Lebuhraya Utara-Selatan
8
Jam sudah dua belas malam. Ainnur sudah mulai gelisah. Sudah penat dia
melihat jam tangan. Kepalanya sudah juga sudah penat menoleh ke luar tingkap
kereta. Mulutnya sudah letih bertanya. Walau hari sudah lewat begini, mereka
masih belum sampai ke Kuala Lumpur. Sekarang mereka baru berada di Slim River.
Semuanya gara-gara Dr. Ahmad Redza yang melencong ke Ipoh dulu tadi semata-mata
mahu mencari limau bali Tambun. Macam sudah tiada masa lain hendak ke sana.
Sudahlah mereka bertolak dari Pangkor tadi selepas Maghrib.
Dia menjeling jam di dashboard kereta dengan rasa geram.
Sudah tengah malam! Nyata kini mereka memang sudah lewat benar. Pagi tadi,
semasa Dr. Ahmad Redza mempelawanya pulang ke KL bersama, ingatnya dia akan
sampai ke rumah awal. Kalau dia tahu begini, lebih baik dia naik bas saja
bersama adik-adik Kem Ukur pulang ke kampus di Pulau Pinang. Pagi esok, dia
boleh usahakan balik ke Kuala Lumpur dengan bas, keretapi mahupun kapal
terbang.
Rasa menyesal kerana menurut pelawaan Dr. Ahmad Redza datang
bertimpa-timpa. Tetapi menyesal kemudian memang tiada gunanya. Kalaulah ibunya
tahu dia berdua-duaan dengan suami orang, pada waktu tengah malam buta begitu,
memang teruklah nanti dia dibebelkan
ibunya. Silap-silap hari bulan, dia tidak akan dibenarkan keluar rumah sebulan.
Dia berdoa semoga dia tidak bertemu sesiapa yang dikenalinya sepanjang perjalanannya
pulang ke KL ini. Doanya lagi biarlah cepat dia sampai ke ibukota. Hatinya
tidak sedap. Memang dia seolah-olah sengaja mahu menempah nahas!
“Saya dah mengantuk sangatlah Leen.” Tiba-tiba Dr. Ahmad Redza berkata
memecah kesepian di dalam kereta. Sebelah tangannya menahan kuap akibat mengantuk
sebentara sebelah lagi menolak stereng kereta ke kiri, keluar dari Lebuhraya
Utara-Selatan.
Bagai boleh membaca fikiran Dr. Ahmad Redza, wajah Ainnur semakin
menggelabah. Hatinya yang tidak sedap jadi semakin tidak keruan. Dadanya
berdebar hilang rentak. Baru dia menyedari yang Dr. Ahmad Redza sedari tadi
sengaja melengah-lengahkan perjalanan. Tidak! Dia tidak harus terus mengikut
semua yang direncana oleh Dr. Ahmad Redza sekalipun dia hanya penumpang di
dalam kereta itu. Otaknya mula ligat mencari jalan.
“Dr. nak saya drive ke?” Ainnur
bertanya sambil tangannya menarik keluar tali pinggang keledar yang membelit
diri sejak tadi.
“Tak apa…tak apa… Saya penat sangat. Saya tidur sekejap saja. Awak jangan
pergi ke mana-mana tau. Kunci pintu,” arah Dr. Ahmad Redza yang sudah
memberhentikan keretanya di hadapan deretan kedai makan 24 jam di kawasan Rehat
dan Rawat Ulu Bernam tanpa menghiraukan cadangan ‘bernas’ Ainnur tadi.
Dia menarik keluar tali pinggang keledarnya lalu melaraskan punat di kerusi bagi membolehkannnya
baring. Bila kedudukannya sudah selesa, dia meletakkan tangannya di atas dahi.
Tidak perlu menunggu lama, tidak lama kemudian kedengaran dia mengeruh kecil tanda
dia benar-benar kepenatan. Langsung dia tidak pedulikan Ainnur yang
terkebil-kebil memandang di sebelahnya.
Ainnur tidak tahu mahu berbuat apa lagi. Perasaannya berbelah bahagi.
Antara curiga dan malu kerana berprasangka tidak baik tadi. Kalau dia hendak
balik sendiri sekarang ini, mana hendak dicari bas pada malam-malam begini.
