Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
127,196
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

10


ENGKAU tiba bagaikan pelangi

Tak bercahaya namun kau berseri

Tapi cukup menghiburkan hati ini

Seharian waktu bersamamu

Tak terasa saat yang berlalu

Bagai pelangi petang kau kan pasti

Pergi jua...

LAGU Pelangi Petang dendangan allahyarham Sudirman Haji Arshad yang menyapa telinga ternyata membangkitkan nostalgia silam. Ianya membawa makna bahawa tiada apa pun yang fana’ di dunia ini. Bagaikan pelangi petang yang indah, yang kalau boleh ingin dikekalkan kewujudannya. Tetapi, itu adalah mustahi kerana hakikatnya jalur-jalur pelangi akan hilang juga daripada pandangan mata setelah sampai masanya.

Ibaratnya kalau kita mencintai seseorang. Walau sedalam manapun cinta kita padanya tetapi dia tetap akan pergi juga sekiranya itulah yang ditakdirkanNYA untuk kita.

Wajah ayu itu menyapa semula ke sanubarinya. Lalu membangkitkan sebuah memori silam yang sebenarnya ingin dipadamkan dari ruang ingatan. Kerana sesungguhnya memori itu bagai memagut seluruh keceriaannya.

Tatkala dua insan bercinta, apakah yang paling mereka takuti? Sudah tentulah takut akan perpisahan. Sedangkan berpisah seharipun, sudah menebal rindunya. Inikan terpaksa berpisah untuk selama-lamanya dek sebuah takdir yang dipanggil kematian.

Alangkah baiknya kalau dia terlebih dahulu membenci Melissa? Mungkin dia tidak perlu merana sebegini lama setelah Melissa mati. Tetapi takdir yang telah ditetapkan untuk dia dan Melissa sungguh kejam. Tersangatlah brutalnya! Sedang mereka hangat bercinta, dia menerima perkhabaran bahawa belahan jiwanya itu telah dijemput maut dalam satu kemalangan ngeri yang membabitkan lima buah kereta dan sebuah lori di Lebuhraya Utara Selatan.

Dan, lebih pedih lagi apabila Melissa ketika itu sedang mengandungkan anak pertama mereka. Usia kandungannya pula baru mencecah angka dua bulan. Dalam satu renggut sahaja, dia telah kehilangan kedua-duanya; isteri yang dia cintai sepenuh hati dan anak yang sedang berdegup dalam kandungan isterinya.

Oh TUHAN...!

Lokman Azad segera mencapai kotak tisu yang berada di tengah-tengah meja makan. Dia menarik beberapa helai tisu lalu mengelap setitis airmata yang sudah mula terlepas daripada takungannya. Segagah-gagah lelaki tetap akan menangis untuk seorang perempuan. Lebih-lebih lagi perempuan itu adalah insan yang dicintainya.

Situasi itu membuatkan Tuan Haji Saadun dan Hajah Hawa saling berpandangan.

“Sabarlah, Azad. Yang dah pergi tu jangan asyik dikenang lagi.” Tuan Haji Saadun memujuk anak lelakinya.

Sebagai seorang ayah, dia wajar tabik spring pada Lokman Azad. Anak lelakinya itu begitu setia pada sebuah cinta. Walau telah hampir empat tahun isterinya meninggal dunia, Lokman Azad masih setia, masih enggan mencari pengganti arwah Melissa.

Entah resmi siapa yang diikutnya, dia bermonolog.

Tapi realitinya Lokman Azad tidak mengikut resmi Tuan Haji Saadun yang pantang nampak perempuan berdahi licin ketika zaman mudanya dahulu.

“Betul kata ayah kamu tu, Azad. Mak rasa dah hampir empat tahun arwah Lisa meninggal. Kamu tak nak cari pengganti dia ke?” Hajah Hawa menyampuk sambil menghulurkan pinggan putih berbunga-bunga ungu yang berisi beberapa keping roti bakar bersalut kaya ke arah anaknya itu.

