Home Cerpen Keluarga CERPEN: SIAPA AIN NAZIRA?
CERPEN: SIAPA AIN NAZIRA?
SITI ROZILAH
1/11/2013 06:55:15
6,229
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Cerpen: SIAPA AIN NAZIRA?

Oleh: SITI ROZILAH

DIA tidak faham kenapa mama selalu menangkan Ain Nazira dalam segala hal. Lagi-lagi Ain Nazira! Seolah-olah Ain Nazira sahaja yang betul, sedangkan dia tidak pernahnya betul. Asyik salah sahaja di mata mama dan mungkin juga di mata semua orang di rumah itu.

Bukannya dia membenci Ain Nazira, bukan! Cuma dia diselubungi rasa tidak puas hati. Serta sakit hati.

Ain Nazira baru sahaja dua bulan tinggal bersama mereka, tetapi semua orang di rumah itu seolah-olah begitu menghormatinya, menyayanginya. Setiap apa yang terluah dari mulutnya bagaikan semuanya betul di mata mama mahupun papa. Sebarang pendapat yang terkeluar dari bibirnya dengan mudah sahaja diterima mereka. Mama dan papa seolah-olah terlalu ingin menjaga hati Ain Nazira.

Kenapa?

Bukankah Ain Nazira hanya orang asing di rumah itu? Sebaliknya kini dia yang terasa dirinya terasing ketika mereka sekeluarga berkumpul bersama-sama.

“Adah, kenapa asyik termenung aje, tu? Cepatlah habiskan sarapan tu. Kita dah lambat ni.” Tegur papa yang melihat dia asyik menguis-nguis bihun goreng di pinggannya sejak tadi.

Dia menoleh sekilas ke arah papanya. Wajahnya muram sahaja, tidak seperti selalu. Kalau sebelum kedatangan Ain Nazira di rumah itu dahulu, dia merupakan seorang anak yang periang dan manja dengan mama dan papanya, tetapi kini dia lebih banyak mendiamkan diri. Dia seolah-olah memendam perasaan.

“Adah ni, tak dengar ke apa yang papa cakap tu? Cepat habiskan sarapan tu!” Suara mamanya pula kedengaran menegur, agak keras.

Kalau sebelum kemunculan Ain Nazira di rumah itu dahulu, mama tidak pernah bercakap kasar dengannya, tetapi kini segala-galanya telah berubah. Kini mama selalu memarahinya.

“Adah dah kenyang agaknya, tu.” Kata papa seolah-olah membelanya.

Dia mengangguk perlahan.

“Kenyang pun iya, tak ada selera pun iya.” Katanya sambil menjeling sekilas ke arah Ain Nazira yang kelihatannya sedang tekun menyudu bihun goreng ke mulutnya.

Entah kenapa dia rasa Ain Nazira kini saingannya di rumah itu. Walaupun Ain Nazira boleh diibaratkan sebagai ‘pendatang’, tetapi tiba-tiba sahaja seluruh perhatian papa dan mamanya terus bertumpu ke arah Ain Nazira.

Matanya kemudian menoleh ke arah mamanya. Dia lihat mamanya hanya menggeleng-gelengkan kepala. Mungkin mamanya tidak senang mendengar kata-katanya seketika tadi. Selepas itu, matanya hinggap pula ke wajah papanya. Papanya hanya tersenyum sahaja.

“Kalau tak ada selera, nanti papa bagi duit belanja lebih sikit. Adah boleh beli nasi lemak kat warung depan pusat tiusyen tu,” cadang papanya.

Dia tidak menjawab. Dia juga tidak mahu membuang masa lagi di meja makan itu. Biarlah Ain Nazira sahaja yang menghabiskan semua sarapan yang terhidang. Dia ingin segera meninggalkan rumah dan berada di samping kawan-kawannya di Pusat Tiusyen Bestari.

Kalau dahulu iaitu sebelum kehadiran Ain Nazira di rumah itu, dia seringkali dihurung rasa malas hendak ke pusat tiusyen pada setiap pagi Sabtu dan Ahad, tetapi kini perkara yang sebaliknya pula berlaku. Dia lebih suka berada di pusat tiusyen daripada berada di rumah.

Biarlah kalau mama hendak bermesra dengan Ain Nazira di rumah semasa ketiadaannya. Biarlah!

