Home Novel Cinta Tersilap Pinang Isteri
Tersilap Pinang Isteri
Niesya Hanie
20/6/2014 13:54:43
66,922
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 1

     JAM loceng berbunyi mengejutkan Syarina Azwani daripada lena. Dengan pantas Syarina Azwani bangun dan mencapai tuala lalu menuju ke bilik air untuk mandi. Hari ini merupakan hari pertama dia akan memulakan kerjaya sebagai seorang kerani di sebuah syarikatinsurans.
     Di dapur, Puan Rosmini sedang sibuk menyediakan makanan kesukaan anak-anaknya. Sambil menggoreng telur, tangannya pantas mengambil kain-kain kotor dan dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk dicuci. Beginilah rutin hari-harinya.
     “Hmm... mak masak apa hari ni?” soal Syarina Azwani sambil mengangkat dulang air untuk dibawa ke meja makan.
     “Disebabkan hari ni anak mak yang manis ni akan memulakan kerjayanya, jadi mak masakkan mi goreng mamak kesukaan Zwani untuk sarapan kita pagi ni,” jawab Puan Rosmini sambil tersenyum memandang Syarina Azwani yang kelihatan menawan memakai baju kebaya yang dibelikannya tempoh hari sempena hari lahirnya yang ke-18 tahun.
     “Terima kasih, mak,” ucap Syarina Azwani.
     Satu kucupan hinggap di pipi Puan Rosmini.
     “Cantik Zwani pakai baju ni. Mak suka tengok. Manis betul anak mak yang seorang ni,” puji Puan Rosmini, membuatkan muka Syarina Azwani merah menahan malu.
     “Haa... mak jangan puji Zwani aje. Zwana ni pun cantik jugak. Kalau nak diikutkan, Zwana ni lebih cantik daripada Zwani tau mak,” celah Syarina Azwana yang entah datang dari mana, tiba-tiba muncul di dapur.
     “Yalah, anak-anak mak ni memang cantik. Kalau nak lagi cantik, apa kata Zwana tolong panggilkan ayah, ajak dia sarapan sekali,” ujar Puan Rosmini sambil mengerdipkan mata beberapa kali.
     Dengan malas Syarina Azwana bangun menuju ke bilik ayahnya. Puan Rosmini hanya memerhatikan langkah Syarina Azwana dengan senyuman. Walaupun Syarina Azwana dan Syarina Azwani merupakan adik-beradik kembar tetapi perangai dan kelakuan mereka berdua amat berbeza. Syarina Azwani merupakan seorang anak yang lemah lembut, bersopan santun dan berbudi bahasa manakala Syarina Azwana pula merupakan seorang gadis yang kasar dan sering kali memberontak. Namun kedua-duanya amat disayangi. Cuma ada juga kadangkala dia akan melebih-lebihkan Syarina Azwani.
     Pernah dahulu semasa di sekolah, Syarina Azwani ditolak hingga terjatuh oleh rakan kelasnya, Haida. Syarina Azwana telah bergaduh dengan Haida sehinggakan Puan Rosmini dipanggil pengetua sekolah. Syarina Azwana pernah digantung sekolah kerana kenakalannya.
     “Mak! Mak!” panggil Syarina Azwani tetapi tidak didengari Puan Rosmini yang sedang asyik mengenangkan kisah lalu.
     “Kak, tengoklah mak tu. Termenung seorang-seorang menghadap singki. Zwani panggil pun dia tak dengar. Jauh betul mengelamun. Tengoklah tu,” adu Syarina Azwani.
     Ketika itu Syarina Azwana telah pun berada di belakangnya. Encik Rostam terus menuju ke meja makan.
     Dengan perlahan Syarina Azwana menuju ke arah Puan Rosmini dan berdiri tepat di belakang emaknya. Dia mendepangkan tangan lantas memeluk Puan Rosmini dari belakang menyebabkan Puan Rosmini terperanjat.
     “Opocot! Ya ALLAH, Zwana... terperanjat mak tau. Kamu ni kalau mak ada darah tinggi dah sah-sah kamu kena hantar mak ke hospital!” marah Puan Rosmini sambil menjeling anaknya yang masih berbaju tidur.
     “Zwana tengok mak termenung macam orang tengah mabuk cinta. He...he...he... kenapa, mak? Haa... mak ada dot dot dot ya? Zwana beritahu ayah,” usik Syarina Azwana.
     “Hisy, mana ada. Mengarutlah kamu ni. Mak teringat kamu dan adik kamu masa kecil-kecil dulu. Mak punya dot dot dot kan dah ada kat meja makan tu,” ujar Puan Rosmini sambil memuncungkan mulut ke arah Encik Rostam di meja makan.