Lokman Azad masih diam. Tidak berkutik. Kalau dua tahun terawal kematian isterinya dahulu soalan sebegitu diajukan padanya, pasti dia akan membentak. Tapi kini tidak lagi. Dia sudah belajar menerima hakikat bahawa dia dan isterinya dipisahkan ketika cinta mereka sedang sarat.

Hanya kenangan indah bersama Melissa yang mengisi penuh kotak fikirnya. Mereka sempat melayari bahtera bahagia selama hampir dua tahun. Sepanjang bergelar suami isteri mereka jarang bergaduh. Kalau bergaduh pun setakat gaduh-gaduh manja. Dan, setelah tamat sesi gaduh-gaduh manja itu, hubungan mereka makin hangat. Makin romantis!

Argh!!! Diulang sekali lagi - alangkah baiknya kalau dia terlebih dahulu membenci Melissa sebelum isterinya itu direnggut maut!

“Azad, ni ayah nak tanya sikit...”

Mata Lokman Azad menujah ke wajah ayahnya.

“Setelah lama menduda ni, tak ada ke mana-mana perempuan yang kamu berkenan?”

Lokman Azad menggeleng.

Tuan Haji Saadun mengeluh perlahan.

“Begini, sebenarnya ayah berkenan sangat dengan si Ziha tu. Errr... maksud ayah... ayah sokong kalau kamu pilih dia jadi isteri.”

“Tak ada perempuan lain ke?” Hajah Hawa menyergah dengan suara yang meninggi.

“Apa salahnya kalau kita jodohkan Azad dengan Ziha? Budak tu baik. Rajin dan bersopan santun orangnya. Tak ada yang kurang dengan dia, Hawa.” Tuan Haji Saadun pantas membela Nur Naziha.

“Saya berkenan sangat kalau dia jadi menantu di rumah ni! Apa pandangan kamu, Azad?”

“Errr...” Lokman Azad tergagap-gagap hendak menjawab.

“Saya bangkang!” Bagaikan seorang peguam yang sedang berperang mulut di mahkamah, Hajah Hawa bersuara. Dumm!!! Siap buku limanya menumbuk meja makan.

Mata Tuan Haji Saadun dan Lokman Azad melolot memandangnya. Garangnya bini aku ni, bisik hati Tuan Haji Saadun.

Brutalnya emak aku ni, komen Lokman Azad dalam hati.

“Saya minta pendapat Azad. Yang awak menyampuk ni, kenapa? Jembalang apa yang dah sampuk otak awak tu?” soal Tuan Haji Saadun. Jelik dengan perangai isterinya.

“Budak tu bukannya orang sini. Kita tak kenal pun siapa dia sebenarnya. Siapa emak bapak dia? Siapa keluarga dia? Kan baru aje empat bulan dia pindah kemari? Entah dari lubuk mana dia datang!” Hajah Hawa menegakkan pendapatnya.

“Ziha tu baik budi pekertinya, mak.” Bela Lokman Azad. Tidak sanggup dia mendengar ibunya memperlekehkan Nur Naziha.

“Abang Aji oi! Saya nak tanya sikit ni, perempuan yang abang berkenan sangat nak jadikan calon menantu tu sebenarnya orang mana?”

“Ziha pernah cakap dengan saya, kampungnya terletak di Selangor tapi emak dan arwah ayah dia dah menetap di Kuala Lumpur,” jawab Tuan Haji Saadun.

“Kenapa dia tak kerja aje kat Selangor atau KL tu? Kat sana kan banyak kilang, banyak pejabat. Kat sana kan lebih banyak peluang pekerjaan berbanding kat sini. Gaji yang ditawarkan kat sana pun mungkin lebih tinggi daripada gaji yang awak tawarkan kat farmasi awak tu. Kenapa budak tu perlu bawa diri sampai ke Mentakab ni? Apa yang ada kat sini, Abang Aji, oi?”

“Errr...” Banyak tanya pulak bini aku ni, desis hati Tuan Haji Saadun.

