Home Novel Cinta Akulah Si Jelita
Akulah Si Jelita
Syaida Ilmuna Ismail
24/2/2014 15:59:36
63,627
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

BAB 1

HUJAN membasahi bumi Cappadocia. Inilah kali pertama setelah hampir lima tahun di perantauan Asfahan merasai hujan selebat itu. Hujan yang tidak terduga turunnya. Tak ada ribut mahupun guruh sebagai penanda. Tiba-tiba saja sudah lencun seluruh badannya.

Orang kata bumi Cappadocia mempunyai laras cuaca yang tidak menentu. Sungguhpun dalam musim sejuk, tiba-tiba cahaya matahari boleh terbit membahang di sebalik kepulan awan tebal. Kadang-kadang pula kabus menyelubungi corong-corong guanya, tetapi pada sebelah petang langit membiru seperti musim sejuk bakal berakhir. Begitu jugalah dengan hari ini. Hujan turun tak semena-mena. Entah apa petanda yang dibawanya.

Asfahan duduk berlindung di bawah atap salah sebuah restoran yang terkenal di Cappadocia. Beberapa hari yang lepas dia ada menjamu selera di sini. Ternyata masakan selera Mediterraneannya memang sedap. Bagi Asfahan, Cappadocia adalah di antara destinasi percutian yang terindah. Esok, jikalau cuaca dalam keadaan baik, dia bercadang untuk menaiki belon udara. Suatu aktiviti wajib bagi sesiapa saja yang datang bercuti ke Cappadocia.

Hujan masih belum mahu berhenti. Sudah hampir sepuluh minit dia menunggu. Kalau diikutkan hati mahu saja dia meredah hujan ini. Hotel Kelebek yang didiaminya itu tidaklah jauh mana. Hanya tinggal beberapa meter saja dari restoran ini. Ah! Berapa lama lagi aku harus menunggu?

Ketang! Bunyi tersebut menyentap jantung Asfahan secara tiba-tiba. Ada orang lain yang berteduh di sini selain dirinya. Asfahan tertoleh-toleh ke belakang. Tercari-cari kelibat manusia yang senasib dengan dirinya.

Who’s there?” tanya Asfahan. Dia berjalan ke lorong belakang restoran. Hujan yang kini sudah mula merintik ke badannya dibiarkan begitu saja. Perasaan ingin tahunya itu telah membatasi segala-galanya.

Seorang wanita berkot putih paras lutut keluar dari tempat persembunyian. Dia memegang sekaki payung lutsinar putih dan berkasut but hitam. Rambut hitamnya diikat sanggul siput dan bibir mungilnya pekat dengan calitan lipstik merah. Mata bundarnya teragak-agak hendak memandang tepat ke mata Asfahan. Mungkin dia masih kurang yakin sama ada dia boleh mempercayai Asfahan ataupun tidak.

Miss? Are you okay? What are doing here? At this… dark place?” Memang lorong belakang restoran ini agak bahaya tempatnya. Gelap dan boleh mengundang pelbagai jenis jenayah. Bagi wanita secantik dia, ia adalah suatu perkara pelik untuk berlindung di ceruk lorong begini. Sedangkan Asfahan sendiri berteduh di hadapan pintu restoran yang agak cerah suasananya. Kalau apa-apa terjadi, mudah baginya untuk menyelamatkan diri.

You need an umbrella?” Wanita itu tidak menjawab pertanyaan Asfahan. Dia menghulurkan payung lutsinarnya kepada Asfahan dan meleretkan senyuman kecil. Asfahan mengagak mungkin wanita ini tidak memahami apa yang diperkatakannya.

Thank you. I think I’d better send you to your hotel. Where is your hotel?” Asfahan membuka payung yang telah diberikan kepadanya. Dia berharap kali ini wanita itu menjawab pertanyaannya dengan betul. Sekurang-kurangnya dapatlah dia menghantarnya pulang dengan selamat.

“Kelebek. Hotel Kelebek.”

Oh that’s my hotel too!” Nasib baiklah dia faham pertanyaan aku tadi. Untunglah juga dia tinggal satu hotel dengan aku rupanya. Boleh tumpang payung sekali kan?

Thank god! Well.. I’m Jelita!” Wanita itu menghulurkan tangannya kepada Asfahan. Wajahnya tak lekang dengan senyuman. Sungguh manis dan menawan. Buat seketika waktu, fikiran Asfahan melayang entah ke mana-mana.

