Home Novel Cinta LELAKI ITU UNTUKKU (adaptasi drama)
Bab 26

IDLAN memandang jarum jam di pergelangan tangannya. Hampir satu jam menanti, tapi Orked tidak muncul-muncul. Di hadapan bangunan Fakulti Perniagaan itu dia melihat begitu ramai pelajar-pelajar yang berpusu-pusu keluar. Tapi di kalangan mereka, dia gagal menemukan wajah Orked. Dia tahu Orked hanya ada kelas sehingga tengahari sahaja.

Bosan menunggu di dalam kereta, Idlan keluar dari dalam perut kereta. Dengan berkemeja ringkas dan bercermin mata hitam, kehadiran Idlan mengundang lirikan mata beberapa anak gadis pelajar yang melintasinya. Ada yang tidak segan silu melambai-lambai ke arahnya dan ada pula yang bermurah hati menghadiahkannya senyuman.

Dia menyedari semua itu, namun dia pura-pura tidak melihat. Matanya masih mengawasi kelibat pelajar yang keluar masuk dari bangunan di hadapannya. Mana Orked ni? Hati kecilnya mulai digigit resah.

Sedang dia leka mengawasi kelibat-kelibat pelajar itu, tiba-tiba bahunya ditepuk seseorang. Idlan tersenyum, menyangka kalau Orked sedang berada di belakangnya. Dia segera menoleh namun terpanar sebaik melihat bukan Orked yang berada di belakangnya sebaliknya seorang gadis yang sedang tersenyum manis. Di samping gadis itu, terdapat seorang gadis lain yang sedang menatapnya dengan wajah serius.

“Abang Idlan bukan?” Tanya gadis yang tersenyum ramah itu.

Idlan tercengang. Dia tidak kenal gadis yang sedang menegurnya itu.

“Abang tak ingat saya lagi? Saya Mira, kawan Orked. Tempohari abang pernah tolong Mira waktu Mira kena kacau di KTV. Lepas tu abang dengan Orked hantar Mira balik ke asrama. Ingat lagi tak?” Tanya gadis itu beria-ia.

Idlan mengerutkan dahinya. Cuba mengingatkan wajah itu bersungguh-sungguh. Sebaik dia mengingati peristiwa dia membelasah sekumpulan lelaki-lelaki di KTV Karaoke ketika dia mengekori Orked tempohari, barulah wajah Mira yang ketakutan ketika itu perlahan-lahan timbul.

“Abang ingat lagi?” Mira teruja bertanya. Sama teruja sewaktu terpandang kelibat lelaki itu ketika dia beriringan keluar dari fakultinya bersama Arida. Serta-merta peristiwa Idlan menyelamatkannya segera muncul di kotak fikiran.

Idlan mengangguk lalu tersenyum. Dia sudah mengecam gadis itu.

Mira segera menoleh ke arah Arida yang tidak berganjak-ganjak sedari tadi.

“Ari, inilah abang Idlan, abang Orked. Aku kan pernah cerita pada kau tempohari.” Ujar Mira memperkenalkan Idlan pada Arida.

Idlan berpaling, tersenyum sedikit ke arah Arida. Gadis itu kelihatan ralit memandangnya. Tanpa senyuman ramah, pandangan Arida tidak berganjak dari sudut wajahnya.

“Mira dah habis kelas?” Tanya Idlan.

Mira pantas mengangguk.

“Ada jumpa Orked tak? Abang dah dekat sejam tunggu dia di sini, tapi dia tak keluar-keluar dari tadi.” Ujar Idlan berterus-terang.

Mira tersentap. Alamak! Pantas dia mengerling wajah Arida yang sudah mengerutkan dahinya. Sebentar tadi dia sengaja menipu Arida kononnya Orked masih bercuti sehari dua lagi sebelum meneruskan pengajiannya yang tertangguh. Malah dia juga menyembunyikan perihal dia melihat Orked menaiki teksi dan meninggalkan kawasan kampus mereka pagi tadi. Tapi kehadiran Idlan yang bertanyakan tentang Orked semakin mengusutkan keadaaan.

“Mira ada nampak dia?” Soal Idlan lagi apabila dilihatnya gadis itu hanya diam membisu seribu bahasa.

Mira semakin serba salah. Aduh! Dia sekarang sedang menjadi perhatian dua pasang mata. Kerlingan Arida juga semakin tajam menjamah wajahnya. Dia menelan liur. Kalut mahu berterus-terang pada kedua-duanya.

“Kau cakap dengan aku, Orked tak datang hari ni.” Ujar Arida mencelah.

“Err..sebenarnya..” Mira sudah tergagap-gagap.

“Dia datang ke tidak sebenarnya ni?” Suara Arida mulai keras melengking.

