Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
127,324
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

6

HIDUP ini bukanlah a bed of roses, bisik hatinya. Kalau aku tak bahagia, tak gembira... mungkin ada orang lain di luar sana yang lebih tak bahagia dan tak gembira daripada aku, bisik hatinya. Mungkin ada orang di luar sana yang lebih menderita daripada aku. Dia bermonolog lagi.

Ini pun syukur alhamdulillah kerana aku masih mampu menyuap nasi ke mulut. Ada insan di tempat lain yang dihurung kelaparan, langsung tidak ada apa-apa yang dapat disuap ke mulut hatta sebutir nasi atau sekeping roti sekalipun. Mereka hidup merempat, kurus kering bagaikan mayat hidup.

Namun, mereka tetap juga meneruskan hidup dengan secebis harapan agar ada orang yang sanggup menghulurkan tangan untuk membantu. Walaupun telah habis segala daya untuk hidup tapi mereka harung juga, tempuh juga!

Mengenangkan ‘mayat-mayat hidup’ yang berlegar-legar di negara miskin yang bergolak itu, dia menjadi insaf akan dirinya. Sekurang-kurangnya dengan wang gajinya yang tidak seberapa itu, dia masih mampu membeli nasi ayam atau burger ayam spesial yang dijual di pasar malam Jalan Mok Hee Kiang. Atau, sesekali menjamu selera dengan tomyam campur serta ayam goreng kunyit di Restoran Tomyam, Kampung Suria.

Cuba bayangkan kalau diri anda tidak mampu untuk menjamah makanan selama dua tiga hari. Bagaimana agaknya? Sedangkan berpuasa di bulan Ramadan pun terasa letih litaknya, inikan lagi tidak dapat menjamah walau sekeping roti selama berhari-hari. Malah, berminggu-minggu... berbulan-bulan! Bagaimana agaknya kalau kita diuji dengan azab kelaparan?

Tetapi, mereka teruskan juga walau digelar mayat hidup. Walau terpaksa mengikis lumut yang melekap di tangga untuk kelak disuap ke mulut bagi mengurangkan kelaparan. Ketika itu tiada lagi perkataan yang boleh diungkapkan untuk hidup yang sebegitu selain daripada hidup dalam keadaan hina!

Imej sekeping foto di dada suratkhabar yang pernah dilihatnya suatu ketika dahulu kembali menghantui fikiran. Foto itu memaparkan tentang seorang kanak-kanak bertubuh kurus kering di sebuah negara miskin yang sedang leka mengikis lumut di tangga untuk dijadikan makanan.

Pun begitu, walau terpaksa hidup dalam kemelaratan dan kemiskinan tetapi mereka harung juga. Walau dikatakan orang, hidup segan mati tak mahu, mereka tempuh juga. Tidak muncul istilah mahu bunuh diri dalam kamus hidup mereka. Kalau mereka mahu bunuh diri, takkan sanggup tunggu sampai jadi ‘mayat hidup’ sebegitu?

Tapi dia!??? Tangannya kiam ke dada yang berdegup kencang.

Suatu ketika dahulu, dia pernah rasa keinginan untuk membunuh diri. Bukan sekali, malah dua kali perasaan itu muncul dalam dirinya. Menghantui mindanya. Merasuk kewarasannya!

Masya-ALLAH, dia yang tidak pernah diuji dengan kelaparan dan kemiskinan ini pernah rasa seperti ingin menamatkan riwayatnya sendiri. Dia yang bertubuh montok dan berdaging pejal kerana cukup makan minum ini hampir-hampir sahaja dilaknat ALLAH kerana mahu menamatkan riwayatnya sendiri, berbanding ‘mayat hidup’ yang masih berlegar-legar dek kekurangan zat dan kebuluran mencengkam yang menyelubungi mereka.

Begitu lemahnya iman yang melekap di dadanya. Dia menarik nafas panjang. Mungkin itu adalah ujian untuk aku, bisik hatinya.

‘Adakah mereka rasa mereka telah beriman sedangkan mereka belum diuji?”

(Al-Ankabut: 29:2)

KETUKAN dan ucapan salam di muka pintu membuatkan memori silamnya yang gelap gelita itu tidak bertapak lama di ruang ingatan. Dia bersegera membuka daun pintu. Kemudian, menyisih ke tepi untuk memberi laluan kepada Puan Suzila melangkah masuk.

Perempuan berusia 46 tahun itu melabuhkan punggungnya di kusyen. Beg yang berisi telekung diletakkan di atas meja kopi di depannya.

“Ni hah, karipap sardin, kuih kegemaran Ziha, kan?” kata Puan Suzila sambil turut meletakkan plastik berisi lima keping karipap sardin itu di atas meja kopi, betul-betul di sebelah beg telekungnya.

Nur Naziha kerut keningnya yang lebat.

“Kan Ziha dah cakap tadi, Ziha tak nak apa-apa.” Dia bersuara.

