Home Novel Cinta Akulah Si Jelita
Akulah Si Jelita
Syaida Ilmuna Ismail
24/2/2014 15:59:36
63,784
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

BAB 2

BILIK putih itu lagi. Jelita mengerutkan dahinya. Mengapa dia selalu bertandang ke sini? Bilik putih yang tiada berpenghujung. Tiada pintu atau jalan keluar darinya. Seakan-akan dia terkurung dalam kebebasan bergerak.

Jelita berjalan tanpa arah yang jelas. Melangkah mengikut kata hati. Baginya itulah jalan yang terbaik. Walaubagaimanapun dia tetap berhati-hati dengan ancaman yang mungkin datang tanpa diduga. Baginya hidup ini penuh misteri. Sedangkan air yang tenang jangan disangka tiada buaya.

Setelah beberapa ketika berjalan, langkah Jelita jadi terbantut seketika. Dari kejauhan dia terlihat suatu cahaya yang bersinar-sinar. Makin ia mendekat, makin cahaya itu membesar. Dia tidak tahu apakah maksud cahaya tersebut, tetapi kata hatinya meronta-ronta ingin mendekatinya. Lalu Jelita panjangkan langkahnya dengan berlari-lari anak sambil menggapai cahaya itu dari jauh.

Cermin! Cermin panjang sebesar dirinya. Itulah gambaran yang terpampang di hadapan mata apabila dia kian mendekat dengan cahaya itu. Sebelum ini memang dia pernah ke sini, namun dia belum pernah menemukan cermin ini lagi. Mungkinkah jalan keluarnya di sini? Pada cermin ini?

Cermin besar itu berada tiga kaki jauh dari dirinya. Jelita melihat ke dalam biasan tersebut. Seperti biasa wajah jelita miliknya menghiasi biasan cermin itu. Dia sendiri memang mengkagumi wajahnya ini. Wajah yang bisa meranapkan hati jejaka-jejaka yang pernah dia kenali sebelum ini kecuali…. yang satu itu!

Tenungan Jelita ke arah cermin yang membiaskan wajahnya itu berubah. Makin lama ditenung, makin berbeza biasan wajahnya. Rupanya bertukar sedikit demi sedikit kepada seorang gadis yang berambut kerinting, berwajah comot dan… aahh!

Jelita menumbuk cermin tersebut dengan sepenuh hatinya. Prang! Ia retak seribu. Cermin itu retak seribu seperti hatinya. Hatinya yang sudah luluh harapan terhadap cinta.

***

TEGANG. Urat-urat dikeliling matanya tegang. Jelita mengerdipkan matanya berkali-kali. Barangkali kerana suasana bilik yang berbeza, dia kurang mendapat tidur yang jerap malam tadi.

Ah semuanya kerana mimpi itulah! Mimpi yang seringkali bertandang setiap kali dia melelapkan mata di waktu malam. Sudah sebulan lebih dia bermimpi akan hal yang sama. Berulang-ulang kali ke ruangan putih itu mencari jalan keluar yang tidak pernah dia jumpai. Cuma kali ini berbeza sedikit dari kebiasaannya. Dia bertemu dengan cermin itu dan mimpinya berakhir dengan sesuatu yang dia kurang pasti apa.

Lupakanlah hal itu. Yang lebih penting adalah realiti hari ini. Ada beberapa hal yang harus dia uruskan. Oleh itu, dia tidak boleh membuang masa lagi!

Kasut baldu merah jambu disarungkan. Tanpa berlengah, Jelita mencapai tuala yang tersangkut di besi ampaian dan bergerak ke bilik mandi serba mewah itu.

***

BURUNG-BURUNG berkicauan meriah menandakan hari ini bakal menjadi hari yang indah. Hujan malam semalam sudah pun reda. Maka pelancong-pelancong di Cappadocia seperti biasa meneruskan aktiviti harian mereka dengan menjelajah ke tempat-tempat menarik di daerah itu.

Asfahan awal-awal pagi lagi sudah terpacak di lobi. Perkara pertama yang melekat di mindanya sebaik saja dia bangun dari tidur ialah Jelita. Oleh itu, demi untuk menghilangkan kegusaran yang melanda di hatinya, Asfahan bercadang ke meja resepsi untuk bertanyakan soal gadis misteri yang dia temui malam tadi.