Idlan mengerling gadis itu. Menyedari bahawa Arida seorang yang serius dan kepala kumpulan gadis itu. Ini kerana sikap Arida lebih mendominasi berbanding Mira yang lebih resesif.

“Sebenarnya abang Idlan, Mira ada nampak Orked pagi tadi. Dia naik teksi tinggalkan kawasan kampus.” Ujar Mira berterus-terang akhirnya.

Arida terlongo mendengar penjelasan Mira. Idlan menarik nafas panjang. Terkejut sekaligus bingung memikirkan telatah Orked. Apakah Orked kembali kepada perangai lamanya?

“Pukul berapa Mira nampak dia? Abang ada hantar dia pagi tadi dalam pukul 8 pagi.” Tanya Idlan ingin tahu.

“Err..kalau tak salah Mira nampak dalam jam 8.30 pagi.” Ujar Mira tergagap-gagap.

“Kenapa kau tak beritahu aku?” Soal Arida sedikit berang.

Terkulat-kulat Mira memandang Arida yang kelihatan marah. Aduh! Mati dia kali ini! Bukan dia tidak tahu Arida jenis orang yang mudah naik angin.

“Maafkan aku Ari. Aku pun terkejut tengok Orked pagi tadi. Aku nak beritahu kau, tapi aku takut kau naik angin. Lagipun aku rasa Orked mesti ada sebab kenapa dia keluar macam tu aje.” Ujar Mira.

Idlan mengeluh panjang. Mana pulak anak gadis itu pergi?

“Habis? Apa kita nak buat sekarang?” Giliran Arida pula mengeluh seraya memandang ke arah Idlan. Entah kenapa, sebaik dia melihat lelaki itu tadi, dia merasa Idlan seorang lelaki yang boleh diharapkan. Lelaki itu kelihatan prihatin terhadap Orked.

Idlan terdiam. Wajahnya berkerut. Sedang memikirkan dengan teliti ke mana perginya anak gadis itu. Tak mungkin Orked pergi ke kelab-kelab malam pada waktu-waktu seperti ini. Seperti kata-kata Mira tadi, pasti Orked ada sebab sendiri! Entahlah, dia benar-benar mahu mempercayai gadis itu.

* * * *

DIA sampai ke rumah ketika hari sudah jauh petang. Sebaik dia melewati ruang tamu, matanya segera bersapa dengan kelibat ayahnya. Memandangnya dengan mata merah menyapa.

Orked tergaman. Tidak mengerti dengan suasana yang menyelubungi rumah itu ketika ini. Dia mahu beredar naik ke biliknya, namun suara tengkingan lelaki itu menyuruh dia menunggu di situ, menerpa ke setiap pelusuk gegendang telinganya. Suara garang itu nyaris membuatkan nafasnya hampir terhenti.

Orked tercegat seperti patung. Memerhatikan wajah ayahnya dengan perasaan tidak keruan. Ketika lelaki itu menghampirinya, tubuhnya tiba-tiba mengigil. Jantungnya seperti direntap keluar dari tubuh. Hanya ada satu sahaja alasan kenapa wajah ayahnya kelihatan garang kali ini. Pasti lelaki itu tahu tentang dirinya yang terpaksa ponteng kelas hari ini. Tapi dari mana ayahnya tahu? Dari Idlankah? Pasti Idlan yang mengadu! Hati kecil Orked entah kenapa menuduh dengan mudah.

“Kamu ke mana tadi, sekarang baru balik?” Soal Hamdan seraya merenung wajah anak gadis di hadapannya yang sedang terkulat-kulat.

“Orked dari kampus.” Jawab Orked, masih mahu menyembunyikan hakikat sebenar.

“Dari kampus? Buat apa? Belajar menipu?” Herdik Hamdan separuh menyindir. Maria di samping suaminya hanya mampu menjeling kedua-dua anak beranak itu dengan wajah risau.

Orked menarik nafas panjang. Tengkingan ayahnya membuatkan dia berfikir tidak ada gunanya lagi untuk dia membela diri. Dengan wajah bosan, dia melewati lelaki itu, mahu naik ke biliknya sendiri. Melihat gadis itu seakan-akan tidak mempedulikannya, Hamdan tambah berang. Dia meluru pantas ke arah gadis itu lalu mencekak lengan Orked.

Orked mengaduh kesakitan, sekaligus terkejut diperlakukan agak kasar oleh ayahnya.

“Abang..” Maria mulai campur tangan. Risau dan tidak senang duduk dia dibuatnya menghadapi kerenah Hamdan dan Orked.

“Kamu ni reti bahasa ke tak? Berani kamu tipu aku, tipu semua orang dalam rumah ni. Apa kamu fikir aku ni bodoh ke sampai tak tahu apa yang kamu buat di belakang kami?” Marah Hamdan bertalu-talu.

