Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
126,808
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

16

Selebat hujan yang turun,

Mencurah membasahi bumi...

Tidak selebat hujan di dalam jiwaku!

Sehebat halilintar, membelah langit yang kelabu

Tidak sepanas petir

Yang membakar jiwaku.

SUARA lemak merdu Murni berkumandang di ruang Farmasi Nusantara tanpa menghiraukan komen daripada orang lain yang mungkin tidak betah mendengarnya. Murni memang suka menyanyi. Malah, dia pernah membisikkan niatnya kepada Nur Naziha untuk menyertai pertandingan mencari bakat-bakat baru dalam bidang nyanyian seperti yang kerap ditayangkan di sebuah stesen televisyen.

“Hoi, dah gila ke? Memekak aje!” Hanim menyelar dari arah rak-rak yang menempatkan pelbagai jenis vitamin di sudut belakang farmasi itu.

“Hey, yang kau bising apasal, hah? Aku nak nyanyi, nak hiburkan hati pun tak boleh ke?”

“Kalau nak melalak pergilah berkaraoke. Ni tempat kerjalah, woi! Kalau tak mampu nak pergi karaoke, pergilah melalak kat tengah padang bola tu!”

“Suka hati akulah nak melalak kat manapun. Bos tak marah pun, kau yang sakit hati. Woi, tangkap jealous ke tengok kita orang keluar lunch dengan anak bos? Ada hati dengan dia ke, woi?” Murni menyerang balas. Sengit.

“Mintak maaflah ya, sikit pun kita tak cemburu. Apatah lagi nak jealous dengan kau orang berdua. Kita ada kelas yang tersendirilah. Lainlah kau orang, tak ada kelas langsung!” Hanim masih menjawab. Tidak mahu mengalah.

“Engkau tu kelas atasan ke?”

“Iya, macam tulah lebih kurang.”

Murni menoleh ke arah Nur Naziha di sisinya. Nur Naziha segera memberikan isyarat agar Murni menghentikan perbalahannya dengan Hanim.

“Kalau engkau tu duduk di kelas atasan, kenapa pulak kau ditugaskan lap habuk kat rak-rak tu?”

“Kalau aku tak berada di sini tadi, kau dan kawan baik kau tu takkan berpeluang makan bersama-sama dengan Abang Azad tau. Aku kerja ni sekadar nak membantu aje.”

“Hmmm, yalah tu! Terima kasihlah, ya. Jasamu kukenang.” Murni menyahut. Kemudian berdekah kuat, sengaja hendak menyelar hati Hanim.

“Dahlah tu, Murni. Janganlah bergaduh dengan Anim tu.” Nasihat Nur Naziha. Dia tidak mahu melihat perselisihan faham di antara Murni dengan Hanim berpanjangan.

Murni dan Hanim memang selalu bertegang leher. Entah kenapa? Mungkin kerana usia mereka yang hampir sama dan kedua-duanya belum matang lagi.

“Dah dia kutuk kita, kak. Dia kata kita ni tak ada kelas. Takkan nak diamkan aje. Memang melampau betul si Anim tu. Cabul betul mulut dia. Mentang-mentanglah dia tu ada pertalian saudara dengan keluarga Tuan Haji, dia berlagak bos pulak kat sini.”

“Sabar ajelah.” Pujuk Nur Naziha.

“Kalau kita biarkan aje, nanti dia pijak-pijak kepala kita. Sebelum dia pijak kepala kita, baik kita hamput dia dulu, kak!” Murni masih berapi-api.

“Akak tak sukalah kita bergaduh dengan dia kat dalam farmasi ni. Nanti Tuan Haji atau Abang Azad tahu, buat malu aje.”

“Murni rasalah kan, si Anim tu mesti ada perasaan pada Abang Azad. Sebenarnya dia bukannya nak cari pasal dengan Murni, tapi target dia ialah Kak Ziha.” Murni menerbak.

“Biarkanlah! Kan akak dah kata, akak tak kisah pun. Kalau dia betul-betul gilakan Abang Azad tu, akak sanggup pinangkan Abang Azad untuk dia.”

Murni memandang Nur Naziha dengan mata tidak berkelip. Betulkah Kak Ziha langsung tak ada perasaan pada Lokman Azad? Hatinya menyoal.

“Apa yang kau orang berdua berbisik-bisik tu?” soal Hanim setelah agak lama menyepi di tempatnya.

“Yang kau sibuk-sibuk nak tahu, kenapa? Jaga hal masing-masinglah, woi!” hentak Murni membuatkan Hanim terus terdiam.

KAKZiha, sini kejap. Ada hal Anim nak cakap dengan akak ni!”

Nur Naziha melangkah menghampiri gadis itu. Murni pula telah ke tandas.

“Sebenarnya Anim tak bermaksud apa-apa pun. Cuma Anim tak suka dengan sikap si Murni tu yang asyik melalak entah apa-apa. Macam pasar aje dibuatnya farmasi ni.”