Selepas bersalaman dengan mamanya, dia bergegas ke kereta. Papanya sudah sedia menunggu di dalam kereta yang sudah dihidupkan enjinnya. Sebaik-baik sahaja dia masuk ke dalam kereta, papanya segera menghalakan keretanya ke arah jalanraya.

Jam digital pada dashboard kereta menunjukkan tepat ke pukul 8.30 pagi. Pusat Tiusyen Bestari akan memulakan operasinya pada pukul 9.00 pagi. Perjalanan dari rumah ke ke pusat tiusyen hanya memakan masa sepuluh minit. Dia masih sempat bersarapan di warung yang terletak di depan pusat tiusyen itu.

“Pukul 11.30 nanti papa jemput Adah.” Kata papanya. Dia hanya menganggukkan kepala. “Papa tengok Adah pendiam sekarang? Tak banyak cakap macam dulu. Kalau Adah ada masalah, Adah boleh ceritakan dengan papa.”

Dia menoleh ke arah papanya yang sedang memandu. Perlukah aku luahkan perasaan tidak senangku terhadap Ain Nazira ini di depan papa? Apa pula kata papa nanti?

“Pa, kenapa Ain Nazira tu perlu tinggal dengan kita?” Akhirnya, terlontar juga soalan itu dari mulutnya.

“Adah tak suka ke Ain tinggal dengan kita?”

Soalannya tidak dijawab, sebaliknya dia pula yang ditanya oleh papanya.

“Memang Adah tak suka dia tinggal dengan kita. Dia tak ada tempat lain ke nak tinggal? Kenapa perlu menumpang di rumah kita?” Tanpa disedarinya, intonasi suaranya meninggi di depan papa.

“Jangan cakap macam tu, Adah. Papa tak suka. Jangan sesekali Adah anggap Ain tu menumpang di rumah kita. Rumah kita tu, rumah Ain jugak.” Jawab papanya.

Dia terkapa-kapa seketika. Siapakah Ain Nazira sebenarnya? Sejak bila pula Ain Nazira boleh menganggap rumah kami itu sebagai rumahnya juga? Bukankah Ain Nazira baharu sahaja dua bulan muncul di rumah kami? Bukankah itu bermaksud yang dia hanya menumpang sahaja?

“Ain akan terus tinggal dengan kita ke, pa?” soalnya dengan hati yang berbalau-balau.

“Apa salahnya kalau Ain terus tinggal dengan kita? Dia dalam kesusahan sekarang. Ibunya baru saja meninggal dunia. Kalau orang dalam kesusahan, kita wajib tampil menghulurkan pertolongan.” Papanya menjawab.

Dia menoleh ke arah papanya. Rasa tidak puas hati mengasak di dada.

“Takkanlah orang lain tak boleh hulurkan pertolongan pada Ain? Kenapa kita yang perlu tolong dia? Adah tak pernah kenal pun siapa Ain sebelum ni. Tiba-tiba saja dia muncul dalam hidup kita. Kalaupun ibu Ain dah meninggal dunia, takkan Ain tak punya ayah, datuk ataupun nenek untuk tinggal bersama? Kenapa Ain perlu menumpang di rumah kita?” Bertalu-talu soalan terkeluar dari mulutnya.

Dia mengharapkan agar papanya menjawab segala soalan yang keluar dari mulutnya itu tetapi sehingga mereka sampai di depan Pusat Tiusyen Bestari, papanya hanya mendiamkan diri. Dia melangkah keluar dari perut kereta papanya dengan membawa sama rasa tidak puas hati. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini dia rasa papa dan mama seolah-olah terlalu berahsia dengan dirinya.

“Jangan lupa, ya Adah. Jam 11.30 nanti papa jemput Adah. Lepas tu kita terus pulang ke kampung.” Pesan papanya sebelum bergerak meninggalkannya yang hanya tercegat memandang.

Penat saja aku bertanya sedangkan papa langsung tak nak jawab soalan aku, rungutnya dalam hati sambil melangkah ke arah warung yang terletak di depan pusat tiusyen. Hatinya yang rusuh tiba-tiba gembira sebaik-baik sahaja terlihatkan kelibat Badrisya, Maisarah, Hakimi dan Liyana yang sedang minum di warung. Mereka berempat adalah sahabat karibnya.

Kereta Proton Perdana hitam milik papanya sudah sedia menunggu ketika dia melangkah turun dari pusat tiusyen. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada teman-temannya, dia terus menuju ke kereta papa.

“Assalamualaikum,” ucapnya kepada papa, mama dan Ain Nazira yang berada di dalam kereta.

“Waalaikumussalam.” Sahut mereka bertiga hampir serentak.

Walaupun dia tidak berapa menyukai gadis itu tetapi dia memboloskan juga dirinya di sisi Ain Nazira.

“Adah jangan risau. Mama ada bawa pakaian Adah sekali. Lagipun kita pulang ke kampung bukannya lama, esok pagi-pagi dah balik semula ke sini.” Kata mamanya.

Kenapa tiba-tiba saja perlu pulang ke kampung? Selalunya mereka hanya akan pulang ke kampung kalau ada kenduri kendara, musim perayaan, musim durian dan musim cuti sekolah sahaja. Banyak persoalan berlingkar di hatinya yang masih belum diketemukan jawapannya.

Perjalanan dari Shah Alam ke Jasin, Melaka, memakan masa selama dua jam. Lebih kurang pukul 1.30 tengah hari sampailah mereka di hadapan rumah sekerat papan sekerat batu, milik datuk dan nenek. Sebaik-baik sahaja papa memberhentikan keretanya, dia terus melangkah keluar lalu menerpa ke arah datuk dan nenek yang sudah sedia menunggu di depan rumah.

Dia sayangkan datuk dan neneknya. Walaupun mereka sekeluarga jarang dapat pulang ke kampung tetapi kalau sesekali dapat bersua terasa sangat indahnya. Kalau diikutkan hati, dia memang ingin selalu pulang ke kampung. Cuma kesibukan papanya di tempat kerja sahaja yang menjadi penghalang.

“Hari ni nenek masak gulai ayam kampung.” Beritahu neneknya sebaik-baik sahaja dia melepaskan pelukannya ke tubuh tua itu.

“Hui, sedapnya gulai ayam kampung. Adah sayang nenek.” Katanya dengan gembira. Tetapi sebaik-baik sahaja dia berpaling ke belakang, kegembiraannya hilang serta-merta setelah terlihat wajah Ain Nazira menghampiri datuk dan neneknya.

“Mak... ayah, inilah Ain Nazira.” Papa memperkenalkan budak menumpang itu kepada datuk dan nenek.

Dia melihat sahaja bagaimana datuk dan nenek mengusap-usap rambut Ain Nazira sebelum memeluknya dengan erat, sebagaimana mereka telah memeluk tubuhnya seketika tadi. Hatinya terasa pedih. Kini bukan sahaja papa dan mamanya telah menerima kehadiran Ain Nazira, tetapi datuk dan neneknya juga. Dia rasa seolah-olah dirinya sudah tidak disayangi lagi. Dia rasa seolah-olah kasih mereka semua telah berpindah ke arah Ain Nazira.

“Sikit saja makan, Adah?” soal neneknya ketika melihat dia makan tidak bertambah sebagaimana selalu.

Dia tersenyum nipis. “Tak ada seleralah, nek.” Jawabnya sambil menjeling tajam ke arah Ain Nazira yang sedang enak-enak meratah daging ayam kampung.

Kebetulan pula, mata mereka bertaut seketika. Dia terlihat Ain Nazira tersenyum. Mungkin dia sedang mengejek aku, bisik hatinya. Seusai makan, mereka duduk berehat di ruang tamu.

“Marilah duduk sini, Adah.” Panggil neneknya ketika melihat dia memencilkan diri di depan televisyen.

“Tak apalah, nek. Adah nak tengok cerita Hindustan ni. Bestpulak.” Sahutnya.

Di kusyen, mama, papa, Ain Nazira, datuk serta nenek sedang duduk berborak. Walaupun dia duduk terpinggir daripada mereka, tetapi telinganya mencuri-curi dengar perbualan mereka.

“Saya minta ampun dan maaf daripada emak dan ayah sebab rahsiakan hal ni. Saya insaf, sampai bila saya nak berahsia daripada emak dan ayah. Oleh sebab tulah saya bawa balik Ain untuk diperkenalkan dengan emak dan ayah.” Papanya kedengaran bersuara.

