Home Novel Cinta Akulah Si Jelita
Akulah Si Jelita
Syaida Ilmuna Ismail
24/2/2014 15:59:36
23,651
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 9

BAB 9

Bayu berlalu lembut. Dress putih berlengan panjang yang disarungkan Jelita itu berombak tatkala angin sepoi-sepoi bahasa mula mengelus ke arahnya. Suasana makan malam yang berlatarkan bukit-bukau yang berbatu dan limpahan cahaya lampu kecil di sekeliling restoran itu mencambahkan aroma romantis antara Asfahan dan Jelita.

Jelita tidak banyak menata rias wajahnya yang sudah sedia mulus itu. Palitan maquillagehitam pada pelepuk mata serta lipstik merah jambu cair sudah memadai bagi wanita seindah Jelita. Manakala Asfahan pula mengenakan kemeja putih yang disarung jaket kulit coklat ke atasnya. Dahi Asfahan masih lagi berbalut namun pertemuan malam ini sudah cukup meredakan segala kesakitannya.

“Saya happy sangat sebab awak sudi makan malam dengan saya,” ucap Asfahan sambil menggulungkan spaghetti. Namun gulungan spaghetti itu tidak dimasukkan ke dalam mulut.

Jelita tersenyum. Tangannya masih lagi pantas memotong beef steak yang kenyal itu dan mulutnya pula masih tersisa daging steak yang sedang dikunyah.

“Kenapa awak nak balik awal sangat? Saya ingat awak nak duduk lagi dua tiga hari kat sini,” tanya Asfahan. Memang hatinya sedikit kecewa dengan pertemuan yang singkat ini. Tak sempat hendak mengenali Jelita dengan lebih dekat.

“Saya…” Jelita menyudahkan kunyahan daging yang tersisa di dalam mulut. “Ada banyak kerja kat office yang harus diselesaikan. Lagipun memang saya bercadang nak bercuti tiga empat hari je kat sini. Awak bercuti sampai bila?”

“Oh ye ke… saya ingat nak sambung lagi dua tiga hari. Tapi memandangkan awak dah nak balik… saya bercadang nak balik jugaklah dengan secepat mungkin. Bosan tak ada teman.” Gulungan spaghetti yang terbiar tadi baru dimasukkan ke dalam mulut. Hampa hatinya apabila terkenangkan London.

“Laa kenapa pulak? Kat sini kan ada ramai lagi orang. Anyway saya nak kena berterima kasih dengan awak juga atas apa yang berlaku pagi tadi. Awak dah korbankan diri awak demi untuk selamatkan saya. Kalau tak, tak tahulah apa yang terjadi. Mungkin saya pun berbalut di kepala macam awak jugak,” kata Jelita sambil ketawa dihujung bicaranya. Helaian hadapan rambutnya yang mula meliar di hadapan mata ditolak ke belakang telinga. Dia kembali menyambung menguyah daging steak yang dikiranya amat seksa untuk dihadam.

Its okaylah! Lagipun saya tak sepatutnya bawa skuter tu. Patutnya tadi kita naik kereta je. Senang sikit,” balas Asfahan. Perasaan bersalah mulai menyelinap ke hatinya. Pada masa yang sama, ada hal yang ingin dituturkan kepada Jelita pada malam ini. Kedua-dua perasaan ini menambahkan kegelisan pada perlakuannya. Peluh sejuk mulai merintik di dahi Asfahan.

“Emm Jelita…” Asfahan menyambung bicaranya semula.

“Yes?”

“Sebenarnya the reason why saya ajak awak dinner is because… saya ada sesuatu yang terbuku di hati dan saya nak luahkannya pada awak,” kata Asfahan sambil membetulkan posisi kedudukannya. Matanya pula memandang tepat ke arah mata Jelita.

Jelita jadi gemuruh. Apa hal pulak Asfahan ni? Tiba-tiba je serius. “Hal apa yang terbuku di hati tu?”

Actually… I …” Kata-kata Asfahan tersangkut. Dia tidak tahu sama ada ini perkara yang seharusnya dia lakukan ataupun sebenarnya dia memang sengaja ingin menyeliratkan dirinya ke dalam kancah masalah.

Jelita pula ternanti-nanti dengan perkataan yang bakal diluahkan Asfahan. Dia dapat merasakan ia adalah sesuatu yang amat personal.

I really like you. Saya tak tahu macam mana perkara ini boleh terjadi tapi saya memang sukakan awak. Kadang-kadang saya rasa perasaan ini semacam…”

“Semacam cinta?” potong Jelita. Dia memang sudah mengagak! Ternyata tenggelam juga Asfahan ke dalam lautan cintanya.

Yes! Itulah yang saya rasakan walaupun ia seawal tiga hari perkenalan kita. Saya tak mahulah awak menganggap saya ni macam… macam satu pelakon kat Malaysia tu, tiga hari berkenalan terus ajak kahwin! Tapi saya cuma nak mengenali diri awak dengan lebih dekat… dan…”

“Asfahan..!” Jelita mencelah kata-kata Asfahan Redza lagi. “Awak dah ada kekasih! Awak dah lupa dengan dia?”