“Hmmm... iya, akak faham.” Nur Naziha terangguk-angguk.

“Kak Ziha ni cantik, tentu ramai lelaki sukakan akak kan?”

“Eh, mana ada! Akak biasa-biasa aje. Anim pun apa kurangnya.”

“Eleh, nak merendah diri pulak Kak Ziha ni. Akak dah ada teman lelaki?”

“Err... belum ada.”

“Kak Ziha tahu kan status Abang Azad tu? Dia dah lama menduda. Kalau dia berkenan pada akak untuk dijadikan isterinya, akak setuju?”

Nur Naziha terperangkap lagi dengan persoalan yang diajukan kepadanya.

“Kenapa Anim tanya soalan tu pada akak?”

“Eh, akak ni! Kita tanya dia, dia soal kita balik.” Gerutu Hanim. “Daripada cara Abang Azad tengok akak, layan akak... Anim dapat rasakan yang dia sukakan akak.”

“Tapi akak anggap dia biasa aje.”

“Betul?”

“Betul.”

Hanim tersenyum lebar. “Anim tanya aje ya, kak. Jangan marah, jangan ambil hati dengan Anim.”

Nur Naziha angguk. “Akak harap soalan begini takkan keluar dari mulut Anim lagi.”

“Akak tak suka?”

Heh, macam-macam pulak si Hanim ni, gerutu hati Nur Naziha.

“Ya, Anim. Akak tak suka.” Sahutnya pantas.

“Apa yang Ziha tak suka?” Tiba-tiba satu suara garau menyapa. Suara milik Lokman Azad.

Mendengarkan suara itu, Nur Naziha terus terkejut. Terus kelu lidahnya untuk berkata-kata. Hanim pula sudah mula tergelak-gelak. Mengusik!

“Ziha, tak dengar ke abang tanya tadi? Nak abang ulang soalan tu?”

“Errr... ni hal orang perempuan, Ziha rasa tak perlulah abang masuk campur. Kadang-kadang Ziha tengok, abang ni suka masuk campur. Bila Ziha berbual dengan Murni pun abang selalu sibuk-sibuk.” Nur Naziha sempat menghentam. Dalam pada itu dia berdoa dalam hati agar Hanim tidak mengungkit semula perbualan mereka tentang Lokman Azad seketika tadi.

Iya betul, dia memang tidak menyimpan sekelumit pun perasaan pada lelaki itu. Tetapi, jauh di sudut hatinya dia tidak sanggup menghadiahkan kata-kata berupa penolakan sekiranya memang betul Lokman Azad meminatinya dalam diam. Harap-harap tak terjadilah macam tu, hatinya berbisik.

Mata Lokman Azad meredup ke wajah Nur Naziha. Nur Naziha cantik, bisik hatinya. Malah Nur Naziha lebih cantik daripada... argh....! Kenapa aku ni? Kenapa aku sanggup membandingkan wajah cinta pertamaku dengan gadis di depanku ini?

Tidak! Aku harus hentikan semua ini. Aku tidak boleh terus-terusan membandingkan arwah Melissa dengan Nur Naziha.

“Anim, selalu tu Kak Ziha kita ni tak banyak cakap kan?” Lokman Azad mencuit bahu Hanim yang berdiri di sebelah kanannya.

Hanim angguk. “Haah... yalah, bang. Selalunya Kak Ziha kita ni, sejuk aje macam air batu kan?” perli Hanim. Selamba.

Mata Nur Naziha mencerun ke wajah Hanim. Gadis muda itu tersengih macam kerang busuk.

“Tak baik tau, Anim kata akak macam tu!” bidas Nur Naziha.

Hanim tidak mengendahkan kata-kata Nur Naziha sebaliknya memandang ke arah abang sepupunya lalu berkata, “...lunchtadi makan lauk apa, bang?”

“Patin masak tempoyak.”

“Penangan gulai patin masak tempoyak kut, bang, yang merobohkan kebekuan Kak Ziha kita ni?” usik Hanim lagi membuatkan wajah Nur Naziha merintik merah.

“Nampaknya lepas ni abang kenalah rajin-rajin bawa Kak Ziha kita ni makan gulai patin masak tempoyak.” Terus-terusan dia mengusik tanpa mempedulikan perasaan yang sudah sedia tersentuh.

“Abang tak kisah kalau setakat belanja patin masak tempoyak ni. Takut orang tu aje yang tak sudi.” Lokman Azad pula semakin galak.

Nur Naziha tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Dia menggetap bibirnya dan mula mengatur langkah untuk meninggalkan tempat itu. Lokman Azad perasan pada riak kurang senang yang terpapar pada wajah Nur Naziha, namun dia tidak mampu menghalang gadis itu daripada berlalu pergi.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.