Walaupun gadis bernama Nur Naziha itu sudah hampir empat bulan bekerja di farmasi miliknya tetapi dek kesibukan masing-masing, dia tidak sempat bertanya kenapa Nur Naziha membawa diri ke Mentakab. Kebiasaannya, mereka yang bermastautin di kota atau sekurang-kurangnya pinggir kota; apatah lagi di kota Metropolitan seperti Kuala Lumpur, tidak akan betah tinggal di tempat yang sebegini.

“Alahai Hawa, buat apalah kita pening-pening kepala fikirkan pasal tu? Kalau Azad berkenan nak jadikan Ziha tu sebagai bakal isterinya, kita pergilah berkenal-kenalan dengan keluarganya kat KL tu. Apa susahnya? Betul tak, Azad?”

“Errr... saya... saya belum sedia lagilah, ayah. Hmmm... Ziha tu entah sukakan saya entah tak.” Tergagap-gagap Lokman Azad menyahut.

Jawapannya itu membuatkan Tuan Haji Saadun menggeleng-gelengkan kepalanya yang hampir botak. Sementara itu, Hajah Hawa pula menarik nafas lega. Dalam diam-diam dia sibuk merencana masa depan anak lelakinya yang telah kematian isteri itu.

Lebih baik aku segera carikan Lokman Azad calon isteri dari kalangan saudara maraku sendiri, bisik hatinya. Kelak semua harta kami tak jatuh ke tangan orang lain!

“Azad, hari ni kamu tak payahlah ke mana-mana. Tolong sapu sampah dan tebas-tebas semak kat belakang rumah ni.” Pinta Hajah Hawa. Kalau boleh dia tidak mahu Lokman Azad menapak ke Farmasi Nusantara kerana dia tahu Nur Naziha yang mahu dijadikan calon menantu oleh suaminya akan berada di sana.

“Ala, mak... upahkanlah aje pada jiran sebelah rumah kita ni. Kan bab sapu sampah serta tebas semak ni dah jadi tugas Pak Cik Hasan? Kenapa suruh saya pulak yang buat?” Lokman Azad menjawab.

Hajah Hawa kerut dahi.

“Kamu ni tak pernahnya nak tolong mak kat rumah.” Komennya.

“Saya nak ikut ayah ke farmasi. Nak tolong susun-susun barang.”

“Aah... betul tu! Biarlah Azad ikut saya. Hal tebas semak dan sapu sampah tu awak suruhlah Hasan sebelah rumah ni yang buat.” Tuan Haji Saadun segera tampil menyokong anaknya.

“Hisy, geramnya hati saya ni! Dua-dua beranak ni memang suka menyakitkan hati saya!” Suara Hajah Hawa meninggi semula.

“Daripada Azad tengok daun-daun kering dan lalang-lalang yang dah berselirat kat belakang tu, baik dia cuci mata kat luar. Lagi bagus! Tak nanti otak anak awak ni akan berselirat macam lalang-lalang tu jugak.” Dengus Tuan Haji Saadun.

“Pergi dulu, mak!” jerit Lokman Azad yang sudahpun menyarung kasutnya di muka pintu.

Hajah Hawa tidak mampu bersuara lagi. Dia hanya dapat memandang dengan hati yang geram.

APA pandangan kamu tentang Ziha tu, Azad?” Sekali lagi terpantul soalan itu dari mulut Tuan Haji Saadun ketika mereka berdua berada di dalam Pajero milik anak lelakinya.

Milik siapakah hati ini

Bagai beburung lamar kesepian

Ingin aku mencurahkan kasih

Kepada yang sudi

Adakah dia sudi...

Sekali lagi lagu allahyarham Sudirman Haji Arshad menerbak ke jiwanya. Kali ini lagu yang bertajuk Milik Siapakah Gadis Ini. Dahulu, ketika dia jatuh cinta pandang pertama dengan gadis kecil molek yang merupakan anak jati Mentakab, bernama Melissa Ong Swee Lan, lagu itulah yang menggagau fikirannya. Dia sering memainkan lagu itu melalui CD ketika dalam perjalanan pergi dan balik dari kerja.

