Home Novel Cinta CINTA PANDANG KE-2
CINTA PANDANG KE-2
Laila Kamilia
23/8/2014 18:52:04
45,274
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

Universiti Teknik Malaysia,

Kampus Kejuruteraan, Pulau Pinang

3

Ainnur berdiri di muka pintu biliknya dengan tubuh yang lenjun. Angin begitu kuat hinggakan payungnya hampir ’dilarikan’ angin. Tempias dari lantai koridor ke pakaiannya yang sedia basah, menambahkan siksa kesejukannya. Dia menggigil di muka pintu dengan sekaki payung yang sudah hampir terburai kerana ada bilahnya yang patah dipukul angin, sebuah fail yang kandungan kertasnya sudahpun berbalam-balam kerana dakwatnya mencair diserap air dan sebiji buah durian yang baunya tidak pudar walau ’ditelan’ hujan.

“La... kenapa ni?” Rafiza bertanya sebaik pintu bilik dibuka.

Dia mahu ketawa tetapi melihatkan wajah Ainnur yang masam mencuka, dia menyimpan rasa lucu itu di dalam hati. Tidak pasal-pasal Ainnur membalingnya dengan kulit durian pula nanti. Oh! Itu liar sangat imaginasinya. Paling tidak, Ainnur tidak akan memberinya merasa buah kegemaran mereka berdua itu. Tidak! Rafiza mesti bermuka manis dan menunjukkan wajah simpati untuk merasa buah durian yang berada di tangan Ainnur ketika itu.

“Nah tuala, baju dan baldi!” Rafiza menghulur sebelum sempat Ainnur membuka mulut meminta.

Ainnur menyambut tuala pemberian Rafiza lalu menghulurkan fail dan buah durian ke tangan Rafiza. Berseri-seri wajah Rafiza kerana otaknya yang geliga itu telah mencerahkan peluangnya merasa buah durian yang besar dan nampak sungguh menyelerakan itu. Ainnur membentakkan kakinya ke lantai semasa berjalan ke bilik air tanda tidak puas hati melihat senyuman di bibir Rafiza sedang dia terpaksa berbasah kuyup begitu.

Rafiza hanya memerhati lalu menggeleng kepala melihatkan sikap keanak-anakan yang ditunjukkan Ainnur. Di matanya, Ainnur nampak begitu comel!

Tidak lama kemudian, Ainnur masuk ke bilik sambil menggigil kesejukan. Cepat-cepat dia berlari ke almari pakaiannya mencari seluar trak untuk membalut kakinya yang hanya sekerat ditutupi tuala. Setelah menyarung seluar, dia mencari tuala kecil untuk mengelap rambutnya yang basah. Dia membungkus rambutnya kemas-kemas lalu duduk bersila di atas katil. Secawan air teh panas yang dihulur Rafiza disambutnya dengan senyuman manis. Rafiza memang pandai mengambil hati.

“Terima kasih!” Dia berkata sambil tangannya meraba-raba tepi cawan teh yang masih berkepul-kepul asapnya. Rasa panas dari dinding cawan itu menyerap ke kulitnya. Dia rasa sedikit lega lalu menghirup teh perlahan-lahan. Rasa panas itu segera beredar dari bibirnya ke kerongkong lalu ke perutnya. Ah! Dia berasa lega. Sejuk yang dirasakannya tadi mereda perlahan-lahan.

“Kau memang hantu durian!” Dia memberi komen tatkala melihat Rafiza sudah bersila di lantai dengan pisau, sehelai tuala kecil dan beberapa helai kertas surat khabar yang tersedia terhampar. Dia sudah menggosok kedua-dua belah telapak tangannya tanda akan membelah durian itu pada bila-bila masa. Komen Ainnur langsung dia tidak pedulikannya. Tumpuannya kini hanya kepada sebiji durian yang ada di hadapannya.

“Tak nak tunggu Rozie?” Ainnur menjeling jam loceng di katilnya. Sudah 12.15 tengah malam. Masakan teman sebiliknya yang lagi seorang itu masih belum pulang.

“Ha! Lupa nak bagitau. Tadi dia telefon beritahu dia tidur di rumah Kak Yanie. Dah malam sangat dan hujan lebat. Esok saja dia balik.” Rafiza memberitahu. Di tangannya sedang ligat mengorek buntut durian dengan pisau pemotong buah yang kecil. Dia menoreh jalur pangsa durian yang jelas kelihatan dari luar kulit durian dengan berhti-hati kerana bimbang tangannya terluka.

“Kau tak nak tanya ke siapa yang bagi durian ni, terus kau nak makan?” Ainnur bertanya sambil membetulkan silanya di hadapan Rafiza yang kelihatan bersemangat menunjukkan kemahiran mengopek kulit durian.

“Siapa bagi?” tanyanya acuh tak acuh. Baginya siapa yang bagi tidak penting. Yang paling penting ialah membuka kulit durian dan merasa buahnya yang lazat berlemak itu.

“Cubalah kau teka.” Ainnur cuba memancing minat Rafiza tetapi gadis itu hanya menggeleng tanda tidak berminat menyahut cabaran Ainnur.

“Ish!” Kedengaran suara Rafiza sedang mengerah seluruh tenaga untuk sebiji durian itu. Kedua tangannya sedang cuba mengopak kulit durian itu supaya terbelah dua. Dengan seluruh tenaga yang dia ada, buah durian itu masih belum mahu terkopak juga. Dia mencuba sekali lagi. Kali ini dengan lebih kuat lagi.

“Tekalah. Kalau kau betul, aku bagi semua sekali durian ni untuk kau.” Ainnur masih tidak berputus asa mengalih perhatian Rafiza dari durian nan sebiji itu.

“Kau tak menyesal?” Rafiza berhenti seketika menarik nafas. Susah betul hendak mengopek kulit durian itu. Mungkin baru jatuh, kerana itu payah hendak membukanya, fikir Rafiza. Mungkin juga tuan punya buah durian ini kedekut orangnya menyebabkan kulitnya sukar dibuka. Begitulah mitos orang-orang tua dahulu yang pernah didengarnya.

Cepat Ainnur menggeleng kepala lalu meneguk air teh lagi. Dia tidak larat hendak menelan durian itu mengenangkan ia adalah pemberian dari Dr. Ahmad Redza. Apa tujuan Dr. Ahmad Redza memberinya buah durian pada waktu malam-malam begitu? Dia sangsi dengan niat pensyarah itu tetapi dia tidak mahu membincangkannya dengan Rafiza.

Walaupun selama ini sudah beberapa kali dia menerima SMS atau panggilan telefon dari lelaki itu, dia tidak pernah membuka mulut memberitahu sesiapa. Dia bimbang dengan penerimaan orang sedangkan dia sentiasa mengingatkan dirinya supaya tetap menganggap lelaki itu tidak lebih dari pensyarahnya. Gosip liar hanya akan menjejaskan reputasi Dr. Ahmad Redza, malah mungkin akan sampai mengganggu ketenteraman rumahtangganya. Tindakan Dr. Ahmad Redza malam itu benar-benar telah mengganggu selera makannya.

“Bukan Haidar kan?” Rafiza sekadar menilai sejauh mana perasaan Ainnur terhadap lelaki itu melalui riak wajah Ainnur.

Cepat Ainnur menggeleng dengan wajah tanpa perasaan seperti biasa. Tentu mudah saja baginya menunjuk riak begitu kerana memang dia tidak pernah menyimpan perasaan kepada Haidar. Jika adapun lelaki yang dia harus berusaha sedaya upaya supaya perasaan sebenarnya terlindung, lelaki itu adalah Dr. Ahmad Redza. Selain dari dia, buat masa ini tiada sesiapa di hatinya. Itu Ainnur yakin sangat.

Dari riak wajah Ainnur, Rafiza dapat membuat kesimpulan bahawa Ainnur memang langsung tidak pernah memberi peluang kepada Haidar untuk mengisi ruang hatinya yang kosong. Kasihan Haidar, Rafiza menyatakan simpati di dalam hati. Sia-sia lelaki itu berjuang merebut hati Ainnur dari semester 1 lagi.

4 tahun bukanlah masa yang terlalu singkat. Begitu tegar hatinya, hingga kini masih terus mengharap. Agaknya bilalah Haidar akan mengibarkan bendera putih tanda menyerah diri? Entah berapa tahun lagi Haidar sanggup menunggu hingga pintu hati Ainnur terbuka? Rafiza tidak pernah punya jawapannya.

Kerana kasihan, dia pernah memberitahu Haidar supaya melupakan Ainnur dahulu tetapi kata lelaki itu, dia tidak akan berhenti berharap. Haidar degil mempertahankan kehendaknya sedangkan Ainnur enggan memberi peluang. Rafiza tidak tahu siapakah yang kesudahannya akan mengalah. Semoga Haidar dan Ainnur akhirnya akan bertemu dengan jodoh yang baik-baik, doa Rafiza di dalam hati. Itulah harapan Rafiza.