“Masa mula-mula dengar berita ni dulu, memang kami kecewa dengan kamu Man. Tapi lepas difikir-fikirkan balik, akhirnya kami terima kenyataan ni. Kalau Midah pun dapat terima kenyataan ni, kenapa pulak kami tak mampu terima. Apa sakitnya arwah?” Suara datuk pula kedengaran.

“Midah tak ada cerita dengan ayah ke?” tanya papa.

“Ada. Tapi kami nak dengar dari mulut kamu sendiri.” Kata datuk.

Dia mendengar papanya mengeluh perlahan. Mendengarkan keluhan itu, dia berpaling untuk melihat. Dilihatnya, papa menengkurkan kepalanya, seolah-olah orang yang sedang dilanda kesedihan. Kenapa papa perlu bersedih sebab ibu Ain Nazira telah meninggal dunia? Dia bukannya sesiapa pun, yang papa hendak bersedih sangat.

Sekali pun aku tak pernah bertemu muka dengan ibu Ain Nazira. Siapakah ibu Ain Nazira sampaikan papa perlu bersedih begitu sekali? Matanya dihalakan pula ke wajah mamanya. Dia lihat mamanya hanya membatukan dirinya. Apakah yang difikirkan oleh mama ketika itu?

“Arwah meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan tekanan darah tinggi ketika hendak melahirkan anak kedua kami. Dia mati bersalin.” Kata papanya dengan sebak. Diraihnya Ain Nazira ke dalam dakapannya lalu menangis teresak-esak.

Dia terkejut melihat panorama itu kerana selama ini dia tidak pernah melihat papanya menangis. Suasana di ruang tamu berubah murung. Dia juga lihat mamanya mengesat mata yang berair dengan tisu.

“Dahlah tu, yang dah pergi jangan diratap pemergiannya. Hati orang yang masih tinggal ni harus dijaga.” Kata datuk seolah-olah menasihati papanya.

“Ampunkan saya, ayah... mak, sebab saya nikah dengan arwah dulu langsung tak beritahu mak dan ayah. Saya sebenarnya tak mahu sakitkan hati ayah dan mak, sebab tulah saya rahsiakan pernikahan kami.” Tingkah papanya sambil terus memeluk bahu Ain Nazira.

“Kami pun terkejut apabila Midah beritahu kami yang isteri kedua kamu dah meninggal dunia sebab kami langsung tak tahu kamu dah berkahwin satu lagi. Pandai betul kamu ni simpan rahsia. Midah pun turut bersekongkol dengan kamu. Dahlah... kami dah maafkan kamu. Ini hal rumah tangga kamu. Kalau Midah sendiri dapat terima kenyataan yang dia dimadukan, kenapa pula kami tak boleh terima? Semua ni ketetapan TUHAN.” Panjang datuk berhujah.

“Kamu kena berterus-terang pada Adah yang dia sekarang bukan lagi anak tunggal dalam keluarga. Dia ada adik walaupun Ain ni hanya adik tirinya. Kamu berdua juga harus berikan kasih sayang sama rata kepada Adah dan Ain. Midah, walaupun Ain ni hanya anak tiri kamu tapi jangan pula kamu jadi ibu tiri yang zalim. Berdosa.” Sambung datuk lagi.

“Ya, ayah. Midah akan cuba jadi ibu yang baik pada Ain.” Mama menjawab, cuba meyakinkan datuk dan nenek.

“Eh, Adah nak ke mana tu? Adah!!!”

Nurul Syuhada tidak mengendahkan panggilan papa, mama, datuk dan neneknya yang memanggil-manggil namanya. Dia meluru turun dari rumah lalu berlari laju mengikut alunan langkah kakinya. Air matanya meleleh di pipi sepanjang-panjang dia berlari itu.

Akhirnya dia terjelepok di pangkal pokok kekabu yang terletak di tengah-tengah sawah yang sedang menguning. Dia tidak pernah sampai ke situ sendirian. Dia sendiri tidak menyangka kejutan yang diterimanya seketika tadi membuatkan dia nekad berlari sejauh itu.

Dia sukar hendak menerima kenyataan bahawa tiba-tiba muncul seorang adik dalam hidupnya. Adik tiri pulak tu! Sejak bila papa berkahwin dengan ibu Ain Nazira? Kalau dihitung, Ain Nazira sudah berusia sembilan tahun. Lamanya papa merahsiakan perkahwinan keduanya daripada pengetahuan aku.