     Mereka beriringan menuju ke meja makan sambil diperhatikan Encik Rostam yang hanya menggeleng melihat gelagat anak dan isterinya. Sudah menjadi kebiasaan keluarga ini akan makan bersama-sama setiap hari dan inilah masanya Encik Rostam dan Puan Rosmini akan berkongsi apa juga masalah yang diutarakan anak-anak mereka.
     “Zwani, hari ni hari pertama kamu kerja. Ayah harap kamu kerja dengan bersungguh-sungguh dan jangan curi tulang. Kalau kamu curi tulang, rezeki yang kamu dapat takkan halal dan yang tak halal tulah yang api neraka suka kat akhirat nanti,” nasihat Encik Rostam panjang lebar. 
     Mi goreng disenduk ke dalam pinggan. Dicapai sudu dan garpu lalu dibawa makanan ke mulut.
     “Ya ayah, Zwani akan ingat nasihat ayah sampai bila- bila,” ujar Syarina Azwani, sopan. Faham benar dengan perangai ayahnya yang tidak pernah jemu memberikan nasihat.
     “Hormati majikan dan rakan sekerja kamu. Kerja dengan ikhlas ya, nak,” sambung Encik Rostam lagi.
     “Zwani, kalau majikan Zwani buli Zwani, jangan takut beritahu Kak Zwana. Tahulah macam mana Kak Zwana kerjakan dia nanti,” sampuk Zwana dengan mulut yang penuh berisi mi goreng.
     “Hisy kamu ni Zwana, cubalah lembut sikit. Dah macam jantan mak tengok. Satu lagi, kalau nak cakap tolong habiskan makanan dalam mulut tu. Tak manis anak dara cakap sambil makanan penuh dalam mulut,” tegur Puan Rosmini, kurang senang dengan perangai anaknya yang satu ini.
     “Tak apalah, kak. Nanti Zwani sendiri yang belasah bos tu kalau dia banyak songeh,” ujar Syarina Azwani sambil bangun untuk bersalaman dengan kakak dan kedua-dua orang tuanya.
     Puan Rosmini hanya tersenyum dan menggeleng mendengar gurauan Syarina Azwani. Dia bangun untuk menghantar anaknya ke muka pintu.
     “Hah! Kamu Zwana, tak dapat kerja lagi? Minggu lepas ayah tengok kamu asyik ke sana ke sini cari kerja. Masih belum dapat kerja lagi ke?” tanya Encik Rostam.
     “Minggu depan baru Zwana masuk kerjalah, ayah. Zwana dapat kerja kat syarikat pelancongan,” jawab Syarina Azwana, acuh tak acuh.
     “Syarikat pelancongan? Kamu tahu ke pasal pelancongan? Setahu ayah, Melaka pun kamu tak pernah sampai,” perli Encik Rostam.
     “Alah, bukannya susah sangat. Sekarang kan zaman IT. Kalau tak tahu, tekan aje komputer. Semua keluar. Lagipun zaman sekarang semuanya dah pakai online aje,” ujar Syarina Azwana sambil mencebik.
     Encik Rostam menggaru-garu kepala.
     “Ayah nak mi ni lagi tak?”
     “Tak naklah, ayah dah kenyang. Ayah nak pergi kerja. Kamu tolong mak kamu buat kerja-kerja rumah. Jangan asyik tengok TV aje, nanti meletup TV tu,” pesan Encik Rostam sambil berlalu ke pintu.
     Dilihat Puan Rosmini sedang tekun membelek bunga-bunga orkid kesayangannya.
     “Min, abang pergi dulu ya. Min kat rumah jangan nakal-nakal tau,” usik Encik Rostam sambil mengenyitkan mata.
     Satu ciuman singgah di pipi Puan Rosmini.
     “Hisy abang ni, malulah kalau jiran nampak. Satu lagi, Min ni dah tualah. Tak ada siapa pun yang nak kat Min,” balas Puan Rosmini sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan suaminya.
     “Ha...ha...ha...” Encik Rostam ketawa.
     Beginilah keadaan di rumah sehari-hari. Semakin hari Puan Rosmini merasakan semakin banyak kasih sayang yang dicurahkan suaminya. Puan Rosmini berasa amat bahagia dengan didikan agama, kesetiaan suaminya serta kehadiran dua orang puteri kembar yang menyerikan kehidupan mereka suami isteri. Walaupun Encik Rostam hanya berniaga kedai runcit secara kecil-kecilan, Puan Rosmini berasa amat bahagia. Restu daripada kedua-dua belah keluarga juga menjadi penyebab kebahagiaan mereka.
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Niesya Hanie