Home Novel Cinta Akulah Si Jelita
Akulah Si Jelita
Syaida Ilmuna Ismail
24/2/2014 15:59:36
63,780
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 8

BAB 8

“HELLO ladies!”

Suara lincah dan manja Linda Kamilla menghentikan bicara dan gelak tawa antara Sheriena dan Makcik Fuziah. Masing-masing antara mereka berdua saling berpandangan dan memasang prasangka buruk kepada Linda.

“Oh ada rupanya dia ni, Makcik Fuziah! Ingatkan dah keluar,” sindir Sheriena sambil membilas beberapa buah pinggan di sinki.

“Hey! Sesuka hati kau je eh nak sindir-sindir aku. Ni kenapa balik rumah ni? Kata hari tu dah tak nak tengok muka aku dah?” Linda Kamilla berjalan ke arah dapur yang sedang mereneh sayur kangkung dan gulai ayam.

“Ni rumah papa. So… ikut suka hati akulah nak balik ke, tak ke…” Sheriena menjeling tajam. Manakala Makcik Fuziah pula hanya mampu menggelengkan kepalanya. Kalau ditegur sikap Sheriena yang baginya agak kurang ajar itu pun tak boleh juga, Puan Linda pun ada juga salahnya!

“Eleh… ni, masak apa ni? Gulai? Masak apa lagi ni Kak Fuziah?” Mulut Linda mula menyeget ke kiri. Semua masakan orang kampung!

“Ini akak masak masakan kegemaran Datuk Azim, gulai ayam dengan ayam goreng berempah,” jawab Makcik Fuziah dengan nada yang sedikit tenang. Dia tidak mahu terikut-ikut api kemarahan Sheriena walaupun sungguh dia tahu Puan Linda banyak khilafnya.

“Ayam berempah? Oh my god… Apa ni masakan orang kampung? Beef steak, fish and chiptak ada ke?” rungut Linda Kamilla sambil meronyokkan wajahnya. Rambut panjang mengurainya diselitkan ke belakang. Tangan kanannya pula mula mengipas-ngipas lehernya. Bahang dapur makin menyengat kulit putih mulus ini.

“Hey! Kau ingat semua benda dalam rumah ni kena ikut selera tekak kau ke?” Sheriena mula menaikkan nada suara. Kali ini memang betul hilang hormatnya pada Linda Kamilla. Perempuan ini makin mengada-ngada. Nak fish and chip bagai! Dia ingat dapur ni restoran western ke apa?

“Ye lah memang kena ikut selera tekak aku! Selama ni pun korang adik beradik bukan ada sangat kat rumah ni. Aku yang selalu ada kat sini. Jaga papa korang yang dah tua tu. Jadi memang kena sangatlah segala perkara dalam rumah ni kena ikut cakap aku. Kalau nak harapkan abang kau dengan kakak ipar kau tu… memang tak adanya rumah ni nak terjaga!” luah Linda Kamilla.

Memang api kemarahannya juga tiba-tiba mendadak meningkat. Segala yang terbuku diluahkannya. Ketidakadilan yang sering dia rasakan dicurahkannya. Apa mereka tahu tentang perasaannya? Ada mereka pernah menghormati dia sepanjang lima tahun dia menjadi ibu tiri mereka? Tidak setahu dia!

“Diamlah!” balas Sheriena kembali. Baginya Linda Kamilla hanya berlagak bagus. Sentiasa nak tunjuk baik di depan papa. “Kau tak payah nak kutuk abang dan kakak! Mereka pun tak nak balik sini sebab kaulah. Sebab sikap kau yang over sangat tu.”

“Mereka tak nak balik sebab aku ke… atau sebab abang kau tu..” Linda tergelak kecil sambil menyambung kembali, “Ada udang disebalik batu. Papa kau tu sebenarnya dah buat kesalahan besar dengan kahwinkan dia dengan Lara hodoh tu!”

Sheriena menjegilkan matanya ke arah Linda Kamilla. Namun jegilan itu tidak disambung dengan sebarang kata nista lagi. Dia berbelah bahagi dalam soal ini. Memang benar abang kemungkinan besar ada merancang muslihat disebalik rancangannya untuk berhijrah ke Kota New York bersama Kak Lara.

“Diam? Kenapa? Sebab apa yang aku cakap ni betul?” ucap Linda lagi sambil merenung tajam ke arah Sheriena. Pandangannya kemudian beralih kepada Makcik Fuziah yang pura-pura sibuk menyediakan makanan tengahari.

“Sudahlah! Aku malas nak bertekak dengan kau. Sekarang ni lebih baik kita tak payah nak bertegur sapa. Win-win situation!” kata Sheriena.

Linda Kamilla hanya membalasnya dengan leretan senyuman kecil. Baginya semua ini hanyalah sementara. Nanti mereka akan tahu siapa yang paling untung. Pada ketika itu jangan pula ada yang menggigit jari!

***

ASFAHAN…”

Saat suara lembut itu mula menjengah ke corong telinganya, Asfahan terasa bagaikan di awang-awangan. Sungguh perit tekaknya. Manakala dahinya pula terasa berat. Apa yang telah terjadi kepada dirinya?

Asfahan cuba membuka kelopak mata perlahan-lahan. Masih kabur. Namun dalam kesamaran itu dia dapat melihat bayangan seorang gadis berambut panjang serta berbaju merah jambu. Gadis itu meleretkan senyuman kecil sambil mengelus rambutnya lembut.

“Kat mana ni…?” ucap Asfahan terketar-ketar.