“Takkan Zely pula yang datang malam-malam begini nak buat kejutan.” Rafiza meneka bila dia tiba-tiba teringatkan tentang lelaki yang paling hampir dalam hidur Ainnur selepas ayahnya adalah Zely. Pada awalnya Rafiza selalu beranggapan bahawa Ainnur dan Zely ada hubungan istimewa, hanya temannya itu cuba berselindung darinya. Tetapi sekarang ini dia sudah boleh menerima istilah hubungan ‘teman tapi mesra’ di antara Ainnur dan Zely.

Ainnur tersenyum mendengarkan nama Zely disebut tetapi dia tetap menggeleng. Sudah begitu lama mereka tidak bersua. Zely berada di Universiti Malaysia Sabah. Pasti ada banyak cerita yang ingin dikongsikannya bersama dengan Zely bila mereka berpeluang berjumpa nanti. Tidak sabar rasanya dia hendak bertemu empat mata dengan lelaki itu. Di kepalanya, sudah terencana mahu mengajak Zely dan Mak Tiah berkelah di Sg. Tekala nanti.

“Dr. Redza kan?” Akhirnya Rafiza memecah lubang. Dia memandang Ainnur yang kelihatan terkejut dengan tekaannya kali ini. Wajah Ainnur yang tadinya sedang tersenyum mengenangkan Zely terus bertukar pucat, bagai ditoreh tidak berdarah.

“Mana kau tahu?” Ainnur bertanya tidak sabar. Bagaimana Rafiza boleh meneka dengan begitu tepat sedangkan dia tidak memberi apa-apa bayangan langsung.

“Aku baca fail tu, Kem Ukur, siapa lagi kalau bukan Dr. Redza?” Rafiza berpura-pura bagai tiada apa-apa dengan kembali menyambung tugasnya mengopek kulit buah durian itu. Dia bimbang mulutnya terlepas cakap.

Kalaulah Ainnur tahu dia mengekori jejak temannya itu tadi, mesti Ainnur tidak akan menegurnya lagi. Bimbang Ainnur tersalah sangka dia mahu menjaga tepi kainnya. Niat awalnya cuma hendak memastikan Ainnur selamat bertemu pelawatnya pada waktu malam begitu. Itu saja. Tidak sangka, apa yang ditemuinya lebih dari itu.

Dari riak terkejut Ainnur, Rafiza dapat mencium sesuatu tetapi dia cuba berfikiran positif. Mungkin Dr. Ahmad Redza baru balik dari kampung dan kebetulan mahu memberi fail itu sebab itulah diberikannya sekali buah durian itu. Dia percaya Ainnur tidak akan menyembunyikan sesuatu darinya. Dia selalu berfikir begitu kerana dia tidak pernah berahsia apa-apa dengan teman baiknya itu. Jika benar Ainnur mahu menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya, pastilah kerana temannya itu masih belum bersedia untuk berkongsi cerita dengannya. Rafiza tidak mahu memaksa. Baginya persahabatan itu harus ikhlas dan berlandaskan kepercayaan.

Ainnur berasa lega mendengarkan penjelasan Rafiza. Fikirnya tadi, Rafiza mengintainya dari belakang. Malunya kalau Rafiza nampak dia berpayungan berdua di dalam hujan bersama pensyarahnya. Manalah hendak disorokkan mukanya.

“Nanti kejap.” Tiba-tiba Rafiza berhenti mengopek kulit durian itu. Jari telunjuknya tergawang di udara. Dia seolah-olah baru mendapat idea yang sangat bergeliga.

“Apa dia?” Ainnur bertanya kehairanan.

“Baik kau langkah buah ni dulu.” Rafiza menyatakan apa yang terlintas di kepalanya saat itu.

“Kau gila ke apa? Makanan takkan nak dilangkah.” Ainnur membantah. Makanan itu benda yang sepatutnya dihormati. Rafiza sudah hilang akal atau apa. Ainnur sekali-kali tidak dapat menerima rasional makanan perlu dilangkah walau apapun alasannya.

“Kalau Dr. buat guna-guna kat kau, mesti tak jalan sebab dah kena langkah, dah batal dah jampinya.” Rafiza mengemukakan teorinya. Dia ingat lagi pesan Mak Su di kampung, kalau ada orang yang tidak suka pada kita atau tak pernah-pernah menghulur makanan tiba-tiba bermurah hati memberi makanan, eloklah dibuangkan saja atau dilangkah bagi ‘menawarkan’ jampi orang itu kepada kita. Itu salah satu cara orang menghantar santau atau mengenakan ilmu guna-guna, pesan Mak Su lagi.

“Kalau kau nak langkah, kau langkahlah. Aku tak sanggup.” Ainnur sudah memberitahu pendiriannya. Dia sudahpun membuat keputusan untuk tidak makan buah durian itu sejak buah durian itu bertukar tangan di kawasan parkir tadi lagi.

