Universiti Teknik Malaysia,
Kampus
Kejuruteraan, Pulau Pinang
2
Siti Nurbaya
sabar menunggu Ainnur turun ke lantai bawah lalu segera mendapatkannya. Melihat
Siti Nurbaya menunggunya di tangga, Ainnur tahu pasti ada pesanan lain yang
hendak disampaikannya secara peribadi. Tentu dia tidak mahu menjerit seperti
tadi hingga satu blok asrama ini dapat mendengarnya.
“Siapa?” Terus Ainnur bertanya
kepada Siti Nurbaya tetapi gadis itu tersenyum sahaja seolah-olah
menyembunyikan sesuatu.
“Baik Kak Nur jenguk sendiri
kat tempat letak kereta. Saya rasa macam pernah jumpa dia tapi tak ingat di
mana.”
Dahi Ainnur berkerut
mendengarkan kata-kata Siti Nurbaya. Kenapa tetamu itu tidak menunggunya di
kafetaria sahaja? Di kepalanya sudah terbayang orang jauh yang mungkin hendak
bertemu dengannya kerana kebiasaannya hanya pelawat luar sahaja yang biasa
menunggu pelajar di situ. Kalau mahasiswa di sini tentu menunggunya di
Kafetaria sahaja.
“Jangan risau kak, wajahnya
macam orang baik-baik saja. Baik akak pergi segera sebelum tengah malam ini.
Rasanya macam ada perkara penting saja. Saya lihat tadi dia bawa fail.” Siti
Nurbaya teringatkan lelaki yang menggamitnya tadi semasa dia mahu pulang dari
perpustakaan dengan teman-teman. Dia cuba mengingati wajah lelaki itu yang
seperti pernah dilihatnya tetapi memorinya memang tidak boleh diharapkan waktu
itu. Mungkin sudah tepu dengan macam-macam maklumat hasil telaahnya dari pagi
tadi.
“Kalau macam itu akak pergi
dulu. Terima kasih ya.” Ainnur tersenyum sambil menepuk mesra bahu gadis manis
itu. Sudah banyak maklumat yang
disampaikan gadis itu kepadanya. Dia berlalu setelah Siti Nurbaya menonong
masuk ke dalam biliknya.
Lelaki itu duduk di dalam
kereta menantikan Ainnur turun. Dia memandang jam di tangannya. Lagi sepuluh
minit tepat jam 12 malam. Di kepalanya memikirkan pelbagai kemungkinan Ainnur
turun lambat. Sepatutnya dia menelefon atau menghantar SMS sahaja kepada Ainnur
tetapi malam itu dia bercadang hendak membuat kejutan kepada gadis itu.
Hatinya yakin, gadis baik macam
Ainnur pasti tidak akan merayau-rayau lewat malam begitu. Bukan sehari dua dia
mengenali gadis itu. Sudah lama dia memerhatikan Ainnur. Dari risikannya, gadis
itu memang tidak pernah punya teman istimewa. Pergaulannya dengan lelaki
berlainan jenis sangat terbatas. Jika ke mana-mana, Rafiza yang menjadi peneman
setia. Jadi tidak mungkin gadis itu keluar berfoya-foya pada malam itu. Begitulah
telahannya kepada gadis yang telah berjaya membuatkan dia jatuh cinta buat kali
yang kedua. Gadis itu begitu istimewa di hatinya. Cuma gadis itu yang belum
diberitahu isi hatinya.
Dadanya berdebar-debar
menantikan kehadiran si gadis. Dia mengetuk-ngetuk stereng keretanya sambil
mendengar lagu-lagu yang berkumandang di radio untuk menutup rasa resah yang
melanda hatinya. Dia tenggelam dalam melodi indah sambil melayan memori yang
pernah terlakar antaranya dengan gadis itu.
Hari sudah larut dan langit
gelap memberi petanda hujan akan turun. Kepalanya tertoleh-toleh ke kiri dan ke
kanan, ke depan dan ke belakang. Ainnur tercari-cari kelibat lelaki yang ingin
menemuinya malam itu namun tiada tanda-tanda kehadiran lelaki itu di mana-mana.
Puas dia memerhatikan kawasan letak kereta yang lengang itu. Mujur saja kawasan
letak kereta itu terang-benderang disuluhi lampu jalan.
