Pulau Pangkor, Perak
7
Ainnur meletakkan kasut yang
dijinjingnya sejak tadi di atas batu. Sudah penat dia berjalan menselusuri
pantai petang itu. Cadangnya dia mahu melihat matahari terbenam tidak berapa
ketika nanti. Dia melabuhkan punggungnya di atas sebiji batu di tepi pantai
yang mempunyai banyak batu-batu hitam itu. Batu-batu itu ada yang sebesar
pemeluk dan ada pula yang sebesar busut. Di permukaan batu-batu itu terdapat
macam-macam kesan contengan hasil tulisan tangan pengunjung yang datang meluah
perasaan.
Leka Ainnur membaca
tulisan-tulisan itu satu-persatu. Kebanyakannya luahan hati pasangan sedang
bercinta. Dia tersenyum sendiri. Dunia cinta pastilah semuanya indah saja. Rasa
kasih sayang itu sebolehnya mahu dikongsi kepada semua. Kalau boleh tentu saja dunia
hendak dijadikan saksi cinta mereka. Berbahagialah wahai sang pencinta! Doanya
kepada mereka. Baginya mereka-mereka itu insan bertuah kerana dipertemukan
dengan pasangan masing-masing.
Ainnur merenung ke laut lepas yang terbentang
luas di hadapannya seolah-olah mencari kehidupannya pada masa akan datang. Tetapi
dia tidak nampak apa-apa yang istimewa di hujung sana. Hidupnya biasa-biasa
saja. Bila Rafiza dan Zely tiada, dia dapat merasakan betapa sepi hidupnya. Tanpa mereka berdua hidupnya terasa kosong dan
lompang di sini sana. Namun dia tidak kesal kerana itu adalah pilihannya
sendiri. Dia yang memilih untuk kekal bersendirian gara-gara serik dan
berdendam lantaran cinta pertama yang tak berbalas.
Tiba-tiba angin bertiup
kencang, menolak kain tudungnya hinggakan dia terpaksa memegang tudungnya kuat
supaya tidak dilarikan angin. Dia kemudian ketawa bercanda dengan angin pada
senja itu. Dia melepas nafas. Akhirnya Kem Ukur yang selama 5 hari itu berakhir
juga petang tadi.
Tubuhnya terasa begitu lesu. Penat
tak tergambar dengan kata-kata. Sepanjang 5 hari itu, dia terpaksa memastikan
setiap aturcara yang dirancang dapat dilaksanakan. Jika ada pensyarah yang
tidak dapat hadir pada slotnya, dia harus pula mencari pensyarah lain yang
lapang. Kena pula mengatur mana-mana ruang di dalam jadual yang lompong dengan
aktiviti-aktiviti lain yang sudah disediakan oleh Dr. Ahmad Redza sebagai
rancangan kontigensi.
Selain memastikan aktiviti
berjalan lancar, kebajikan pelajar yang mengikuti Kem Ukur itu juga harus
dijaga. Pendek kata dia memang kurang berehat sepanjang 5 hari itu. Jadi bila
Kem Ukur itu diisytiharkan ditutup dengan rasminya, dialah orang pertama yang
mahu melompat tinggi.
Fikiran Ainnur merawang kepada
ibunya. Sekejap lagi dia akan pulang. Dia akan memberitahu rancangannya untuk
menyambung pengajian di peringkat Sarjana. Sekalipun sudah banyak kali ibunya
memberitahu yang pekerjaan untuknya selepas tamat belajar sudah terjamin, dia harus
berterus-terang dengan ibunya kali ini. Dia memang belum bersedia untuk bekerja
kerana ketika ini semangatnya untuk belajar berkobar-kobar. Dia mahu menyambung
pengajian hingga ke peringkat Doktor Falsafah supaya dapat menjadi seorang
pensyarah.
Walaupun sukar untuk
mendapatkan persetujuan ibunya, dia berazam akan tetap berterus-terang. Jika
boleh, dia akan berbincang dulu dengan ayah. Itulah strategi yang telah difikirkannya
beberapa hari ini. Kalau ayah sudah menjadi sekutu, tentu tugasnya akan menjadi
lebih mudah sedikit.
Dia teringat kepada Rafiza
yang baru saja menelefonnya sekejap tadi. Temannya itu terlalu teruja untuk
merasai pengalaman bekerja. Dia dimaklumkan tadi bahawa esok Rafiza akan
melalui pengalaman pertama ditemuduga. Rafiza sibuk bertanyakan kepadanya
pakaian yang harus dipakainya untuk membuatkan panel temuduga memberikan
perhatian kepadanya. Dia juga meminta tips menghadapi temuduga bagaikan Ainnur
sudah pernah melalui pengalaman ditemuduga berkali-kali.