Ting! Ting! Loceng di meja resepsi dibunyikan. Seorang gadis Turki berhidung mancung keluar dari belakang kaunter.

“Hello, may I help you sir?” tanya gadis Turki tersebut.

“Oh yes.. I was wandering.. umm if there is a Malaysian woman stayed at this hotel?”

“A Malaysian woman?”

“Yes! Could you check it for me?”

“Sure.” Gadis Turki itu membuka buku tebal berwarna putih. Kemungkinan itu adalah buku log masuk dan keluar pelancong di hotel ini.

“Sorry sir, I can’t find any Malaysian woman check in to this hotel.”

Asfahan menggaru-garu kepalanya. Lepas itu, dia warganegara apa? Indonesia? Singapura? “Are you sure? How about a person name Jelita?”

Sorry sir, I could not reveal the names of our guest. This is against the law…” Gadis Turki itu mula mengecilkan anak matanya terhadap Asfahan. Dia mula terasa ragu-ragu dengan sikap pelik Asfahan yang seperti penyiasat ini.

“I’m sorry. It’s okay.” Akhirnya Asfahan terpaksa mengalah. Dia tahu gadis Turki itu mulai tidak berasa senang dengan pertanyaannya. Seolah-olah dia seorang penjenayah yang ingin mengetahui nombor bilik mangsa yang seterusnya.

Asfahan membawa dirinya ke café hotel. Dia mencari sudut meja yang paling dekat dengan permandangan luar. Melihat keindahan kota Cappadocia yang dipenuhi gua-gua berbentuk corong tiga segi. Sekali pandang seperti atap-atap istana kisah dongeng yang meninggi di awan.

Hatinya masih lagi tidak tenang. Dari malam semalam hinggalah membawa kepada pagi ini. Entah mengapa pertemuan singkat antara dia dan Jelita itu sangat bermakna baginya. Dia terasa seperti ada sesuatu yang berbeza mengenai wanita itu. Sesuatu yang dia sendiri tidak dapat mengungkapkannya. Namun dia yakin ini bukanlah cinta. Takkanlah cinta berputik dengan hanya sekali bertemu dan itu pun hanya dalam jangka masa beberapa minit sahaja.

Asfahan memesan kopi dari pelayan. Dia kembali menghamparkan pandangannya ke arah luar hotel. Tempat ini begitu indah. Mengapa dia tidak terfikir untuk membawa Nadya sekali bersamanya? Pasti teman wanitanya itu terkesima.

Ah Nadya! Dia tu wanita zaman moden yang sentiasa sibuk dengan hal kerjayanya. Masa terluang hanya dihabiskan dengan berkunjung ke konvensyen serta pesta fesyen sedunia. Lagipula dia dibesarkan di New York. Bercuti ke negara luar sudah terlalu ‘mainstream’ baginya. Lainlah aku, anak jati Malaysia. Dilahirkan serta dibesarkan di tanah tumpah darahku. Cumanya bila sudah menetap agak lama di sini, sisi-sisi kemelayuan itu makin menghakis. Lama-kelamaan aku juga akan menjadi seperti Nadya juga.

Kopi Cappadocia yang dipesan tadi akhirnya tiba. Kopi hitam itu dihirup perlahan-lahan. Rasa pahitnya terlekat di rengkung. Hmmm! Lain benar rasa kopi ini dari kopi biasa yang selalu dia minum. Tak ada rasa manis langsung! Pekat pahitnya sampai ke hujung lidah.

Pandangan Asfahan kini terarah kepada pengunjung café hotel Kelebek. Dia masih tercari-cari akan batang tubuh yang dinanti-nanti itu. Jelita.. Jelita… Awak di mana?

Bebola mata Asfahan yang berlegar-legar ke sekeliling café itu terhenti. Seorang wanita yang memakai fedora hitam berserta kot panjang berwarna violet menangkap perhatiannya. Itu dia bukan? Memakai lipstik merah semalam dan matanya.. ya mata bundar yang sentiasa malu untuk memandang tepat ke arah sesiapa saja yang menatapnya!

Bagaikan tidak percaya, Asfahan bangun dan mengangkat bersama secawan kopi Cappadocia tadi berjalan ke arah meja Jelita. Dirinya kini bagaikan orang yang mengantuk disorongkan bantal!

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.