Dia merenung jam di tangan.
Sudah 5 minit dia mencari dan menunggu
kelibat tetamu yang ingin menemuinya lewat malam itu. Dia sudah
berkira-kira untuk pulang semula ke asrama bila tiba-tiba terdengar sayup-sayup
namanya dipanggil.
“Azleen!”
Ainnur mencari arah suara dari
sebalik deretan kereta yang dipakir yang berada kira-kira 5 meter dari
tempatnya berdiri. Dia mengecilkan kelopak matanya melihat susuk tubuh seorang lelaki
yang memakai baju T hitam yang baru keluar dari kereta kancil berwarna putih.
Dia sedang memberi fokus pada lelaki itu bila sekali lagi lelaki itu memanggil
namanya. Di kepalanya hanya ada seorang saja yang akan memanggilnya dengan nama
itu tetapi dia tidak yakin dengan telinganya. Dia bimbang itu hanyalah ilusi di
kepalanya.
“Leen! Sini! Sayalah!”
Lelaki itu melambaikan tangan
kepadanya untuk menarik perhatiannya tetapi Ainnur masih tercegat di tempatnya
berdiri sambil menggigil kesejukan. Angin bertiup agak kencang malam itu. Kilat
sudah sabung-menyabung di langit. Tidak lama kemudian, dia mendongak ke atas
bila tiba-tiba dia mula merasakan ada air yang sudah menitik setitis dua ke
wajahnya. Hujan sudah mulai turun renyai-renyai.
Perhatian Ainnur kemudian teralih ke arah
lelaki yang memanggil namanya tadi yang tiba-tiba berlari kembali ke arah keretanya.
Lelaki itu kemudian mengeluarkan sekaki payung dari bonet keretanya. Dia
berlari mendapatkan Ainnur semula yang sudahpun dibasahi air hujan. Sebaik
lelaki itu memayunginya, Ainnur dilanda rasa terkejut yang bukan kepalang. Dia
baru dapat mengecam lelaki yang memanggilnya tadi.
“Dr. Redza? Dr. buat apa kat
sini malam-malam buta ni?” Ainnur bertanya dengan rasa hairan yang bukannya
dibuat-buat. Dia tidak menyangka lelaki yang santai dengan T Shirt itu adalah
pensyarahnya. Dia juga tidak menduga yang Dr. Ahmad Redza akan menaiki kereta
kancil berwarna putih kerana setahunya lelaki itu memandu kereta Mercedez Benz
semasa di kampus. Dia langsung tidak terfikir yang tetamunya malam itu adalah
pensyarahnya Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Redza b. Muhammad!
“Mari ke kereta saya!” Dr.
Ahmad Redza tidak menjawab tetapi dia mula menggerakkan tubuhnya ke arah
keretanya. Disebabkan dia yang memegang payung, hendak tak hendak, Ainnur
terpaksa mengikutnya langkahnya.
“Saya nak bagi fail ini pada
awak. Nak pastikan yang awak datang ke Kem Ukur esok. Kalau tidak, saya memang
tiada pembantu.” Dr. Ahmad Redza menjelaskan sambil menghulurkan fail berisi
maklumat penting tentang Kem Ukur yang menjadi amanahnya oleh fakulti tahun
ini. Cepat-cepat dia menutup kembali pintu kereta hadapan bagi mengelakkan
tempias air hujan membasahi kusyen keretanya.
“Esok saja Dr. boleh bagi, tak
perlulah susah-susah mencari saya sampai ke sini. Lagipun saya kan dah janji
dengan Dr.” Ainnur memberitahu sambil tersenyum.
Hujan turun semakin lebat.
Spontan Ainnur mendekatkan tubuhnya pada pusat payung untuk mengelakkan diri
dari dibasahi air hujan. Bahunya
tersentuh bahu Dr. Ahmad Redza. Wajahnya menjadi merah tiba-tiba. Menyedari dia
telah tersalah tingkah, Ainnur kembali menjarakkan dirinya. Bahunya kembali lencun
dibasahi air hujan. Payung yang kecil begitu memang tidak dapat memuatkan dua
orang sekaligus.