Ainnur tersenyum sambil
menggeleng-gelengkan kepalanya mengenangkan kembali telatah Rafiza. Rafiza
telah punya kehidupannya sendiri, begitu juga dengannya. Dia tertanya-tanya bagaimanakah
dia harus melalui hari-hari yang mendatang tanpa Rafiza? Dia bukannya mudah
hendak mendapat seorang teman baik.
“Panjangnya termenung, siap
senyum-senyum. Saya duduk kat belakang ni lama dah, sampai tak sedar.” Dr.
Ahmad Redza tiba-tiba mengganggu Ainnur berkhayal.
Ainnur memandang ke belakang lalu melemparkan senyuman kepada Dr. Ahmad
Redza. Jauhnya dia berkhayal hingga tidak sedar kehadiran lelaki itu di
sebelahnya, sedangkan mereka memang datang bersama-sama ke pantai itu tadi.
“Ingatkan boyfriend ke?” tanya
Dr. Ahmad Redza kepada Ainnur. Serta-merta wajah Ainnur merah menahan malu. Dia
tidak menyangka Dr. Ahmad Redza akan bertanyakan dia soalan yang sangat
peribadi seperti itu.
“Saya mana ada boyfriend.
Siapalah yang hendakkan saya.” Ainnur berkata kemudian lalu bangun. Dia
memandang lagi ke laut lepas. Tidak berani untuk memandang ke wajah Dr. Ahmad
Redza. Walau di manapun mereka berada, batas hubungannya dengan lelaki itu
tidak pernah berubah. Dia sangat-sangat menghormati pensyarahnya itu.
Berdua-duaan begitu menyebabkan dia berasa tidak selesa.
“Boleh percaya ke? Entah-entah ramai yang dah tunggu…sampai tak tahu nak
pilih yang mana satu.” Dr. Ahmad Redza sengaja cuba memancing sekalipun dia
sedar, jawapan Ainnur tadi adalah jawapan yang jujur. Sesungguhnya dia tahu,
hati Ainnur masih belum dipunyai sesiapa.
“Jom kita ke sana!’ Ainnur semakin tidak senang dengan soalan-soalan Dr.
Ahmad Redza yang bersifat peribadi seperti itu. Dia harus mencari helah supaya
tidak terperangkap hingga perasaannya terhadap lelaki itu tersingkap nanti. Dia
tidak mahu hidupnya yang tenang menjadi tunggang-langgang. Di kepalanya tidak
habis-habis mengingatkan berdosa meruntuhkan rumahtangga orang.
Dia menjinjit kasut di tangan
kanannya sementara tangan kirinya masih memegang tudung, bimbangkan angin yang
masih nakal pada senja itu. Kakinya yang putih melepak, perlahan-lahan
melangkah di atas permukaan batu-batu yang agak licin itu. Dia mahu bermain
lagi dengan air laut di pantai. Harapnya nanti bila sudah beralih tempat, Dr.
Ahmad Redza tidak akan bertanya lagi soalan-soalan yang akan menyesakkan hati.
Ainnur dan Dr. Ahmad Redza berjalan beriringan menyusuri pantai.
Masing-masing terdiam seribu bahasa melayan perasaan sendiri. Tidak lama
kemudian Dr. Ahmad Redza tunduk membongkok, mengutip batau-batu kecil lalu
membalingnya ke laut. Dia asyik dengan aksinya tanpa mengendahkan Ainnur yang
memandang ke arahnya dengan sayu.
Lelaki di hadapan Ainnur itu sedang tertawa tetapi tawanya itu menjadikan
hati Ainnur jadi sendu. Lelaki itu hanya boleh dipandang dan didamping dari
jauh tetapi sesekali tidak akan pernah boleh menjadi miliknya. Mungkin ini
adalah hari terakhir dia dapat mendengar suara dan tawa Dr. Ahmad Redza, berada
dekat dengannya. Tetapi kenyataannya hari esok, mereka pasti tidak akan bertemu
lagi.
Berkali-kali Ainnur memberitahu hatinya yang degil, lelaki itu tidak
harus digilai. Lelaki itu tidak boleh diberikan hati apatah lagi untuk
dicintai. Lelaki itu tidak akan sekali-kali boleh dimiliki kerana dia adalah
milik mutlak perempuan lain yang terlebih dahulu berada di sisinya. Lelaki itu
sudah beristeri! Jika mahu jatuh cinta, ada berlambak lagi lelaki bujang di
dalam dunia ini. Tetapi dia seolah-olah akur, inilah kali kedua dia jatuh
cinta. Cintanya juga tidak boleh dibalas. Jadi biarkan saja dia merasakan
bahagia sendiri.
Cukuplah hari ini dia sekadar menumpang kemesraan yang sementara itu
dengan Dr. Ahmad Redza. Esok akan dipaksanya belajar melupakan lelaki itu.
