Home Novel Cinta Jatuh Hati Di Paris
Jatuh Hati Di Paris
Zura Rahman
29/1/2014 09:49:37
49,594
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Setelah meredah perjalanan yang sarat dengan trafik selama hampir satu jam, Nadia menarik nafas lega apabila dia sudah menghampiri bangunan pejabatnya. Dia membelokkan kereta dan memasuki kawasan letak kereta yang terletak di dalam bangunan itu. Dia bernasib baik kerana berjaya mendapatkan kemudahan meletak kereta di bangunan itu kerana tempat parkir di situ terhad. Jika tidak, dia terpaksa meletak keretanya di tempat letak kereta awam yang terletak di belakang bangunan.

“Selamat pagi, Nadia,” sapa Carol apabila melintasi meja kerja Nadia. “You kelihatan ceria hari ini. Baju baru ke?” soal Carol, memandang Nadia dari atas ke bawah.

Seluar panjang hitam Ted Baker yang dipadankan dengan kemeja jalur kuning lemon dan putih dari jenama yang sama serta selendang berona kuning bercorak abstrak betul-betul menghidupkan penampilannya pagi Isnin itu.

“Selamat pagi, Carol. You apa khabar?” tanya Nadia seraya tersenyum. Carol, ibu muda beranak dua itu merupakan antara orang yang terawal akan tiba di pejabat. Di tangannya terdapat sebuah mug. Asap berkepul keluar dari mug.

“I baik-baik saja cuma bosan sedikit bila you tak ada. Macam mana dengan percutian you?” tanya Carol lagi selepas menghirup Milo panas yang menjadi rutinnya setiap hari.

“Seronok!” jawab Nadia. Tas tangan diletakkan ke dalam laci meja.

“Lamanya you cuti? You pergi mana sebenarnya? Tak beritahu I pun...”

“Maaflah, Carol... I sengaja tak mahu heboh-heboh. Lagipun I sibuk sangat sebelum I cuti.”

“Tak apa… I cuma hairan tengok you hilang lama sangat,” kata Carol.

“I tak sempat nak beritahu sesiapa pun. I cuma beritahu bos I aje… I pergi Eropah,” beritahu Nadia.

“Seronoknya. You ambil pakej dengan agensi mana?” tanya Carol lagi.

“Kami uruskan sendiri. I backpacked bersama kawan-kawan.”

“Wow, seronoknya! Tahun lepas I pergi London dan Paris… tapi I tak suka backpacking. Penat. I lebih suka holiday yang santai,” terang Carol tanpa dipinta. “You pergi berapa orang?”

“Empat orang. Eh, Carol... you dah sarapan? I nak pergi kantin ni.”

“Sudah. I makan sandwic tadi,” balas Carol yang sentiasa menjaga pemakanannya. Patutlah dia kurus dan bertenaga. Carol akan memastikan apa yang dimakannya kurang berlemak dan berkalori rendah.

Carol kembali ke meja kerjanya tidak jauh dari meja Nadia. Dia menuang air putih ke dalam mug lain dan meneguknya senafas.

“You dapat habiskan air sebanyak itu?” tanya Nadia sambil menunjuk ke arah botol besar berisi air putih di atas mejanya.

“I mesti minum sekurang-kurangnya 2 liter air masak setiap hari. You pun patut buat begitu,” saran Carol.

“Sebotol besar ni?” Botol yang bercorak daun hijau yang terletak di atas meja Carol dipegangnya.

“I mesti habiskan juga. By hook or by crook.” Carol tersengih.

Nadia selalu melihat Carol mengisi botol sebesar 2 liter itu penuh dengan air putih pada waktu pagi dan isi botol itu akan kosong menjelang petang. Cuma hari ini, dia membuka mulut bertanya Carol rahsia dia berbuat begitu.

“Setiap satu jam, I akan minum segelas air. Apabila you minum air, ada caranya,” terang Carol.

“Betul ke? Macam mana?”

“Bila you minum air putih, you harus minum satu mug ini sehingga habis. Jangan minum seteguk atau dua teguk saja. Bila you sudah biasa habiskan satu mug penuh air masak, you tiada masalah untuk habiskan satu botol besar ini,” terang Carol.

Tidak pula dia tahu untuk minum air pun ada caranya. Nadia baru sedar mengapa dia gagal untuk mencukupkan jumlah air yang diperlukan oleh tubuh badan setiap hari kerana dia minum sedikit demi sedikit. Sudahnya, menjelang tengah hari baru dia dapat menghabiskan satu mug.

“Walaupun agak mustahil minum dua liter air semasa bekerja dalam bilik berhawa dingin, sebenarnya ia boleh dilakukan. Cuma you harus berdisiplin.”

Nadia mengangguk-angguk perlahan. “Baiklah. I akan cuba cara yang you cadangkan.”

“Cuma jangan risau kalau you lebih kerap ke tandas.” Carol mengingatkan Nadia. Dia tersenyum lebar.

Nadia teringat bahawa dia mahu turun ke kantin. “I nak pergi beli nasi lemak ni. Sudah tiga minggu I tak makan nasi lemak. Rindu pula.” Senyum Nadia lebar penuh makna.

Kantin tersebut tidak begitu besar, tetapi cukup untuk memenuhi keperluan kakitangan yang bekerja di bangunan itu. Nadia yang jarang menikmati nasi lemak begitu mengidam nasi lemak pagi itu. Selalunya, dia hanya memakan sandwic atau kuih-muih bagi mengisi perutnya,

Jam sudah menunjukkan pukul 8:45 pagi. Kelihatan semakin ramai rakan sekerja yang telah masuk ke ofis. Di atas mejanya terdapat beberapa dokumen yang diterima semasa bercuti. Terdapat juga dua draf kertas kerja disusun bersama dokumen-dokumen dan surat-surat.