No… saya tak lupakan dia. Biar saya jelaskan…”

“Semua lelaki akan memberikan penjelasan dan saya dah faham sangat dengan penjelasan yang bakal awak berikan.” Jelita berpeluk tubuh. Daging steak yang kenyal itu tidak lagi disentuhnya. Pandangan matanya pula dilemparkan ke arah bukit-bukau berbatu-batan itu.

Asfahan melepaskan keluhan berat. Dia tahu Jelita tidak mudah untuk diyakinkan. Namun begitu dia tidak mudah mengalah. Cinta ataupun kesukaan ini telah membuatkan dia berfikir panjang sejak akhir-akhir ini.

“Saya tahu awak tak suka pada lelaki macam saya kan? Saya ni macam buaya darat. Dah ada kekasih tapi masih menagih kasih orang lain. Tapi terus terang saya katakan, cinta saya pada kekasih saya tu dah mula pudar sedikit demi sedikit. Kami mungkin tampak bahagia tapi sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang seperti orang sangkakan,” kata Asfahan.

“Pudar? Alasan apa yang cuba awak berikan ni? Saya tak faham kenapa awak masih tergila-gilakan saya dan mudah jatuh hati dengan diri saya. Tapi satu perkara yang saya tahu, kebanyakan orang macam awak hanya jatuh cinta pada paras rupa saya saja.” Bebola mata Jelita menjegil saat patah perkataan itu keluar dari lidahnya.

Please Jelita! Saya benar-benar jujur dan ikhlas. Saya dah berjanji dengan diri saya untuk berubah jikalau… saya dapat mengenali diri awak dengan lebih dekat. Saya akan berusaha untuk bersama-sama dengan awak dan cuba untuk menyelesaikan segala permasalahan yang sedang melingkari diri saya…” jawab Asfahan sambil mengendurkan kata-katanya apabila soal permasalahan mula melatari perbincangan mereka berdua.

“Masalah apa yang awak hadapi sekarang ni? Saya kurang faham…”

“Ada banyak perkara tentang diri saya yang awak takkan faham. Tapi saya berjanji, jikalau di antara kita ada masa depan bersama… saya pasti akan menceritakan kepada awak,” balas Asfahan. Dia masih lagi berselindung tentang hal yang menyelubungi kehidupannya. Walaupun Nadya adalah antara individu yang paling rapat dengan dirinya sekarang, gadis itu pun tidak mengetahui keseluruhan jalan cerita mengenai hidupnya.

Jelita menekur wajahnya. Asfahan sudah benar-benar menggilainya. Apa yang harus dia lakukan?

“Jelita… mengenai kekasih saya tu, saya yakin ada ramai lagi jejaka yang boleh mengisi kekosongan hatinya. Dia… Nadya Darnata. Saya tak pasti awak kenal dia ataupun tidak…”

“Dia pereka fesyen tu kan? Yang rekakan baju untuk Dato’ Siti Nurhaliza?” Jelita pantas menjawab persoalan Asfahan.

“Awak kenal?”

Jelita terketawa kecil. “Siapa yang tak kenal dia… bukan orang Malaysialah! Awak tak rasa rugi ke nak tinggalkan wanita sehebat dia?”

“Bagi saya… saya akan rasa rugi jikalau kehilangan wanita sehebat awak. Sikap awak yang lain dari yang lain, perilaku awak yang menarik dan juga tidak dinafikan kejelitaan awak…”

Jelita mendengus kencang. Kejelitaan? “Bagaimana awak nak yakinkan saya dengan kata-kata awak ni?”

“Kita boleh mengenali antara satu sama lain… awak boleh beritahu kat mana awak tinggal, saya boleh beri awak contactnumber saya. Kita boleh berhubung. Dalam dunia serba moden ini, nothing is impossible! Awak ada Facebook? Twitter? Instagram?” kata Asfahan. Dia kemudian mengeluarkan sekeping kad perniagaan dari koceknya lalu dihulurkan kepada Jelita.

Jelita menepuk dahinya. Tak makan saman langsung! “Awak tinggal di London? CEO Empressive Design?” katanya sambil membelek kad empat segi berwarna putih.

Yes I am. Awak tinggal kat mana?”

“Paris, France.”

“Ada kad tak? Kerja apa?”

“Kerja kuli kat cosmetic company. Kad memang tak ada sebab… saya rasa kuli macam saya tak perlukan kad,” jawab Jelita dengan selamba.

Asfahan menggelengkan kepalanya. “Jelita… Awak jujur dengan saya kan?”

Jelita hanya tersenyum sinis. “Macam ni lah, apa kata kalau kita berjumpa lagi dua minggu dari sekarang? Dalam 20 Januari?”

Pertanyaan Jelita melahirkan sinar di mata Asfahan. “Kat mana dan pukul berapa?”

“Kat Muzium Louvre. Kita lunch di sana.”

“Insya-ALLAH saya akan datang ke sana. Terima kasih Jelita. You don’t know how much this means to me,” kata Asfahan dengan penuh pengharapan.

Jelita pula tidak lekang dari senyuman sinisnya. Dia hanya mengangguk dan mengiyakan kata-kata Asfahan. 20 Januari? Kita tunggu siapa yang akan tepati janji siapa.

***

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail