Home Novel Cinta CINTA PANDANG KE-2
CINTA PANDANG KE-2
Laila Kamilia
23/8/2014 18:52:04
45,277
Kategori: Novel
Genre: Cinta
PROLOG

Hari semakin beransur pekat malamnya. Di sekeliling bebayang pepohon berbalam-balam di pandangan mata. Telinganya menangkap bunyi cengkerik di kiri-kanan jalan raya. Sesekala terdengar juga sahutan anjing membelah kesunyian di kawasan hutan rimba yang dilaluinya.

Dia merenung jam di tangan. Dalam samar-samar cahaya bulan, dia nampak jarum jam sudah menunjukkan angka lapan. Sudah beberapa kali dia berpusing-pusing di sekitarnya tetapi kesudahannya dia pasti ke jalan yang sama. Rasanya sudah hampir semua jalan telah dilaluinya tetapi entah kenapa dia masih tidak bertemu dengan jalan keluar. Dia melepas nafas panjang, hampir berputus asa.

Lampu penunjuk meter minyak yang berkelip-kelip menarik perhatiannya. Hatinya semakin cemas. Dia tahu pada bila-bila masa, tangki minyak motorsikalnya pasti akan kontang. Telahannya tepat bila dengan tidak semena-mena enjin motorsikalnya berhenti tidak berapa lama selepas itu. Dia turun dari motorsikalnya menjenguk ke tangki minyak. Apa yang dirisaukan telahpun menjadi nyata.

Matanya membelingas ke kiri kanan memerhatikan sekeliling untuk meminta pertolongan. Namun tiada satu pun kelibat rumah yang kelihatan di kawasan tersebut. Jalan yang dilaluinya ternyata lengang tanpa kenderaan. Rimbunan hutan yang berdiri gagah di tepi jalan tempat dia berhenti hanya memberikan gerun di hatinya. Jelas, dia telah membuat perkiraan yang salah semasa membuat keputusan untuk menyusuri jalan ini yang disangkanya adalah jalan pintas ke rumahnya. Memang dia langsung tidak pernah melalui jalan itu sebelum ini, sekadar mendengar tentang jalan pintas itu dari teman-temannya despatchnya.

Dia menarik telefon bimbitnya dari kocek seluar tapi… walau ditekan berkali-kali, telefon bimbitnya langsung tidak memberi maklum balas. Habis bateri? Dia membawa telefon itu betul-betul di hadapan mukanya. Dia memandang telefon bimbit itu dengan riak tidak percaya. Pada waktu genting sebegini, telefon yang canggih dengan teknologi terkini itu boleh membuat pasal. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya bagai tidak percaya. Telefon bimbitnya kemudian dimasukkan semula ke dalam kocek seluar. Dia merengus marah kepada dirinya sendiri. Jika dia tidak memandai-mandai mahu mencuba jalan ini tadi, sudah lama dia enak berbaring di atas katil bujang di biliknya pada waktu ini.

Dengan geram, dia menarik helmet yang menyaluti kepalanya lalu dicampakkannya ke dalam bakul motorsikal. Jaket yang membalut tubuhnya juga turut dicampakkan kasar. Tubuhnya sudah mula dibasahi dengan peluh. Dia kepanasan. Tanpa berlengah lagi dia terbongkok-bongkok menyorong motorsikalnya.

Hari semakin gelap. Sudah agak jauh dia menyorong motorsikal menyusuri jalan tidak berturap itu. Peluh semakin laju merembes membasahi seluruh tubuhnya namun tidak lagi dipedulikannya. Di kepalanya cuma mahu segera sampai ke rumah. Nafasnya turun naik. Sesak. Dia sudah begitu penat dan tekaknya sudah kering. Dia menguatkan kudrat untuk menyorong motorsikal itu namun semakin lama dia merasakan tolakannya semakin memberat. Dia berhenti lalu menundukkan kepalanya untuk memerhatikan tayar motorsikalnya. Mencari punca pergerakannya terganggu.

“Ya Allah…kempis pulak…” Dia menepuk dahi sebagai tanda begitu kecewa. Dia memandang motorsikal kapcai Honda EX5 di hadapannya dengan rasa tidak percaya. Dia tahu, dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana peralatan menukar tayar yang selalunya ada tersimpan di bawah tempat duduk motorsikal itu telah dipinjam oleh Mazlan semalam.

Dia melepaskan keluhan yang berat. Dia tiada pilihan selain terus menyorong motorsikalnya melalui jalan yang hanya dilapisi batu-batu kerikil. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak puas hati dengan apa yang sedang dirasakannya saat ini. Marah, menyesal dan penat. Sejak bangun tidur pagi tadi lagi, lepas satu, satu masalah yang menimpa dirinya. Dan ini adalah pelengkap kepada segala yang telah bermula pagi tadi.

Sah! Hari ini memang merupakan hari yang paling malang dalam sejarah hidupnya selepas hari dia terkantoi ditangkap Cikgu Fareez sebelas tahun lepas. Walaupun peristiwa itu sudah terlalu lama berlalu, ia telah meninggalkan impak yang sangat besar dalam hidupnya. Kerana peristiwa sebelas tahun lepas, sehingga kini dia masih tidak dapat meraih kepercayaan ayahnya. Hinggakan dia terpaksa memilih cara hidup yang sebegini semata-mata untuk mengembalikan maruahnya.

Dia mendengus. Segala yang berlaku hari ini juga adalah kerana rentetan kesilapannya sebelas tahun lalu. Hari ini dia mengakui untuk ke sekelian kalinya bahawa harga sebuah kepercayaan itu tiada ternilai. Sekali tergadai, harta seluruh dunia tidak dapat menebusnya kembali.

Dia mengucap istighfar tidak berhenti-henti di bibirnya, mengingatkan diri supaya bertenang, mengingatkan hati supaya tidak menyalahkan Tuhan dengan ujian yang diberikan. Dia memandang jam di pergelangan tangan. Dia tidak pasti jam berapakah nanti dia akan sampai ke rumah malam ini atau mungkinkah dia sedang melalui malam-malam terakhir dalam kehidupannya.

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.