Home Cerpen Cinta Kahwin Lari
Kahwin Lari
Syaida Ilmuna Ismail
11/12/2013 01:37:35
5,083
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

CERPEN: KAHWIN LARI                         KARYA: SYAIDA ILMUNA

PAGAR yang menghadang bahagian hadapan balkoni itu dipanjat. Aryani menjenguk ke bawah. Tingginya! Bagaimana dia mahu terjun dari sini?

Baju kurung moden putih yang dihiasi labuci berwarna merah jambu itu dijingkatkan kainnya. Ia memudahkan Aryani untuk memanjat pagar balkoni itu dengan lebih tinggi. Aduh! Kenapa tinggi sangat ni? Dahlah aku gayat!

Aryani turun semula dari pagar balkoni. Dia mundar-mandir sambil mencari akal. Sesuatu harus dilakukannya. Sesuatu yang mudah dan dapat menyelesaikan masalah. Jikalau dia lambat bertindak, ini bermaksud dia bakal ditinggalkan.

Tiara serta kain selendang yang terhias indah di atas kepala segera ditanggalkan. Rimas pula rasanya. Otak seperti sempit untuk berfikir. Setelah mundar-mandir lebih dari lima kali, Aryani mengambil keputusan untuk masuk ke dalam kamarnya semula. Duduk di atas katil empuk yang bercadar satin merah.

Matanya meliar ke seluruh pelosok bilik. Mencari sesuatu yang dapat membantunya turun dari balkoni ini. PAP! Jarinya dipetik. Langsir berwarna putih itu dapat dijadikan mangsa. Tanpa berlengah lagi, Aryani menurunkan kedua-dua belah langsir jendelanya dan mula menghubungkan kedua-dua langsir tersebut dengan mengikat kedua-dua pangkalnya bersama.

Hasil ikatan langsir itu dibawa ke balkoni dan hujung langsir tersebut diikat pula pada batang besi balkoni. Bahagian langsir yang selebihnya kemudian dicampak ke luar balkoni. Aryani meninjau suasana di bawah. Kosong. Inilah masanya! Matanya dipejamkan.

“Haiqal, awak tunggu sekejap je lagi ya!”

***

BAU mawar harum semerbak menusuk ke rongga hidungnya sebaik sahaja dia menolak pintu kaca Kafe Flora yang sudah sedia terkenal dengan tema romantis dan penuh dengan dekorasi bunga itu. Aryani mencari-cari sebatang tubuh yang dia nanti-nantikan pertemuan bersama. Nampaknya jejaka itu tidak juga kelihatan di mana-mana. Lambat lagilah tu!

“Cik Aryani?’ tegur seorang gadis dari arah belakang.

“Ya, saya?” jawab Aryani.

“Meja cik di belakang sana ya..” Gadis tersebut menuding jarinya ke arah sebuah meja yang dihiasi kelopak mawar putih bertebaran di atas pelapik meja yang berwarna perak.

“Oh okay! Terima kasih.” Aryani tersenyum kecil sambil bergerak ke arah meja tersebut. Nampaknya sangkaan Aryani kali ini meleset. Ternyata si dia sudah bersedia jauh lebih awal dari yang disangkakan.

Haiqal.. Dia memang berbeza dari semua jejaka yang pernah aku kenali. Disaat mereka semua cuba memenangi sekeping hati ini, dia telah mencuri dan membawanya pergi. Kehilangan hati ini telah membuatkan jiwaku tidak begitu waras seperti selalu. Benarlah kata Paulo Coelho, hanya ada tiga perkara saja yang dapat mengubah diri seseorang. Impian, penderitaan hidup dan cinta. Oleh kerana cinta inilah aku nekad untuk melakukan hal sebegini.

Jemari Aryani mengutip salah satu dari kelopak mawar putih yang bertaburan di atas alas meja tersebut. Kelopak itu ditekapkan ke hidungnya lalu aroma mawar itu disedut. Wangi. Terasa seperti jatuh cinta berkali-kali apabila menghidunya.

“Tahu tak kenapa I gelar you ni mawar dan I ni kumbang yang selalu tergila-gilakan you?” Aryani segera berkalih dan kelihatan seorang jejaka yang berkumis nipis sedang memegang sejambak mawar merah.

