Home Novel Cinta CINTA PANDANG KE-2
CINTA PANDANG KE-2
Laila Kamilia
23/8/2014 18:52:04
45,436
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

BAHAGIAN I

If you're still hanging onto a dead dream of YESTERDAY, laying flowers on its grave by the hour, you cannot be planting the seeds for a new dream to grow today- Joyce Chapman

Universiti Teknik Malaysia,

Kampus Kejuruteraan, Pulau Pinang

1

Ainnur Azleen dan temannya Rafiza sedang berjalan melalui koridor setelah selesai makan malam di Kafetaria Lembaran. Sesekala kedengaran mereka ketawa apabila apa yang mereka bualkan itu mencuit hati. Senda gurau mereka menarik perhatian beberapa orang yang berada di bilik televisyen semasa mereka melintas. Mereka tersenyum sambil mengangkat tangan untuk menyapa. Langkah kaki terus menuju ke bilik mereka di tingkat 2, Blok 4, asrama puteri Desasiswa Jaya.

Malam itu mereka langsung tidak berminat menonton televisyen untuk mengisi masa terluang walaupun peperiksaan akhir telah tamat secara rasminya pagi tadi. Sejak tamat kertas terakhir pagi tadi, mereka berdua telah melaksanakan marathon sembang-sembang. Rancangan mereka, marathon sembang-sembang ini akan berlarutan hingga tengah malam ataupun sehingga salah seorang sudah tidak larat menahan mata dari terus berjaga.

Semuanya untuk melepas rasa tekanan dan penat lelah menghadapi kuliah, amali, tutorial, ujian, praktikal dan tesis tahun akhir, ditambah pula dengan macam-macam aktiviti kolej. Selepas ini entah bila mereka akan bersua kembali. Ainnur di KL sedangkan Rafiza di Terengganu. Mereka pastinya merindukan persahabatan yang terbina sejak di tahun pertama lagi.

Masuk ke bilik, bayang Rozie seorang lagi teman sebilik mereka masih tidak kelihatan. Rozie berlainan kursus jadi kebanyakan masa memang mereka jarang bersua. Hanya mereka berdua yang selalu kelihatan bersama sementelah mereka satu kelas. Keakraban antara keduanya memang tidak boleh disangkal lagi. Bagaikan belangkas, keduanya selalu kelihatan berdua walau di mana saja.

Mereka mengambil tuala dan baldi kecil mengandungi peralatan mandian lalu kembali keluar menyarung selipar untuk ke bilik air.

“Kau dah beli tiket?” Ainnur bertanya kepada Rafiza yang sedang mengeluarkan berus gigi dan ubat gigi dari baldi kecilnya berwarna merah hati. Ketika itu kedua-dua mereka sedang mengadap sinki dan cermin di bilik air asrama.

Ainnur sedang membelek wajahnya di cermin, mencari jika ada jerawat yang mungkin timbul akibat tekanan peperiksaan. Dia tidak mahu pulang dengan jerawat besar di wajah. Tentu saja ibunya yang selalu mengambil berat tentang penampilan diri akan membebel bila melihat wajahnya nanti. Bukan sedikit duit yang ibunya telah laburkan demi memastikan wajah anak gadisnya nan seorang itu sentiasa licin dan putih gebu. Sebagaimana ibunya menjaga wajahnya, seperti itulah dia mahu anak gadisnya menurutinya.

“Dah cantik dah… tak ada jerawat. Jangan risau, ibu tak bising punya.” Bagai tahu-tahu apa yang ada di fikiran Ainnur, Rafiza memberi komen. Dia langsung tidak mengendahkan pertanyaan Ainnur sebelumnya.

“Orang jaga muka sebab pakwe, kau jaga muka sebab ‘makwe’.” Rafiza ketawa melihatkan Ainnur menjegilkan mata kepadanya. Ainnur kemudian mengepit rambutnya yang panjang melepasi bahu itu supaya senang untuk dia mencuci wajahnya sebentar nanti. Lehernya yang jinjang terserlah bila rambutnya tersanggul begitu. Dia kemudiannya mengeluarkan berus gigi dan ubat gigi lalu mula memberus giginya.