Siapakah gadis itu yang menawan hatiku dengan gelak tawanya yang mersik? Dan, apakah dirinya sudah dimiliki?

Masih basah lagi di ruang ingatannya pada pertemuan pertama mereka sebasah petang itu sendiri...

AZAD, mari kita cuba roti bakar kat kopitiam Ong Swee Lan tu.” Kata Muzammir, teman sekerjanya.

Dia memang selalu melintasi restoran kopitiam itu untuk ke pejabatnya. Jikalau tempat parkir di depan pejabatnya penuh, dia terpaksa meletakkan keretanya agak jauh sedikit dan kemudian berjalan kaki menyusuri kakilima deretan kedai termasuklah restoran kopitiam itu. Dia nampak ramai pengunjung Melayu menjamu selera di sana, termasuklah teman-teman sekerjanya.

Tetapi, dia sahaja yang masih enggan hendak menapak ke restoran kopitiam itu. Kalaupun restoran itu menyajikan makanan halal, kenapa tak letak aje nama lain? Bisik hatinya. Banyak lagi nama yang mencerminkan suasana masyarakat majmuk di Malaysia. Kalau susah-susah sangat, letak ajelah nama Kopitiam Mentakab ke... Kopitiam Pahang ke... bla... bla... bla!

Ni tak! Nak jugak letak nama Kopitiam Ong Swee Lan. Nama nyonya tua mana entah! Gerutu hatinya.

“Kalau kau nak pergi minum kat situ, kau pergilah. Aku minum kat rumah ajelah. Emak aku dah telefon, dia buat bubur kacang hijau petang ni.” Dia sengaja mencipta alasan untuk tidak melangkah masuk ke restoran kopitiam milik Cina entah siapa itu.

Sepanjang 25 tahun dia hidup di dunia ini, belum pernah sekalipun dia menjejakkan kaki ke tempat makan yang diketahuinya milik orang Cina. Ayah dan ibunya juga tidak pernah membawanya ke tempat-tempat sebegitu. Dengar nama restorannya pun dah kembang anak tekak ni. Macam mana aku nak telan makanan kat sana nanti, bisik hatinya.

Muzammil berdekah.

“Kau ni, Azad! Cubalah kau masuk sekali ke restoran tu. Pekerjanya pun ramai orang Melayu tau.”

Hisy, Muzammil ni, kenapa sibuk-sibuk nak paksa aku buat benda yang aku tak suka? Daripada menjejakkan kakiku masuk ke Restoran Kopitam Ong Swee Lan, aku lebih rela meredah gerimis ni untuk ke restoran Mamak Maidin di seberang jalan tu.

Dalam pada mereka sibuk berbual itu, tanpa sedar restoran Kopitiam Ong Swee Lan semakin dihampiri.

“Lisa, watch out!” Dia terdengar suara seseorang memberikan amaran.

Kemudian, dia terdengar satu jeritan. Nyaring. Seorang gadis berkulit cerah dan bertubuh kecil molek tergelincir di atas simen yang licin lalu jatuh tergolek betul-betul di depan dia dan Muzammil. Lima buku roti Gardenia yang mungkin baru dibeli dari kedai runcit berhampiran, tercampak keluar dari bakul pasar yang dibawanya.

Mak oi, putih melepaknya kulit dia, bisik hatinya tatkala terpandang betis bunting padi di sebalik skirt hitam gadis itu.

“Awak okey ke?” Dia menyoal ke arah si gadis. Muzammil pula sibuk mengutip bungkusan roti-roti yang tercampak keluar dari bakulnya.

Gadis itu tersenyum ke arahnya.

Don’t worry. I okey. Simen ni manyak licin ma,” jawab gadis itu.

Lokman Azad tersenyum ke arah si gadis lalu membantunya untuk bangun.

“Taukeh, saya dah penat pungut roti-roti ni. Belanja minum secawan teh dan roti bakar satu set, boleh ke?” pinta Muzammil, si muka tembok.

