Home Novel Cinta Tersilap Pinang Isteri
Tersilap Pinang Isteri
Niesya Hanie
20/6/2014 13:54:43
66,838
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 9

     TEPAT jam 6.30 petang, tetamu yang dinanti tiba juga. Datin Aida, Datuk Mokhtar dan Bibik Suminah keluar ke halaman untuk menyambut kedatangan Syarina Azwani.
     “Hah, tengok tu. Mama dengan papa tengah tunggu kita. Bibik pun ada,” ujar Hairul Zafrel.
     “Abang, Zwani seganlah.”
     “Segan pulak. Sayang abang ni tak ada hidung ke?” usik Hairul Zafrel.
     Serentak dengan itu, muka Syarina Azwani merona merah.
     “Hmm... sayang, mari abang kenalkan sayang dengan orang-orang istimewa dalam hidup abang,” ajak Hairul Zafrel, kemudian terus mendapatkan kedua-dua orang tuanya yang sedari tadi menunggu di muka pintu.
     “Sayang, ni mama abang, Datin Aida. Yang ni pulak papa abang, Datuk Mokhtar dan yang kat belakang tu Bibik Suminah, pembantu kat rumah ni,” ujar Hairul Zafrel, memperkenalkan ahli keluarganya.
     Syarina Azwani bersalaman sambil mencium tangan Datin Aida dan Bibik Suminah. Datin Aida memerhatikan tingkah Syarina Azwani.
     “Eh cik puan, tangan bibik ni kotor. Nggak usah dicium,” ujar Bibik Suminah.
     “Mana ada kotor. Kan bersih ni,” balas Syarina Azwani, sopan.
     “Marilah masuk. Hmm... apa namanya tadi?” soal Datin Aida.
     “Nama saya Syarina Azwani. Datin boleh panggil saya Zwani,” jawab Syarina Azwani pantas.
     “Ooo... yalah, jemputlah duduk. Bibik, tolong bawa airnya ya,” pinta Datin Aida.
     Datuk Mokhtar tidak banyak berbicara. Dia hanya memerhatikan Syarina Azwani yang menjadi kegilaan anak terunanya. Hmm... cantik jugak budak ni. Patutlah anak aku angau dibuatnya. Memang sesuai kalau nak dijadikan menantu, bisik hati Datuk Mokhtar.
     “Syarina Azwani kan namanya tadi?” soal Datin Aida lagi.
     “Saya, Datin,” jawab Syarina Azwani, lembut.
     “Awak ni Ida, sudah-sudahlah asyik tanya nama aje. Cubalah tanya yang lain pulak,” ujar Datuk Mokhtar, tidak puas hati kerana isterinya asyik mengulang-ulang menanyakan nama gadis yang berada di hadapannya itu.
     “Abang ni, saya cuma nak ingat nama dia aje. Esok lusa kalau dah jadi menantu taklah saya asyik lupa nama menantu saya,” ujar Datin Aida sambil memandang Syarina Azwani dan Hairul Zafrel yang saling berpandangan.
     “Mama ni, nama Syarina Azwani tu bukannya susah sangat nak ingat,” ujar Hairul Zafrel.
     “Datin boleh panggil saya Zwani aje sebab nama Zwani tu dah lama digunakan sejak saya bayi lagi,” jawab Syarina Azwani sambil tersenyum.
     “Zwani ya? Cantik nama tu. Macam orangnya. Satu lagi, tolong jangan berdatin-datin dengan mama. Just call me mama, okay?”
     “Hmm... kalau tak jadi kesalahan, boleh papa tanya sesuatu kat Zwani?” soal Datuk Mokhtar.
     “Boleh Datuk, err... papa.”
     “Ayah Zwani kerja apa?” soal Datuk Mokhtar.
     “Ayah saya berniaga kecil-kecilan aje, Datuk,” jawab Syarina Azwani, sopan.
     “Zwani, please don’t call me datuk. Just call me papa, okay,” pinta Datuk Mokhtar.
     “Maafkan saya, papa,” ujar Syarina Azwani, menunduk.
     Ya ALLAH... baiknya hati mereka. Tak sombong malah saling menghormati antara satu dengan yang lain. Layak ke aku jadi sebahagian daripada keluarga ni? Boleh ke aku menyesuaikan diri dengan mereka? Layak ke aku? Soal Syarina Azwani dalam hati.
     “Zwani? What wrong?”Teguran Datin Aida mengejutkan Syarina Azwani dari khayalan.
     “Tak ada apa-apa, mama. Cantik pasu mama ni,” balas Syarina Azwani, gugup. Tidak menyangka lamunannya diperhatikan Datin Aida.