“Jangan nak mengadalah! I nak kena cepat ni.” Aryani tidak mahu melayani perasaan yang bertandang di hatinya. Walaupun hakikatnya pipi ini sudah mulai memerah.

“Mawar mempunyai madu di dalamnya. Dan madu itu I kiaskan sebagai hati you. Manis, indah dan membuatkan I ketagih dan bercita-cita memilikinya. Tanpa madu, kumbang tidak akan mempunyai sebab mengapa dia harus terbang ke udara. Tanpa Aryani, Haiqal tidak mempunyai sebab mengapa dia perlu berdiri tegak di sini.” Jejaka itu menoktahkan kata-katanya dengan menyerahkan sejambak mawar yang dipegangnya tadi kepada Aryani.

“Thank you anyway, Haiqal.” Aryani mengetap bibirnya kuat. Bagaimanalah dia ingin lari dari cinta ini? Bagaimanalah dia mampu menangkis kata-kata indah yang keluar bibir Haiqal? Dia tahu itu tulus dan dia juga tahu jikalau semua ini tidak berjaya, dia bakal melukakan hati jejaka ini.

“You ni memang tak ada perasaan kan?” Haiqal mengambil tempat duduknya. Untuk sejenak dia tertawa kecil dengan tingkah laku Aryani yang sengaja buat-buat tidak endah itu.

“Dahlah, kita boleh romantis di lain hari tapi hari ini penting sangat! I nak kahwin lagi tiga hari tahu tak? Dan you masih sempat beli bunga dan buat reservation untuk this romantic lunch? Oh my god!” leter Aryani. Panas pula hatinya. Haiqal ni suka main-main!

“Okay. I tahu… I tengah fikirlah ni. Lagipun semua dokumen dah ready kan? Anyway you yakin ke yang you betul-betul nak larikan diri?”

Aryani terdiam seketika. Tiba-tiba mindanya dipenuhi wajah mama, adik perempuannya serta suasana rumah yang bakal dia rindukan. “I don’t know. Apa yang I tahu, I tak nak kahwin dengan Hisyam!”

“You ada try cakap dengan mama you tentang kita?” Haiqal sempat memesan minuman daripada pelayan. Kemudian, tangan Aryani digenggam erat. Dia tahu Aryani sudah lama menahan beban di hatinya. Datin Haryati terlalu menekan dan memaksa. Sampaikan dia pun hilang keyakinan diri untuk memperkenalkan dirinya kepada ibu Aryani itu.

“Nope. Dia bukannya nak dengar.”

“Lepas tu macam mana? Yang ini sajalah option kita.”

“You tak rasa ke kita ni berdosa sebab buat benda macam ni? Nanti kalau kita kahwin, tak bertahan lama tahu tak?” rungut Aryani lagi.

Haiqal menggaru-garu kepalanya yang sudah mulai merengsa. Aryani oh Aryani! Apa sebenarnya yang awak mahu ni? Kita dah bukan main merancang sebelum ini. Tup.. tup awak nak batalkan saja?

“Diam je ke? Bagilah I idea!”

“I dah kekeringan idea. Sama ada you beritahu mama you tentang kita atau…”

“Atau apa?”

“Macam nilah.. Hari Jumaat ni, I tunggu kat pagar belakang rumah you pukul 10 pagi. Kalau you tak datang dalam masa 15 minit, I anggap yang kita dah batalkan rancangan ni okay?” jelas Haiqal. Dia kemudiannya bangun dan meninggalkan Flora Kafe tanpa menyentuh langsung minuman yang dipesannya tadi.

Aryani tercengang dengan tindakan drastik Haiqal. Tinggalkan aku macam tu je? Takkan nak merajuk kot? Alahai apa yang aku nak buat ni… Benci!

***

DUA hari sebelum ke gerbang perkahwinan. Aryani jadi tak senang duduk. Haiqal hanya berdiam dan mengambil langkah ‘blackout’ langsung darinya. Takkanlah dia terasa hati dengan kata-kata aku tempoh hari? Aryani bercakap mengenai kebenaran, bukannya hal yang mendustakan. Memang mereka harus berfikir dan melihat hal ini ke depan. Banyak marabahaya dari citra indah yang mereka dambakan. Takkanlah bercakap benar pun telah menjadi suatu kesalahan?

