Home Novel Cinta Tersilap Pinang Isteri
Tersilap Pinang Isteri
Niesya Hanie
20/6/2014 13:54:43
66,909
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 10

     ENCIK Rostam mundar-mandir di hadapan pintu pagar rumah. Risau anak daranya yang lagi seorang belum pulang. Syarina Azwana telah pulang sebelum waktu maghrib manakala Syarina Azwani masih tiada di hadapan matanya.
     “Kenapa ni, bang? Gelisah benar Min tengok?” soal Puan Rosmini, rimas melihat kerisauan suaminya.
     “Abang tak sedap hatilah, Min. Apa yang dah terjadi dengan Zwani? Sampai sekarang tak balik-balik lagi. Abang benar-benar risau ni,” luah Encik Rostam.
     “Sabarlah bang, sekejap lagi baliklah Zwani tu. Dia pun dah besar, pandai jaga diri. Lagipun tadi dia dah telefon Min, beritahu yang dia balik lambat sikit hari ni,” terang Puan Rosmini, mengharapkan suaminya akan bertenang.
     Yang sebenarnya hatinya juga amat gelisah menunggu kepulangan Syarina Azwani.


     KERETA Hairul Zafrel berhenti betul-betul di hadapan pagar rumah Encik Rostam. Hairul Zafrel keluar lantas membukakan pintu untuk Syarina Azwani sambil diperhatikan Encik Rostam dari jauh. 
     “Boleh abang jumpa dengan ayah sayang?” pinta Hairul Zafrel.
     Dari jauh kelihatan Encik Rostam sedang memerhatikan mereka dengan senyuman.
     “Lain kali ajelah. Zwani belum bersedia nak kenalkan abang kat ayah,” jawab Syarina Azwani.
     “Tak apalah kalau macam tu,” ujar Hairul Zafrel, sedikit hampa.
     “Okey, Zwani masuk dulu ya” ucap Syarina Azwani, terus masuk ke pekarangan rumah sambil diperhatikan Hairul Zafrel.
     “Zwani, siapa tu?” soal Encik Rostam.
     “Kawan Zwani, ayah.”
     “Dah tu, kenapa tak diajak masuk?”“Dia nak cepat balik. Ada kerja katanya,” bohong Syarina Azwani.
     “Lain kali kenalkan dengan ayah dan mak. Nanti kalau ada apa-apa kan senang,” ujar Encik Rostam, tidak puas hati dengan jawapan anaknya.
     “Apa yang bising-bising ni, bang?” soal Puan Rosmini sambil menatang dulang berisi air kopi kegemaran suaminya sambil dibantu Syarina Azwana.
     “Bukan apa, anak dara kita yang seorang ni dah ada teman lelaki tapi tak nak dikenalkan kat kita,” jawab Encik Rostam sambil memegang tangan Syarina Azwani yang kelihatan malu-malu.  
     “Ooo... ya ke? Anak mak ni dah ada peminat. Macam mana rupanya, bang? Kacak tak bakal menantu kita?” soal Puan Rosmini lagi sambil menjeling ke arah Syarina Azwani.
     “Entah, abang tak nampak mukanya tadi. Jauh sangat jaraknya. Abang tak pakai cermin mata. Gelap pulak tu,” terang Encik Rostam, panjang lebar.
     “Hmm... janganlah mak dengan ayah bimbang. Pilihan adik kesayangan Zwana ni mesti yang bergaya, satu pakej dengan kacak, kan dik?” usik Syarina Azwana, suka melihat adiknya tersipu-sipu.
     “Zwani, ada masa nanti bawaklah budak lelaki tu jumpa dengan mak dan ayah ya,” pinta Encik Rostam, bersungguh-sungguh.
     “Baik ayah, Zwani masuk dulu ya. Hmm... kalau mak dengan ayah nak tahu, Kak Zwana pun dah ada boyfriend. Hari-hari bergayut kat telefon,” cerita Syarina Azwani.
     “Eh, mana ada?” tingkah Syarina Azwana, lantas mencubit lengan adiknya.
     “Adoi! Sakitlah, kak. Hah, yang malam semalam tu kan akak bergayut dekat dua jam tu, dengan siapa pulak kalau tak dengan teman lelaki akak, kan? Takkan akak panggil Zwani, Abang Hai...” usik Syarina Azwani lagi.
     “Dah...dah... jangan nak agak-agak. Dengar sini, ayah nak cakap sikit. Zwana, Zwani, kalau kamu berdua dah ada yang istimewa, maksud ayah teman istimewa, kenalkan kat ayah dan mak. Boleh?” soal Encik Rostam.
    “Ya sayang, mak takkan larang dengan siapa kamu berdua berkawan. Kalau nak bertunang pun mak dan ayah izinkan. Mak sedar kamu berdua dah dewasa, memang layak pun kalau dah nak berumah tangga,” sambung Puan Rosmini, sebak.
     “Mak ni, sampai ke situ pulak. Kami baru berkenalanlah mak, belum kenal hati budi masing-masing,” bidas Syarina Azwana disambut dengan anggukan Syarina Azwani.
     “Yalah, anak-anak mak ni memang pandai buat alasan. Dahlah tu Zwani, pergi masuk bilik, mandi lepas tu Solat Isyak,” arah Puan Rosmini.

