Universiti Teknik Malaysia,
Kampus
Kejuruteraan, Pulau Pinang
3
Ainnur berdiri di muka pintu
biliknya dengan tubuh yang lenjun. Angin begitu kuat hinggakan payungnya hampir
’dilarikan’ angin. Tempias dari lantai koridor ke pakaiannya yang sedia basah, menambahkan
siksa kesejukannya. Dia menggigil di muka pintu dengan sekaki payung yang sudah
hampir terburai kerana ada bilahnya yang patah dipukul angin, sebuah fail yang
kandungan kertasnya sudahpun berbalam-balam kerana dakwatnya mencair diserap
air dan sebiji buah durian yang baunya tidak pudar walau ’ditelan’ hujan.
“La... kenapa ni?” Rafiza
bertanya sebaik pintu bilik dibuka.
Dia mahu ketawa tetapi
melihatkan wajah Ainnur yang masam mencuka, dia menyimpan rasa lucu itu di
dalam hati. Tidak pasal-pasal Ainnur membalingnya dengan kulit durian pula
nanti. Oh! Itu liar sangat imaginasinya. Paling tidak, Ainnur tidak akan
memberinya merasa buah kegemaran mereka berdua itu. Tidak! Rafiza mesti bermuka
manis dan menunjukkan wajah simpati untuk merasa buah durian yang berada di
tangan Ainnur ketika itu.
“Nah tuala, baju dan baldi!” Rafiza
menghulur sebelum sempat Ainnur membuka mulut meminta.
Ainnur menyambut tuala
pemberian Rafiza lalu menghulurkan fail dan buah durian ke tangan Rafiza.
Berseri-seri wajah Rafiza kerana otaknya yang geliga itu telah mencerahkan
peluangnya merasa buah durian yang besar dan nampak sungguh menyelerakan itu.
Ainnur membentakkan kakinya ke lantai semasa berjalan ke bilik air tanda tidak
puas hati melihat senyuman di bibir Rafiza sedang dia terpaksa berbasah kuyup
begitu.
Rafiza hanya memerhati lalu
menggeleng kepala melihatkan sikap keanak-anakan yang ditunjukkan Ainnur. Di
matanya, Ainnur nampak begitu comel!
Tidak lama kemudian, Ainnur
masuk ke bilik sambil menggigil kesejukan. Cepat-cepat dia berlari ke almari
pakaiannya mencari seluar trak untuk membalut kakinya yang hanya sekerat
ditutupi tuala. Setelah menyarung seluar, dia mencari tuala kecil untuk
mengelap rambutnya yang basah. Dia membungkus rambutnya kemas-kemas lalu duduk
bersila di atas katil. Secawan air teh panas yang dihulur Rafiza disambutnya
dengan senyuman manis. Rafiza memang pandai mengambil hati.
“Terima kasih!” Dia berkata
sambil tangannya meraba-raba tepi cawan teh yang masih berkepul-kepul asapnya.
Rasa panas dari dinding cawan itu menyerap ke kulitnya. Dia rasa sedikit lega
lalu menghirup teh perlahan-lahan. Rasa panas itu segera beredar dari bibirnya
ke kerongkong lalu ke perutnya. Ah! Dia berasa lega. Sejuk yang dirasakannya
tadi mereda perlahan-lahan.
“Kau memang hantu durian!” Dia
memberi komen tatkala melihat Rafiza sudah bersila di lantai dengan pisau,
sehelai tuala kecil dan beberapa helai kertas surat khabar yang tersedia
terhampar. Dia sudah menggosok kedua-dua belah telapak tangannya tanda akan
membelah durian itu pada bila-bila masa. Komen Ainnur langsung dia tidak
pedulikannya. Tumpuannya kini hanya kepada sebiji durian yang ada di
hadapannya.
“Tak nak tunggu Rozie?” Ainnur
menjeling jam loceng di katilnya. Sudah 12.15 tengah malam. Masakan teman
sebiliknya yang lagi seorang itu masih belum pulang.
“Ha! Lupa nak bagitau. Tadi
dia telefon beritahu dia tidur di rumah Kak Yanie. Dah malam sangat dan hujan
lebat. Esok saja dia balik.” Rafiza memberitahu. Di tangannya sedang ligat
mengorek buntut durian dengan pisau pemotong buah yang kecil. Dia menoreh jalur
pangsa durian yang jelas kelihatan dari luar kulit durian dengan berhti-hati
kerana bimbang tangannya terluka.
“Kau tak nak tanya ke siapa
yang bagi durian ni, terus kau nak makan?” Ainnur bertanya sambil membetulkan
silanya di hadapan Rafiza yang kelihatan bersemangat menunjukkan kemahiran
mengopek kulit durian.
