Home Novel Cinta Beautiful Lie
Beautiful Lie
Mazni Aznita
19/3/2020 10:56:10
2,391
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 16

MIRZA langsung tidak turun-turun dari biliknya. Sudah beberapa kali pembantu rumah mereka memanggil anak muda itu tapi langsung tidak diendahkan. Tuan Fahrin makan seorang diri sahaja malam itu. Langsung tak seronok! Keluhnya seraya bermain-main dengan makanan.

                Dia tahu Mirza terjeruk hati dengannya gara-gara disuruh belajar dengan seorang tutor. Berpuluh-puluh kali dia cuba menjelaskan rasional tindakannya, tapi anak muda itu buat-buat tidak faham. Kalau begini sikap Mirza, pada siapa lagi dia mahu mewariskan syarikatnya itu? Akan berakhirkah legasi keluarganya kerana sikap Mirza yang kurang bertanggungjawab itu?

                Kalau dia tahu begini, patut dari awal dia kahwin lain setelah bercerai dulu. Kurang-kurang bertambah lagi seorang pewarisnya. Atau paling tidak pun dia bersikap tegas dengan Drew agar memilih bidang perniagaan sebagai major utama dan bukannya bidang undang-undang. Dahulu kau sibuk sangat nak jadi ayah yang cool, sekarang apa jadi? Keluh Tuan Fahrin, kesal dengan tindakannya dahulu.

                Kalau bukan kerana sikap Mirza yang pemalas, tentu dia tidak payah pening-pening kepala begini. Dasar anak degil!

                “Bibik kemaslah, saya dah tak ada selera.” Ujarnya pada pembantu rumah Indonesianya.

                Wanita itu hanya mengangguk tanpa banyak soal.

                Tuan Fahrin mendongak ke atas, tiba-tiba terfikir mahu menjenguk Mirza. Mungkin jika dia mencuba lagi beberapa kali, Mirza akan reda marahnya dan sudi mengikut kata-katanya.

                Dia mendaki tangga ke tingkat atas. Haluannya ialah bilik Mirza yang terletak di sayap kiri, bersebelahan bilik Drew dan bilik tetamu.

                Daun pintu dihadapannya diketuk beberapa kali sebelum dia mencuri dengar. Langsung tidak ada apa-apa bunyi!

                “Mirza, buka pintu. Papa nak cakap dengan you  sekejap.” Pinta Tuan Fahrin. Suaranya lembut memujuk.

                 Masih senyap.

                “Mirza, you tidur ke?” Dia mengetuk pintu dihadapannya lebih kuat lalu memasang telinga. Tetap tidak terdengar sebarang bunyi dari dalam bilik Mirza. Fahrin mengerutkan dahinya. Hairan! Takkan dah tidur budak ni! Malam kan masih  awal lagi ni!

                Dia nekad memulas tombol pintu di hadapannya lalu menjengah ke dalam bilik tidur anaknya.Melihat alas katil yang masih belum terusik seolah-olah tidak pernah digunakan,Tuan Fahrin tercengang-cengang. Dia mencari-cari Mirza di setiap ceruk bilik itu tapi tidak berjumpa. What the hell! Bertuah punya anak! Aku risaukan dia, dia pula senyap-senyap menghilangkan diri! RungutTuan Fahrin seraya menggelengkan kepalanya.

* *  *  *

TOI yang baru melintas lantai tari di Roulette, segera tertarik pada bunyi riuh rendah yang datangnya dari ruang tari kelab itu. Salah seorang pelayan di kelab itu yang lalu di hadapannya segera ditahan.

                “Mat, apa yang kecoh-kecoh kat situ tu?” Tanya Toi ingin tahu.

                Lelaki berseragam lengkap dengan bow di leher itu hanya tersengih.

                “Kawan kau lah apa lagi. Baik kau tengok dia sebelum dia buka semua pakaian dia.” Gelak Mat.

                Toi hampir ternganga mulut. What?

                Dia segera melangkah ke lantai tari, melalui celah-celah kerumunan orang ramai yang membanjiri tempat itu. Sebaik dia berjaya meloloskan tubuhnya, matanya terbeliak memandang ke suatu arah.

                Tidak jauh dari situ, dia terpandang kelibat Mirza sedang memeluk seorang gadis berpakaian sendat, menari dengan gaya menghairahkan sekaligus menghiburkan sebilangan pengunjung Roulette. Tubuh Mirza langsung tidak berlapik pakaian, menampakkan susuk tubuh yang tegap. Malah kehadiran lelaki itu menjadi tumpuan sebilangan gadis-gadis di kelab itu. Masing-masing menjerit kesukaan melihat Mirza yang menari separuh bogel di lantai tari.

                Toi mengeluh panjang. Mirza! Kau memang suka cari fasal. Hampir setiap hari dia asyik terganggu dengan kehadiran Mirza di situ. Kalau Mirza sekadar datang ke situ untuk release tension, dia tidak kisah. Tapi lelaki itu mabuk hampir setiap malam dan malam ini, dia melihat lelaki itu menjadi penari bogel pula di kelab tempatnya bekerja.

                Ikut hati dia malas mahu campur urusan Mirza lagi. Tapi setiap kali Mirza melakukan perkara-perkara bodoh, entah kenapa dia tidak sampai hati mahu membiarkan sahaja.

                Toi segera mendekati lelaki itu lalu menepuk lengan Mirza. Lelaki itu menoleh. Melihat kehadiran Toi, Mirza tersenyum.

                “Oh hai bro.Aku ingat kau tak kerja malam ni.”

                “Aku masuk lewat. Mirza, apa yang kau buat ni?”

                Mirza mengangkat keningnya.

                “Buat apa? Aku datang sini mestilah nak berseronok. Apa lagi?” Sepasang matanya melirik nakal gadis di sisinya.

                “Nak berseronok pun agak-agaklah sikit. Kau ingat aku suka ke bila kau buat gila macam ni?”Marah Toi.

                “Toi, you are not my mother, jadi boleh tak kau berhenti membebel macam ni?”

                “Kau datang sini sebab aku ada kan? Kalau aku berhenti kerja kat kelab ni, boleh kau berhenti datang ke sini dan buat benda-benda bodoh ni?” Gumam Toi meradang. Dia segera mengutip pakaian Mirza di lantai lalu mencampakkannya ke muka temannya itu. Kali ini dia benar-benar angin satu badan dengan sikap Mirza.

                Mirza terdiam.Dia hanya mampu memerhatikan kelibat Toi yang sudah beredar dari situ dengan wajah berang. Nafasnya dihela berat. Apa yang tak kena dengan Toi malam ni? PMSkah?

                “Mirza, you nak ke mana tu?” Rengek gadis yang menemani lelaki itu tatkala melihat Mirza mahu beredar dari situ. Mirza berpaling. Merenung wajah si gadis sesaat dua.

                “I nak jumpa kawan sekejap.” Ujarnya.

                “Tak payahlah,kan you yang cakap kita nak lepak sama-sama lepas ni.” Pujuk si gadis berambut berambut perang dan bermata biru itu.

                “Sorry, I have to go.” Dia merungkai pegangan tangan gadis itu lalu segera mengejar kelibat Toi yang hilang entah kemana. Baginya kawan lebih penting dari seorang gadis. Gadis baginya silih berganti, tapi Toi lebih dari seorang kawan. Lelaki itu teman baiknya sejak dia bersekolah menengah lagi.

                Puas dia mencari-cari Toi, akhirnya dia menemukan Toi di atas bangunan kelab malam itu.Toi duduk termenung sambil menghadap ke arah pemandangan malam dari bangunan tiga tingkat itu. Mirza menghela nafas berat.

                Perlahan-lahan dia mendekati lelaki itu. Toi menyedari kehadirannya namun lelaki itu langsung tidak mengendahkannya.

                “You know what, kalau orang lain nampak kau layan aku macam ni, mesti dia orang ingat aku curang dengan kau.” Ujar Mirza tersenyum. Dia segera duduk di sebelah Toi sambil melunjurkan kakinya.Matanya melurus ke hadapan, turut ralit memerhatikan pemandangan di hadapannya.

                Boleh tahan!Dia tidak sangka boleh menikmati pemandangan indah itu dari tingkat tiga bangunan kelab malam itu.

                “Bos kau tak marah ke bartender kesayangan dia melepak kat sini masa waktu kerja?” Dia mengerling ke arah Toi, sengaja mahumemprovok agar lelaki itu mahu berbicara dengannya.

                “Ini semua kau punya fasallah.” Rungut Toi.