Selagi dia tidak tahu niat sebenar Dr. Ahmad Redza kepadanya, selagi itulah dia tidak akan menerima apa-apa juga pemberian lelaki itu. Dia harus berhati-hati dengan perangkap lelaki, terutamanya yang sudah beristeri. Pesan ibu, sentiasa terngiang-ngiang di telinganya walau hatinya telah berjaya dicuri dalam diam.

“Nanti kau tergila-gilakan Dr. macam mana? Sanggup kau jadi bini nombor dua dia?” Rafiza bertanya kebodohan. Dahinya berkerut memikirkan. Takkan mudah-mudah Ainnur hendak menyerah hatinya kepada lelaki yang sudah beristeri itu. Bukankah awal tadi, Ainnur sudah menyatakan pendiriannya tentang lelaki yang sudah beristeri. Kata-kata Ainnur kembali terngiang-ngiang di telinganya. Masakan dia boleh lupa kerana mereka baru saja membincangkannya belumpun masuk jam yang kedua.

“Mulut kau tu capoibetul.” Ainnur menarik muka masam sedangkan Rafiza tersengih-sengih mengenangkan kata-katanya tadi. Dia sama sekali tidak akan bersetuju jika Ainnur hendak bermurah hati berkongsi kasih dengan isteri Dr. Ahmad Redza. Dialah orang pertama yang akan membangkang nanti kalau-kalau Ainnur terlupa diri.

“Kau makan sorang saja,” beritahu Ainnur kemudian dengan nada perlahan. Bunyi hujan di luar yang masih lebat seolah-olah menenggelamkan suaranya menyebabkan Rafiza terpaksa bertanya sekali lagi untuk mengesahkan.

“Apa kau cakap?”

“Aku kata, aku tak nak makan. Kau saja yang makan sorang-sorang,” ulang Ainnur dengan nada yang lebih kuat sedikit dari tadi.

“Kau biar betul?” tanya Rafiza tidak percaya.

“Betul.... Tadikan kau dah teka betul. Kau makanlah semuanya. Itukan perjanjian kita?” Ainnur menjelaskan tanpa sedikitpun rasa terkilan. Dia berkata bersungguh-sungguh untuk meyakinkan Rafiza yang kelihatan masih tidak berpuas hati. Tidak percaya dengan kata-katanya barangkali.

“Lagipun... kalau betul Dr. nak guna-gunakan aku mesti tak menjadi sebab yang makannya kau, bukan aku.” Telunjuk Ainnur menunjuk ke arah Rafiza, kemudian kembali kepadanya. Yakin sungguh dia berkata-kata seolah-olahnya yang mengemukakan teori jampi-menjampi tadi bukannya Rafiza tetapi dia.

“Kau betul yakin dia jampi nama kau kan, bukan nama aku.” Rafiza sudah mulai waswas dengan teorinya tadi. Dia memandang ke arah Ainnur yang kelihatan selamba bagai tiada apa-apa. Temannya itu sedang menuang air teh lagi ke dalam cawannya. Apa yang Rafiza tidak tahu, Ainnur sebenarnya mencuba sedaya upaya supaya tidak melepaskan tawa yang ditahannya melihatkan reaksi gelabahnya.

“Manalah aku nak tahu dia jampi nama aku ke nama kau.” Ainnur berkata lalu menghirup lagi air teh ke dalam mulutnya. Buat masa ini dia cuba meyakinkan diri bahawa air teh itu lebih sedap daripada buah durian kegemarannya.

“Ada satu cara saja kalau kau nak tahu kebenarannya.” Ainnur mahu memberi saranan tatkala buah durian itu sudah terbelah dua, membentangkan isi durian berwarna kuning keemasan. Dia memejamkan matanya, cuba melupakan godaan bentuk fizikal isi buah durian itu tetapi haruman yang terbit darinya begitu mengganggu kosentrasinya. Dia menelan air liur beberapa kali.

“Apa caranya?” Rafiza bertanya tidak sabar. Dia memang sudah tergoda dengan hidangan yang sedang terbentang di depan matanya. Sudah lama dia tidak makan durian yang cantik isinya sebegitu rupa.

“Kau makan ajelah malam ni, esok bila kau asyik teringat kat Dr., maksudnya kau dah kenalah ilmu guna-guna dia.” Ainnur ketawa sedang Rafiza terkebil-kebil. Dia sedang berfikir-fikir sama ada mahu makan atau lupakannya saja. Seperti mana dia tidak sanggup membiarkan Ainnur menjadi isteri kedua Dr. Ahmad Redza, sebanyak itu juga dia tidak mahu dirinya dimadukan!

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.