Suasana antara mereka berdua terus sunyi dari perbualan. Rafiza teringatkan kampung halamannya di Batu Rakit. Sudah terbayang-bayang bau air laut dan ikan di kepalanya. Ainnur pula teringatkan rumahnya di Damansara. Sudah terbayang masakan Mak Tiah dan keseronokan berbual dengan Zely yang juga akan mula bercuti minggu depan. Masing-masing tersenyum sendiri, ditelan kenangan-kenangan indah yang bakal diulang sebaik kaki menjejakkan kaki ke halaman rumah beberapa hari lagi.

“Berapa umur ibu kau?” Tiba-tiba Rafiza bertanya setelah selesai memberus gigi. Dia mengikat rambutnya yang mencecah bahu itu dengan getah rambut berwarna merah hati, warna kegemarannya. Pandangannya masih di cermin, membetulkan kedudukan ikatan rambutnya yang agak senget.

“Awal empat puluhan.” Ainnur memberitahu sambil menyimpan peralatan memberus giginya ke dalam baldi berwarna merah jambu. Bentuk baldi itu dan saiznya sama sahaja dengan baldi kepunyaan Rafiza.

“Aku tahulah empat puluhan tapi secara tepatnya berapa?” Rafiza yang tidak puas hati dengan jawapan Ainnur bertanya bagai polis pencen. Wajah Ainnur dikerling sekilas tetapi temannya itu tidak berpaling kepadanya. Hanya tersenyum di depan cermin sebagai reaksi balas kepada soalannya tadi.

Ainnur membelek lagi wajahnya di cermin, masih lagi tidak puas hati dengan blackhead yang ada di hidungnya. Kesibukannya dengan kuliah membuatkan dia terlalai seketika menjaga wajahnya. Di kepalanya dia tahu, ibu pasti membebel bila melihat wajahnya nanti.

“Pertama kali aku jumpa ibu kau, aku ingatkan itu kakak kau. Muka korang sudahlah seiras. Ibu kau memang cantik. Kalau kau tak jaga muka kau tu, silap-silap nanti, orang ingat kau ni sebaya dengan mak kau.” Rafiza memberi komen bila Ainnur tidak memberinya angka yang diinginkannya.

Ainnur memukulnya perlahan di bahu lalu Rafiza mengaduh kecil. Mereka kemudian sama-sama ketawa. Ainnur tidak sedikitpun terasa dengan komen Rafiza kerana semua yang dikatakan temannya itu benar belaka. Ibunya memang terlalu menjaga kecantikan. Walau sibuk di pejabat, ibunya tidak pernah lupa untuk mengulit wajah.

Seminggu sekali, masker mesti dipupur di wajahnya. Sebulan sekali, pasti ibunya ke salun untuk rawatan mencuci wajah dan urutan badan. Dia yakin sangat, pulangnya nanti ibunya pasti sudah mengatur jadual rawatan kecantikan untuknya. Bila jadual sudah dipenuhi, barulah ibunya melepaskan dia bebas untuk aktivitinya sendiri. Siapa kata menjadi anak tunggal mudah dan sering dimanja? Dia merasakan, sepanjang hidupnya menjadi anak tunggal, dia sering mendahulukan permintaan ibu, barulah dirinya sendiri.

“Kau dah beli tiket?” Ainnur kembali bertanyakan soalan kepada Rafiza. Dia malas hendak memanjangkan perbualan tentang ibunya yang cantik dan bergaya itu. Walaupun dia bangga punya seorang ibu yang berjaya dalam kerjaya, berperwatakan menarik tetapi kadang-kadang dia rimas bila ibunya seolah-olah mahu menjadikan dia seorang lagi Dalilah Hanum.

“Dah…aku dah tak tahan nak makan keropok leko mak aku buatlah…dah rindu.” Rafiza menyeringai menayang giginya yang sudah bersih. Di kepalanya sudah terbayang-bayang kelazatan keropok lekor air tangan ibunya.

