Home Novel Cinta Beautiful Lie
Beautiful Lie
Mazni Aznita
19/3/2020 10:56:10
75,111
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 9

ADRIANA melangkah masuk agak longlai. Dia berpapas pandang dengan seorang gadis muda di ruang tamu yang segera menoleh ke arahnya. Hendak tak hendak bibirnya segera melemparkan senyuman untuk gadis itu.

                “Mimi, mak kakak mana?” Tanyanya pada anak gadis berusia belasan tahun itu.

                “Dia dah tidur.Mimi dah bagi makcik makan tadi.”

                “Dia tak meragam?”

                “Tak adalah kak, makcik tu mana pernah meragam. Dia duduk elok-elok aje masa Mimi suapkan dia.” Ujar Mimi.

                “Lega kakak dengar. Tak apalah, Mimi baliklah dulu. Nanti risau pula ayah dan mak Mimi tu.”Suruh Adriana.

                Mimi hanya mengangguk. Dia bersalaman dengan Adriana sebelum keluar.

                Adriana yang teringatkan sesuatu segera mengejar anak gadis itu ke luar.

                “Mimi sekejap.”Dia menahan. Tiga not RM50 dikeluarkan dari poket seluarnya.

                “Kakak lupa yang kakak belum bayar lagi upah Mimi bulan ni. Nah, ini untuk Mimi.” UjarAdriana menyerahkan wang berjumlah RM150 itu.

                Mimi teragak-agak mahu mengambilnya. Dia tahu Adriana sendiri kesempitan wang sejak akhir-akhir ini.

                “Tapi kak..”

                “Tak ada tapi-tapi lagi. Mimi ambillah. Kakak tak mahu berhutang pada sesiapa, lagi-lagi pada Mimi sebab Mimi yang tolong jaga mak kakak selama ini. Kalau tak ada Mimi,susah kakak.” Ujar Adriana berterus-terang.

                “Kak, jangan cakap macam tu. Mimi sayangkan makcik, sebab tu Mimi tak kisah. Masa Mimi kecil dulu, kalau ayah kerja dan mak pula nak ke mana-mana, makcik yang tolong jaga Mimi. Sekarang bila makcik jadi macam tu, dah memang jadi tugas Mimi pula bantu kakak.” Ujar Mimi sebak.

                Adriana mengangguk. Dia tahu gadis itu baik hati. Meskipun sudah tidak bersekolah sejak 2 tahun yang lalu, tapi anak gadis itu tidak pandai berpeleseran di luar seperti gadis-gadis lain. Malah sanggup pula membantunya menjenguk ibunya jika dia tidak ada di rumah. Pakcik Mail dan Makcik Timah memang pandai didik anak!Bisik hati kecil Adriana.

                “Kakak tahu Mimi memang baik, selalu tolong kakak jaga mak kakak. Sebab tu Mimi kena ambil duit ni. Jangan buat kakak serba-salah.” Pujuk Adriana. Melihat gadis itu mahu juga menyambut wang yang dihulurkannya, dia segera jadi lega.

                Usai gadis itu pulang, Adriana segera menjenguk ibunya di kamar.

                Wanita itu sedang tidur di atas katil kecil di bilik itu. Adriana duduk di birai katil,merenung wajah polos si ibu yang kelihatan tenang. Keadaan ibunya dari dulu sehingga sekarang, langsung tidak ada apa-apa perubahan. Malah ibunya seperti tidak mengenali dia dan Anas.

                Maafkan Rian mak. Sebab Rian, mak jadi macam ni! Bisik Adriana sedih. Dua tahun dia belajar untuk memaafkan dirinya sendiri, tapi sepertinya ia tidak mungkin dapat dilakukan.

                Peristiwa malam itu meskipun sudah lama berlalu tapi masih menghantui hidupnya. Tak mungkin dia dapat melupakan peristiwa hitam itu. Ia seumpama parut yang akan kekal dalam hidupnya sampai bila-bila pun.

                Dua tahun yang lalu, sama seperti malam-malam sebelumnya, dia dibelasah teruk oleh ayahnya.Dia tidak tahu kenapa asyik-asyik dia yang menjadi mangsa kemarahan ayahnya.Lelaki itu tidak pernah menyayanginya. Lelaki itu hanya sayangkan Anas seorang.Di depan Anas, ayahnya seorang lelaki yang penyayang. Berbeza sekali dihadapannya. Kerana itu dalam memori Anas, ayahnya lelaki yang baik. Ayahnya lelaki yang penyayang. Sedangkan hanya dia dan ibunya sahaja yang menyedari siapa lelaki bernama Abdullah bin Seman itu.

Bila ayahnya memukul dirinya bertalu-talu, dia masih boleh menerimanya. Boleh menahan setiap perit dari balunan tali pinggang lelaki itu. Tapi bila ibunya cuba menghalang dan ayahnya naik darah lalu memukul ibunya bertalu-talu, dia sudah tidak mampu bersabar lalu berlari mencapai sebilah pisau.