What? Sorry, I’m not listening..”

Jelita! My name is Jelita.”

“Jelita?!” Nama orang Melayu. Entah-entah orang Malaysia. Kalau tak Malaysia mesti warganegara Indonesia ataupun Singapura. “Awak orang Melayu ke?”

“Haa?” Suara Asfahan tenggelam dalam bunyi hujan yang makin melebat. Nampaknya payung yang melindungi mereka juga tidak dapat menampung kelebatan hujan tersebut.

Asfahan terpaksa menarik lengan Jelita dan berlari-lari anak ke arah hotel mereka yang berada selang dua simpang dari tempat mereka berteduh. Hujan yang bercampur dengan sedikit angin membuatkan payung yang dipegang Asfahan hampir-hampir melayang. Namun nasib baiklah tenaga lelaki yang dimilikinya masih mampu bertahan.

Akhirnya mereka sampai di perkarangan hotel Kelebek. Asfahan memperkemaskan pegangan eratnya ke lengan Jelita lalu menolak keras pintu kaca berwarna-warni yang menghalangi langkah mereka. Rempuhan masuk secara mengejut itu mengkagetkan seisi pelancong yang berada di lobi. Payung yang berada di tangan Asfahan tercampak ke meja resepsi. Manakala mereka berdua terduduk melepaskan lelah di tengah-tengah lobi yang berlantaikan marmar itu.

Pekerja hotel serta pelancong yang berada di sekeliling lobi melihat mereka dengan wajah yang menjengkelkan. Sudahlah masuk tak beri salam, lepas itu boleh pulak buat perangai duduk di atas lantai serba indah ini dengan keadaan basah kuyupnya! Asfahan mahupun Jelita kedua-duanya saling melepaskan sesak di dada dan tersenyum antara satu sama lain. Akhirnya mereka berdua menghamburkan ketawa akibat geli hati dengan perilaku mereka sendiri.

Asfahan bangun dan bergerak ke arah Jelita. Tangannya dihulurkan untuk membantu Jelita bangun dari posisinya.

Are you okay?” tanya Asfahan sambil menarik kedua-dua belah tangan Jelita.

Jelita bangun dan memperbetulkan rambutnya yang kusut masai. Ikatan siput itu dileraikan. Rambut hitam panjang mengurainya memperlihatkan lagi sisi Jelita yang memang sungguh jelita. Padanlah dengan namanya, wanita ini memang menawan.

Asfahan menghulurkan payung lutsinar putih yang tercampak di tepi meja resepsi tadi kembali kepada Jelita. Manakala Jelita pula hanya mengangguk dan tersenyum kecil.

So sorry about what happen. Anyway I’m Asfahan.” Asfahan masih mengharapkan balasan jawapan daripada wanita ini. Mungkin soalan terakhirnya tadi sebelum mereka berlari melulu ke sini tidak didengari Jelita oleh kerana hujan terlalu lebat.

“Terima kasih banyak-banyak ye,” balas Jelita dengan selamba. Tanpa berlengah, dia terus berlari naik ke atas tangga kecil di ceruk lobi tanpa menunggu kata-kata balasan dari Asfahan.

Asfahan yang masih diawang-awangan terasa seperti bermimpi. Dia cakap apa tadi? Terima kasih..? Terima kasih banyak-banyak? Astaghfirullah! Dia orang Melayu!

“Cik! Cik! Tunggu!” Asfahan meluru ke arah tangga kecil yang dinaiki Jelita tadi. Wanita itu sudah tidak kelihatan. Kalau tak silap dia, tangga ini menghubungkan ruangan lobi dengan bilik-bilik King Suitsyang serba mewah itu. Bilik yang kaya dengan gaya Mediterranean ini mengadaptasi konsep gua dan susunan batu-batu melengkung pada dinding hotel yang amat unik. Sekali imbas seperti berada di zaman pemerintahan Rom di suatu ketika dulu.

Asfahan duduk termangu di anak tangga tersebut. Malam ini dia terasa bagaikan bermimpi. Sepertinya dia telah bertemu seorang bidadari yang memakai kot putih. Siapakah dia? Dia orang Malaysiakah? Aku teringin sekali bertemu dengannya lagi….

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.