Home Novel Cinta Akulah Si Jelita
Akulah Si Jelita
Syaida Ilmuna Ismail
24/2/2014 15:59:36
63,785
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 12

BAB 12

CERMIN mata hitam berbentuk ‘cat eyes’ itu dilaraskan kedudukannya. Linda Kamilla bimbang jikalau ada yang mengintip atau mengenalinya di Mukha Café ini. Demi menghilangkan gemuruh di dada, mango smooties yang masam-masam manis itu dihirup laju sambil anak matanya melilau melihat pelanggan yang sedang sibuk menikmati sarapan pagi mereka.

Orang yang membuat janji temu dengannya pada pagi ini lewat. Penat-penat dia bangun seawall jam lapan pagi dan menipu Azim dengan mengatakan dia ingin berjumpa dengan ibunya. Walhal sekarang ini sudah hampir sejam menunggu, orang yang dinanti tak sampai juga!

Telefon pintar Sony Xperia dikeluarkan dan dia menghubungi orang yang membuat janji tersebut. Nak kasi gertak sikit, kalau lambat baik aku chow! Namun belum sempat panggilan itu dijawab, Linda Kamilla terasa bahunya dicuit. Ah! Dah sampai rupanya!

Sorry aku lambat,” kata Helmi sambil menghirup mango smoothies milik Linda.

“Eh! Sedapnya mulut kau minum air aku! Kalau nak orderlah sendiri!” Linda menarik semula bekas airnya dari tangan Helmi.

Helmi mengecilkan pandangan terhadap Linda. “Malaslah. Ni apahal nak jumpa aku ni? Suami kau tak marah ke jumpa aku kat sini?”

“Nak jumpa kau ni pasal dia lah.”

Helmi, seorang lelaki berbadan tegap dan berkulit putih. Orangnya pendiam, namun dalam diam-diam ubi berisi. “Kenapa? Kalau kau dah nak jumpa aku macam ni, mesti ada benda yang kau nak aku buat untuk dia kan?”

Linda meleretkan senyuman kecil. Helmi sudah boleh membaca kata hatinya. “Exactly! Tapi hal ini kau kena buat betul-betul. Kalau kita gagal, kita akan mengalami kerugian besar. Silap-silap masuk jel! Tapi aku yakin… kau memang dah biasa dengan perkara ni semua kan?”

“Apa yang aku dapat kalau aku terima tawaran kau ni? Lagi satu, kau nak aku lakukan macam mana?” tanya Helmi. Baginya tugasan yang diberikan Linda bagai menjentik di hujung jari saja. Perkara mudah. Datuk Azim itupun lelaki berumur, jadi tak payahlah dia merancang lebih-lebih sangat.

“Hmm… RM10,000? Amacam okay tak? Anyway tentang bagaimana perkara ini hendak dilakukan tu… aku serahkan je pada kau. You know better!Cumanya, I want it to look like an accident,” jawab Linda sambil menurunkan cermin mata hitam ‘cat eyes’nya.

***

DAPUR rumah Nadya berasap. Nasi yang cuba digorengnya hangus. Ah, memang dari dulu lagi dia tidak bijak dalam soal masak memasak ini. Fail! Kalau dia nak memasak pun hanyalah kerana keadaan yang memaksanya untuk melakukan perihal tersebut. Jikalau tidak, jangan haraplah dapur rumah nak berbunyi.

Asap yang meruap dari kuali yang hangus itu mula memenuhi ruang dapur dan memasuki kawasan ruang tamu. Nadya mengambil secawan air lalu dituangnya ke dalam kuali tersebut. Huh! Kalau tak reda juga asap kat kuali ni tak tahulah! Nadya kemudian membuka luas-luas tingkap dapur yang terletak berdekatan sinki. Mungkin dengan cara ini asap hitam yang berkepul di dalam ruangan dapur boleh dikeluarkan.

Ding dong! Loceng rumah berdecing. Siapa pulalah yang nak bertandang ke rumah orang malam-malam kelam begini? Dapur yang semakin reda dengan kepulan asap tersebut ditinggalkan Nadya dan dia berjalan terus ke arah pintu utama rumah.

“Jason?” Nadya bagaikan tidak percaya melihat kehadiran rakan sekerjanya, Jason ke rumah diwaktu malam begini.

“Hai Nad! Sorrylah I datang rumah you lewat malam macam ni. Boleh I masuk?” tanya Jason sambil memuncungkan wajah 50 sennya.

Nadya mempelawa Jason ke ruang tamu rumahnya. Segelas air kopi disediakan buat rakannya ini. “Ada apa datang malam-malam gini? Penting sangat ke?”

“Penting babe! Ia mengenai Lara,” kata Jason sambil menghirup air kopi panas yang mengigit hujung lidahnya.

“Dah dapat apa yang I suruh cari hari tu?”

Well I shall say… it’s a bit hard! Informasi yang you bagi tu memang sikit sangat! Nak cari apa pun tak boleh.”

So macam mana sekarang? You nak tahu apa lagi tentang dia supaya kita boleh locate kat mana dia sekarang?” Nadya sudah mula mengurut dahinya. Peninglah dengan masalah yang tak pernah selesai ni!

“Asfahan balik bila?”

Nadya menjungkitkan bahunya ke atas tanda tidak tahu.