Jendela biliknya dibuka luas. Pagi ini agak mendung. Dari malam sampailah ke pagi, asyik hujan saja. Mungkin cuaca pun tahu hatinya kini sedang dilanda badai.

“Aryani..” Pintu biliknya dikuak. Kelihatan Datin Haryati menyuakan kepalanya masuk ke dalam bilik.

“Mama? Kenapa ya?”

“Hisyam datang. Dia nak berjumpa dengan kamu. Mama ingat tadi kamu tak bangun lagi.” Datin Haryati menolak pintu bilik tersebut dengan sepenuhnya. Dia mula melangkah masuk dan mendekati Aryani.

“Oh.. dia nak apa?”

“Entah, katanya ada hal yang nak dibincangkan.”

“Saya malaslah ma nak jumpa dia.”

“Eh? Kesian dengan budak tu, mama tahu kamu tak cintakan dia. Tapi lepas kahwin nanti belajarlah cintakan dia ya. Benda ni semua take time. Untung kamu dapat dia. Bapanya pemilik syarikat kapal yang terbesar kat semenanjung ni tau,” ujar Datin Haryati.

Aryani mencebik. Mama hanya pandang harta dan pangkat. Bagaimana pula dengan lelaki yang tiada apa-apa tetapi dia memiliki sekeping hati yang mulia dengan budi pekerti? Jauh lebih mulia dari hati kita yang penuh dengan emas dan permata ini.

Oleh kerana tidak tahan mendengar leteran ibunya, Aryani turun ke bawah. Hisyam dilihat sedang duduk sambil menyilangkan kakinya ke atas meja kopi di ruang tamu. Sebaik saja mendengar derap kaki Aryani, dia dengan pantas menurunkan kakinya itu semula ke lantai.

“Eh Aryani! I ingat you tidur lagi,” bicara Hisyam sambil tersengih bagai kerang busuk.

“Tidur apanya? Matahari dah terpacak atas kepala.” Bara di hati Aryani kian meningkat suhu. Tinggal nak meletop jadi bom saja.

“Well, I minta maaf ganggu you pagi-pagi ni. Sebenarnya I ada hal penting nak bincang dengan you.” Hisyam dengan tiba-tiba berdiri tegak dan melakarkan wajah serius.

Aryani jadi seram melihat perilakunya. Selama dua kali mereka bertemu sebelum ini, lelaki itu tidak pernah membuat mimik serius. Malah bicaranya hanya sampah semata-mata. Asyik saja berbicara tentang kemegahan keluarganya.

“Cepatlah cakap.”

“I actually… well.. hmm..” Hisyam masih lagi bingung dengan apa yang dia bakal perkatakan. Dia takut apa yang difikirkan Aryani, belum tentu sama dengan apa yang dia difikirkan.

“Cakaplah!” Aryani sudah hilang kesabarannya. Dah bagi peluang, terkulat-kulat pula dia di situ.

“Takpelah Yani. Kita cakap di lain hari.” Hisyam meminta diri untuk pulang. Mungkin dia belum cukup kuat untuk menyatakan apa yang terbuku di hati.

Tiba-tiba saja lelaki itu berubah sikap. Aryani cuba untuk menelah perilaku bakal suaminya itu tetapi dia gagal. Mungkin dia cuba nak berbaik dengan aku kot. Mungkinlah kan…

***

“ALHAMDULILLAH! Akhirnya berjaya juga aku dapat kerja ni.” Haiqal mengemaskan beberapa fail lalu memasukkan ia ke dalam beg sandang yang bawanya. Hari ini nasib menyelebelahinya. Setelah melalui saringan temuduga sebanyak dua kali, akhirnya pihak Petronas memutuskan bahawa dia telah diterima bekerja bersama mereka di bahagian Perhubungan Korporat. Syukurlah kini dia tidak menganggur lagi.

Sebelum pulang ke rumah, Haiqal meluangkan sedikit masa dengan berjalan-jalan di sekitar kompleks membeli-belah KLCC. Meluangkan masa bersendirian sebegini dapat memberikannya peluang untuk berfikir dengan lebih jelas. Haiqal bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana telah menjawab hampir kesemua doanya selama ini. Namun jauh disudut hatinya, ingatan ini sentiasa terlekat kepada gadis itu.

