Home Novel Thriller/Aksi FOBIA
FOBIA
SITI ROZILAH
23/2/2016 11:57:41
21,186
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 11

11

Beberapa belas tahun kemudian...

JARUM jam baru menuding ke angka 8.30 pagi. Di dalam bilik berhawa dingin itu, kelihatan seorang perempuan muda bernama Doktor Humaira. Dia yang merupakan seorang doktor pakar psikiatri itu sudah bersemangat untuk memulakan tugasnya. Dia membelek-belek dada planner untuk memeriksa jadual temu janji dengan para pesakit yang dirujuk kepadanya sepanjang hari itu.

Tugasnya agak berbeza daripada tugasan yang biasa dilakukan oleh doktor-doktor lain. Di situ, dia mempunyai kepakaran untuk merawat dan mengubati kelainan yang berlingkar di dalam otak manusia. Dia mempunyai beberapa temu janji sepanjang hari itu tetapi perhatiannya tertumpu kepada temu janji pertamanya dengan seorang pesakit bernama Hidayat pada pukul 9.30 pagi nanti.

Kisah kemalangan ngeri yang menimpa Hidayat sekeluarga bukanlah asing lagi malah menjadi perbualan orang ramai yang mengetahuinya melalui liputan meluas media massa. Kereta Mercedes Benz yang dipandu Hidayat dikatakan tidak dapat dikawal dan terbabas ke jurang lalu terhumban ke dalam sebuah anak sungai. Dia diketemukan pengguna jalan raya merayau-rayau dalam keadaan cedera serta terpinga-pinga lalu terus dibawa ke hospital. Mujurlah dia tidak cedera parah dalam kemalangan itu.

Ironinya, dia langsung tidak mampu mengingati apakah yang telah berlaku kepada dirinya serta bagaimana dia merangkak keluar dari jurang yang dalam itu. Disebabkan kegagalannya membekalkan maklumat tepat tentang di manakah lokasi sebenar dia terlibat dalam kemalangan membuatkan anggota penyelamat berhadapan dengan kesukaran untuk mengesan isteri serta anaknya. Hanya empat hari kemudian barulah mereka menemukan mayat isteri serta anak perempuannya yang berusia dua tahun terperangkap di dalam bangkai kereta yang terhumban ke dasar sungai.

Ngeri dan trajisnya insiden itu membuatkan lensa-lensa kamera tertumpu ke arahnya. Pencarian yang mengambil masa beberapa hari itu tiba-tiba sahaja menjadikan Hidayat terkenal dan diburu oleh pihak media massa yang dahagakan skop untuk berita mereka. Ditambah lagi dengan paparan wajahnya sebagai seorang lelaki yang boleh dikatakan tergolong dalam kategori kacak serta arwah isterinya yang jelita, maka sudah pastilah ramai yang bersimpati dengan nasib malang yang menimpa pasangan muda itu.

Sewaktu kisah tentang Hidayat galak disiarkan dalam ruangan berita di televisyen, Doktor Humaira juga tidak ketinggalan untuk mengikutinya. Malah, beberapa keratan akhbar tentang kejadian itu juga telah digunting kemas dan disimpan di dalam sebuah fail khas, tabiat yang sering dilakukannya sejak dia bergelar siswi di Universiti Malaya dahulu lagi. Tidak sangka sama sekali, lelaki yang beberapa minggu lalu hanya dilihat wajahnya di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen, hari ini akan berada bersamanya di dalam bilik itu.

Populariti Hidayat itu buat dia rasa sedikit teruja untuk temu janji pertama kali mereka ini. Entah kenapa dia tidak selesa akan perasaan sebegitu.

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk dari luar. Jururawat muda bernama Ayu Latifah yang baru lima bulan menamatkan pengajiannya di sebuah kolej kejururawatan, menjengahkan kepalanya. Doktor Humaira dihadiahi seulas senyuman.

“Assalamualaikum, doktor.” Ucap Ayu Latifah dan tanpa dipelawa dia terus melangkah masuk.

“Waalaikumussalam.”

“Pagi-pagi begini elok kalau kita murah dengan senyuman, doktor.” Dalam lembut bicaranya sempat juga Ayu Latifah menyindir Doktor Humaira yang sentiasa serius dan sukar tersenyum itu.