Hendak keluar dari kereta, dia takut. Tempat ini begitu asing baginya. Lama
juga dia terkebil-kebil hingga akhirnya
dia juga terlelap sendiri.
“Leen! Leen! Bangun Leen!” Tiba-tiba Ainnur terasa bahunya disentuh. Dia
terpisat-pisat mengenyeh mata. Wajah Dr. Ahmad Redza di sebelahnya terasa
berbalam-balam. Dalam mamai, dia cuba memberi fokus kepada lelaki yang berada
di sebelahnya yang sudah duduk tegak di kerusi pemandu.
“Kita kat mana ni?” Ainnur bertanya. Waktu-waktu gelap begitu, dia tidak
boleh mengagak di mana kedudukan mereka sekarang. Nyenyak sangat dia tidur
sampai kereta bergerak tadi, langsung dia tidak sedar hinggalah Dr. Ahmad Redza
mengejutkannya tadi. Kalaulah tidak dikejutkan tadi, agaknya sampai ke KL baru
dia tersedar. Maklumlah badannya benar-benar lesu.
“Kita di Tanjong Malim,” beritahu Dr. Ahmad Redza sambil membetulkan
kedudukan cermin matanya. Dia memandang ke arah Ainnur yang masih kelihatan
mamai itu.
“Saya dah tak boleh nak drive
dalam keadaan mengantuk macam ni. Saya betul-betul penat, awak pun rasanya
penat. Kalau bawa kereta pasti membahayakan diri masing-masing. Saya…. Saya…
ingat, bukan ingat…. Saya dahpun tempah bilik untuk rehatkan diri sampai subuh.
Lepas tu kita balik ye…Boleh Leen?” Dr. Ahmad Redza menjelaskan. Dia tidak mahu
Ainnur berprasangka buruk terhadapnya.
“Oklah kalau macam tu. Jangan bimbang, saya okey aje tidur kat sini.
Selamat malam Dr.!” Ainnur membetulkan kedudukannya lalu kembali memejamkan
matanya. Namun tidak lama kemudian dia menyedari Dr. Ahmad Redza tidak berganjak
dari tempat duduknya. Dia kembali
membukakan mata yang masih mengantuk.
“Ops, maaf, saya lupa Dr. belum
keluar. Jangan bimbang, saya akan kunci pintu nanti.” Ainnur tersengih
mengenangkan kebodohannya. Tentu saja Dr. Ahmad Redza risaukan keselamatannya
yang nampak sangat sedang mamai itu. Kalaulah dia terus tertidur tadi dengan
tidak mengunci pintu kereta, macam-macam boleh terjadi kepada dirinya.
“Hei! Awak ingat saya akan biarkan awak tidur sorang-sorang kat sini dan
saya sedap tidur kat dalam hotel. Saya ni bukannya lelaki tak bertanggungjawab
tau. Mari! Saya dah tempah bilik untuk awak.” Dr. Ahmad Redza berkata menjelaskan
kepada Ainnur mengapa dia masih tercegat di situ sedangkan dia sudah
memberitahu yang dia telah menempah bilik di hotel tadi.
Ainnur yang masih mamai duduk tegak seketika seolah-olah berfikir
sebentar. Ada logiknya kata-kata Dr. Ahmad Redza. Tentu bahaya dia tidur
sendirian di dalam kereta pada waktu sebegini. Mengenangkan keselamatan
dirinya, akhirnya dia bangun lalu keluar dari kereta mengikuti Dr. Ahmad Redza yang
sudahpun keluar dari kereta.
“Tak payah bawa apa-apa, kecuali telekung. Pakai aje baju yang sama,
jimat masa. Kita bukannya nak tidur lama-lama. Ada beberapa jam saja lagi.”
Semasa Ainnur berdiri di tepi bonet kereta untuk mengambil pakaiannya di dalam
beg, Dr. Ahmad Redza memberitahu. Ainnur hanya menurut saja. Dia sudah malas
hendak berfikir lagi apabila melihat jam di tangan sudah menunjukkan angka 3
pagi. Dia membuntuti Dr. Ahmad Redza yang telah beberapa langkah di hadapannya.
Sampai di muka pintu bilik hotel, Ainnur seperti orang kebingungan. Dia
memandang saja Dr. Ahamd Redza yang sudah melenggang masuk ke dalam biliknya.