Aryani. Itulah impian utamanya. Memiliki segalanya tanpa memiliki hati Aryani adalah seperti kehilangan semangat untuk terus maju ke hadapan. Astaghfirullah! Sampai begitu sekali dalamnya cinta dia terhadap Aryani. Jikalau dia bukanlah jodohku Ya ALLAH, jauhkanlah dia dari diriku, pinta hati kecil Haiqal.

Setelah puas berpusing-pusing sekitar KLCC, Haiqal bercadang untuk pulang ke rumah. Kereta yang berada di tempat letak kenderaan dihidupkan enjinnya. Namun belum sempat pedal minyak ditekan, Haiqal terdengar jeritan seorang wanita dari ceruk sebelah kanan tempat letak kenderaan tersebut.

“Tolong!! Arghhh!” rintih wanita itu lagi.

Haiqal mematikan enjin kereta dan bergegas ke arah dari mana datangnya jeritan tersebut. Kelihatan dua orang individu sedang bergelut di antara satu sama lain. Sepantasnya Haiqal merentap kolar pakaian lelaki yang sedang sibuk merampas beg tangan wanita itu dan membawanya ke tepi. Lelaki durjana itu ditumbuk di pipi serta perut.

Darah mula menyeruak keluar dari bibir lelaki tersebut. Belum sempat Hakim membalas tumbukan kedua, lelaki itu dengan pantas meloloskan dirinya dari cengkaman Hakim dan berlari meninggalkan tempat letak kenderaan bersama beg tangan wanita itu. Haiqal yang tidak sempat mengejar dari belakang hanya mampu membiarkan penjenayah itu melepaskan diri dengan begitu sahaja.

Wanita yang berusia 50-an itu duduk bersimpuh di atas lantai sambil menggosok-gosok tangannya yang mungkin terseliuh. Haiqal yang kasihan melihat nasib wanita itu mendekatinya.

“Makcik okay?” Haiqal seakan-akan kenal dengan wajah wanita yang berada di hadapannya. Kalau tak silap ini…. Tak mungkin!

“Aduh sakitnya tangan saya ni… terima kasihlah encik sebab tolong saya,” ujar wanita itu sambil cuba bangun untuk berdiri.

“Takpe biar saya tolong.. umm..” Haiqal tidak tahu dengan panggilan apa yang dia harus memanggil nama wanita ini sebenarnya. Kalau salah panggil nanti dia marah pula.

“Saya Datin Haryati.”

Betullah tekaan aku tadi! Ini memang mama Aryani. Aduhai, macam mana pula boleh terlibat dalam situasi macam ni!

“Ahaa datin.. Anyway saya nak mintak maaf, tak sempat nak kejar peragut tu. Beg tangan datin dah dibawa lari..” Nada suara Haiqal tersekat-sekat. Jumpa bakal mak mertualah katakan.

“Oh takpalah. Asalkan saya selamat, awak pun selamat. Sekarang ni manalah si Aryani, anak saya ni?” Datin Haryati meliar-liarkan matanya jikalau terlihat kelibat Aryani di mana-mana. Manakala Haiqal pula jadi tak senang duduk. Aryani pun ada dekat sini?

“Anak datin pergi mana?” Haiqal ikut meliarkan matanya di sekeliling tempat meletak kenderaan itu untuk mencari kelibat Aryani. Habislah nanti kalau dia tahu aku ada kat sini.

“Haa tu pun dia! Yani!”

Aryani berlari-lari anak sebaik saja melihat ibunya bersama seseorang yang dia kurang pasti siapakah gerangannya. Lelaki mana pulak tu?

“Ma! Kenapa ni?” Aryani menoleh ke arah lelaki yang sedang dipaut mama. Eh? Haiqal! Tak semena-mena kerisauan dan gundah gulana yang bertandang di hati terbang dengan serta merta.

“Ni tadi ada orang ragut beg mama! Encik ni lah yang tolong mama tadi.. Eh lupa pula nak tanya, nama encik apa ya?” tanya Datin Haryati tanpa menyedari yang Haiqal dan Aryani sedang bermain mata dalam diam. Saling bertukar-tukar isyarat wajah tanda tidak percaya akan keberadaan diri masing-masing di tempat ini.

