Home Cerpen Keluarga CERPEN: APABILA CINTA TERBELAH
CERPEN: APABILA CINTA TERBELAH
SITI ROZILAH
7/4/2013 00:49:33
2,515
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

CERPEN:

APABILA CINTA TERBELAH

oleh

SITI ROZILAH

DIA tidak faham kenapa dia perlu jatuh cinta lagi sedangkan isteri yang baru memuaskan keinginan batiniah seorang lelaki bergelar suami beberapa saat tadi ternyata tidak ada apa-apa yang kurang dengannya; malah lengkap serba-serbi.

Isteri didatangkan padanya 20 tahun lalu dengan pakej yang lengkap. Dia jatuh cinta pada pandangan yang pertama dengan gadis tinggi lampai yang berasal dari Pontian itu ketika dia berusia 24 tahun. Mereka diijabkabulkan setahun kemudian.

Baginya gadis Pontian itu memang calon utama pilihan hatinya kerana dianugerahkan dengan pakej yang didambakan oleh setiap lelaki terhadap setiap perempuan yang ingin dipinang untuk dijadikan isteri; dan yang pasti dia juga sangat pemilih orangnya! Calon isterinya memiliki bentuk tubuh yang menawan, sepasang mata yang tajam memikat, sepasang bibir yang tebal dan sensual serta tutur kata yang lembut.

Setelah gadis Pontian itu berada dalam genggamannya, dia tahu yang dia telah meninggalkan satu fasa dalam kehidupannya. Kalau dulu, hanya ada cinta yang menggebu-gebu, kini terpikul tanggungjawab di bahunya – tanggungjawab sebagai seorang suami dan juga ayah kepada anak-anaknya.

Dia menghormati isterinya kerana isteri sewajarnya dihormati. Isteri sangat taat padanya. Sepanjang perkahwinan mereka, isterinya tidak banyak kerenah dengan jatuh bangunnya dalam perniagaan. Malah isterinya bagaikan tulang belakang padanya selama ini.

Satu saat dia rebah dan hampir-hampir merasakan yang dirinya tidak mampu bangun lagi, isteri sentiasa menghulurkan tangan dan meniupkan semangat ke telinganya. Isteri tidak pernah meninggalkan dirinya pada saat-saat sukar kehidupan mereka.

Dia merasakan hidupnya tidak akan ke mana-mana kalau gadis Pontian itu tidak mengorbankan kegadisannya untuk seorang suami di malam pengantin mereka. Dia merasakan hidupnya akan berada di takuk lama tanpa pengorbanan dan semangat yang ditiupkan ke telinganya oleh isteri.

Dia malah merasakan dia tidak akan mampu mengecapi kehidupan dan kemewahan yang kini sedang dikecapinya kalau tiada isteri yang berdiri di belakangnya selama ini. Begitu besarnya erti seorang isteri dalam diari hidup seorang suami.

Dia tidak pernah menafikan itu semua. Isterinya adalah simbol kekuatannya selama ini. Isterinya adalah semangatnya selama ini. Dan anak-anak semakin mengindahkan dunia serta seluruh hidup mereka.

Lengkap! Bahagia! Selesa!

Itulah yang dibisikkan oleh orang-orang di sekeliling mereka. Malah ada yang juih bibir kerana cemburukan kehidupan dan kebahagiaan yang dikecapinya bersama isteri dan anak-anaknya.

Lalu kenapa dia perlu memperjudikan kehidupan yang lengkap, bahagia dan selesa yang dikecapinya selama ini hanya kerana seorang perempuan lain?

“Apa yang kau nak fikir-fikirkan sangat? Buat botak kepala aje. Ala, Kim, hal ni kacang ajelah. Persoalannya kau mampu ke tak? Kalau nak, seribu daya. Tak nak seribu dalih!” Begitulah kata-kata seorang teman yang menggalakkannya untuk menambah cawangan.

Tidak! Dia tidak sanggup untuk menggadaikan kehidupannya yang bahagia, lengkap dan selesa selama ini semata-mata kerana galakan daripada teman-temannya.

Ya, dia mungkin telah memiliki segala-gala yang didambakan oleh setiap lelaki yang berjaya. Wang dan harta bukanlah menjadi isu yang penting lagi. Kedudukan yang tinggi dan dihormati dalam masyarakat juga sudah dinikmati.

Persoalannya, dia juga telah memiliki seorang isteri yang selama ini berdiri di belakangnya dalam susah dan senang. Yang tidak putus-putus meniupkan kata-kata semangat ke telinganya. Yang turut berhempas-pulas dan bersengkang mata bersamanya.

Sanggupkan dia mencarik sekepal hati isterinya yang telah melengkapkan kehidupannya selama ini? Sekejam itukah dia terhadap isterinya yang sudah memberikan makna dalam hidupnya?

Apakah dia umpama seorang peladang yang sentiasa merasakan bahawa ladang jirannya adalah lebih hijau rumputnya?

“Apa yang kau nak takut sangat, Kim? Atau kau lebih suka buat maksiat daripada nikah dengan girlfriend kau tu?” gerutu temannya lagi. “Suka hati kaulah, Kim. Kalau kau tak nak join the club, takpelah. Mungkin kau lebih suka main sorok-sorok semata-mata nak jaga hati bini!”

Panas!

Panas telinganya mendengar tohmahan yang dilemparkan. Ya, dia memang mengakui yang dia menyukai perempuan itu – perempuan yang bergelar kekasih. Tapi hubungan mereka masih terkawal; masih belum sampai ke tahap yang difikirkan oleh temannya. Memang fikiran temannya itu sentiasa korup.

Kenapa?

Kenapa dia tidak boleh mengekalkan kesetiaannya seperti setianya seekor penguin terhadap pasangannya? Walau terpisah ke benua mana tapi tetap mencari pasangan yang sama apabila sampai musim mengawan?

Kenapa cintanya begitu mudah terbelah walaupun isterinya didatangkan dengan pakej yang lengkap? Kenapa?

Lalu dia merenung ke dalam dirinya.

Kemudian dia segera menyalahkan takdirnya kerana dilahirkan sebagai manusia yang lemah. Yang mudah tunduk pada keinginan perasaan. Yang tidak mampu mengawal hatinya daripada bercabang-cabang sebagaimana dia mampu mengawal para pekerja di bawah seliaannya.

Ya, dia manusia yang lemah. Dan lemahnya dia sehingga dia tega mencacai kehidupannya yang serba lengkap, bahagia dan selesa selama ini. Dan, lemahnya dia kerana tega melihat air mata gadis Pontian yang pernah didatangkan pada dirinya dalam pakej yang lengkap sebagai seorang isteri yang taat serta setia, mengalir bagaikan aliran sungai Mississippi semasa bah!

Dan lemahnya dia kerana sanggup menyeksa isterinya yang menjadi tulang belakangnya selama ini; isteri yang sentiasa berada di sisinya semasa zaman rebah-rempahnya tanpa sekelumit rungutan.

Tidak cukup menyalahkan takdirnya yang lemah, dia kemudiannya mengakui pula kebenaran kata-kata temannya yang menggalakkan dia menambah cawangan. Ya, memang betul... dia mampu untuk berlaku adil kepada isteri-isterinya kelak. Dia mampu memberi mereka nafkah zahir dan batin seadil-adilnya. Dia mampu memberikan kehidupan yang senang dan selesa kepada mereka.

Dan bagaikan semua alasan itu masih belum cukup, dia juga merasakan adalah wajar untuk dia merealisasikan impiannya untuk bernikah dengan kekasihnya kerana syaitan ada di mana-mana. Dan sebagai manusia yang lemah, dia khuatir akan tunduk pada bisikan-bisikan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia. Dia takut terjebak dengan dosa zina – nauzzubillah!

Lalu wajarkah dipersoalkan kewajarannya untuk bernikah dengan kekasihnya?

Nyah pada semua pengorbanan isteri yang menjadi tulang belakangnya selama ini. Nyah pada air mata gadis Pontian yang sejak puluhan tahun lalu berada di sisinya tatkala dia masih bertatih-tatih untuk menggapai kehidupan yang lengkap, bahagia dan selesa yang dikecapinya kini.

Apabila cinta sudah terbelah, semua pengorbanan bagaikan sudah hilang ertinya!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.