Home Novel Cinta Tersilap Pinang Isteri
Tersilap Pinang Isteri
Niesya Hanie
20/6/2014 13:54:43
66,944
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 5

     “ASSALAMUALAIKUM...”
     “Waalaikumussalam... baru balik, Zwani?”
     “Ya, mak. Jalan jammed, ada accident tadi.”
     “Mak ada buat kuih karipap petang tadi. Zwani makanlah ya. Air pun mak dah siapkan kat atas meja tu,” sambung Puan Rosmini lagi.
     “Mak ni, Zwani kan dah besar. Tak usahlah mak susahkan diri buatkan Zwani air. Nanti kalau Zwani haus, pandailah Zwani ambil sendiri kat dapur tu,” jawab Syarina Azwani, lembut.
     “Tak apalah, Zwani. Mak kamu ni bukannya boleh duduk diam. Ada aje yang dibuatnya,” ujar Encik Rostam.
     Syarina Azwani terus ke bilik untuk mandi dan bersiap-siap untuk Solat Maghrib berjemaah dengan kedua-dua orang tuanya. Dia bersyukur kerana dikurniakan orang tua yang cukup menekankan bekalan untuk akhirat dan duniawi.
     “Dari waktu solat sampailah kita nak makan ni, Zwani tak nampak Kak Zwana pun, mak. Mana dia pergi?” soal Syarina Azwani sambil memandang Puan Rosmini yang sedang menuangkan air ke dalam gelas suaminya.
     “Haah, mana Zwana, Min? Abang tak nampak dia pun sejak abang balik tadi?” soal Encik Rostam pula.
     “Tadi dia keluar dengan Juita dan Maya. Katanya nak beli barang sikit. Iyalah kan, minggu depan dia dah mula kerja,” terang Puan Rosmini.
     “Min ni manjakan sangat budak tu,” rungut Encik Rostam.
     “Maafkan Min, bang. Kalau Min tahu dia nak balik lewat macam ni, Min tak izinkan dia keluar tadi,” ucap Puan Rosmini, kesal.
     “Kita kena jaga anak-anak kita dengan baik, Min. Zaman sekarang banyak perkara yang tak baik berlaku. Abang tak nak kita menyesal di kemudian hari,” terang Encik Rostam.
     “Ya bang, sekali lagi maafkan Min, ya bang.”
     “Dahlah tu Min, mari kita makan. Kalau sejuk nanti dah tak sedap. Zwani, baca doa makan,” arah Encik Rostam.
     Seperti biasa, selesai makan malam Syarina Azwani akan membantu Puan Rosmini mengemas serta mencuci pinggan mangkuk. Sifat ringan tulangnya amat disenangi Puan Rosmini. Kadangkala dia juga berasa hairan dengan perbezaan sikap kedua-dua anaknya. Si kakak keras, degil dan suka memberontak manakala si adik lemah lembut, sopan dan baik hati.
     “Mak...”
     “Ya, Zwani?”
     “Sejak akhir-akhir ni Zwani selalu nampak mak termenung. Kadang-kadang tersenyum seorang-seorang. Kenapa, mak?” soal Syarina Azwani.
     “Tak ada apa-apalah. Ada-ada aje Zwani ni. Ni tolong hantarkan air kopi kat ayah kamu kat luar tu.”
     Dengan pantas Syarina Azwani menurut perintah emaknya.
     “Airnya, ayah.”
     “Ya, letak atas meja tu dulu. Nanti ayah minum.”
     “Ayah tunggu Kak Zwana ke?” soal Syarina Azwani, ringkas.
     “Hmm... sambil tunggu Zwana sambil ambil angin malam,” jawab Encik Rostam.
     “Haah, iyalah tu. Ambil angin malam ya? Nanti Min jugak yang kena jadi burung hantu, berjaga urutkan badan abang yang dah terlampau banyak masuk angin,” sindir Puan Rosmini.
     “Mestilah, bila lagi nak manja dengan isteri?” usik Encik Rostam sambil mengenyitkan mata ke arah Syarina Azwani.