“Awak kat hospital. Awak ingat tak apa yang berlaku tadi?” jawab gadis itu dengan nada yang sedikit bergema. Suara gadis itu perlahan-lahan hilang dan Asfahan menutup matanya semula.

“Asfahan! Asfahan! Bangun! Bangun!”

Asfahan terasa badannya digoncangkan berkali-kali. Matanya terkebil-kebil dibuka. Kali ini pandangannya terasa lebih jelas dari sebentar tadi. Gadis yang menggoncangkan badannya tadi ternyata adalah Jelita.

“Jelita…” kata Asfahan perlahan. “Apa yang terjadi kat saya ni…”

“Awak ingat tak tadi kita accident? Jatuh dari bukit berbatu tu…” Wajah Jelita tampak cemas. Takut pula dia jikalau tiba-tiba Asfahan hilang ingatan atau mengalami kecederaan yang teruk.

“Oh…” Memori Asfahan mulai mengimbas kejadian sebentar seperti pita filem lama yang dimainkan dengan tersekat-sekat.

“Awak okay tak? Sekarang kita kat hospital. Saya takut awak tak okay je. Kalau apa-apa jadi kat awak, susahlah saya…” Dahi Jelita berkerut seribu. Matanya seperti berkaca. Agaknya dia betul-betul risau jikalau ada apa-apa yang terjadi terhadap Asfahan. Mana taknya, dia bukannya tahu siapa ahli keluarga Asfahan dan bagaimana caranya hendak menghubungi mereka.

“Risau juga awak pada saya ya…” Asfahan masih boleh lagi berjenaka. Senyumannya meleret hingga ke telinga.

“Hmm… awak ni kan, main-main pulak! Dahlah, kalau macam tu saya balik dulu ya. Nak kena kemas-kemas barang dah ni,” kata Jelita sambil mula mencapai beg sandangnya yang berada di atas lantai.

“Eh…” Asfahan pantas menarik tangan Jelita untuk menghalangnya dari berlalu pergi. “Nak berkemas ke mana?”

Sinaran matahari yang menerobos masuk ke dalam bilik pesakit itu terbias ke wajah Jelita. Wajahnya yang kelihatan bercahaya itu menambahkan rasa berbunga di hati Asfahan.

“Nak baliklah. Hari ni hari terakhir saya di Cappadocia. Besok flight pukul 11 pagi.” Jelita menolak perlahan-lahan tangan Asfahan dari mencengkam pergelangan tangannya. “Anyway thanks for the sweet memories. I am sure that this is the best holiday that I have ever had.”

Jelita menggalas beg sandangnya secara menyilang. Dia kemudian bangun dari kerusi kayu yang dudukinya itu dan bergerak ke arah pintu keluar dari bilik tersebut.

“Wait!” Asfahan cuba untuk membangunkan dirinya supaya dapat bersandar di pangkal katil. “Saya… tak puas lagi berbicara dengan awak. Boleh kita jumpa lagi malam ni kat café?”

Jelita hanya membalas dengan segaris senyuman kecil. Lalu dia mengerdipkan matanya perlahan sebagai tanda setuju.

***

CUACA masih mendingin pada bulan Januari di London. Musim sejuk yang bermula dari bulan November hinggalah Mac ini bukanlah musim yang menggembirakan Nadya. Nadya kurang meminati salji. Dia lebih selesa duduk di dalam rumah dan menghabiskan masa-masa yang tersisa untuk menyiapkan hasil lukisan desain-desainnya yang terbaru.

. Namun salji ini telah mengimbau kembali pertemuannya dengan si jantung hati Asfahan Redza. Parti fesyen masquerade yang diadakan di New York hampir tiga tahun lepas telah menjadi medan cinta mereka berputik. Asfahan adalah pemilik syarikat Empressive Design yang telah menawarkan Nadya peluang pekerjaan di London dan sekaligus menonjolkan dirinya sebagai pereka fesyen yang terkenal.

Cinta bersemi di antara mereka setelah dua bulan berkenalan. Walaupun Asfahan banyak berahsia mengenai dirinya dari Nadya, namun Nadya tidak pernah mengambil isu itu terlalu serius. Baginya cukuplah Asfahan sebagai peneman hidup dikala suka ataupun duka dan berada di sisinya pada saat yang diperlukan.

Walaubagaimanapun krisis percintaan mereka mula menampakkan belangnya apabila Nadya mula mengusulkan untuk membawa perhubungan mereka ke suatu paras yang lebih selesa iaitu perkahwinan. Asfahan tidak mengiyakan, mahupun menolak. Dia hanya banyak memberi alasan. Malahan kebanyakan alasannya itu hanya menghimpunkan kepada satu penghalang di antara cinta mereka berdua. Penghalang itu adalah Lara.

Nadya mengetap bibirnya kuat. Dia baru tersedar bahawa dia sudah hampir separuh perjalanan menuju ke landasan kereta api bawah tanah London. Bicara hatinya yang panjang lebar itu telah membuatkan dia hampir terlupa di bumi mana dia berpijak.

Keluhan dilepaskan. Mungkin selama ini dia terlalu berlembut dan kurang memberi perhatian terhadap Asfahan. Kali ini nampaknya dia harus lebih tegas. Dia perlu melakukan sesuatu.

Telefon pintar iPhone 5S dikeluarkan dari kocek kot berwarna biru yang dipakainya. Lalu sebaris nombor didailkan.

“Hello Jason… aku nak mintak tolong sikit…Ia mengenai isteri Asfahan tu, Lara,” bicara Nadya sambil meleretkan senyuman sinis di hujung kata.

***

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail