Home Novel Cinta LELAKI ITU UNTUKKU (adaptasi drama)
Bab 21

ORKED membuka matanya perlahan-lahan. Terjaga oleh bunyi alunan merdu suara Mak Tun mengaji di bilik sebelah. Dia menguap beberapa kali, lalu mengerling ke arah jam loceng di tepi katilnya. Baru pukul 6 pagi. Masih awal! Bisik hati kecilnya. Dia mahu menyambung tidur, tapi terdengar pula bunyi suara Pak Man sedang melaung-laung nama Idlan. Orked bingkas bangun lalu memasang telinga. Kenapa Pak Man menjerit-jerit sampai begitu?

Didorong perasaan ingin tahu, dia segera keluar dari biliknya lalu bertembung dengan Mak Tun yang bertelekung sembahyang.

“Kenapa Mak Tun?” Tanya Orked hairan.

Mak Tun tidak menjawab, sebaliknya terus melangkah deras ke bilik Idlan. Orked turut mengekori langkah wanita itu. Di situ mereka menemukan kelibat Pak Man sedang mengetuk-getuk pintu bilik Idlan dengan wajah cemas.

“Kenapa bising-bising ni bang?” Tanya Mak Tun ingin tahu. Hairan melihat si suami berteriak-teriak begitu.

Pak Man berpaling dengan wajah gelisah.

“Saya nak kejutkan Idlan, nak ajak sembahyang berjemaah sekali. Tapi puas saya panggil, langsung dia tak sahut. Selalunya tak sempat saya panggil dia dah keluar berjemaah subuh dengan kita.” Ujar Pak Man.

“Dia tidur lagi agaknya tak?” Duga Mak Tun.

Pak Man hanya senyap. Wajah orang tua itu berkerut-kerut. “Awak ada simpan kunci pendua bilik si Idlan ni?” Soal Pak Man.

Bagaikan memahami kehendak suaminya, Mak Tun segera bergegas ke suatu arah. Tidak lama kemudian dia menghulurkan sebatang anak kunci ke arah Pak Man. Orked yang berada di situ turut berdebar-debar menanti Pak Man membuka pintu bilik lelaki itu.

Sebaik daun pintu bilik itu dikuak, wajah Pak Man dan Mak Tun segera berubah. Terkejut melihat kelibat Idlan yang tidak kelihatan di dalam bilik. Orked turut menjengah dan terpempan melihat alas cadar katil Idlan yang seperti tidak terusik. Kemas sahaja seperti tidak pernah digunakan.

“Bang, mana Idlan pergi ni?” Suara Mak Tun jadi cemas.

Pak Man menggeleng. Dia sendiri tidak tahu ke mana Idlan menghilangkan diri subuh-subuh begini. Kakinya beredar pantas ke arah almari pakaian Idlan lalu membukanya. Pakaian Idlan masih ada, tapi Pak Man segera menyedari ada beberapa pakaian milik anak muda itu yang hilang dari dalam almari.

Pak Man keluar dari bilik lalu mengintai keluar dari sebuah tingkap di situ. Kereta Idlan juga tidak ada di tempat parkir.

Mak Tun sudah teresak-esak sedikit. Orked memandang wanita itu dengan rasa simpati sekaligus tertanya-tanya ke mana perginya Idlan.

Sehingga pukul 9 pagi, Idlan masih belum menampakkan batang hidungnya. Pagi itu sarapan mereka hanya dengan roti dan mentega. Mak Tun lebih banyak termenung dan bersusah hati sehingga tidak mahu menyediakan sarapan berat seperti biasa. Itu pun Orked yang sukarela mengambil alih tugas menyediakan roti bakar untuk pasangan suami isteri itu yang jelas sedang bersusah hati.

“Baik Maria, nanti kami khabarkan pada Idlan.” Pak Man meletakkan gagang telefon seraya memandang isterinya.

“Maria nampaknya tak jumpa dengan Idlan. Saya tak fikir Idlan balik ke rumah ibunya.” Ujar Pak Man. Dia baharu sahaja berbual di dalam telefon dengan ibu Idlan, tetapi dari gaya wanita itu bercakap seperti tidak tahu apa-apa langsung mengenai Idlan.

