Home Novel Cinta Beautiful Lie
Beautiful Lie
Mazni Aznita
19/3/2020 10:56:10
75,163
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 14

ADRIANA membuang pandang ke luar kereta. Langsung tidak berkutik sedari tadi. Sesekali Yasmin menoleh ke arah gadis di sampingnya. Diam sahaja ni kenapa pulak? Masih risaukan hal tadi barangkali! Fikir Yasmin.

                “Kau fikir fasal Mirza ke?” Tanya Yasmin tersengih.

                Adrina terpisat-pisat. Nama Adham Mirza semakin alergik buat dirinya. Sebal dia setiapkali memikirkan budak kaya sombong itu.

                “Jangan kisahkan dia. Dia tu memang macam tu. Bercakap ikut suka dia aje. Kau kena kuat untuk hadapi budak macam tu.” Nasihat Yasmin.

                Adriana melirik ke arah wanita itu. Selamba sahaja wanita itu menasihatinya, walhal wanita itu pun bukan boleh dipercayai sangat.

                “Lagi satu kakak nak pesan kat kau Rian. Jangan dilayan sangat Tuan Fahrin tu. Tugas kau cuma mengajar Mirza, itu sahaja. Kalau Tuan Fahrin ajak kau ke mana-mana, tolak sahaja pelawaan dia. Faham?”

                Adriana ketawa kecil. Lucu mendengar bicara Yasmin kali ini.

                “Yang kau ketawa ni kenapa? Salah kakak cakap?” Yasmin melirik tajam.

                “Kenapa? Kak Yas cemburukan Rian? Takut Rian pikat buah hati Kak Yas tu?” Adriana memulang paku buah keras.

                Yasmin terdiam.

                “Kalau Kak Yas cemburu, kenapa cari Rian?”

                “Sebab kakak tahu kau perlukan duit. Kebetulan Tuan Fahrin nak cari tutor untuk anaknya.”Ujar Yasmin dengan suara mendatar.

                “Kita berdua tahu bukan itu sebab sebenarnya kan? Rian ni cuma alat Kak Yas untuk agenda terancang Kak Yas tu. Apa yang Kak Yas rancangkan sebenarnya? Pikat Tuan Fahrin atau tipu duit dia?” Sindir Adriana.

                Yasmin mengetap bibir. Mulut perempuan ni semakin lancang dari hari ke sehari. Kalau dahulu,Adriana tahu juga takut setiap kali berhadapan dengannya. Tapi selepas apa yang terjadi 2 tahun lalu, entah mana datangnya keberanian anak gadis itu. Tapi apa pun, itulah yang membuatkan dia suka pada Adriana. Gadis itu mengingatkan dirinya pada masa lalunya.

Dahulu dia juga gadis naif seperti Adriana. Sepanjang hidupnya dia lurus seperti sudip. Hanya tahu mengalah dan menangis. Tapi pengalaman hidup membuatkan dia terjebak dalam dunia baru. Kalau bukan kerana masa silamnya yang kelam, belum tentu dia akan jadi sekuat seperti sekarang.Dahulu dia hanya Yasmin, gadis miskin yang ibunya seorang pembantu rumah. Tapi sekarang dia adalah hostess untuk golongan kaya dan berpengaruh. Malah dengan usahanya selama beberapa tahun, dia memiliki pengaruh dalam rangkaian kelab-kelab malam, malah mempunyai saham dalam beberapa buah syarikat yang kukuh dalam Bursa Saham. Kenalan-kenalannya adalah mereka yang berstatus. Dia mempunyai aset dan harta yang cukup banyak dalam bentuk rumah, hartanah dan wang tunai. Dan dengan wajah cantik yang dimilikinya, dia mampu mendapatkan apa sahaja yang diidamkannya. Duit, bukansatu-satunya benda yang dimahukannya pada Fahrin Attar. Bukan!

“Buat sahaja kerja kau Rian. Jangan campur urusan kakak dengan Tuan Fahrin. Kakak dah cakap dengan kau bukan, tujuan kau datang kerumah tu bukan untuk memikat sesiapa atau menyerahkan kehormatan diri. Tujuan kau datang sebab Adham Mirza. Tuan Fahrin mahu dia berjaya dalam peperiksaannya tahun ini. Itu syarat utama untuk dia ke luar negara tahun depan.” Ujar Yasmin.

“Dan sejak bila kakak ambil berat fasal pelajaran seseorang?” Getus Adriana sinis.

Yasmin merenung tajam. Dia tahu Adriana sengaja mahu mencabar kesabarannya. Dia mahu bersuara, tetapi panggilan telefon yang diterimanya membuatkan dia terpaksa menjawab panggilan tersebut dahulu.Beberapa saat berlalu, wajahnya berubah keruh.

“Teruk ke keadaan dia?”

Diam.

“Baik, kau suruh dia tunggu aku kat situ. Jangan kemana-mana.”

Yasmin memutuskan panggilan telefonnya. Wajahnya berkerut. Adriana di samping wanita itu tertanya-tanya. Kenapa agaknya?

“Jojo, kita ke Espionage Hill sekarang.” Ujar Yasmin pada pemandunya.

“Ada apa-apa yang tak kena ke Kak Yas?” Tanya Jojo.

Yasmin hanya diam. Mulut tidak berbicara, tapi hatinya sebenarnya risau. Dia berpaling ke arah Adriana yang kelihatan tertanya-tanya.Niat hati mahu menghantar Adriana pulang, tapi hal yang tiba-tiba muncul mendadak membuatkan dia terpaksa menguruskan dahulu hal ini.

Sorry, kau kena ikut kakak sekejap. Kakak ada hal.” Ujar Yasmin dengan wajah serius.

Adriana mahu bertanya, tapi melihat wajah wanita itu keruh semacam, dia terpaksa mendiamkan dirinya. Namun dia kesal juga kerana bersetuju mengikut Yasmin tadi. Sepatutnya dia pulang dengan menaiki teksi atau bas sahaja!

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.