“Kata nak teman aku pergi Kem Ukur.” Ainnur menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada Rafiza yang telah berjanji awal-awal akan bersama-sama ke Pulau Pangkor untuk aktiviti fakulti pada cuti semester terakhir ini tetapi kemudian menarik diri untuk pulang segera ke kampung.

“Aku nak bagi peluang pada kau supaya bermesra dengan Dr. Redza. Kalau aku ada, tentu kacau daun.” Rafiza gelak-gelak seorang diri sekadar mahu mengusik emosi Ainnur.

Dia cuba membaca riak di wajah temannya itu yang sudah bertekad tidak mahu berkasih-kasihan sepanjang berada di universiti. Benarkah Ainnur langsung tidak pernah ada hati pada Dr. Ahmad Redza yang sentiasa kelihatan tenang dan menawan itu? Dia mencari lagi riak itu namun Ainnur tetap tidak beriak. Sedikitpun tidak terusik dengan gurauan Rafiza.

“Kau ni seriusla.” Rafiza pula yang marah-marah bila gurauannya tidak dihiraukan Ainnur.

Ainnur memandang temannya sekilas lalu meneruskan kerjanya mencuci muka. Dia memicit pembersih muka di atas telapak tangannya. Setitis air diletakkan di atas krim pencuci yang setitis lalu dia menggosok kedua belah telapak tangannya. Buih yang terhasil dari krim pencuci muka itu menerbitkan aroma wangi. Ainnur lalu mengurut wajahnya dengan buih-buih dari krim pencuci itu. Rafiza menggigit bibir menahan marah akibat tidak dipedulikan.

“Kau tahu kenapa aku tak jawab soalan kau tadi?” Ainnur bertanya setelah selesai mencuci wajahnya. Dia mengesat wajahnya dengan tuala yang tersangkut di bahunya. Rafiza mengangguk.

“Pertama, ibu aku kata kalau cuci muka tak boleh bercakap, nanti berkedut.”

Rafiza sudah senyum kembali. Dia membuang masa merajuk kerana menyangka Ainnur sengaja tidak mahu melayannya bercakap. Perjanjian mereka, dalam marathon ini, tidak ada topik yang tidak boleh disentuh atau dibicarakan. Semuanya terbuka, telus dan mulus. Inilah masanya mereka berbicara dari hati ke hati.

“Kedua, ibu aku kata kalau nak cari teman lelaki, biarlah yang boleh dijadikan suami, nanti menyesal membuang masa dan air mata.” Ainnur berhenti di situ. Cukuplah kerana dia tahu, Rafiza pasti faham. Kedudukan Dr. Ahmad Redza sebagai lelaki yang sudah berkahwin yang tidak membolehkan dia mendekati lelaki itu untuk hubungan yang lebih dari hubungan antara pelajar dan pensyarah.

“Aku nampak dia macam minat kat kau.” Rafiza masih tidak puas hati memancing. Kadang-kadang dia perhatikan, Ainnur rajin juga melayan Dr. Ahmad Redza. Sepatutnya Ainnur tidak perlu ke Kem Ukur, tetapi kerana Dr. Ahmad Redza yang mengajaknya, temannya itu bersetuju pula. Apakah pandangan Ainnur tentang pensyarah lelaki awal empat puluhan itu? Soalan itu sudah lama dipendamkannya demi menjaga hati sahabatnya itu tetapi malam ini dia mahu mengoreknya dari Ainnur.

“Kalau dia minat kat akupun, tak ada maknanya. Aku sedar diri, aku ni pelajar, dia tu pensyarah, sudah beristeri pula. Lagipun kan kita kenal isteri dia Puan Nurismi. Kau jangan nak cari pasal. Kalaupun aku nak bercinta, ramai jejaka kat fakulti ni yang masih single and available yang aku boleh berikan hati aku.” Ainnur cuba bertenang. Bukan hatinya tidak pernah berkocak dengan gelagat Dr. Ahmad Redza yang sentiasa cuba mendekatinya tetapi dia selalu mengingatkan diri yang lelaki itu sudah beristeri.