“Aku cadang kita dapatkan nama penuh Lara. Dan… kita boleh dapatkannya dari sijil nikah dia orang berdua. Kemungkinan sijil tu ada kat pejabat atau rumah dia.”

Nadya mengetap bibirnya kuat. Selongkar? “Hmm… kau yakin ke dia ada bawak sijil tu ke sini?”

“Mesti dia ada simpan dengan dia punyalah! Itu sijil manyak penting kan? You geledah rumah dia, I pulak geledah bilik dia. Sementara dia tak balik lagi, I rasa baik I cari kat bilik dia esok. Mana tahu ada kan? Tapi kalau tak ada… nampaknya you kenalah tunggu dia balik kalau nak geledah rumah Asfahan,” kata Jason yang bersemangat melontarkan ideanya.

If that so… baguslah! Selasai tugas you nanti, just inform I je tau?”

Jason dengan pantas mengangguk sebagai tanda menurut perintah.

***

BUKU The Alchemist milik Paolo Coelho dikatup rapat. Dalam jangka masa satu hari saja dia boleh menghabiskan 192 muka surat karya tersebut. Sebuah buku yang mengisahkan pengembaraan dalam pencarian diri ini benar-benar menusuk hati Asfahan. Ia seakan-akan kisah tentang dirinya yang terumbang-ambing dalam lautan hidup. Perkara ini membuatkan dia terasa lemas dan kadang-kadang mudah membuat keputusan yang salah kerana mengikut nafsu diri.

Sudah sehari dia pulang ke Kota London, namun hal ini masih belum lagi dimaklumkan kepada siapa-siapa. Nadya mahupun Jason masih menganggap dia bercuti di Cappadocia. Kali ini biar dia yang berikan mereka kejutan.

Asfahan bangun dari kerusi malas yang dia duduki di ruang tamu lalu menuju ke bilik tidur. Rumah teres empat bilik ini mengadaptasi ciri-ciri rumah Georgian yang terletak berdekatan dengan Hyde Park dan Kensington Street. Asfahan membelinya dengan harga titik peluhnya sendiri. Semenjak tinggal berjauhan dengan ahli keluarga lima tahun dahulu, Asfahan tidak mengharapkan wang dan harta dari papanya lagi. Bagi dia, segala apa yang bakal Datuk Azim berikan hanyalah suapan supaya dia terus hidup bersama Lara.

Dalam diam tak diam sudah lima tahun pergolakan dalaman keluarga ini telah berlaku. Dia juga sudah lima tahun tidak pulang ke Kuala Lumpur, Malaysia. Jikalau dia pulang pun, dia hanya pergi menjenguk kubur mama dan menyelesaikan urusan diri dan syarikat. Tak pernah dia terfikir pun untuk pulang ke rumah.

Namun keheningan malam ini membuatkan Asfahan terimbau hal-hal dahulu. Tentang papa, Sheriena, Linda Kamilla dan juga… Lara. Dia memejamkan matanya lalu kenangan dahulu dipasangkan ke kotak minda bagaikan pita rakaman yang dimainkan semula setelah bertahun-tahun tersimpan kemas di dalam kotak.

***

Imbas kembali – Kuala Lumpur - 2008

SETAHUN sudah mamanya meninggal dunia. Setahun jugalah dia sudah bermastautin di Kuala Lumpur semula setelah lima tahun menuntut ilmu di New York. Asfahan Redza yang sedang sibuk melakarkan busana pengantin buat pelanggannya itu tidak semena-mena menghentikan pekerjaannya. Suara seorang gadis yang sering menjadi kebenciannya itu memanggil dari luar bilik. Apa pula yang dia kehendakkan kali ini?

“Masuk.” Asfahan Redza dengan pantas menyorokkan hasil lukisannya ke dalam salah sebuah fail yang tersusun di atas meja lukisan.

Gadis yang berbaju kurung serba putih itu menguak perlahan pintu bilik tersebut dan berjalan ke arah mejanya. Asfahan menilik perilaku gadis itu dari atas hinggalah ke bawah. Gadis itu memiliki rambut hitam berkerinting yang dibiarkan mengerbang. Wajah comotnya yang penuh dengan bekas jerawat itu cuba meleretkan senyuman manis buat Asfahan. Segelas susu yang berada di atas talam yang dibawanya itu diletakkan ke meja Asfahan.

“Thanks,” jawab Asfahan tanpa memandang ke arah wajah gadis itu.

“Tuan nak apa-apa lagi? Tuan langsung tak makan hari ni. Datuk minta saya tanyakan keadaan tuan. Malam ini katanya nak bawa Cik Linda datang ke rumah. Nak dikenalkan dengan kita semua,” kata gadis itu dengan santunnya.

“Tak nak apa-apa. Dah-dah boleh keluar,” arah Asfahan.

Gadis itu masih tercegat di hadapannya mejanya. Dia tidak mahu berganjak.

“Eh? Nak apa lagi ni? Dahlah… keluar!” sergah Asfahan. Hampir saja terjatuh talam yang dipegang gadis itu oleh kerana terkejut.

Saat gadis itu menghampiri pintu biliknya menuju ke koridor, Asfahan bersuara kembali, “Beritahu papa, kami dah kenal Cik Linda. Tak perlu nak diperkenalkan lagi. Dia bukan wanita yang baik untuk menggantikan mama.”

Gadis itu berpaling. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menutup pintu bilik Asfahan perlahan-lahan.

***

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.