“Er…. Dr., mana kunci bilik saya?” Sekalipun baru bangun tidur, Ainnur
masih ingat yang Dr. Ahmad Redza pernah memberitahunya, dia sudah menempah
bilik untuknya. Mungkin Dr. Ahmad Redza terlupa memberi kunci bilik kepadanya
lalu terus menonong masuk ke biliknya sendiri. Ainnur hanya tercegat di depan
pintu bilik Dr. Ahmad Redza menantikan lelaki itu keluar semula memberikannya
kunci.
“Dr.! Dr.!” Ainnur memanggil
dengan suara yang lebih kuat. Dia tidak peduli jam sudah pagi dan suaranya
bakal mengganggu penghuni lain yang sedang enak tidur.
“Syy. Jangan bising-bising Leen, nanti kacau orang nak tidur.” Dr. Ahmad
Redza kembali ke muka pintu setelah meletakkan beg pakaiannya di tepi katil.
Dia tidak mahu membiarkan Ainnur bising-bising di luar pintu biliknya. Jika ada
orang yang terjaga, tentu kalut jadinya nanti. Dia tidak mahu mengundang masalah.
“Saya tak kira. Bak sini kunci kereta Dr. Saya nak balik ke kereta.” Ainnur
membentak di pintu bilik. Di kepalanya hanya berfikir yang bukan-bukan saja dan
rancangannya untuk menyelamatkan diri. Dia akan menjerit jika Dr. Ahmad Redza
tidak mahu menunaikan permintaannya.
Tetapi kemudian hasratnya terbatal kerana seorang lelaki Cina yang hanya
memakai seluar pendek tetapi tidak berbaju keluar dari biliknya, betul-betul di
sebelah Ainnur membuat bising tadi.
“Hallo! Banyak bising… mau gaduh, pergi luarlah… sini orang mahu tidur!”
Pandangan lelaki itu sekejap kepada Ainnur sekejap kepada Dr. Ahmad Redza.
Matanya yang sememangnya sepet dikecilkan lagi kerana menahan sirna lampu di
koridor yang sedang menyala.
“Maaf encik kerana mengganggu.” Dr. Ahmad Redza mengangkat tangan kepada
lelaki Cina itu lalu memberi isyarat mata supaya Ainnur segera masuk ke bilik
bagi mengelakkan masalah yang lebih besar dari berlaku.
Ainnur buat-buat tidak faham dengan isyarat yang ditunjukkan oleh Dr.
Ahmad Redza. Dia berdiri tegak sambil memeluk tubuhnya tanda tidak akan
berganjak dari tempatnya berdiri.
“Amoi! Tak mau gaduh-gaduhla… esok boleh sambung. Sekarang masuk tidur
lo!” Lelaki Cina itu memberi nasihat kepada Ainnur bila dilihatnya Ainnur tidak
bertindakbalas kepada isyarat Dr. Ahmad Redza.
Di kepalanya dia memikirkan kedua-dua pasangan suami isteri itu sedang
bergaduh kerana sesuatu perkara. Dia mengharapkan mereka berdua memahami
situasinya yang sedang mengantuk kerana dia baru tidur jam 1 pagi tadi. Esok
pagi-pagi, dia perlu bangun awal kerana urusannya masih belum selesai.
Seorang lagi lelaki Cina teman kepada lelaki tadi tiba-tiba menjenguk di
muka pintu biliknya dalam keadaan menguap. Lelaki yang badannya penuh tatoo itu
bertutur dalam bahasa Tionghua bertanyakan kepada temannya apakah yang terjadi
hingga tidurnya terganggu. Dia menggaru-garu kepalanya dalam keadaan mamai lalu
memandang sekilas kepada Ainnur.
Temannya kemudian menggeleng kepala lalu kembali memandang kepada Ainnur.
Pandangannya kali ini begitu menakutkan Ainnur seolah-olah berkata jika tidak
bergerak sekarang, dia akan ‘selesaikan’ dengan caranya supaya Ainnur diam.
Hendak tak hendak, demi keselamatannya, Ainnur terpaksa juga melangkah masuk ke
dalam bilik itu.
“Dengar sini baik-baik Leen… er… saya… memang hanya tempah satu bilik
saja. Ada 2 sebab. Pertama bilik dah penuh. Kedua jam dah pukul 3 lebih. Jadi
saya ingat kalau kita tempah dua bilik, tentu membazir sebab…. 2 jam lagi dah
Subuh. Kita hendak berehat sekejap saja. Saja janji lepas Subuh, kita balik.