Sudah puas dia menebak hati sendiri. Walaupun diakui ada secalit rasa suka di hatinya kepada lelaki itu tetapi dia cuba membunuh rasa itu dari terus bermukim di hatinya. Walau kadang-kadang dia tidak dapat menyembunyikan hakikat, dia juga ada memberi ruang kepada Dr. Ahmad Redza mendekatinya. Siapa yang tidak suka apabila dilayan mesra oleh lelaki yang bukan saja kacak tetapi tebal poketnya itu. Hinggakan kadang-kadang dia ‘terlupa’ yang lelaki itu sepatutnya tidak harus diberikan perhatian yang berlebihan. Dalam soal hati, memang sering terjadi manusia gagal mematuhi prinsip yang dibina sendiri.

“Kau tu cakap saja, tapi tak pernahnya aku tengok kau layan mamat-mamat yang mengurat kau tu. Tak tahulah apa yang kau tunggu. Nak kata tak minat dengan lelaki, aku tak pasti. Tapi yang aku yakin seratus-peratus, kau bukanlah yang jenis minat sama sejenis.” Rafiza sudah terkekeh-kekeh walau dicubit Ainnur dengan agak kuat. Melampau betul gurauan Rafiza malam ini.

“Kau hairan kenapa aku tak layan mamat-mamat tu?” Tiba-tiba Ainnur mendapat idea mahu mendera perasaan Rafiza.

“Kenapa? Memang dari dulu aku asyik tanya tapi kau tu asyik senyum aje bila aku tanya sampai aku dah bosan bertanya.” Rafiza memberitahu. Dia sudah memasukkan semua peralatan mandiannya ke dalam bekas, bersedia untuk balik ke bilik menyambung marathon sembang-sembang mereka.

“Aku ada rahsia aku sendiri.” Perlahan Ainnur berkata tetapi dihujungnya dia tersenyum penuh makna membuatkan perasaan ingin tahu di hati Rafiza semakin membuak-buak. Di dalam hatinya dia bertekad akan mengorek rahsia Ainnur malam ini juga.

“Kau pulak kenapa asyik bertukar pasangan? Takkan kau masih tak jumpa Mr. Right selama 4 tahun kat sini?” Ainnur mengangkat kening. Sibuk sangat bertanyakan hal dia yang masih tidak berteman. Sebagaimana Rafiza tidak memahaminya, tindakan Rafiza yang sering bertukar kekasih membuatkan Ainnur berasa pelik. Tidak tahu apa yang dicari Rafiza pada lelaki. Cepat benar temannya itu bosan dengan pasangannya. Dia sendiri sudah terlupa berapa ramai kekasih Rafiza sepanjang 4 tahun mereka di kampus.

“Aku ada misi aku sendiri.” Rafiza tidak mahu mengalah dengan Ainnur. Mereka saling berpandangan lalu ketawa. Pertama kali inilah mereka berdua sepakat bertanyakan hal yang selama ini hanya berada di kepala. Nampaknya malam ini akan menjadi satu malam yang panjang untuk mereka. Marathon belum berakhir malah sepertinya baru hendak bermula.

Mereka berjalan beriringan menuju ke bilik, tidak sabar mahu menyambung cerita, namun di pertengahan perjalanan, tiba-tiba nama Ainnur dipanggil.

“Kak Nur! Kak Nur!” Laung seseorang dari bawah. Semerta langkah Ainnur dan Rafiza berhenti lalu menjenguk ke bawah. Di lantai bawah sekali, kelihatan seorang gadis yang memakai jubah dan bertudung labuh sedang memandang mereka berdua yang berada di lantai 2.

“Ada orang nak jumpa.” Gadis itu melaung.

“Siapa?” tanya Ainnur dan Rafiza serentak. Mereka kemudian berpandangan sesama sendiri. Ainnur merenung jam di tangan. Sudah jam sebelas malam. Dia menyerahkan baldi kecilnya kepada Rafiza. Dengan langkah longlai dia menonong ke arah tangga di hujung koridor depan.

“Kak!”