                Lelaki itu hanya ketawa melihatnya mengacah-acah pisau dapur itu dengan tangan terketar-ketar.

“Kau takkan berani nak tikam aku dengan pisau tu Rian.Kau tu anak aku, faham?”

“Rian bukan anak ayah. Rian tak ada ayah jahat macam ni.”Herdiknyabersama esak tangis. Sesekali dia menjeling ibunya yang terbaring di atas lantai tidak bergerak-gerak. Mulut ibunya berbusa dengan darah akibat ditendang dan ditempeleng berkali-kali.

“Aku jahat?” Ketawa itu bergema lagi. Sinis nadanya.

“Hei budak, kalau bapak kau ni jahat, perempuan atas lantai tu pun bukan perempuan baik. Dia pelacur yang aku kutip buat bini.”Jerkah ayahnya seraya menuding ke arah ibunya yang tidak sedarkan diri.

Dia tersentak. Hancur luluh hatinya mendengar penghinaan sebegitu dilemparkan seorang suami pada seorang isteri. Sampai hati ayahnya!

“Kalau kami ni sama-sama jahat, jangan ingat kau tu baik sangat. Suatu hari nanti, kau juga akan jadi raksasa macam aku Rian. Mungkin lebih jahat lagi.” Derai ketawa lelaki itu terus melumatkan hatinya yang semakin hancur.

“Diam!” Dia menjerit seperti orang gila. Enggan mendengar cercaan lelaki itu lagi. Dia memandang sayu ke arah ibunya yang tidak bergerak-gerak sedari tadi.

Melihat peluang yang datang bergolek, lelaki itu mencuba nasib lalu tiba-tiba menerkam ke arahnya. Dia terperanjat lalu mereka bergelut.Ayahnya cuba merampas pisau di tangannya. Namun dia sudah nekad untuk melawan sebelum dia dan ibunya mati malam itu. Dan semua itu berlaku agak pantas tanpa disedari.

 Beberapa saat berlalu, wajah ayahnya tiba-tiba terbeliak. Mulut ayahnya berbusa dengan darah.Dia terketar-ketar memandang tangannya sendiri yang berlumuran darah.

“Kau….k..kau anak tak g..guna.” Suara itu memaki tetapi kedengaran lemah. Dan tanpa sebarang amaran, lelaki itu tersembam jatuh dihadapannya. Dia semakin takut. Ya ALLAH! Apa aku dah buat ni? Tidak jauh dari lelaki itu, tubuh ibunya sudah bergerak-gerak.

“Ri…Rian.” Suara ibunya lemah. Namun dia langsung tidak berupaya mahu menyahutnya. Mulutnya langsung terkunci. Dia memeluk kedua-dua lututnya sambil mengigil.

Adriana menekup wajahnya. Tangisan yang cuba ditahan terhambur jua. Apa yang berlaku dua tahun yang lalu masih menghantuinya. Dia tidak sengaja melakukannya. Malah dia hampir jadi gila memikirkan akibat dari tindakannya. Dan malam itu dia tidak tahu pada siapa lagi dia boleh meminta bantuan, kecuali Yasmin. Wanita itu datang bersama dua orang lelaki yang menjadi orang suruhan. Dan apabila ayahnya dibawa pergi, itulah kali dia terakhir dia melihat lelaki itu. Menurut Yasmin ayahnya sudah meninggal dunia ketika dibawa pergi dari rumahnya.

“Ingat cakap kakak ni Rian, jangan beritahu sesiapa hal ni. Kalau Rian tak nak masuk penjara, kunci mulut tu baik-baik.” Kata-kata Yasmin dua tahun yang lalu masih segar di fikiran.

                “Rian dah jadi pembunuh kak.”

                “Kau tak sengaja.Ingat tu baik-baik. Ayah kau nak rogol kau, kau pertahankan diri kau dari dia dan kau terpaksa tikam dia untuk selamatkan diri.”

                “Tapi bukan begitu sebenarnya..”

                “Stop it Rian. Kalau hal ni terbongkar,ini cerita yang akan kau pegang sampai mati. Kau faham tak?”

                Perlahan-lahan dia berpaling ke arah ibunya. Hatinya diruntun sayu. Maafkan Rian mak! Rian benar-benar tak sengaja malam itu. Rian tahu mak trauma dengan kejadian malam itu. Itu sebab mak tak ingat siapa Rian, mak tak mampu bercakap lagi. Kalaulah dengan jadi begini, mak boleh lupakan kepahitan yang pernah kita harungi, Rian rela mak tak sembuh sampai bila-bila pun. Rian tahu mak benci Rian. Mak tak perlu ingat Rian dalam hati mak, cukuplah mak ingat Anas sahaja. Sentiasa ingat dia dalam hati mak! Bisik Adriana seraya memegang tangan wanita itu lalu dikucup perlahan bersama cucuran airmata membasahi pipi.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.