“Siapa bagi?” tanyanya acuh
tak acuh. Baginya siapa yang bagi tidak penting. Yang paling penting ialah
membuka kulit durian dan merasa buahnya yang lazat berlemak itu.
“Cubalah kau teka.” Ainnur
cuba memancing minat Rafiza tetapi gadis itu hanya menggeleng tanda tidak
berminat menyahut cabaran Ainnur.
“Ish!” Kedengaran suara Rafiza
sedang mengerah seluruh tenaga untuk sebiji durian itu. Kedua tangannya sedang
cuba mengopak kulit durian itu supaya terbelah dua. Dengan seluruh tenaga yang
dia ada, buah durian itu masih belum mahu terkopak juga. Dia mencuba sekali
lagi. Kali ini dengan lebih kuat lagi.
“Tekalah. Kalau kau betul, aku
bagi semua sekali durian ni untuk kau.” Ainnur masih tidak berputus asa
mengalih perhatian Rafiza dari durian nan sebiji itu.
“Kau tak menyesal?” Rafiza
berhenti seketika menarik nafas. Susah betul hendak mengopek kulit durian itu.
Mungkin baru jatuh, kerana itu payah hendak membukanya, fikir Rafiza. Mungkin
juga tuan punya buah durian ini kedekut orangnya menyebabkan kulitnya sukar
dibuka. Begitulah mitos orang-orang tua dahulu yang pernah didengarnya.
Cepat Ainnur menggeleng kepala
lalu meneguk air teh lagi. Dia tidak larat hendak menelan durian itu
mengenangkan ia adalah pemberian dari Dr. Ahmad Redza. Apa tujuan Dr. Ahmad
Redza memberinya buah durian pada waktu malam-malam begitu? Dia sangsi dengan
niat pensyarah itu tetapi dia tidak mahu membincangkannya dengan Rafiza.
Walaupun selama ini sudah
beberapa kali dia menerima SMS atau panggilan telefon dari lelaki itu, dia
tidak pernah membuka mulut memberitahu sesiapa. Dia bimbang dengan penerimaan
orang sedangkan dia sentiasa mengingatkan dirinya supaya tetap menganggap
lelaki itu tidak lebih dari pensyarahnya. Gosip liar hanya akan menjejaskan
reputasi Dr. Ahmad Redza, malah mungkin akan sampai mengganggu ketenteraman
rumahtangganya. Tindakan Dr. Ahmad Redza malam itu benar-benar telah mengganggu
selera makannya.
“Bukan Haidar kan?” Rafiza
sekadar menilai sejauh mana perasaan Ainnur terhadap lelaki itu melalui riak
wajah Ainnur.
Cepat Ainnur menggeleng dengan
wajah tanpa perasaan seperti biasa. Tentu mudah saja baginya menunjuk riak
begitu kerana memang dia tidak pernah menyimpan perasaan kepada Haidar. Jika
adapun lelaki yang dia harus berusaha sedaya upaya supaya perasaan sebenarnya
terlindung, lelaki itu adalah Dr. Ahmad Redza. Selain dari dia, buat masa ini
tiada sesiapa di hatinya. Itu Ainnur yakin sangat.
Dari riak wajah Ainnur, Rafiza
dapat membuat kesimpulan bahawa Ainnur memang langsung tidak pernah memberi
peluang kepada Haidar untuk mengisi ruang hatinya yang kosong. Kasihan Haidar,
Rafiza menyatakan simpati di dalam hati. Sia-sia lelaki itu berjuang merebut
hati Ainnur dari semester 1 lagi.
4 tahun bukanlah masa yang
terlalu singkat. Begitu tegar hatinya, hingga kini masih terus mengharap.
Agaknya bilalah Haidar akan mengibarkan bendera putih tanda menyerah diri?
Entah berapa tahun lagi Haidar sanggup menunggu hingga pintu hati Ainnur
terbuka? Rafiza tidak pernah punya jawapannya.
Kerana kasihan, dia pernah
memberitahu Haidar supaya melupakan Ainnur dahulu tetapi kata lelaki itu, dia
tidak akan berhenti berharap. Haidar degil mempertahankan kehendaknya sedangkan
Ainnur enggan memberi peluang. Rafiza tidak tahu siapakah yang kesudahannya
akan mengalah. Semoga Haidar dan Ainnur akhirnya akan bertemu dengan jodoh yang
baik-baik, doa Rafiza di dalam hati. Itulah harapan Rafiza.
“Takkan Zely pula yang datang
malam-malam begini nak buat kejutan.” Rafiza meneka bila dia tiba-tiba
teringatkan tentang lelaki yang paling hampir dalam hidur Ainnur selepas
ayahnya adalah Zely. Pada awalnya Rafiza selalu beranggapan bahawa Ainnur dan
Zely ada hubungan istimewa, hanya temannya itu cuba berselindung darinya.