     Nasib baik Erul dan papanya dah berlalu ke meja makan. Kalau tak, mesti double malu aku, bisik hati Syarina Azwani.
     “Mari makan,” pelawa Datin Aida sambil memegang tangan bakal menantunya.
     “Mama, marilah kita makan! Dah hampir jam 8.00 malam. Perut Erul pun dah berkeroncong ni!” laung Hairul Zafrel dari meja makan.
     Hah? Pukul 8.00 malam? Syarina Azwani bagaikan baru terjaga dari lena. Datin Aida kehairanan melihat Syarina Azwani yang tiba-tiba bingkas bangun dari sofa.
     “Hmm... maafkan saya, mama. Kalau tak jadi keberatan, saya nak tumpang Solat Maghrib sekejap boleh?” soal Syarina Azwani, teragak-agak.
     “Ya ALLAH! Iyalah, mama dan papa pun belum solat lagi. Bolehlah kita solat berjemaah,” cadang Datin Aida.
     Syarina Azwani tersenyum tanda bersetuju. Sekurang-kurangnya dia tahu Datin Aida tidak tersinggung dengan permintaannya.
     “Bang... Erul... kita solat dulu. Maghrib dah nak habis ni. Bibik, tutup dulu makanan tu. Kemudian bibik ambil wuduk dan solat berjemaah dengan kami,” arah Datin Aida.
     Hairul Zafrel dan Datuk Mokhtar saling berpandangan. Apa pun mereka hanya menurut arahan Datin Aida. Begitu juga dengan Bibik Suminah. Dalam diam Datin Aida amat menyukai gadis yang dibawa pulang anaknya ini. Moga-moga KAU panjangkanlah jodoh mereka, ya ALLAH, doa Datin Aida dalam hati.
     Selesai Solat Maghrib, mereka ke meja makan untuk menikmati makanan yang telah disediakan.
     “Amboi... banyaknya makanan. Semua ni bibik yang masak ke?” tanya Syarina Azwani.
     “Ya, Cik Zwani. Semua ni bibik yang masak. Pudingnya pun bibik yang masak,” jawab Bibik Suminah, bangga.
     Datin Aida tersenyum memerhatikan Syarina Azwani yang sedang menolong pembantu rumahnya menghidangkan makan malam. Kelihatan Syarina Azwani amat cekap melakukan kerja-kerja rumah.
     “Mama, apa yang mama tengok tu?” soal Hairul Zafrel apabila dia terlihat mamanya sedang asyik memerhatikan Syarina Azwani.
     “Tak ada apa-apa, sayang. Nampaknya pilihan anak mama ni memang tepat. Cuba Erul tengok tu,” ujar Datin Aida sambil memuncungkan mulut ke arah Syarina Azwani dan Bibik Suminah yang sedang leka menghidangkan makanan sambil bergurau senda. 
     “Okey, Erul dah nampak. So?”
     “Laa... cubalah tengok tu. Dengan bibik bukan main mesra lagi. Rajin, cantik, manis dan yang paling penting dia sangat hormatkan mama dan papa. Mama sayang dia,” terangDatin Aida.
     Hairul Zafrel tersenyum mendengar kata-kata mamanya. Dia juga merasakan perkara yang sama. Syarina Azwani, kau memang dah buat aku benar-benar terikat dengan cintamu.
     Mereka telah berkumpul di meja makan. Seperti biasa, Bibik Suminah juga akan makan bersama. Sungguh berselera mereka menikmati makan malam yang dihidangkan.
     “Zwani, kenapa tak makan? Tak suka ke dengan masakan bibik ni?” soal Bibik Suminah apabila melihat hanya Syarina Azwani yang belum menyuap makanan dan hanya terpaku memandang Datin Aida, Datuk Mokhtar dan Hairul Zafrel.
     “Bukan macam tu, bik. Saya nak makanlah ni,” jawab Syarina Azwani sambil menadah tangan untuk berdoa.
     Perbuatan Syarina Azwani menjadikan Datin Aida, Datuk Mokhtar dan Hairul Zafrel berhenti makan sambil masing-masing turut menadah tangan untuk mengaminkan doa yang dibaca Syarina Azwani.
     Selesai membaca doa, Syarina Azwani terus menyuap makanan. Dia juga perasan perubahan wajah Datuk Mokhtar tetapi dia bersahaja. Selesai makan, Syarina Azwani membantu Bibik Suminah membasuh pinggan. Bibik Suminah amat senang dengan Syarina Azwani. Tepat jam 8.45 malam, Syarina Azwani meminta diri untuk pulang. Datin Aida seperti tidak mahu melepaskannya pulang. Setelah berjanji dia akan datang lagi, barulah Datin Aida melepaskannya.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Niesya Hanie