“Ah, nama saya? Haiqal.”

“Oh, Haiqal… ni pula anak makcik, namanya Aryani.”

Aryani tersenyum simpul. Dah kenal nak diperkenalkan lagi ke? Aryani dengan segera menghulurkan salam manakala Haiqal pula teragak-agak untuk menyambut salam Aryani. Bukankah sepatutnya Datin Haryati tidak boleh mengenali dirinya?

“Emm datin, saya rasa datin kena pergi klinik ni.. nanti tangan tu bertambah sakit.” Haiqal cepat-cepat menukar fokusnya terhadap Datin Haryati. Aryani pula dibiarkan melayani perasaan sendirian.

Huh! Sombong bukan main! Merajuklah tu lagi. “A’ah mama. Jomlah Yani bawak ma pergi klinik,” ujar Aryani pula.

“Nak pergi macam mana Yani? Kunci kereta ada dalam beg tangan mama yang kena ragut tu.”

Aryani membeliakkan matanya tanda tidak percaya. “What?! Jadi sekarang kita nak balik naik apa ni ma?”

Haiqal menyedari dirinya kini menjadi harapan dua wanita ini. Lalu dia berdehem dan mula bersuara, “Takpe, biar saya yang bawa datin dan Cik Aryani pergi klinik dan hantar balik rumah. Itu pun kalau datin…”

“Okay! Boleh-boleh!” Belum sempat Haiqal menoktahkan kata-katanya, Aryani terlebih dahulu memberi kata putus.

Datin Haryati yang berada di antara mereka berdua pula jadi pelik melihat tingkah laku dua muda ini. Dah buang tabiat apa si Aryani ni, getus hatinya.

***

“SAYANG, thank you sangat-sangat sebab tolong my mom tadi!” Aryani menyeringaikan senyuman. Senyuman paling ikhlas yang pernah dia berikan.

“Hmm okay..” Sepatah itu saja perkataan yang keluar dari mulut Haiqal. Dia seperti kehilangan mood. Takut nanti kalau dia terlebih melayan perasaan, dia juga yang kecundang. Walaupun sesungguhnya, hanya TUHAN saja yang tahu betapa dia ingin meluahkan segala isi hatinya ini kepada Aryani.

“You ni… asyik merajuk je. You tak kesian kat I ke?”

“Nak kesian buat apa? You kan dah nak kahwin.”

“Hey! Apa cakap macam tu! Kan kita dah plan… kita akan tetap teruskan dengan plan kita!” Aryani merengus kencang. Tanda protes terhadap kata-kata Haiqal tadi. Lagaknya macam orang yang dah putus harapan.

“Plan? You cakap hari tu apa yang kita buat ni salah. Dan.. Bila difikirkan semula, kata-kata you tu ada juga kebenarannya. So, I rasa adalah lebih baik kalau you teruskan dengan rancangan you untk berkahwin and let me move on?”

Move on? You… maksud you… kita putus?” Berderau darah yang sedang mengalir di dalam badan ini apabila mendengar kata-kata tajam dari Haiqal. Dia ni serius ke?

“Entahlah.”

“Apa maksud you entahlah?”

Haiqal mendiamkan dirinya. Jawapan itu tiada pada dirinya. Apa yang dia tahu, dia mencintai Aryani namun dia tidak akan dapat memilikinya.

“Sayang…” Aryani dihimpit perasaan curiga secara tiba-tiba. “You datang KLCC buat apa eh? Don’t tell me that the interview is today..”

Haiqal menghela nafas kecil. Ini lagi satu masalah. Nak beritahu ke tak?

“Dear, you pergi interview tu kan? You dapat kerja tu tak?” Aryani masih tidak berputus asa. Soalan ditanya bertubi-tubi walaupun dia tahu Haiqal hanya akan membalas dengan keluhan yang tidak bernoktah.

“Yes I dapat.”

“Oh my goddd!” Aryani menjerit dengan sepenuh hatinya tanpa mengira keadaan di sekitar klinik di mana mereka berada. Tiada kata yang dapat mendefinisikan betapa gembiranya hati Aryani pada ketika ini.

“Syyy! Aryani! Perlahan sikit.” Haiqal menepuk dahi. Dia sepatutnya sudah dapat mengagak keadaan ini akan berlaku.