Tetapi sekarang ini dia sudah boleh menerima istilah hubungan ‘teman tapi
mesra’ di antara Ainnur dan Zely.
Ainnur tersenyum mendengarkan
nama Zely disebut tetapi dia tetap menggeleng. Sudah begitu lama mereka tidak
bersua. Zely berada di Universiti Malaysia Sabah. Pasti ada banyak cerita yang
ingin dikongsikannya bersama dengan Zely bila mereka berpeluang berjumpa nanti.
Tidak sabar rasanya dia hendak bertemu empat mata dengan lelaki itu. Di
kepalanya, sudah terencana mahu mengajak Zely dan Mak Tiah berkelah di Sg.
Tekala nanti.
“Dr. Redza kan?” Akhirnya
Rafiza memecah lubang. Dia memandang Ainnur yang kelihatan terkejut dengan
tekaannya kali ini. Wajah Ainnur yang tadinya sedang tersenyum mengenangkan
Zely terus bertukar pucat, bagai ditoreh tidak berdarah.
“Mana kau tahu?” Ainnur
bertanya tidak sabar. Bagaimana Rafiza boleh meneka dengan begitu tepat
sedangkan dia tidak memberi apa-apa bayangan langsung.
“Aku baca fail tu, Kem Ukur,
siapa lagi kalau bukan Dr. Redza?” Rafiza berpura-pura bagai tiada apa-apa
dengan kembali menyambung tugasnya mengopek kulit buah durian itu. Dia bimbang
mulutnya terlepas cakap.
Kalaulah Ainnur tahu dia
mengekori jejak temannya itu tadi, mesti Ainnur tidak akan menegurnya lagi.
Bimbang Ainnur tersalah sangka dia mahu menjaga tepi kainnya. Niat awalnya cuma
hendak memastikan Ainnur selamat bertemu pelawatnya pada waktu malam begitu.
Itu saja. Tidak sangka, apa yang ditemuinya lebih dari itu.
Dari riak terkejut Ainnur,
Rafiza dapat mencium sesuatu tetapi dia cuba berfikiran positif. Mungkin Dr.
Ahmad Redza baru balik dari kampung dan kebetulan mahu memberi fail itu sebab
itulah diberikannya sekali buah durian itu. Dia percaya Ainnur tidak akan
menyembunyikan sesuatu darinya. Dia selalu berfikir begitu kerana dia tidak
pernah berahsia apa-apa dengan teman baiknya itu. Jika benar Ainnur mahu
menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya, pastilah kerana temannya itu masih
belum bersedia untuk berkongsi cerita dengannya. Rafiza tidak mahu memaksa.
Baginya persahabatan itu harus ikhlas dan berlandaskan kepercayaan.
Ainnur berasa lega
mendengarkan penjelasan Rafiza. Fikirnya tadi, Rafiza mengintainya dari
belakang. Malunya kalau Rafiza nampak dia berpayungan berdua di dalam hujan
bersama pensyarahnya. Manalah hendak disorokkan mukanya.
“Nanti kejap.” Tiba-tiba
Rafiza berhenti mengopek kulit durian itu. Jari telunjuknya tergawang di udara.
Dia seolah-olah baru mendapat idea yang sangat bergeliga.
“Apa dia?” Ainnur bertanya
kehairanan.
“Baik kau langkah buah ni
dulu.” Rafiza menyatakan apa yang terlintas di kepalanya saat itu.
“Kau gila ke apa? Makanan
takkan nak dilangkah.” Ainnur membantah. Makanan itu benda yang sepatutnya
dihormati. Rafiza sudah hilang akal atau apa. Ainnur sekali-kali tidak dapat
menerima rasional makanan perlu dilangkah walau apapun alasannya.
“Kalau Dr. buat guna-guna kat
kau, mesti tak jalan sebab dah kena langkah, dah batal dah jampinya.” Rafiza
mengemukakan teorinya. Dia ingat lagi pesan Mak Su di kampung, kalau ada orang
yang tidak suka pada kita atau tak pernah-pernah menghulur makanan tiba-tiba bermurah
hati memberi makanan, eloklah dibuangkan saja atau dilangkah bagi ‘menawarkan’
jampi orang itu kepada kita. Itu salah satu cara orang menghantar santau atau mengenakan
ilmu guna-guna, pesan Mak Su lagi.
“Kalau kau nak langkah, kau
langkahlah. Aku tak sanggup.” Ainnur sudah memberitahu pendiriannya. Dia
sudahpun membuat keputusan untuk tidak makan buah durian itu sejak buah durian
itu bertukar tangan di kawasan parkir tadi lagi.