Sewaktu mula-mula bekerja sebagai pembantu doktor itu dahulu, hati Ayu Latifah sering mempersoalkan bagaimana seorang yang serius, sukar senyum dan ketawa seperti Doktor Humaira boleh mengendalikan pesakit yang menghadapi masalah berkaitan mental. Sepatutnya seorang doktor haruslah ceria ketika berhadapan dengan para pesakitnya.

“Agaknya wajah Doktor Maira yang semulajadi lembut dan keibuan itu mampu menyembunyikan kekurangan dirinya yang susah nak senyum dan ketawa.” Akhirnya Ayu Latifah membuat kesimpulannya sendiri.

“Berdesing telinga saya ni dengar sindiran awak tu, Ayu.” Kata Doktor Humaira.

“Doktor ni manis orangnya. Kalau doktor selalu tersenyum mesti lebih manis lagi. Orang yang banyak senyum dan ketawa ni, awet muda, doktor.” Ayu Latifah sengaja mengusiknya.

“Nanti ramai pulak yang terpikat.” Sahut Doktor Humaira, selamba. Tanpa menghiraukan Ayu Latifah yang sedang duduk di depannya, dia leka membelek fail yang mengandungi keratan akhbar mengenai pesakit yang bakal ditemuinya seketika nanti.

Begitulah tabiatnya, sebelum bertemu dengan pesakit yang dirujuk kepadanya. Dia akan membuat sedikit kajian tentang latar belakang mereka dahulu. Dalam erti kata mudah, dia mahu mengenali terlebih dahulu siapakah pesakitnya itu. Secara tidak langsung ini akan memudahkan proses komunikasinya dengan mereka ketika berdepan nanti.

“He he he...” Ayu Latifah ketawa mengekel-ngekel membuatkan Doktor Humaira mengalihkan pandangan daripada artikel yang sedang di bacanya ke wajah bulat Ayu Latifah.

“Doktor takut ke kalau ada patient yang jatuh hati pada doktor?” gurau Ayu Latifah lagi.

Tahap keseriusan yang bertapak di wajah Doktor Humaira semakin bertambah. Kenapa dengan perempuan depan aku ni? Dia ingat aku ni jenis yang tak laku ke sampai kepingin kepada pesakit sendiri? Gerutu hati doktor muda itu.

“Awak ni tak ada kerja ke, Ayu? Apa tujuan awak jumpa saya ni?” Doktor Humaira menghentak suara. Di saat-saat begitu, dia ingin dibiarkan bersendirian bukannya berbicara kosong yang tiada faedahnya.

Ayu Latifah dapat rasakan sesi perbualannya dengan Doktor Humaira awal pagi itu sudah sampai ke penghujungnya dan perlu ditamatkan segera.

“Errr... sorry, doc. Jangan marah ya dengan gurauan saya tadi. Doktor dah breakfast?

“Hmmm... concern jugak awak tentang saya ya? Sebelum keluar rumah tadi, saya dah breakfast. Sempat minum kopi dengan roti jagung aje pagi ni. Awak dah sarapan?”

Ayu Latifah mengangguk. Dia mengangkat punggungnya hendak melangkah keluar dari bilik itu. Ketika itulah telefon hitam yang tercatuk di atas meja kerja Doktor Humaira berbunyi. Doktor Humaira segera mencapai gagang lalu memekapkannya ke telinga.

“Saya keluar dulu, doc!” Ayu Latifah yang sudah sampai di muka pintu, bersuara.

Doktor Humaira hanya menganggukkan kepalanya.

Hello, Doktor Humaira.” Sapanya ke arah si pemanggil. Dia menelinga beberapa ketika. “Tak apalah kalau Encik Hidayat ada hal pagi ni. Kita boleh aturkan pertemuan semula. Saya sambungkan Encik Hidayat dengan pembantu saya ya,” kata Doktor Humaira sambil segera menyambungkan panggilan yang diterimanya seketika tadi ke meja Ayu Latifah.

Panggilan yang diterimanya seketika tadi adalah daripada Hidayat. Dia menelefon sekadar untuk memberitahu yang dia tidak dapat hadir untuk sesi temu janji mereka yang dijadualkan pada pagi itu. 

Untuk makluman: Ini adalah entri terakhir saya untuk manuskrip ini di Ilham Karangkraf. JANGAN lupa baca karya-karya saya yang lain juga ya. Terima kasih. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.