Mungkinkah papa juga telah merahsiakan perkahwinan kedua itu daripada mamanya selama ini? Dia ingin sekali bertanya kepada mama soalan itu, tetapi mama tiada di situ. Dia bersendirian di tengah-tengah bendang yang menguning.

“Alangkah seronoknya kalau aku ada adik-beradik lain macam kau. Taklah aku kesunyian di rumah seperti sekarang.” Dia pernah berkata begitu kepada Badrisya yang mempunyai seorang abang dan dua orang adik.

Dia membayangkan wajah Ain Nazira yang comel. Selama ini dia memang teringinkan seorang adik, abang atau kakak yang menemaninya kalau kesunyian. Tetapi, sejak Ain Nazira muncul di rumah mereka dua bulan lalu, dia menjadi begitu cemburu. Dia rasa kasih sayang papa dan mama lebih bertumpu ke arah Ain Nazira. Setiap permintaan Ain Nazira akan dituruti.

Dapatkah dia menerima hakikat bahawa kini hidupnya tidak kesunyian lagi? Mampukan dia menerima kehadiran Ain Nazira sebagai adik dalam hidupnya?

“Assalamualaikum, apa awak buat kat sini?” tegur satu suara. Nurul Syuhada terkejut lalu menoleh ke arah orang yang menegurnya.

Budak lelaki berkepala botak yang hanya berseluar pendek tanpa baju itu merenungnya. Ketika ketawa terlihat giginya yang rongak.

“Emak, ayah dan adik awak tengah sibuk cari awak tu. Cepatlah balik.” Kata budak lelaki itu.

“Dia bukan adik aku! Dia hanya adik tiri.” Getusnya.

“Adik tiri pun, kira adik jugalah tu. Awak masih beruntung sebab masih ada emak, ayah dan adik tiri. Tapi saya ni dah tak ada sesiapa lagi. Emak, ayah dan dua orang adik saya meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan kereta. Sekarang ni saya menumpang rumah nenek. Kalau awak nak tahu, tulah rumah nenek saya... rumah papan bercat kuning tu. Nama nenek saya Habibah.” Tanpa dipinta budak lelaki itu menceritakan kisah malang dirinya.

“Iya ke? Saya bersimpati dengan awak.” Ucap Nurul Syuhada.

“Tak apa. Itu takdir saya. Dah ALLAH tetapkan macam tu, saya terima saja. Lupa pula saya nak perkenalkan diri saya. Nama saya Ismail. Awak boleh panggil saya, Mail saja. Nama awak Adah kan?”

Nurul Syuhada mengangguk.

“Pergilah balik, Adah. Hargailah keluarga awak semasa mereka masih berada di sisi awak.” Kata Ismail.

“Terima kasih, Mail, sebab sudi nasihatkan saya. Saya balik sekarang, ya.” Kata Nurul Syuhada. “Nanti bila-bila saya balik kampung, kita jumpa lagi ya, Mail.”

“Okey.” Sahut Ismail. Nurul Syuhada bersalaman dengan Ismail sebelum menghayun langkah meniti batas sawah untuk pulang ke rumah.

“Satu langkah.” Dia mula membilang.

“Dua langkah... tiga, empat...”

Dan sebelum menghayun langkah yang kelima, dia menoleh semula ke belakang. Tetapi, kelibat Ismail sudah ghaib daripada pandangan matanya. Dia tercengang seketika. Cepatnya Ismail menghilang.

“Assalamualaikum.” Dia mengucapkan salam di muka pintu.

“Eh, Kak Adah dah balik. Mama, Kak Adah dah balik!” suara Ain Nazira yang menjengah di muka pintu menyapa telinganya. Tiba-tiba sahaja dia rasa suara itu teramat indah.

Dia melangkah mendaki tangga batu rumah Melaka itu lalu mencapai tangan Ain Nazira. Mereka berjalan bergandingan untuk bertemu papa dan mama di ruang tamu.

“Maafkan Adah sebab lari keluar macam tu tadi. Adah terkejut dengar berita yang Ain ni sebenarnya adik tiri Adah.” Dia segera bersuara sebelum dimarahi mama dan papanya.

Papa dan mamanya tersenyum.

“Tak apa. Papa faham perasaan Adah. Sekarang Adah dah ada adik. Ain ni dah jadi tanggung jawab Adah.” Tingkah papa lagi.

Dia mengangguk. Matanya bersatu dengan mata Ain Nazira.

“Ya, Adah dah ada adik sekarang. Taklah Adah kesunyian lagi,” jawabnya sambil memeluk tubuh Ain Nazira dengan sepenuh rasa kasih sayang.

Lewat petang itu, dia sengaja mengajak neneknya berjalan-jalan di tepi sawah. Sebaik-baik sahaja dia terlihat rumah papan bercat kuning, ingatannya mengimbau semula akan pertemuannya dengan budak lelaki berkepala botak yang bernama Ismail. Dia ingin bertemu semula dengan Ismail dan mengucapkan terima kasih sekali lagi.

“Nek, mari kita ke rumah tu kejap.” Katanya pada neneknya.

“Nak buat apa ke rumah Nenek Bibah tu?”

“Adalah... Adah nak jumpa kawan kejap. Jomlah, nek.” Gesanya. Tangan neneknya ditarik-tarik dan neneknya terpaksa menurut.

Mereka memberi salam. Tidak lama kemudian pintu rumah itu terkuak. Seorang perempuan tua berusia dalam lingkungan tujuh puluhan, menjengah.

“Eh, Munah, naiklah.” Pelawa perempuan itu.

“Tak apalah, Bibah. Kita duduk berborak kat luar ni ajelah. Ni ha... Adah yang ajak aku singgah ke mari.” Tingkah Nenek Munah.

Nurul Syuhada tersenyum ke arah perempuan tua itu.

“Nek, boleh panggilkan Mail kejap tak? Adah nak jumpa dia.” Pintanya.

“Mail?” soal perempuan tua itu. Matanya terakam kemas ke wajah Nurul Syuhada. Begitu juga dengan Nenek Munah. Dia memandang cucunya dengan mata yang tidak berkelip.

Nurul Syuhada mengangguk. “Iya, Mail... cucu nenek. Adah nak jumpa dia. Adah nak ucapkan terima kasih pada dia.”

“Di mana kamu jumpa Mail?” soal Nenek Habibah dengan dahi berkerut seribu.

“Kat tengah sawah, bawah pokok kekabu tu. Kenapa nek?” soalnya yang pelik melihatkan sikap kedua-dua orang tua di depannya itu.

“Err... maafkan kami, Bibah. Kami minta diri dululah. Mari kita balik, Adah.” Nenek Munah segera memaut lengannya.

“Tapi Adah nak jumpa Mail! Nak jumpa Mail!!!” sanggahnya.

“Dahlah tu... kita balik dulu. Nanti nenek ceritakan hal yang sebenarnya pada Adah.” Kata Nenek Munah.

Walaupun berat hati meninggalkan rumah bercat kuning itu tanpa dapat bertemu Ismail terlebih dahulu, Nurul Syuhada terpaksa juga mengikut neneknya pulang ke rumah. Malam itu neneknya membuka cerita. Kata nenek, budak lelaki berkepala botak yang bernama Ismail sudah dua minggu meninggal dunia. Ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kampung, kereta yang dinaiki Ismail serta keluarganya terlibat dalam kemalangan.

“Semuanya meninggal dunia ke, nek?” soal Nurul Syuhada.

Neneknya mengangguk. “Emak, ayah dan dua orang adiknya juga meninggal dunia.”

“Innalillahi wainna alaihi roojiunn.” Ucap Nurul Syuhada sambil menutup mulutnya dengan telapak tangan.

Bagaikan masih terngiang-ngiang lagi di telinganya, kata-kata Ismail yang berbunyi begini: Hargailah keluarga awak semasa mereka masih berada di sisi awak.

Terima kasih, Mail. Terima kasih! Kata-kata kau itulah yang telah menyedarkan aku betapa pentingkan keluarga kita. Dia menghalakan pandangannya ke arah papa, mama serta adik yang baru muncul dalam hidupnya. Ain Nazira, kakak akan menyayangi kamu. Ini janji kakak, bisik hatinya.

“Nek, pagi-pagi esok sebelum pulang ke Shah Alam, Adah teringin nak melawat kubur Arwah Ismail.” Kata Nurul Syuhada.

“Boleh, apa salahnya. Nanti nenek temankan.” Sahut neneknya sambil memeluk tubuhnya, erat. –TAMAT.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.