Selagi dia tidak tahu niat
sebenar Dr. Ahmad Redza kepadanya, selagi itulah dia tidak akan menerima
apa-apa juga pemberian lelaki itu. Dia harus berhati-hati dengan perangkap
lelaki, terutamanya yang sudah beristeri. Pesan ibu, sentiasa terngiang-ngiang
di telinganya walau hatinya telah berjaya dicuri dalam diam.
“Nanti kau tergila-gilakan Dr.
macam mana? Sanggup kau jadi bini nombor dua dia?” Rafiza bertanya kebodohan.
Dahinya berkerut memikirkan. Takkan mudah-mudah Ainnur hendak menyerah hatinya
kepada lelaki yang sudah beristeri itu. Bukankah awal tadi, Ainnur sudah
menyatakan pendiriannya tentang lelaki yang sudah beristeri. Kata-kata Ainnur
kembali terngiang-ngiang di telinganya. Masakan dia boleh lupa kerana mereka
baru saja membincangkannya belumpun masuk jam yang kedua.
“Mulut kau tu capoibetul.” Ainnur menarik muka masam
sedangkan Rafiza tersengih-sengih mengenangkan kata-katanya tadi. Dia sama
sekali tidak akan bersetuju jika Ainnur hendak bermurah hati berkongsi kasih
dengan isteri Dr. Ahmad Redza. Dialah orang pertama yang akan membangkang nanti
kalau-kalau Ainnur terlupa diri.
“Kau makan sorang saja,”
beritahu Ainnur kemudian dengan nada perlahan. Bunyi hujan di luar yang masih
lebat seolah-olah menenggelamkan suaranya menyebabkan Rafiza terpaksa bertanya
sekali lagi untuk mengesahkan.
“Apa kau cakap?”
“Aku kata, aku tak nak makan.
Kau saja yang makan sorang-sorang,” ulang Ainnur dengan nada yang lebih kuat
sedikit dari tadi.
“Kau biar betul?” tanya Rafiza
tidak percaya.
“Betul.... Tadikan kau dah
teka betul. Kau makanlah semuanya. Itukan perjanjian kita?” Ainnur menjelaskan
tanpa sedikitpun rasa terkilan. Dia berkata bersungguh-sungguh untuk meyakinkan
Rafiza yang kelihatan masih tidak berpuas hati. Tidak percaya dengan
kata-katanya barangkali.
“Lagipun... kalau betul Dr.
nak guna-gunakan aku mesti tak menjadi sebab yang makannya kau, bukan aku.”
Telunjuk Ainnur menunjuk ke arah Rafiza, kemudian kembali kepadanya. Yakin
sungguh dia berkata-kata seolah-olahnya yang mengemukakan teori jampi-menjampi
tadi bukannya Rafiza tetapi dia.
“Kau betul yakin dia jampi
nama kau kan, bukan nama aku.” Rafiza sudah mulai waswas dengan teorinya tadi.
Dia memandang ke arah Ainnur yang kelihatan selamba bagai tiada apa-apa.
Temannya itu sedang menuang air teh lagi ke dalam cawannya. Apa yang Rafiza
tidak tahu, Ainnur sebenarnya mencuba sedaya upaya supaya tidak melepaskan tawa
yang ditahannya melihatkan reaksi gelabahnya.
“Manalah aku nak tahu dia
jampi nama aku ke nama kau.” Ainnur berkata lalu menghirup lagi air teh ke
dalam mulutnya. Buat masa ini dia cuba meyakinkan diri bahawa air teh itu lebih
sedap daripada buah durian kegemarannya.
“Ada satu cara saja kalau kau
nak tahu kebenarannya.” Ainnur mahu memberi saranan tatkala buah durian itu
sudah terbelah dua, membentangkan isi durian berwarna kuning keemasan. Dia
memejamkan matanya, cuba melupakan godaan bentuk fizikal isi buah durian itu
tetapi haruman yang terbit darinya begitu mengganggu kosentrasinya. Dia menelan
air liur beberapa kali.
“Apa caranya?” Rafiza bertanya
tidak sabar. Dia memang sudah tergoda dengan hidangan yang sedang terbentang di
depan matanya. Sudah lama dia tidak makan durian yang cantik isinya sebegitu
rupa.
“Kau makan ajelah malam ni,
esok bila kau asyik teringat kat Dr., maksudnya kau dah kenalah ilmu guna-guna
dia.” Ainnur ketawa sedang Rafiza terkebil-kebil. Dia sedang berfikir-fikir
sama ada mahu makan atau lupakannya saja. Seperti mana dia tidak sanggup
membiarkan Ainnur menjadi isteri kedua Dr. Ahmad Redza, sebanyak itu juga dia
tidak mahu dirinya dimadukan!