“Maria ada tanya abang fasal Idlan?”

Pak Man mengangguk.

“Saya cakap Idlan ke rumah kawannya. Mujur dia percaya.” Ujar Pak Man.

“Kenapa dengan Idlan bang? Sebab Nadya ke dia buat macam ni?” Keluh Mak Tun. Dia tahu sejak kedatangan Nadya, perwatakan Idlan berubah sedikit. Anak muda itu lebih banyak termenung dan kelihatan susah hati.

“Saya tak fikir macam tu Tun. Saya rasa Idlan tentu ada sebab lain. Kita tunggu ajelah dia balik. Saya tahu dia akan balik juga ke mari. Lagipun ini satu-satunya tempat yang dia selesa.” Pujuk Pak Man.

Orked terdiam. Perbualan kedua-dua suami isteri itu mencelah satu-persatu ke telinganya. Dia sendiri tidak tahu apa yang tidak kena dengan lelaki itu, tapi perbuatan Idlan meninggalkannya begitu sahaja di tempat ini sedikit sebanyak membuatkan dia rasa marah. Tak guna! Kalau nak pergi pun bagitahulah aku! Ini tak, main blah macam tu aje! Rengus Orked menyesali perbuatan Idlan. Tanpa kehadiran Idlan, dia rasa dirinya tidak patut terus berada di rumah ini.

* * * *

SUDAH masuk hari kedua, namun kelibat Idlan tidak juga muncul-muncul. Apabila hari ketiga dan keempat menyusul, Orked mula merasa kosong. Kesunyian menebuk dirinya. Seolah-olah tanpa kehadiran Idlan, dia merasa hidupnya sepi. Jujurnya dia mula merasa rindu mahu mendengar celoteh lelaki itu, mahu menatap senyuman Idlan yang mendamaikan serta berbual-bual dengan lelaki itu. Ke mana kau pergi Idlan? Keluh Orked rungsing.

Hari kelima, Orked sudah bersiap-siap dengan beg sandangnya sambil tercegat di hadapan Mak Tun dan Pak Man.

“Orked nak ke mana ni?” Mak Tun terkejut melihat anak gadis itu. Dia bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya sambil menuju ke arah gadis itu. Pak Man turut menoleh. Hairan melihat gadis itu memegang beg sandangnya.

“Mak Tun, Pak Man, sebenarnya Orked nak minta izin balik.” Ujar Orked serba salah. Jika diikutkan, memang tidak patut dia meninggalkan pasangan suami isteri itu dalam keadaan kedua-duanya sedang risaukan perihal Idlan. Tapi dia sudah tidak betah berada di rumah itu lagi. Dahulu dia datang kerana Idlan yang membawanya. Kini lelaki itu pergi meninggalkannya senyap-senyap di situ, jadi dia juga sudah sepatutnya beredar.

“Orked nak balik ke mana?” Tanya Mak Tun.

“Orked ingat nak balik rumah. Lagipun dah dekat dua minggu Orked duduk makan minum kat sini. Sudah sepatutnya Orked balik ke rumah.” Ujarnya, meski dia sendiri tidak pasti apakah rumah ayahnya yang akan menjadi destinasi seterusnya selepas ini.

“Tapi Idlan belum balik lagi. Orked tunggulah dia dulu.” Pujuk Mak Tun.

Orked terdiam. Menunggu? Apakah Idlan akan pulang sekalipun dia menunggu? Dia tahu lelaki itu sedang menghadapi masalah berat. Airmuka Idlan cukup dikenalnya. Dia mahu melihat Idlan seperti seorang mentor yang membimbing, bukan seperti bulan purnama yang sedang tenggelam.

“Mak Tun, biarlah Orked balik dulu. Soal Idlan, Mak Tun tak payah risau. Dia lebih kuat dari Orked. Sebab tu dia bawa Orked ke mari. Orked rasa Mak Tun pun tahu kenapa.” Ujar Orked tenang.

Mak Tun mengangguk. Bahu anak gadis dihadapannya diraih lalu dipeluk. Orked terpempan. Tidak menyangka dirinya diperlakukan semesra itu oleh wanita yang pernah disakiti hatinya. Hatinya tiba-tiba dirudung sayu. Sebak mengenangkan tanpa pertalian, Mak Tun masih sudi menghulur kasih sayang pada anak yang tidak ada budi bahasa sepertinya.