“Tell me dear.. ceritalah sikit apa yang jadi masa kat dalam bilik interview tu…”

“Aryani, mak you kat belakang tu!” Haiqal mengisyaratkan supaya Aryani mengawal dirinya. Memang dia juga gembira dan mahu meraikannya bersama Aryani, namun ada banyak lagi hal yang tersekat di kepalanya ini. Semuanya membuatkan perlakuan Haiqal terbantut.

Datin Haryati datang menjengah dari belakang sambil membawa beberapa plastik ubat-ubatan. Tangannya sudah dibalut kemas. Kemungkinan telahan Haiqal benar, tangan Datin Haryati hanya terseliuh.

“Yani, Haiqal..”

Aryani bingkas bangun dengan secepatnya. Tersentap rasa jantung ini apabila mendengar suara Datin Haryati.

“Mama dah okay?” tanya Aryani basa-basi. Fokusnya masih tertumpu pada Haiqal yang baginya merajuk tak tentu pasal.

“Dah.. Alhamdulillah. Nasib baiklah ada Haiqal ni. Kalau tak.. tak tahulah apa yang jadi dengan mama. Haih, sayangnya… kalaulah mama ada lagi seorang anak perempuan, boleh mama kahwinkan dia dengan Haiqal ni.”

“Apa?!” tanya Haiqal dan Aryani serentak. Memang pernyataan mama yang ini betul-betul merentap jantung mereka. Kenapa mama tak cakap dari awal? Alahai!

“Kenapa? Mama ada cakap benda salah ke?” jawab Datin Haryati dalam keadaan terpinga-pinga. Kenapa pelik sangat mereka berdua ni? Dari tadi lagi aku perasan. Macam ada yang tak kena.

Aryani dan Haiqal hanya tersenyum kelat. Kalaulah kata-kata mama itu dilontarkannya sebulan sebelum perkara ini berlaku. Kalaulah!

***

ARYANI masih menjenguk ke luar balkoni. Ya ALLAH, kenapalah aku boleh terjerat sampai ke tahap ini? Aku tahu tindakan ini tidak akan mengubah apa-apa pun masalah yang sedang kami lalui kecualilah jikalau aku dan Haiqal bersemuka dengan mama dan menceritakan hal yang sebenar.

Aku tak mencintai Hisyam. Aku tidak mengenalinya. Malah aku sendiri pun tidak tahu nama penuhnya. Namun Haiqal, aku mengenali lelaki itu jauh lebih dari aku mengenali diriku sendiri. Bukannya aku tak mahu memberitahu mama akan hal ini, namun mama tidak mahu aku membuat pilihan jodohku sendiri. Dia fikir apa yang terbaik untuk dirinya, adalah yang terbaik untukku.

Aryani mula mengalirkan air matanya. Hatinya pedih. Hatinya terasa sakit. Jadi apakah kesudahan kepada kerja gila yang dia dan Haiqal rancang ini? Kahwin larikah penyelesaian masalahnya?

Bunyi deringan telefon Samsung Note II miliknya memecah keheningan di hati. Nama Haiqal tertulis terang-terangan pada senarai nombor pemanggil.

“Hello Haiqal.”

“Aryani. Dah pukul 10 pagi ni. I menantikan you di tempat biasa. 15 minit dari sekarang kalau you tak datang, I anggap yang kita tiada jodoh.”

“Qal, tolong jangan fikir macam tu… I janji yang I akan datang.”

“Okay, I tunggu. Tapi cepat tau. You have 15 minutes only. AndI love you,” ujarnya lagi sebelum mematikan telefon.

“I love you too!”

Aryani nekad. Kakinya memanjat pagar balkoni tersebut. Sebelah dari kakinya telah terkeluar ke bahagian luar pagar dengan tangannya memaut erat pada langsir yang telah diikat pada salah satu batang besi balkoni. Aryani kini sedang duduk di atas pagar balkoni dengan kaki kirinya di dalam balkoni dan kaki kanannya pula terjuntai ke luar balkoni.

“Okay, now.”

“Yaniiii, Aryaniiii!” Kedengaran suara Datin Haryati dari dalam biliknya. Laaa! Mama nak apa pulak tu? Macam mana aku nak turun ni?

