terang Linda.
     Majikannya sedari tadi dilihat tersenyum-senyum sendirian menghadap laptop.
     “Hah? Dah jam 5.00 ke?”
     Hairul Zafrel seakan-akan baru tersedar dari lamunan yang panjang. Lantas dia bingkas bangun dari kerusi dan membetulkan tali leher. Dia ingin kelihatan kemas di mata Syarina Azwani.
     “Dah handsome, bos,” usik Linda.
     “Iyalah. Linda, esok kamu tolong belikan bateri jam tu. Patutlah dari tadi saya tengok asyik jam 3.30 aje, rupa-rupanya dah mati,” pesan Hairul Zafrel sambil memuncungkan mulut ke arah jam yang dimaksudkan.
     “Okey, bos,” ujar Linda sambil tersenyum memandang jam yang telah kehabisan bateri.

     “HAI, sayang...” sapa Hairul Zafrel di muka pintu pejabat Syarina Azwani.
     “Assalamualaikum...” balas Syarina Azwani pula.
     “Hah, kan dah terkena. Lain kali cubalah jadi orang Melayu sikit kalau nakkan bunga kat sini,” perli Norin sambil tersengih menampakkan barisan giginya yang putih.
     “Waalaikumussalam... kan dah jawab ni. Kira dah jadi Melayu semulalah ni?”
     “Dah...dah...jangan nak main-main kat depan pintu ni. Zwani nak lalu susahlah,” ujar Syarina Azwani.
     “Hai, nampaknya ada orang cemburu, Erul. Sebelum saya kena ganyang, lebih baik saya cabut lari dulu. Bye...he...he...he...” ujar Norin sambil berlalu.
     “Pandai-pandai aje Kak Norin ni. Mana ada cemburu. Kan kami kawan aje,” sampuk Syarina Azwani.
     “Mana pulak kawan, kan kita pasangan kekasih,” sangkal Hairul Zafrel.
     “Ada-ada aje abang ni,” balas Syarina Azwani.Mukanya merah menahan malu.
     “Betullah, kan sekejap lagi sayang nak jumpa bakal mama mentua sayang. So are you ready?” soal Hairul Zafrel lagi.
     Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke kereta. Hairul Zafrel tidak sabar-sabar untuk memperkenalkan Syarina Azwani kepada kedua-dua orang tuanya. Bagi Syarina Azwani pula, dia berasa amat gementar kerana ini merupakan pengalaman pertamanya.
     “Kenapa diam aje, sayang? Takut?” soal Hairul Zafrel.
     “Taklah, Zwani cuma tak berapa selesa aje,” dalih Syarina Azwani, cuba menyembunyikan perasaan gementar.
     “Jangan takut, sayang. Mama dan papa abang tak makan orang. Dia orang makan nasi jugak, sama macam kita,” gurau Hairul Zafrel untuk mengurangkan perasaan gementar kekasihnya.
     “Abang sure ke nak kenalkan Zwani dengan kedua-dua orang tua abang?” soal Syarina Azwani lagi.
     “Yup,” jawab Hairul Zafrel, ringkas.
     “Tapi keluarga abang berkedudukan. Zwani tak selesalah, bang.
     ”Hairul Zafrel hanya tersenyum. Sesekali dia sempat menjeling ke arah kekasihnya yang kelihatan sedikit gelisah.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Niesya Hanie