“Mak Tun tahu Orked anak baik. Idlan lebih pandai menilai orang dari Mak Tun. Tapi mengenali Orked dalam tempoh ini, Mak Tun percaya dengan naluri Mak Tun sepertimana Mak Tun mempercayai Idlan. Kalau boleh Mak Tun nak Orked tinggal lebih lama di sini. Kenali tempat ini dan kenali diri Orked sendiri seperti yang Idlan mahukan.”

Orked terharu. Kata-kata Mak Tun mencetuskan sebak yang sudah lama terhimpun di rongga dada. Dia tahu kehadirannya dialu-alukan, tapi dia juga tidak boleh terus menetap di sini. Itu rumah Idlan, bukan rumahnya. Lagipun apa gunanya dia ada di situ tapi Idlan hilang entah ke mana.

“Mak Tun, maafkan Orked ya sebab selama ni Orked biadap dengan Mak Tun, dengan semua orang. Orked tak bermaksud begitu. Selama ini, Orked tak punya sesiapa, jadi Orked tak pandai nak bergaul dengan orang lain. Maafkan Orked Mak Tun, Pak Man.” Bisik Orked ikhlas.

Tangan kedua-dua pasangan suami isteri itu diraih lalu dikucup. Berlinang airmata Mak Tun melihat perilaku Orked yang semakin berubah. Dia menjeling suaminya yang terkelip-kelip memerhatikan dirinya. Barangkali Pak Man juga sepertinya, terkedu melihat perlakuan anak gadis yang keras hati itu.

“Kan hari tu Mak Tun ada cakap dengan Orked yang Mak Tun sebenarnya dah lama maafkan Orked. Orked tak salah apa-apa pun sayang.” Ujar Mak Tun seraya terus mengucup pipi anak gadis itu bertalu-talu.

“Kamu ni betul ke nak balik ke sana? Tak nak tunggu sehari dua lagi?” Soal Pak Man yang sudah rimas melihat airmata isterinya yang tidak pernah kering sejak beberapa hari yang lalu.

Orked menggeleng. “Tak apalah Pak Man. Dah lama sangat Orked kat sini. Orked kena balik.” Ujarnya beralasan.

“Kamu nak balik dengan apa? Tempohari kamu datang ke mari dengan Idlan. Sekarang Idlan tak ada, kamu sanggup naik bas?” Tanya Pak Man.

Orked sekadar tersenyum. “Bas pun tak apa Pak Man.”

“Kejap lagi Pak Man nak ke pekan beli barang sikit. Kalau kamu nak ikut, Pak Man boleh hantarkan ke stesyen bas. Kalau nak hantar sampai ke Kuala Lumpur, mungkin tak dapat. Ada tetamu nak datang dari Kuala Lumpur menginap di sini. Lagipun siapa nak temankan Mak Tun kamu ni? Cengil macam budak-budak aje!” Rungut Pak Man memerli isterinya.

Kata-kata Pak Man membuatkan jelingan Mak Tun tambah tajam.

Orked hanya mampu tersenyum melihat gelagat pasangan suami isteri itu. Kalaulah dia lahir sebagai anak pasangan suami isteri itu, tentu hidupnya bahagia. Tentu dia tidak menempuhi hidup seperti ini. Tapi sayangnya dia lahir sebagai anak ayahnya, lelaki yang tidak ingin mengakui kewujudannya. Lalu kenapa kau mahu balik ke rumah itu lagi? Untuk apa kembali ke tempat di mana kau tidak diperlukan? Kata hatinya berbisik.

Idlan! Hanya lelaki itu satu-satunya sebab kenapa dia mesti balik ke rumah ayahnya kali ini. Dia mahu menanti lelaki itu di rumahnya. Dia yakin, sejauh mana pun lelaki itu pergi, pasti lelaki itu akan kembali mencari ibunya. Dan satu alasan lagi, dia semakin merindui kehadiran Idlan. Lima hari Idlan pergi, dia merasa seluruh jiwanya sedang kontang dan karam. Semuanya kerana lelaki itu!

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.