     Kelihatan sebuah teksi berhenti di luar pagar dan Syarina Azwana keluar dari perut teksi itu. Syarina Azwani berlari mendapatkan kakaknya sambil diperhatikan Puan Rosmini Dan Encik Rostam.
     “Hai, dik? Dah lewat malam ni, tak tidur lagi?” soal Syarina Azwana.
     “Zwani tunggu Kak Zwanalah,” jawab Syarina Azwani.
     “Mak dengan ayah marah tak akak balik lambat?”“Biasalah tu kak, macam akak tak tahu.”
     “Zwana! Mari duduk sini. Ayah nak cakap sikit!” panggil Encik Rostam dengan suara yang agak kasar.
     Syarina Azwana hanya menurut. Dia memang sudah sedia maklum, malam ini dia pasti akan dimarahi ayahnya.
     “Kenapa balik lewat? Dah jam 10.00 malam baru nak balik?” soal Encik Rostam.
     “Zwana...err... Zwana...” ujar Syarina Azwana, tidak dapat meneruskan kata-kata.
     Ketika ini dia berasa sangat kerdil dan amat bersalah. Dia hanya menunduk.
     “Dengar sini baik-baik, lain kali jangan buat macam ni lagi. Kalau tak ayah akan hantar kamu ke rumah nenek kamu kat Johor,” pesan Encik Rostam.
     “Ya ayah, maafkan Zwana,” ucap Syarina Azwana.Air mata mula bertakung di kelopak matanya.
     “Jangan sekarang aje kamu beria-ia mintak maaf, lepas tu buat lagi. Nasihat ayah ni macam angin lalu aje pada kamu,” ujar Encik Rostam semakin hilang pertimbangan.
     “Abang, dahlah tu,” pujuk Puan Rosmini sambil mengusap-usap dada suaminya.
     “Ayah tak marah kalau kamu nak keluar dengan kawan-kawan kamu. Tapi ingatlah sikit, kamu tu anak dara. Tak manis perangai kamu macam ni tahu tak?”
     Syarina Azwana mengangguk beberapa kali. Dia kini sedar kesilapannya. Dia memandang ke arah Syarina Azwani yang turut merenungnya.
     “Zwani, kamu bawa kakak kamu naik,” arah Puan Rosmini.
     Tanpa berlengah lagi, Syarina Azwani terus menarik kakak kembarnya masuk ke dalam rumah meninggalkan kemarahan ayahnya.
     “Abang pun satu, janganlah marah sangat, Min risau bila tengok abang tercungap-cungap tadi. Abang jangan buat macam ni lagi ya. Min risaulah,” ujar Puan Rosmini, terus mengusap-usap dada suaminya yang semakin tenang.
     “Sayang jugak Min kat abang ya. Ingatkan bila dah tua macam ni Min dah tak sayangkan abang lagi,” gurau Encik Rostam.
     “Min sayangkan abang dari dulu sampailah sekarang, bang. Abanglah satu-satunya buah hati pengarang jantung Min. Tak kiralah abang tua ke, berkedut ke ataupun dah kerepot nanti, kasih sayang Min pada abang takkan pernah luntur,” ujar Puan Rosmini, ikhlas.
     “Bertuahnya abang. Tak sia-sia abang terima jodoh yang mak abang carikan.”
     “Iyalah tu. Pandailah abang nak memuji. Dah lewat ni, mari masuk,” ajak Puan Rosmini.
     “Min pergilah jenguk anak-anak kita. Tanya kat Zwana tu sama ada dia dah solat atau belum? Maghrib tadi entah solat kat mana pun kita tak tahu,” rungut Encik Rostam.
     Puan Rosmini tidak menjawab. Dia terus mendaki anak tangga untuk menjenguk anak-anaknya. Dia amat arif dengan perangai suaminya. Encik Rostam cukup menitikberatkan soal agama sejak anak-anak masih kecil lagi.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Niesya Hanie