Sekarang ni boleh tak awak duduk dulu diam-diam?” Dr. Ahmad Redza memberitahu
mengharapkan pengertian dari Ainnur sebaik Ainnur masuk ke dalam bilik dan
berdiri tegak menunjukkan tanda protesnya.
“Kalau awak masuk ke kereta pada jam 3 pagi begini, nanti diculik orang
bagaimana?” Dr. Ahmad Redza meminta Ainnur berfikir dua kali tentang
tindakannya. Dia memandang Ainnur yang seolah-olah memandangnya dengan
pandangan kosong.
“Percayalah…saya janji tak akan buat apa-apa pada awak. Takkan awak tak
percayakan saya. Sayakan pensyarah awak. Daripada menggadaikan keselamatan awak
kepada orang yang awak tak kenal, bukankah lebih baik awak di sini saja. Saya
tak akan buat apa-apa pada awak.” Dua kali Dr. Ahmad Redza menanam janji, cuba
meyakinkan Ainnur, hanya bersamanya gadis itu akan selamat pada waktu hening
begitu.
Dahi Ainnur berkerut. Dia sedang memikirkan sesuatu yang lebih logik
tetapi dalam keadaan yang tidak memihak kepadanya, akalnya sudah tidak boleh
berfikir jauh. Perlahan-lahan kata-kata Dr. Ahmad Redza itu dicernanya secara
positif. Lelaki itu adalah pensyarahnya, yang punya isteri di rumah. Kalau
lelaki itu hendak mengambil kesempatan padanya, tentu sudah lama dilakukannya,
bukan sekarang, fikir Ainnur lagi.
Dia yakin lelaki itu tidak pernah ada perasaan padanya sejak 4 tahun
lepas. Hanya dia yang mengharap sendiri. Lagi pula, seperti kata Dr. Ahmad
Redza, hanya ada beberapa jam saja lagi…Di luar sana entah apa pula yang akan
terjadi kepadanya nanti. Dengan teragak-agak, Ainnur berjalan ke arah sofa di
tepi dinding lalu duduk. Mukanya memang masam kerana geramkan Dr. Ahmad Redza
yang berjaya menjeratnya hingga dia tidak punya pilihan lagi. Dia tersepit. Dia
berdoa semoga orang yang dikenalinya malah dihormatinya selama 4 tahun itu akan
dapat memegang janji dan melindunginya.
“Ini kawasan saya, dan itu kawasan awak.” Dr. Ahmad Redza memberitahu
sambil menunjukkan sempadan yang hanya dipisahkan oleh bantal peluk. Dia
memandang ke arah Ainnur yang wajahnya sudah tidak dapat diteka riaknya sama
ada pucat kerana marah ataupun takut.
“Jangan risau, saya tak akan buat apa-apa pada awak Leen. Rehatlah. Saya
nak pergi bilik air.” Lelaki itu berjanji untuk menyedapkan hati Ainnur buat
kali yang ketiga. Wajah Ainnur dipandang lagi sebelum dia menarik beg kecil
berwarna hitam di tepi katil tadi lalu diletakkannya di atas katil di kawasan
sempadannya.
Tanpa Ainnur sedar, lelaki itu memandangnya dari ekor mata walau
tangannya sibuk dengan beg pakaiannya. Dia sedang menilai reaksi Ainnur. Di
kepalanya sedang berfikir sama ada hendak meneruskan agenda yang sudah separuh
terlaksana ataupun menukar rancangannya di saat-saat terakhir.
Bagi Ainnur pula dia bukan sekadar tidak berani untuk duduk di atas katil
itu sebagaimana disarankan oleh Dr. Ahmad Redza, memandangnya pun dia sudah
seram sejuk. Walaupun lelaki itu sudah ‘menggariskan’ sempadannya dan sudah
berjanji 3 kali untuk tidak mengapa-apakannya, dia sudah mula rasa cuak.
Berdua-duaan dengan lelaki yang bukan muhrim di dalam bilik hotel di
tengah-tengah pagi buta seperti itu memang kerja gila. Tiba-tiba dia diserbu
rasa sesal. Tapi dia tak tahu apa yang perlu dibuatnya saat ini. Dia sudah
terperangkap!