“Karipap ni bukan acik yang beli tau. Tapi Hajah Hanis yang belanja. Katanya khas untuk Ziha,” kata Puan Suzila sambil menyengih.

“Baiknya hati Hajah Hanis tu,” puji Nur Naziha. Perutnya yang belum menjamah apa-apa walau seteguk air terus jadi lapar tatkala melihat karipap sardin di depannya.

Senyum Puan Suzila semakin melebar. Dan, senyum yang kelihatan lain macam saja itu buat hati Nur Naziha jadi tidak menentu.

“Baik ada makna tu, Ziha. Yalah... Ziha ni kan muda lagi. Orangnya cantik pulak tu. Mestilah ada yang berkenan untuk dibuat calon menantu.” Puan Suzila tersenyum panjang.

Erkkk... Tiba-tiba sahaja dia tersendawa sebaik mendengar kata-kata yang diluahkan Puan Suzila itu. Perutnya yang tadi lapar, sekonyong-konyong rasa kenyang.

“Ziha tak nak!” Dia bersuara. Keras.

“Acik ajelah yang makan karipap tu!”

Puan Suzila merenung lama wajah gadis di depannya. Wajah yang tadinya tenang, setenang teratai di kolam tiba-tiba sahaja berubah rona. Tona kulit pipinya menjadi merah padam.

Nur Naziha memang begitu sikapnya. Setiap kali diajukan dengan persoalan jodoh, dia akan menggelabah dan terus marah-marah. Mungkin dek memori hitam yang menghantui semalamnya, hati Puan Suzila bermonolong.

Tapi sampai bila gadis cantik ini harus mengelak dirinya daripada membicarakan tentang persoalan jodoh? Seorang perempuan harus ada di sisinya seorang lelaki yang selayaknya dipanggil suami.

“Kenapa tiba-tiba aje mengamuk ni, Ziha?” Puan Suzila menghentak soal.

“Ziha tak suka dengar Acik Su cakap macam tu!”

Panjang muncungnya membuatkan Puan Suzila bagai hendak tergelak melihatnya.

“Pasal Hajah Hanis yang berkenan nak jadikan Ziha calon menantunya tu?”

“Hmmph... pasal tulah!”

“Ziha, ni acik nak tanya sikit. Sampai bila Ziha nak mengelak daripada bercakap tentang jodoh? Sampai bila? Ziha masih muda, cantik pulak tu... takkan Ziha tak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga dan membina keluarga seperti orang lain? Hidup orang perempuan ni takkan lengkap tanpa seorang suami di sisi, Ziha. Suami nilah yang akan melindungi hidup Ziha kelak.” Puan Suzila menarik nafas dalam-dalam sebelum berhenti seketika.

Kemudian, dia menyambung lagi hujahnya, “Acik tau Ziha pernah kecewa suatu ketika dulu. Sebab tulah Ziha tak percaya pada ikatan perkahwinan tapi sampai bila, Ziha? Sampai bila? Takkan selamanya Ziha nak hidup solo macam ni? Kalau lelaki tu pernah kecewakan Ziha, pernah sakiti Ziha... lelaki lain tak semestinya macam dia.”

“Jangan ikut contoh macam acik ni, Ziha. Akibat putus tunang dengan lelaki yang acik cintai, acik terus membenci lelaki. Acik tolak setiap lelaki yang cuba mendekati acik. Akhirnya tengoklah acik ni, sendirian membilang bilah-bilah hari yang mendatang. Acik ni dah tak ada harapan lagi, Ziha. Hati acik ni dah berkematu, dah tak boleh terima cinta daripada mana-mana lelaki lagi. Acik tak nak Ziha pun jadi macam acik. Ziha harus bahagia. Ziha harus ada suami dan anak-anak. Ziha jangan hidup sendirian membilang hari tua macam acik ni!”

“Cukup, acik! Cukup!!!” Nur Naziha menjerit. Air matanya berjurai-jurai jatuh ke pipi.

Puan Suzila terdiam. Dia sedar kata-katanya tadi bagai hirisan pisau belati di telinga Nur Naziha. Dia bangkit lalu meraih tubuh Nur Naziha ke dalam dakapannya. Terasa tubuh gadis itu terhenjut-henjut menahan tangis.

“Acik cuma mahu Ziha bahagia,” bisiknya ke telinga Nur Naziha.

“Ziha tahu. Ziha minta maaf kalau dah terkasar bahasa dengan acik.”

“Tak apa, acik faham.”

“Terima kasih.”

Nur Naziha merungkaikan pelukannya ke tubuh Puan Suzila. Dia segera mencapai tisu lalu mengelap air mata yang tumpah seketika tadi.

“Kalaupun Ziha tak sudi jadi calon menantu Hajah Hanis, terima ajelah karipap sardin tu. Hajah Hanis ikhlas nak belanja Ziha.” Puan Suzila memujuk.

Nur Naziha senyum. Plastik berisi lima keping karipap sardin dicapainya juga sebelum melangkah keluar untuk ke tempat kerjanya di Farmasi Nusantara pagi Ahad itu.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.