Aryani mengangkat semula kaki kanannya masuk ke dalam balkoni. Baju serta rambutnya diperkemaskan semula. Alamak tiara dengan selendang dah tertanggal! Macam mana ni?

“Yani… mana pulak budak ni? Dalam hal-hal penting macam ni lah dia hilang entah ke mana..” Datin Haryati menjengah ke balkoni. “Eh mana pergi langsir ni? Yani!”

“Mama, Yani ada sini ni.. pengantin laki dah sampai ke?” jawab Aryani yang secara tiba-tiba keluar dari ceruk balkoni. Dia cepat-cepat menutup pintu kaca balkoni dari dimasuki Datin Haryati. Takut-takut mamanya ternampak kain langsir yang tergantung di pagar balkoni.

“Yani… pengantin lelaki… tak jadi datang.”

Aryani terasa bagai bermimpi seketika. Tak datang? Mama tengah berjenaka mungkin. Ke aku yang salah dengar?

“Tak datang ke dah datang ni mama?”

“Hmm macam ni, tadi ayahnya Hisyam call mama. Dia cakap Hisyam menghilangkan diri. Dah puas mereka cari tapi tak jumpa-jumpa sampai sekarang. Mereka minta kita batalkan perkahwinan ni,” kata Datin Haryati dalam nada simpati terhadap Aryani.

Aryani masih menahan perasaannya. Ketawa? Nanti mama sangka aku gila. Nak menangis? Takut air mata pula tak terkeluar.

“Oh… okay. Nak buat macam mana kan? Orang dah tak sudi.”

“Kamu tak sedih ke? Mama, sedih sangat sebab tak sangka hari bahagia anak mama dicemari dengan perkara buruk macam ini. Tak sangka, Hisyam tu…! Ish!” Datin Haryati seperti kehilangan kata-kata lagi. Sakit pula hatinya.

“Sedih. Tapi, kumbang bukan seekor kan?”

“Betul tu Yani. Mungkin dia bukan jodoh kamu. Mama tinggalkan kamu dulu ya.”

Sebaik saja Datin Haryati keluar dari kamarnya, Aryani dengan pantas memeriksa jam di tangan. Sudah 10.40 pagi! Mungkinkah Haiqal sudah pergi meninggalkannya?

***

ARYANI duduk termenung menatap jendela yang dibasahi percikkan air hujan. Musim tengkujuh masih belum berakhir. Tanah bumi masih lembab dan langit juga masih tak kering dengan air mata.

Hatinya dilambung ombak. Kelopak mawar merah dicarik satu persatu tanpa sebarang erti. Entah sampai bila dia harus begini. Derita menahan pedih di hati yang kian lama kian memakan seluruh jiwanya.

Haiqal sudah lama menghilangkan diri. Entah kemana lelaki itu pergi. Kata orang, Haiqal telah merantau ke negeri orang semenjak bekerja dengan Petronas. Ada juga rakan-rakan Aryani yang menyiasat, kata mereka Haiqal sudah bertemu wanita idaman hati dan bakal berkahwin tidak lama lagi. Ah kusut pulak minda Aryani mendengarnya!

Semenjak dari tragedi pagi itu, Aryani disangka pengkhianat oleh Haiqal kerana telah memungkiri janji untuk bertemu. Haiqal pergi tanpa sebarang pamitan. Tanpa mendengar langsung penjelasan yang ingin dia nyatakan. Sedangkan perkara itu hanya sekecil zarah kesalahannya. Aryani tidak menikahi siapa-siapa. Malahan dia yang ditinggal Hisyam di saat-saat akhir oleh kerana lelaki itu telah mempunyai pilihan hatinya sendiri.

Kini semuanya hanya tinggal kenangan. Memang benar kahwin lari ini tiada berkatnya dimana-mana. Kalau benar Haiqal sayangkan dia, awal-awal lagi lelaki itu akan bertemu dengan mama. Awal-awal lagi Haiqal akan berusaha dan bukan hanya menunggu Aryani seorang menjelaskan hal ini kepada mamanya.

Biarlah duka ini menjadi pengajaran buat dirinya dan wanita-wanita lain. ALLAH lebih mengetahui akan siapa jodoh yang terbaik untuk kita. Yang pasti kahwin lari bukanlah jalan penyelesaiannya!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.