     “BANG, nampaknya kita ni dah makin tua, kan?” ujar Puan Rosmini tiba-tiba.
     Berkerut dahi Encik Rostam mendengar pertanyaan isterinya.
     “Memanglah kita dah tua, Min oii! Agaknya tak lama lagi kita dah nak dapat menantu. Cuba Min tengok tadi, muka kedua-dua anak kita tu berseri-seri bila kita cakap pasal teman lelaki masing-masing,” ujar Encik Rostam.
     “Tapi yang buat Min hairan tu kan bang, anak-anak kita tu kalau nak bercinta dua-dua sekali, kan bang? Dulu bila kita tanya pasal teman lelaki, masing-masing cakap belum ada yang berkenan, tapi sekarang serentak pulak dapat teman lelaki. Jangan sangkut kat lelaki yang sama dahlah,” ujar Puan Rosmini lagi.
     “Hisy, mintak dijauhkanlah. Abang tak dapat bayangkan kalau perkara tu terjadi. Selisih malaikat 44,” ujar Encik Rostam, membayangkan jika perkara itu benar-benar terjadi, apa yang harus dilakukannya?
     Dia amat menyayangi kedua-dua anaknya. Minta-minta mereka tidak ditakdirkan untuk mencintai lelaki yang sama. Janganlah ada di antara anaknya yang merana atau terpaksa berkorban untuk kebahagiaan di antara satu dengan yang lain.

     SELESAI menunaikan Solat Isyak, Syarina Azwani terus berbaring di atas katil. Malas untuk ke bilik Syarina Azwana seperti kebiasaannya. Diambilnya diari, tempat mencurahkan rasa hatinya.
     
     Hari ini Abang Erul membawa aku ke rumahnya untuk bertemu dengan mama dan papanya. Datin Aida, mama Erul telah menerimaku dengan baik. Aku bersyukur kerana pertemuan kami berjalan dengan lancar. Ternyata Datin Aida dan Datuk Mokhtar sangat mesra dan peramah.
     Hari ini juga Abang Erul mengatakan bahawa dia amat mencintai aku dan ingin aku menjadi suri dalam hidupnya. Alhamdulilah... semoga apa yang diangankan menjadi kenyataan. I love you, Hairul Zafrel Bin Datuk Mokhtar...

     Walaupun ringkas, Syarina Azwani berpuas hati menulis apa yang terpendam di dalam hatinya. Diarilah tempat dia meluahkan segala rasa di hatinya.
     Abang Erul, andainya benar katamu tadi, Zwani akan terima abang dengan hati terbuka, bisik hati Syarina Azwani, terus dibuai angan-angan bersama Hairul Zafrel.

TRIT! Trit! Trit!
     “Siapa pulaklah yang telefon malam-malam buta macam ni? Tak tahu ke orang nak tidur ke nak bermimpi ke?” sungut Syarina Azwana lantas mencapai telefon bimbit sambil melihat nama yang terpampang di skrin.
     “Hairul Zafrel?”
     Serentak dengan itu wajahnya dihiasi dengan keceriaan. Panggilan itu yang ditunggu-tunggunya sedari tadi.
     “Helo, assalamualaikum...”
     “Waalaikumussalam,” jawab Syarina Azwana dengan nada merajuk.
     “Kenapa ni, sayang? Lain benar suara tu. Sayang marah abang ke?” duga Hairul Zafrel.
     “Hmm... kenapa lambat telefon hari ni? Penat sayang tunggu tau. Nasib baik sayang belum tidur,” ujar Syarina Azwana.
     Dikuis rambutnya yang terjuntai mengenai matanya.
     Eh, dia bergurau ke? Bukan ke dia tahu, aku baru aje hantar dia tadi? Takkan dia dah mula rindukan aku? Agaknya dia dah mula jatuh cinta dengan aku tak? Bisik hati Hairul Zafrel.
     “Helo? Are you there?”
     “Hah? Ya, sayang. Abang kat sini. Sayang nak tahu kenapa abang lambat telefon sayang ke?”
      Hmm... nak menduga akulah tu, fikir Hairul Zafrel sambil tersenyum.
     “Mestilah sayang nak tahu,” jawab Syarina Azwana, manja.
     “Tadi ada tetamu datang rumah. Lepas tu kami dinner dengan mama dan papa. Lepas tu kami berbual panjang tentang perancangan masa depan kami. Seronok sangat,” terang Hairul Zafrel kemudian ketawa.
     Di hujung talian, Syarina Azwana diam mendengar penjelasan Hairul Zafrel. Hmm... mesti kawan papa dia. Perancangan masa depan tu mesti pasal perniagaan. Boring betullah kalau berbual dengan orang kaya ni, fikir Syarina Azwana.
     “Sayang, kenapa diam ni?” soal Hairul Zafrel apabila menyedari Syarina Azwana yang disangkanya Syarina Azwani mendiamkan diri.
     “Tak ada apa-apalah,” jawab Syarina Azwana, menyembunyikan rasa hatinya.
     “Sayang, sebenarnya tadi abang dah bincang dengan mama dan papa. Kalau boleh...hmm... kalau boleh abang nak masuk meminang sayang. Boleh tak?” soal Hairul Zafrel.
     “Hah? Meminang? Abang nak masuk meminang?” soal Syarina Azwana, terjegil mata apabila mendengar permintaan Hairul Zafrel yang memang ditunggu-tunggunya selama ini.
     “Ya, sayang. Abang nak masuk meminang. Boleh?” ujar Hairul Zafrel. Ditegaskan suaranya.
     “Betul ke? Sebenarnya sayang memang dah lama sukakan abang. Tapi iyalah kan, takkan perigi yang nak cari timba,” ujar Syarina Azwana ringkas namun ia bagaikan kata-kata sakti di pendengaran Hairul Zafrel.
     “Ya ke? Maknanya sayang terima abanglah ya? Terima kasih, sayang. Hari minggu ni jugak abang suruh mama dan papa masuk meminang sayang. Lepas tu kita bertunang satu bulan aje, terus kita nikah. Okey?” cadang Hairul Zafrel.
     “Cepatnya, kenapa tergesa-gesa sangat?” soal Syarina Azwana, inginkan kepastian.
     “Sebenarnya abang takut sayang dikebas orang. Melopong abang nanti. Lagipun abang memang dah bertekad, kalau kali ni ada gadis yang berjaya curi hati abang, gadis tulah yang akan jadi penyeri dalam hidup abang dan sayanglah gadis tu,” ujar Hairul Zafrel sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
     Rasa malu pun ada. Nasib baiklah Hairul Zafrel bercakap di talian telefon. Kalau berdepan, pasti dia berasa kekok.
     “Kalau tu yang terbaik buat kita, sayang terima aje. Nanti sayang beritahu mak dengan ayah. Confirm ya Ahad ni, jangan keluarga abang tak datang pulak. Malu keluarga sayang nanti,” ujar Syarina Azwana.
     “Yes, thank you sayang. Abang akan pastikan sayang akan jadi teman abang sepanjang hayat,” janji Hairul Zafrel, bersungguh-sungguh.
     “Sayang nak letak telefon dulu. Nak beritahu berita ni kat mak dan ayah. Kita sambung esok ya, bang. Assalamualaikum...”
     “Waalaikumussalam...” ucap Hairul Zafrel, mengakhiri perbualan.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Niesya Hanie