“Ayah cakap apa ni? Apa yang Orked dah buat? Boleh tak kalau ayah jangan campur urusan Orked. Orked tahu ayah tak suka Orked, so leave me alone.” Balas Orked, meronta-ronta cuba melepaskan dirinya dari pegangan ayahnya.

Pang! Tapak tangan Hamdan sudah mendarat ke pipi licin gadis itu.

Orked terpanar. Maria di belakang suaminya hanya mampu beristighfar panjang. Ketika itu juga muncul kelibat Idlan di muka pintu, sekaligus turut kaku melihat insiden tersebut.

Orked mengangkat wajahnya dengan kelopak mata yang bergenang air jernih. Pipi yang perit ditampar diusap-usap dengan tangan. Dia tidak menyangka lelaki itu masih suka menamparnya. Kalau dulu dia pernah ditampar kerana merokok, tapi dia tidak pernah ditampar lagi sejak ayahnya berkahwin dengan ibu tirinya. Tapi kini lelaki itu mengulang tabiat lamanya. Sampai hati ayahnya!

Hamdan memandang ke arah Orked dengan wajah bengis. Dia langsung tidak menyesali apa yang telah dilakukannya. Baginya, hanya itu sahaja caranya untuk mengajar anak yang degil seperti gadis itu.

“Abang, kenapa sampai naik tangan ni?” Maria mengeluh panjang. Kasihan dia melihat Orked kerap menjadi sasaran kemarahan suaminya.

“Dia patut ditangan-tangankan, baru dia faham bahasa. Malu saya dengan dekan universiti dia. Awak bayangkan perasaan saya bila dia call beritahu saya Orked ponteng kelas lagi hari ini. Tempohari saya yang beria-ria selesaikan masalah yang dia dah buat. Saya ingatkan bila dia balik, dia akan berubah sikap tapi rupa-rupanya saya silap. Budak macam ni memang tak makan diajar. Memalukan saya saja.” Bentak Hamdan benar-benar meradang.

Orked tunduk. Betul dugaaannya, isu dia ponteng kelas hari ini awal-awal sudah terbang sepoi-sepoi bahasa ke telinga ayahnya.

Di muka pintu, Idlan menarik nafas panjang. Wajah Orked yang tenang ditatap kesal. Kalaulah dia menanti sahaja di kawasan kampus, tidaklah gadis itu mencuri kesempatan untuk menghilangkan diri. Malah mungkin situasi seperti ini tidak akan berlaku. Merah pipi gadis itu bekas tangan ayahnya membuatkan hati Idlan seperti disiat-siat. Pilu menyelubungi dirinya.

“Kamu ke mana sepanjang hari ini? Kamu melepak di mana sehingga petang begini baru balik?” Sergah Hamdan ingin tahu.

Orked mengangkat wajahnya, merenung ayahnya dengan pandangan sinis.

“Kenapa ayah nak tahu? Ayah marah-marah macam ni semata-semata sebab Dekan tu telefon ayah. Ayah cuma takut malu kalau dia tahu anak Tuan Hamdan yang tak guna ni ponteng kelas. Kalau dia tak telefon, ayah sikit pun takkan peduli kan? Sekalipun Orked mati ayah takkan ambil tahu kan?” Suara Orked sayu menuturkan kata-kata pedas itu.

Hamdan segera menjegilkan biji matanya luas-luas. Berang mendengar kata-kata anak gadis itu.

Melihat keadaan yang semakin meruncing, Idlan cepat-cepat meluru ke arah Orked. Cuba menjadi benteng jikalau tindakan Hamdan lebih melampau. Wajah Orked ditatap simpati. Sepasang mata yang basah itu turut melata ke wajahnya.

“Orked, kenapa Orked tak ke kelas hari ni?Abang pun terkejut bila nak jemput Orked tadi, kawan Orked kata Orked tak ada. Abang bimbang sangat.” Pujuk Idlan lembut.

“Orked memang ponteng hari ni. Tapi Orked ada sebab..” Bisik Orked perlahan, sempat didengari 3 pasang telinga.

“Apa sebabnya?” Soal Idlan ingin tahu. Hamdan turut menjeling anak gadis itu. Ingin mendengar punca gadis itu tidak hadir ke kelas hari ini.

Orked terdiam. Tiba-tiba dia teringatkan peristiwa dia melihat ayahnya di rumah lama arwah ibunya. Kalau dia menyebutnya, entah apa reaksi lelaki itu nanti. Pasti lelaki itu takkan menyangka yang dia juga berada di rumah itu hari ini, apatah lagi hari ini adalah hari ulangtahun kematian ibunya.

“Hah yang kamu diam ni kenapa? Nak reka alasan lagi?” Sergah Hamdan sinis.