Sesungguhnya dia asyik terfikir mengapakah dia sudah dua kali salah dalam
memberikan hati. Dulu buah hati orang, kini lebih parah, suami orang pula!
Memang sudah tertulis nampaknya, dia memang bukanlah manusia yang bertuah dalam
bab cinta.
“ Leen! Kenapa tercegat aje macam patung! Mari sini, kita lawan batu
siapa paling jauh!” Dr. Ahmad Redza berpaling sambil tersenyum kepada Ainnur.
Senyuman itu seakan mengejek Ainnur supaya berpegang pada nyata, tetapi seperti
biasa sindiran itu akan terbias sia-sia. Hati Ainnur tidak akan pernah berhenti
berharap dalam diam. Mujur saja rahsia itu sehingga kini berjaya ditutupnya
kemas-kemas sendiri.
Dr. Ahmad Redza tunduk lalu mengutip beberapa biji batu kecil lagi di
tepi pantai lalu membalingnya ke laut. Sekejapan batu yang dilempar tadi
melantun dua tiga kali di permukaan laut lalu tenggelam. Cahaya yang semakin
suram di Pantai Pasir Bogak Pulau Pangkor itu menyebabkan bayangan batu itu
cepat saja menghilang.
Terus wajah putih mulus Ainnur ditatapnya kembali. Sedikitpun dia tidak
pernah merasa bersalah pada Ainnur mahupun pada isterinya. Berdua-duaan dengan
pelajar sendiri sudah menyalahi etikanya
sebagai pensyarah tetapi kesenangan hatinya ketika bersama Ainnur menutup rasa
itu secara total. Untuk isterinya pula, dia hanya mahu membuktikan yang dia
adalah lelaki yang normal, lelaki sejati. Hanya kerana wanita yang dikahwininya
itu bukanlah cintanya kerana itulah rumahtangga mereka hambar selama ini.
Tatkala mata mereka bersabung, sekelipan Ainnur menukar riak sendu di
wajahnya. Di hadapan lelaki itu dia akan jadi sebaik mungkin, secantik mungkin,
sesempurna mungkin. Dia ingin segala-galanya serba sempurna di mata lelaki yang dicintainya dalam diam itu. Walau dia
sedar, tiada janji untuk dibalas segala yang dilakukannya untuk lelaki itu, dia
tidak pernah kisah. Cintanya pernah ditolak. Jadi jika cinta kedua ini juga
tidak berpihak kepadanya, dia tidak kisah lagi.
Baginya kegembiraan lelaki itu adalah kebahagiaan untuknya. Perkara
lain-lain bukanlah menjadi kepentingan baginya. Dia sudah pernah kecewa dan
apalah sangat jika kecewa lagi untuk kali yang kedua. Dia pasti boleh
melaluinya sekali lagi dengan sebaik-baiknya seperti sebelumnya. Bukankah tadi
dia sudah berkata yang dia sudah menerima yang dia memang tidak pernah bernasib
baik dalam soal cinta?
“Kalau baling macam tu, terus tenggelamlah batu tu Cik Leen oi! Baling
macam ni ha!” Dr. Ahmad Redza beria-ia menunjukkan kepada Ainnur cara yang
betul membaling batu bila melihat balingan batu Ainnur yang lemah itu.
Ainnur tersenyum lagi. Kalau bersama Dr. Ahmad Redza, dia rela jadi pelajarnya
seratus tahun lagi. Biar dia jadi pelajar paling dungu. Biar dia tidak graduat
selama-lamanya, dia rela. Memang jika di dalam kelas Dr. Ahmad Redza, dia selalu
sengaja buat-buat tidak faham, supaya Dr. Ahmad Redza akan datang kepadanya dan
menunjukkan cara.
Selama ini itulah helahnya di dalam kelas. Biar dia nampak biul asalkan
dia sentiasa berdekatan dengan lelaki itu. Mencium harumnya lelaki itu begitu
mendamaikan jiwanya. Tak dapat orangnya, dapat baupun jadilah. Memang sah dia sudah gila! Gilakan laki
orang! Gilakan pensyarah sendiri! Tapi hatinya yang keras tidak pernah mahu
peduli.
“Eh! Kejap aje masa berlalu. Matahari dah nak terbenam! Mari Leen kita
bergambar.”
Seakan baru tersedar, alam sudah suram di sekitarnya, Dr. Ahmad Redza
menarik hujung lengan baju Ainnur tanpa silu. Wajah Ainnur yang sudah merona
merah itu sedikitpun sengaja tidak mahu dipedulikan. Bagi seorang anak gadis
yang belum pernah merasai balasan cinta, walaupun tidak bersentuhan sudah cukup
membuatkan Ainnur penasaran.