“Saya baru balik kampung. Ini
ada buah durian nak bagi awak.” Bagaikan mahu membetulkan suasana yang
tiba-tiba jadi kekok itu, Dr. Ahmad Redza berkata. Sebiji buah durian dihulurkan kepada Ainnur. Semerta bau durian yang enak
semarak di udara. Perut yang sudah
kenyang menjadi lapar tiba-tiba.
Dr. Ahmad Redza menekan bonet
kereta yang tadinya terbuka. Dia mengundur setapak ke belakang untuk
menjarakkan dirinya dari Ainnur, memberi peluang kepada Ainnur supaya mendekat
ke arah pusat lindungan payung. Dia tidak mahu pembantunya itu nanti demam di
Kem Ukur itu. Sekejap sahaja bahunya turut lencun menahan air hujan yang
menimpa tanpa rasa belas kasihan.
“Susah-susah saja Dr. datang
hantar buah ni.” Ainnur menggeleng kepala. Hanya kerana buah durian, lelaki itu
terpaksa meredah hujan.
Kilat tiba-tiba menyabung di
udara. Ainnur terkejut lalu tubuhnya bergerak lagi mendekati Dr. Ahmad Redza.
Mujur tadi lelaki itu sudah menjarakkan kedudukan antara mereka.
“Apa awak cakap?” Dr. Ahmad
Redza bertanya kembali. Kata-kata Ainnur tadi ditelan bunyi kilat yang
menandakan hujan tidak akan berhenti dalam tempoh terdekat ini.
“Susah-susah hantar durian
untuk saya.” Ainnur mengulangi kata-katanya dengan agak kuat, cuba melawan deru
air hujan yang semakin lebat.
“Saya dah susahkan awak dengan
meminta awak jadi pembantu saya. Itu buah durian terbaik dari kampung mak saya.
Makanlah. Saya nak balik dulu. Hujan semakin lebat ni. Awakpun dah lenjun.
Risau saya kalau awak demam nanti.” Dr. Ahmad Redza sudah mahu masuk ke kereta.
Ainnur mengepit fail di ketiaknya lalu mengambil payung yang dihulur Dr. Ahmad
Redza kepadanya.
“Payung ni?” Ainnur bertanya
tetapi di balas gelengan oleh lelaki yang sudah masuk ke dalam kereta itu.
“Bawaklah... nanti awak
demam,” katanya sebelum menarik pintu kereta. Sebuah senyuman terukir di
bibirnya. Misinya bertemu gadis itu sudah tercapai. Ianya bukanlah penting
sangat untuk fail itu tiba di tangan Ainnur malam itu. Buah durian itu juga
hanya alasan saja. Melihat wajah manis milik gadis bernama Ainnur Azleen itu
hatinya yang diruntun rindu menjadi lega tiba-tiba.
Dia tidak sabar menanti hari
esok supaya dia boleh mengulangi saat-saat indah seperti tadi. Berada
berdekatan dengan gadis itu membuatkan dirinya bagai akan hidup seribu tahun
lagi. Gelora asmara yang dipendamnya itu sudah tidak dapat dibendungnya lagi.
Dia sengaja mengajak Ainnur ke Kem Ukur itu supaya dia berpeluang mendekati
gadis itu. Dia berdebar-debar mengingatkan apa yang sedang direncananya
istimewa untuk gadis itu. Jika rancangannya berjaya, dia akan memujuk Ainnur
untuk mengahwininya. Tinggi sungguh angan-angannya. Dia bagai yakin dirinya
tidak bertepuk sebelah tangan.
Ainnur melambai kepada Dr.
Ahmad Redza semasa lelaki itu memandu meninggalkannya. Dia tidak menafikan yang
hatinya memang sudah jatuh cinta pada pensyarah yang umurnya sebaya ibunya itu.
Debar di hatinya semasa berdekatan dengan lelaki itu telah mengesahkannya. Dia
tidak dapat berselindung lagi rahsia di hatinya walau seribu kali dia cuba
menafikannya.
Ketika itu di hatinya hanya
mengharapkan agar kenyataan yang sebenar adalah lelaki itu masih bujang atau
sekurang-kurangnya duda yang masih dia berpeluang merebut hatinya. Hingga
bayang kereta itu hilang ditelan pekat malam, Ainnur seolah-olah masih berharap
yang angannya itu adalah satu kenyataan!