Orked tergaman. Apa yang baru bermain di kepalanya mula luput dengan kata-kata sindiran ayahnya. Ingin dia membela dirinya, namun akal warasnya menghalang. Biarlah apa yang dilihatnya di rumah lama tempat tinggal mereka dahulu kekal menjadi rahsia. Dan biarlah ayahnya terus menuduhnya dengan pelbagai andaian buruk, dia sudah tidak peduli. Begitulah rentak hati Orked ketika ini.

* * * *

BIARKAN dia kalau dia tak nak turun makan. Kalau dia kebulur nanti pandailah dia cari makanan sendiri.” Begitulah respon Hamdan apabila diberitahu isterinya, Orked asyik berkurung di dalam bilik sepanjang malam itu.

Maria mengeluh panjang, lantas berpaling ke arah Idlan yang hanya mendiamkan dirinya. Dia perasan anak muda itu tidak banyak bercakap sepanjang malam ini, baik dengan dirinya mahupun dengan suaminya sendiri. Renungan Idlan tenggelam jauh seperti memikirkan sesuatu.

“Kenapa Id tak jamah makanan tu?” Soal Maria.

Idlan terpinga-pinga. Matanya berlari ke wajah ibunya.

“Id tak lapar mama. Id masuk bilik dulu ya.” Idlan minta diri.

Maria sekadar mengangguk. Namun apabila kelibat Idlan menghilang, Maria melepaskan keluhan.

Dia tahu ada yang tidak kena dengan Idlan. Sejak Idlan balik tempohari, entah kenapa nalurinya merasakan sesuatu. Dia seakan dapat membaca gerak-geri Idlan. Meski Idlan sering ketawa di hadapannya namun dia masih merasa sangsi. Ketawa Idlan berbeza. Pandangan mata Idlan terhadapnya juga berbeza.

“Kenapa mengeluh ni?” Tanya Hamdan sebaik menyedari wajah isterinya tidak ceria. Malah wanita itu termenung panjang di hadapan makanan.

Maria menoleh, namun tidak berkata apa-apa. Dia tidak tahu bagaimana mahu bercerita dengan suaminya tentang anak lelakinya. Apatah lagi masalah Idlan tidak patut timbul dan memeningkan kepala suaminya yang sudah terbeban dengan perihal Orked selama ini.

“Cakaplah apa dia?” Desak Hamdan tidak senang duduk.

“Fasal Idlan.” Maria mengalah akhirnya.

“Kenapa dengan dia?”

Maria tidak terus menjawab. Sebaliknya keluhannya meniti di bibir.

“Sejak akhir-akhir ini saya nampak Idlan asyik termenung sana sini. Saya risau.” Ujar Maria berterus-terang.

“Idlan tu agaknya serabut dengan Orked tu. Itulah dulu saya dah tegah Idlan jamin budak Orked tu, tapi dia degil. Awak pulak asyik menangkan dia.” Gumam Hamdan dengan suara meninggi.

Maria terdiam. Dia tidak fikir Orked menjadi sebab Idlan berperangai seperti itu. Pasti ada sebab lain kenapa sikap anaknya itu kelihatan berbeza. Seolah-olah ada beban berat yang sedang Idlan tanggung. Apakah selama ini Idlan tidak suka dia berkahwin dengan Hamdan? Entah kenapa timbul anggapan sebegitu di kepala Maria.

“Sudahlah tu, jangan asyik difikirkan. Saya dah tak larat lagi nak fikirkan masalah-masalah dalam rumah ini. Sudahlah Orked tu buat hal lagi!” keluh Hamdan seraya menggeleng-gelengkan kepalanya. Kesalnya bertapak di hati.

Maria mengerling ke arah suaminya. Keluhan suaminya disambut dengan dengus halus.

“Awak tak patut buat macam tu pada Orked. Kasihan dia.” Ujar Maria.

“Nak kasihankan dia buat apa? Awak tak kenal dia macam saya kenal dia. Budak tu selalu menyusahkan saya. Kalau sehari dia tak buat masalah, tak sah agaknya.” Rungut Hamdan.

“Kalau berbincang baik-baik tak boleh ke bang? Awak asyik naik tangan pada Orked. Saya risau Idlan tu terkejut dengan apa yang awak buat. Selama ini arwah ayahnya Ikhmal tak pernah naik tangan padanya. Kalau dia nampak awak macam ni, saya takut Idlan tak sukakan awak nanti.” Ujar Maria kesal.

Hamdan terdiam mendengar kata-kata isterinya. Nama Ikhmal yang meletus di bibir wanita itu membuatkan dia dihimpit perasaan cemburu. Cemburu pada orang yang sudah meninggal dunia.

Previous: BAB 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.