Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
126,830
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

12

HATI Nur Naziha mula berdegup dengan ritma yang kurang teratur sebaik melihat Pajero milik majikannya tersadai di depan Farmasi Nusantara. Mindanya segera memberikan isyarat bahawa Lokman Azad telah berada di perut farmasi.

Dia bukannya membenci Lokman Azad. Bukan! Cuma dia tidak gemar pada lirikan mata lelaki itu yang asyik mengekori langkahnya ke mana sahaja. Dia tahu Lokman Azad tidak pernah berniat jahat pada dirinya. Jejaka itu hanya memujanya dalam diam. Tapi dia tidak suka pada pandangan itu. Amat benci pada renungan itu. Dia tidak mahu Lokman Azad atau mana-mana lelaki pun memandangnya dengan penuh minat.

Pengalaman pahitnya di suatu masa yang bergelar sejarah, berselerakan dan bertaburan di mana-mana lalu meninggalkan kesan serik di sudut hati. Walaupun dia dianiaya dan dikecewakan oleh lelaki yang seorang itu, namun ianya sudah cukup memberikan pengajaran pada dirinya. Dia tidak akan mempercayai mana-mana lelaki lain lagi. Noktah!

Memori silam itu membuatkan dia skeptikal terhadap lelaki. Dia tidak kisah kalau dirinya digelar andalusia seperti Puan Suzila. Itu adalah lebih baik bagi dirinya daripada menyerahkan kebulatan cintanya kepada seorang lelaki yang kemudiannya tanpa belas kasihan sanggup pula merobek-robek cintanya sehingga dia sendiri tidak dapat mengecam apakah itu cinta yang pernah dimiliki dan disanjunginya.

Dan tanpa dipinta, wajah si durjana itu menghambur semula ke ruang ingatannya. Pada masa remaja yang amat menyeronokkan. Pada petikan gitar yang amat membuai jiwa. Dan pada irama Boulevard, dendangan Dan Byrd, yang menusuk perasaan.

“Assalamualaikum, Ziha baru sampai?” Lembut suara Lokman Azad menuturkan salam untuk si gadis yang baru melangkahkan kakinya ke perut farmasi.

Sepatutnya Nur Naziha yang harus menghulur salam padanya tapi argh... tak kisahlah! Jikalau gadis itu berat mulutnya hendak menegur, dia yang akan memulakan semuanya mulai hari ini. Kerana dia tahu yang hatinya sudah mula terpikat kepada gadis itu. Kerana dia menyedari hakikat bahawa isterinya sudah lama bergelar arwah dan sudah sampai ketikanya untuk dia mencari pengganti arwah. Baginya Nur Naziha adalah pilihan yang tepat! Hatinya berasa damai setiap kali melihat wajah ayu Nur Naziha.

“Sombongnya Ziha! Abang bagi salam pun tak nak jawab?” komen Lokman Azad sambil mengekori langkah gadis itu.

Pelik juga dia melihat keadaan Nur Naziha yang melangkah sambil menundukkan wajahnya. Nur Naziha seolah-olah takut untuk bersabung pandang dengannya. Buruk sangatkah muka aku ni sampaikan Nur Naziha langsung tak mahu toleh? Hatinya bergetar.

“Kak Ziha, Abang Azad bagi salam tu!” ujar Murni sambil menggoncang-goncang lengan kanannya membuatkan langkah Nur Naziha terhenti.

Barulah Nur Naziha berpaling, merenung sekilas wajah lelaki yang mengekori langkahnya.

“Waalaikumussalam, bang. Maafkan Ziha. Ziha tak dengar abang bagi salam.” Dia memberikan alasan yang terasa munasabah di fikirannya. Dia tidak mahu menyakiti hati Lokman Azad. Dia enggan buat lelaki itu tersinggung.

“Err... tak apalah. Ziha dah sarapan?” Lokman Azad mahu terus berkomunikasi dengan gadis itu.

Kalau boleh dia mahu merungkaikan kebekuan yang wujud di antara mereka sejak sekian lama. Dia mahu mesra dengan Nur Naziha. Dia mahu mencipta hubungan yang hangat dengan gadis manis itu. Apatah lagi setelah mendapat restu dan galakan daripada ayahnya.

Penentangan ibu, ah... tolaklah ke tepi dulu. Yang penting sekarang dia harus memenangi hati Nur Naziha. Itu yang lebih utama.

“Dah! Ziha sarapan dengan Murni tadi.”

“Esok sarapan dengan abang pulak, nak?” pancingnya.

“Hah?” Mata Nur Naziha terpaku ke wajah Lokman Azad.

“Err... maksud abang, esok abang belanja Ziha dan Murni sarapan pagi. Amacam? Nak tak?” Lokman Azad membetulkan ayatnya. Suara Murni sudah kedengaran mengekel-ngekel di sebalik rak-rak barangan kosmetik.

“Esok farmasi tutup. Cuti!” Nur Naziha sudah siap dengan alasannya.

“Err... iya tak iya jugak ya. Hmm... kalau esok cuti lagi bagus. Lepas belanja Ziha dan Murni sarapan, abang ingat nak bawa kau orang berdua jalan-jalan. Boleh tak?” Lokman Azad terus memancing dengan harapan agar kailnya segera mengena.

Gelengan laju si gadis membuatkan hatinya terpalit kecewa. Susah betul nak memancing gadis bernama Nur Naziha ni. Agaknya memancing ikan patin kat Sungai Pahang tu lagi mudah daripada nak memancing hati si dia ni! Hatinya menggerutu.

Tapi aku akan terus berusaha. Aku takkan menyerah kalah dengan mudah.