Gadis yang di bawah itu melaung lagi menyebabkan langkahnya terhenti lalu dia kembali datang ke sisi koridor. Dia menjenguk ke bawah kepada gadis yang sudah mula dikenalpasti identitinya. Siti Nurbaya, adik tahun satu. Sudah banyak kali mereka bertembung di fakulti dan bertukar senyuman dan salam. Adik manis bertudung labuh itu sesuai betul dengan namanya yang kedengaran lembut di pendengaran.

Ainnur menjenguk kembali ke bawah untuk mengetahui apa lagi yang hendak disampaikan Siti Nurbaya.

“Baik akak pakai tudung. Lelaki!” Siti Nurbaya berkata pada kadar suara yang direndahkan sedikit. Tentu di kepala Ainnur, pelawat yang hendak berjumpanya adalah wanita, fikir Siti Nurbaya. Jika tidak, takkanlah Ainnur terus menonong dengan tidak bertudung dan hanya memakai baju T Shirt dan seluar sukan begitu.

Lelaki? Rafiza menelan air liur. Lelaki mana pula yang hendak menemui Ainnur pada waktu hampir lewat malam begini? Kalau dia musykil, Ainnur apatah lagi. Wajah Ainnur kelihatan serius. Di kepalanya penuh dengan teka-teki. Dia kembali ke biliknya mengambil tudung untuk disarung di kepalanya.

Sebelum keluar, sempat dia menyambar jaket untuk menutup lengannya yang terdedah kerana memakai T Shirt. Seperti robot, dia menyarung tudung dan jaket tanpa perasaan. Di kepalanya, dia tidak dapat meneka siapakah pelawatnya kerana sepanjang sejarahnya di Desasiswa Jaya, selama 4 tahun ini, dia jarang dikunjungi oleh pelawat lelaki. Kalau adapun cuma sekali, semasa Haidar sedang mabuk kepayang, mengejarnya berbulan-bulan. Tetapi Haidar hanya mencarinya di waktu siang.

Kepalanya tidak henti-henti berfikir. Tiba-tiba hatinya dipagut bimbang jika berlaku kecelakaan, hinggakan pelawat itu terpaksa memberitahunya malam itu juga. Semerta dia terbayang wajah ibu dan ayahnya. Dia mencapai telefon bimbit dari dalam jaketnya lalu mendail nombor telefon ibunya.

“Assalamualaikum ibu!” Hatinya lega bila mendengar suara ibunya yang sedang mamai menjawab telefon. Tentu ibunya sudah tidur.

“Saja telefon, rindu!” Ainnur berdalih bila ditanya ibu mengapa menelefonnya malam-malam begitu.

“Ayah dan ibu sihat?” Ainnur tersenyum bila kepalanya mendapat jawapan yang melegakan. Suara si ibu sudah melepaskannya dari perasaan yang tidak selesa yang datang secara tiba-tiba. Dia rasa lega kerana orang yang dia paling sayang selamat berada di rumah. Ternyata kebimbangannya sebentar tadi tidak berasas.

“Bila dah beli tiket nanti, Nur telefon ibu balik.” Sempat lagi ibunya bertanyakan tentang kepulangannya walaupun semasa ibu menelefonnya siang tadi, peringatan yang sama telahpun dinyatakan. Dia tersenyum lucu mengenangkan ibunya. Selagi tidak ada di depan mata, ibunya pasti akan asyik bertanya. Dia yakin sangat, jika esok ditelefon, ibunya akan menyatakan perihal yang sama.

“Sayang ibu...muuuuuuuaaaaaaaaaaaaah!” Segera Ainnur menamatkan panggilan telefon sebelum ibunya bertanya tarikh terakhir Ainnur akan berada di Pulau Pinang ini. Dia tahu benar perangai ibunya. Selagi tidak mendapat kepastian, selagi itulah akan didesaknya dengan panggilan telefon.

Esok mungkin ibu akan menelefonnya lagi bertanyakan hal yang sama tetapi malam ini dia tidak bersedia menjawabnya. Di kepalanya ketika ini tertumpu kepada pelawat yang sedang menunggunya di bawah. Dia tidak dapat berfikir selain dari ingin segera menemui pelawat itu. Dia ingin segera dapat jawapan siapakah dia dan mengapa ingin berjumpa dengannya?

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.