“La… marilah…” Dr. Ahmad Redza menarik hujung lengan baju Ainnur lebih
kuat tatkala Ainnur bagai tidak mahu berganjak dari tempat dia berdiri. Ainnur
bagaikan orang-orang di tengah sawah. Tegak bagaikan terkena renjatan elektrik.
“Dik! Sekejap! Ambilkan gambar kami!” Tanpa memperdulikan reaksi Ainnur,
Dr. Ahmad Redza melaung kepada seorang remaja yang kebetulan lalu di situ.
Remaja itu menganggukkan kepala lalu mengambil kamera yang dihulurkan
kepadanya. Dia tersenyum saja memandang kepada keduanya. Ainnur merasakan
senyuman itu seolah-olah menyindirnya tetapi dia tidak peduli. Mungkin kerana
perbezaan umur yang ketara antara dia dan Dr. Ahmad Redza yang seperti anak
dengan bapa. Orang boleh berkata apa saja bila melihat mereka. Hakikatnya kalau
hati sudah suka, kata-kata orang sudah tidak bermakna.
Ainnur terkaget bila tangan Dr. Ahmad Redza terus saja singgah di
pinggangnya. Lidahnya jadi kelu langsung tidak terkata apa. Dia ingin
menyatakan keengganannya untuk diperlakukan begitu tetapi tidak berdaya. Selama
ini walau mereka selalu berdekatan, Dr. Ahmad Redza tidak pernah mengambil
kesempatan.
“Satu, dua, tiga!” Remaja tadi berkata lalu merakam aksi keduanya.
Senyuman di bibirnya masih tidak lekang. Ainnur rasa jengkel melihatnya tetapi
tindakan Dr. Ahmad Redza itu lebih menjengkelkan hatinya.
Fikiran Ainnur jadi bercelaru seketika. Adakah kerana berjauhan dari
kampus dan isteri, Dr. Ahmad Redza menjadi lebih berani? Tapi apakah makna
sentuhan itu? Ainnur tidak menemukan jawapannya tetapi dia menyedari saat itu
jantungnya sedang berdegup 100km sejam! Ainnur memegang dadanya, cuba menahan
debaran itu dari terus melanda.
“Terima kasih dik!”
Ainnur melihat saja Dr. Ahmad Redza memberitahu remaja itu. Lama lelaki
itu melihat kembali gambar yang terakam di kamera digitalnya. Ainnur ingin tahu
sangat apa yang sedang bermain di fikiran lelaki itu tapi lidahnya terasa kebas
untuk bertanya.
“Lepas ni nak pergi mana Leen?”
Dr. Ahmad Redza membetulkan cermin matanya. Wajah Ainnur ditatapnya lagi. Gadis
yang begitu bersahaja dan comel itu begitu disenanginya dalam sekalian
pelajarnya di kampus. Sudah lima belas tahun dia mengajar, inilah pertama kali
dia keluar bersama pelajar sendiri. Wajah itu sentiasa mengingatkannya kepada
seseorang yang pernah disayanginya sepenuh hati. Cinta pertama yang tidak dapat
dilupakannya sampai bila-bila.
Hari ini walau hanya beberapa jam bersama Ainnur, dirasakan bahagia
sekali. Dia menjadi dirinya sendiri. Tidak perlu berlakon menjaga tingkah lagi.
Dia adalah Ahmad Redza lima belas tahun dulu. Terasa dirinya kembali muda.
Betapa dia rindukan saat dirinya bebas melakukan apa saja. Tanpa ada orang lain
yang perlu menghakimi tindak-tanduknya.
“Saya laparlah Dr.” Ainnur memberitahu sambil memegang perutnya. Sejak
tengahari sebaik berakhirnya Kem Ukur dia tidak menjamah nasi. Dia tidak sempat
makan pun kerana terus saja Dr. Ahmad Redza mengajaknya keluar berjalan-jalan.
Sampai sekarang bila jam menginjak angka 7.00 malam, tiada tanda-tanda yang Dr.
Ahmad Redza bersedia untuk menghantarnya pulang ke KL sebagaimana yang
dijanjikan sebelum ini.
“Okey. Kita pergi makan kat restoren kat depan sana. Lepas tu saya hantar
awak balik,” cadang Dr. Ahmad Redza.
Ainnur menarik nafas lega kerana Dr. Ahmad Redza dapat membaca fikirannya
tapi kemudian nafasnya rasa tersekat. Di fikirannya saat ini terbayangkan jika
perlakuan intim Dr. Ahmad Redza sebentar tadi sebagai tanda yang dia sudah tahu
rahsia hatinya yang mencintai lelaki itu dalam diam. Ruang udara terasa sempit
seketika. Ketika ini Ainnur seolah-olah baru tersedar, yang dia sebenarnya
belum bersedia untuk terluka untuk kali yang kedua.