“Murni macam mana? Nak tak keluar jalan-jalan dengan abang, esok? Kita boleh lepak-lepak kat Esplanade, Kuala Semantan. Kalau nak pergi jauh sikit pun boleh. Kita ke pantai Teluk Chempedak, nak tak?” Lokman Azad segera menyuarakan hasratnya kepada Murni.

“Bisa aje, bang. Kalau nak terus ke KL pun boleh. Janji abang belanja.” Murni menjawab.

Mata Lokman Azad melekap semula ke wajah Nur Naziha. Dia mengharapkan persetujuan gadis itu.

“Maaf, Ziha tak dapat ikut. Ziha ada hal lain. Maaf, bang.” Jawapan yang terkeluar dari bibir Nur Naziha padu dan tegas. Kemudian dia segera berlalu meninggalkan Lokman Azad yang termangu-mangu sendirian.

“Kenapa bang? Kecewa ke?” soal Murni sambil menghampiri lelaki itu.

“Kenapa dengan dia tu? Dia bencikan abang ke?”

Murni jungkit bahu.

“Entahlah, bang! Tapi kenapa pulak dia nak bencikan abang? Abang bukannya pernah sakitkan hati dia pun.”

“Dingin macam tu?”

“Mungkin dia pernah kecewa cinta kut, bang? Entahlah, Murni pun tak tahu. Kak Ziha tu perahsia orangnya. Kalau Kak Ziha tak pernah dikecewakan lelaki, mungkin dia les... kut, bang...”

Lokman Azad mengerutkan dahinya. “Les? Apanya yang les?”

“Lesbi..” Murni tergelak nakal.

“Abang tambahlah dua huruf kat belakang tu!”

“Lesbian? Mustahil! Murni, tak baik tau tuduh dia macam tu. Kalau dia dengar nanti tentu dia kecil hati.” Marah Lokman Azad. Celopar betul mulut si Murni ni, getus hatinya.

Murni tergelak besar.

“Murni bergurau ajelah bang.” Ujarnya setelah tawanya reda.

Lokman Azad mendengus. Dia segera meninggalkan Murni lalu menuju ke kaunter pembayaran. Dia menopang dagu dan termenung seketika di situ. Tidak lama kemudian, dia lihat Nur Naziha keluar dari tandas. Gadis itu melintas di depannya tanpa peduli untuk menegur atau menoleh pada dirinya yang tercongol di depan kaunter lalu kemudian menghilang di sebalik rak-rak barangan kosmetik.

Bagaimana caranya hendak mencairkan hati Nur Naziha? Bagaimana? Hemmph! Lokman Azad mengeluh.

KENAPA akak jual mahal dengan Abang Azad tu, hah?” Murni menghentak pertanyaan sebaik sahaja Nur Naziha berada di sisinya.

“Balik-balik soalan tu aje yang keluar dari mulut Murni. Dah tak ada soalan lain ke?”

“Bukan apa, Murni pelik tengok cara akak layan Abang Azad tu. Abang Azad punyalah berminat dengan akak tapi akak layan dia nak tak nak aje. Dia anak majikan kita, kak.” Murni mengingatkan.

“Oleh sebab dia anak majikan kita, akak kena layan dia lebih-lebihlah, ya?” Nur Naziha menjawab sambil tangannya lincah menyusun produk kosmetik supaya susunannya kemas dan teratur.

“Kalau Murnilah yang berada di tempat akak, Murni akan layan Abang Azad tu baik-baik. Bukan senang nak jumpa lelaki yang baik dan berjaya macam dia sekarang ni, kak. Sekarang ni banyak sampah daripada manusia.”

“Kalau Murni berminat, nanti akak bagitau dia ya.”

“Eh, Kak Ziha ni! Dah gila ke apa? Abang Azad tu berminat kat akak, bukannya dengan Murni. Lagipun taste Murni lain.” Gadis bernama Murni itu tersenyum meleret pula.

“Dengan lelaki yang macam Firdaus?” duga Nur Naziha.

Sepantas kilat Murni mengangguk.

“Haah! Murni suka lelaki yang kasar sikit... rugged sikit. Murni suka lelaki yang sebaya dengan Murni ataupun tua dua tiga tahun aje dari Murni. Abang Azad tu dah tua sangat!” getus Murni, berterus-terang menyuarakan isi hatinya.

“Umur 32 tahun tu tua sangat ke bagi Murni?”

Murni mengangguk. “Tua, kak! Nanti dia asyik ajak Murni gi lawat masjid aje. Dalam usia macam ni, Murni nak enjoy dulu!”

Nur Naziha terjerit. Kemudian, kedua-dua orang gadis itu ketawa mengekel-ngekel.

“Apa yang lucu sangat kat belakang rak tu?” Suara Lokman Azad kedengaran menyeru dari kaunter pembayaran.

“Tak ada apa-apalah, bang!” sahut Murni.

“Mengumpat abang, ya? Berdosa tau kalau mengumpat!” Suara lelaki itu kedengaran lagi.

“Tak adalah! Siapa kata kami mengumpat abang?”

“Kalau tak mengata abang, tak apalah. Jangan asyik berbual aje. Buat kerja tu!”

“Yes, boss!” Murni menjerit.

“Tengah hari nanti abang belanja.”

Alright, boss! Nanti Murni sampaikan pada Kak Ziha.” Murni menyahut pantas sambil menjeling ke arah Nur Naziha di sisinya.

Dia terlihat imej bosan terpapar pada wajah Nur Naziha. Dia senyum sendiri. Abang Azad baik orangnya. Aku sukakan dia. Kak Ziha pun baik orangnya. Aku sayangkan dia. Pasangan ini kalau dipadankan seumpama pinang dibelah dua.

Aku akan tolong Abang Azad memikat Kak Ziha, bisik hati kecil Murni.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.