                “Aku buat apa?Aku cuma nak berseronok aje. Selama ni kau tak pernah marah pun bila nampak aku minum arak. Ada kau kisah selama ini? Kenapa tiba-tiba aje kau nak marah aku malam ni?” Keluh Mirza.

                Toi berpalingke arah lelaki itu. Wajah Mirza ditatap tajam.

                “Ya, memang aku salah. Sepatutnya aku tegur kau bila kau mula minum dan mabuk-mabuk. Mirza, aku kerja kat kelab ni kau ingat sebab aku suka-suka ke? Aku kerja kat sini sebab aku hidup susah, belajar pun tak pandai. Tapi sepanjang aku kerja kat sini,setitis arak pun aku tak pernah sentuh tau.” Ujar Toi.

                Mirza hanya tersenyum. Bebelan Toi hanya dibuat acuh tak acuh sahaja.

                “Tapi kau lain Mirza. Kau ada keluarga yang kaya, ayah dengan abang kau sayang sangat dekat kau. Lepas belajar kau tak payah risau fasal duit atau kerja, semuanya depan mata kau aje. Kau ada segala-galanya Mirza.” Nasihat Toi.

                Mirza menoleh.

                “Segala-galanya?Do you think that I have everything?Seriously Toi?” Tanyanya dengan wajah merah padam. Kata-kata Toi entah kenapa melukakan hatinya.

                “Tak betul aku cakap?” Toi enggan mengalah.

                “Kau mungkin nampak aku ada segala-galanya. Ya, duit memang bukan masalah bagi aku. Tapi kat sini kosong. Ia kosong sejak perempuan tu tinggalkan aku kerana duda anak tiga.” Mirza meletakkan jari telunjuk ke dadanya.

                Toi menarik nafas panjang. Dia tahu kisah ibu Mirza. Lelaki itu memang terluka kerana perbuatan ibunya. Tapi dia tidak boleh terima Mirza yang seolah-olah mahu merosakkan diri sendiri.

                “Mirza, aku tahu kau masih tak boleh terima perkahwinan mama kau. Tapi itu bukan bererti kau boleh rosakkan diri sendiri begini. Youbetter than this Mirza.” Ujar Toi.

                “Kau baliklah.Jangan datang kat sini lagi. Kalau kau datang juga, tak mustahil aku akan berhenti kerja kat sini.” Sambung Toi lagi.

                “Kau ugut akuToi?” Mirza mengetap bibir. Tidak menyangka dia akan mendengar perkara seperti ini dari mulut Toi, kawan baiknya sendiri.

                “Aku cuma tak nak kau habiskan masa kau kat sini dengan mabuk-mabuk. Kau baliklah ke rumah,belajar untuk peperiksaan tu. Kau pun bukan tak ada otak, cuma malas aje.”Nasihat Toi.

                Mirza tergaman.Sejurus kemudian dia ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata Toi.

                “Yang kau ketawa ni kenapa pulak?” Toi tercengang-cengang.

                “Kelakar. Kau kata aku ada otak? Ironinya aku baru sahaja diberitahu seseorang yang aku tak ada otak.” Gumamnya, tiba-tiba teringatkan gadis itu. Kata-kata Adriana masih terhimbau-himbau di fikiran.

                “Siapa yang cakap macam tu pada kau?” Toi mengerutkan dahinya.

                Mirza termenung jauh. Ingatannya tumpah pada seraut wajah. Gadis itu memang berani melawan cakapnya.

“Bagi saya awak hanyalah budak bodoh sombong yang fikir semua benda awak boleh dapat dengan duit ayah awak tanpa perlu berusaha.”

Aku begitukah? Sekadar budak bodoh sombong yang boleh dapat apa sahaja yang dihajatinya tanpa perlu berusaha?.

“Adriana Imaniyah.” Bisik Mirza tanpa disedari. Toi tercengang-cengang mendengar nama yang meniti dari bibir anak muda itu. Siapa Adriana?

“Siapa tu?” Tanya Toi ingin tahu.

Mirza berpaling lalu merenung sahabatnya dalam-dalam.Senyumannya bermain di bibir.

“Orang yang kata aku bodoh.” Ujarnya tenang.

“Hah?” Toi tergaman. Langsung gagal mencerna maksud kata-kata lelaki itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.