Gadis itu – Melissa Ong Swee Lan ketawa kecil.

“Boleh... boleh, apa salahnya. Encik pun jemputlah masuk sekali.” Pelawa gadis itu ramah hinggakan Lokman Azad tidak mampu menolak. Itulah pertama kali dia melangkah masuk ke Restoran Kopitiam Ong Swee Lan, serta pertama kali bertentang mata dengan pemiliknya.

Tekaknya tidak pula kembang ketika menghirup kopi pekat dan mengunyah roti bakar rangup yang dihidangkan sendiri oleh pemiliknya. Aneh sekali!

NOSTALGIA silam itu membuatkan terpacul keluh di bibirnya. Tuan Haji Saadun memandang Lokman Azad yang sedang memaut stereng Pajero itu dengan rasa gusar.

Apa yang tak kena dengan anak aku, ni? Lelaki lain pasti gembira kalau kita nak bagi bini. Perempuan yang kita cadangkan tu pulak mempunyai wajah yang sedap mata memandang serta manis budi bahasanya. Malah, dia merasakan bahawa Nur Naziha lebih menawan daripada Melissa yang bermata sedikit sepet itu. Nur Naziha bertubuh tinggi lampai, kalau berdiri hampir menyamai ketinggian Lokman Azad. Sementara arwah Melissa pula bertubuh kecil molek.

“Kamu masih sayangkan arwah Lisa ke?” Dia menyoal.

Lokman Azad dilihatnya mengangguk laju.

“Habis, sampai bila kamu nak hidup menduda? Usia kamu sekarang ni dah nak masuk 32 tahun.”

“Saya ni lelaki, ayah. Tak kahwin pun tak apa. Lagipun saya pernah beristeri.” Lokman Azad menjawab.

“Tak teringin ke nak membina keluarga? Nak bergurau-senda dengan anak-anak?” Tuan Haji Saadun sengaja mengujinya.

Lokman Azad terdiam. Wajah arwah Melissa dan Nur Naziha berlumba-lumba, berasak-asak muncul dalam fikirannya. Seolah-olah berebut pula untuk mengungguli carta di hatinya. Dia menyukai kedua-duanya. Kerana baginya, baik Melissa mahupun Nur Naziha masing-masing mempunyai kelebihan mereka sendiri.

Bezanya, Melissa sudahpun kembali ke alam yang kekal abadi sementara Nur Naziha pula masih berdegup dan bernafas di muka bumi ini. Dan lagi, jasad Melissa hanya muncul dalam ruang kenangannya. Sementara Nur Naziha berlegar-legar di depan matanya dengan senyumnya yang menawan dan lirikan matanya yang redup membuatkan hati lelakinya jadi nanar. Ya, nanar!

Tatkala keinginan untuk kembali merasai nikmat bercinta dan dicintai itu tiba, dia seolah-olah terlihat wajah arwah isterinya yang sayu dan pilu. Lantas menimbulkan rasa bersalah di jiwanya. Seolah-olah dia telah berlaku curang kepada arwah.

Bukankah Melissa sudah lama mati? Tapi kenapa kenangan bersamanya tidak turut mati dan berkubur bersama tuannya yang sudah mereput di dalam pusaranya?

Argh!!!

“Ayah berkenan benar kalau kamu memperisterikan Ziha tu. Ayah pun teringin juga nak menimang cucu.”

Dia terdengar Tuan Haji Saadun bersuara. Meluahkan hasratnya.

Persoalannya, sudikah gadis semuda dan secantik Nur Naziha menerima cinta seorang duda sepertinya? Entah-entah Nur Naziha sudah mempunyai pilihan hatinya sendiri.

Sekali lagi wajah ayu Nur Naziha terpapar di ruang matanya. Dikerat jari pun aku tak percaya gadis secantik Nur Naziha masih kosong hatinya daripada cinta seorang lelaki. Pasti hatinya sudah pun dimiliki. Pasti!

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.