Kemudian, Nadia membuka peti e-mel. Peti e-mel penuh kerana hampir tiga minggu dia tidak memeriksa e-melnya. Kerja yang sedia banyak semakin menimbun walaupun sesetengahnya telah diselesaikan sebelum dia bercuti tempoh hari. Dia perlu mengasingkan e-mel yang memenuhi mailbox itu ke folder masing-masing. Mana-mana email yang diterima bertanda ‘urgent’ akan dibaca dahulu dan dia akan membalas e-mel tersebut secepat mungkin.

Sedang Nadia asyik membaca satu e-mel, satu suara menegurnya. “Welcome back! Bagaimana dengan cuti?” Bosnya, Zainudin sedang tercegat di sisi meja.

Nadia mengalihkan pandangan dari skrin komputer dan mendongak sedikit memandang Zainudin. “Awesome!”

“Banyak-banyak tempat, tempat mana yang you paling suka? Amsterdam?” tanya Zainudin sambil membetulkan tali leher yang sedang dipakai. Hari ini, dia mengenakan baju kemeja berwarna pink dan dipadankan dengan tali leher yang juga ada rona pink berjalur biru.

“You ada cuba kokain atau teh kokain?” Zainudin bertanya lagi dengan nada bergurau. Ketawa yang agak kuat meletus. Beberapa orang pekerja yang kebetulan lalu di situ memandang mereka.

“Tak berani I. Nanti ketagih pula,” jawab Nadia. Ketawanya masih lagi bersisa. Jelas terbayang di matanya Amsterdam, satu bandar yang unik di mana kokain dihalalkan dan digunakan secara terang-terangan.

“You ada pergi Red Light District tak?” Zainudin masih lagi berminat dengan negara itu.

Nadia menahan ketawa dan seolah-olah dia bertanggungjawab menjawab soalan daripada bosnya. “I pergi situ, tapi taklah masuk ke tempat tu. Tempat itu memang unik, kelakar pun ada…”

“Apa yang kelakar?” Zainudin mengerutkan dahi.

“Di situ you akan tengok dia orang mempamerkan perempuan di tingkap. Kelakar betul, tapi I betul-betul suka Amsterdam. Kalau you pergi sana mesti you suka…” kata Nadia, sengaja mahu menceriakan mood hari itu. Hari pertama masuk kerja dari cuti yang panjang, Nadia rasa seperti terpaksa mengheret kaki ke ofis.

“Kali pertama I pergi sana bersama dengan kawan-kawan semasa I belajar dulu, kita orang semua terkejut… tapi seronok.”

“Walaupun pada mata kasar keadaan di situ nampak bahaya, sebenarnya ia selamat. Mula-mula tu, kami risau juga terutama apabila melalui lorong-lorong yang dipenuhi pemuda-pemuda setempat serta pelancong, tetapi sangkaan kami meleset. Sepanjang berada di sana, tidak pernah sekali pun kami diusik,” cerita Nadia lagi.

“Betul tu. Ia sebuah tempat yang selamat. Jika ada rezeki, I mahu ke sana lagi,” kata Zainudin. “You dah sarapan?” Zainudin menukar tajuk perbualan pula.

Nadia menjawab pendek. “Sudah. Di bawah tadi.”

“You dah bersedia untuk bekerja? Ramai orang rindukan you.” Zainudin berlalu pergi.

Nadia menghela nafas. Ramai orang yang rindukannya? Itu sememangnya satu berita yang tidak bagus.


Nadia mengerling ke arah jam tangan. Tanpa sedar hari sudah menginjak tengah hari. Dia terlalu leka menyelesaikan hutang kerjanya sehingga tidak sedar bahawa kebanyakan rakan sepejabat telah pun keluar.

Telefon bimbit Nadia berbunyi. Nama Jamil tertera di skrin Blackberry. Telefon yang disediakan oleh pihak syarikat itu telah digunakannya hampir dua tahun. Blackberry itu bagaikan nyawanya kerana dia perlu sentiasa memeriksa pesanan ringkas atau e-mel penting daripada pelanggan atau bosnya. Jika dia tidak berbuat begitu, masalah mungkin melanda. Kadang-kadang kemudahan yang disediakan bagaikan satu sumpahan. Apa tidaknya, jika dia terpaksa membalas SMS bosnya pada pukul 12.00 tengah malam!

“Makan mana hari ni?” Suara Jamil di hujung sana bertanya selepas salam diberi.

“Tak pasti lagi.”

“Jom lunch dengan I. I ambil you di ofis,” cadang Jamil.

Nadia berkira-kira jika dia patut keluar atau tidak memandangkan banyak lagi kerja yang perlu diberes. Dari tadi, dia tidak berganjak. Patutlah belakangnya terasa sedikit tegang.

“Hari ini tak boleh Mil, I ada kerja yang harus dihantar petang nanti.”

“Habis tu, you tak nak makan ke?”

“I beli di kantin aje...”

“Esok macam mana? I jemput you pukul 12.00.”

“Maaf Mil, I tak boleh janji. Banyak sangat kerja I yang belum beres.. Kalau I senang I telefon you, ya?”

Entah mengapa, dia seperti tiada semangat untuk berjumpa dengan Jamil. Sesuatu sedang mengganggu fikirannya. Selepas mematikan telefon bimbit, Nadia meneruskan kerjanya. Apabila sudah tidak tertahan lapar, akhirnya dia terpaksa mengalah. Dia hanya akan membungkus nasi campur di kantin saja untuk mengalas perutnya.

Jam hampir menunjukkan pukul 7.00 malam. Nadia dan beberapa orang rakan sepejabat masih lagi berada di ofis. Seperti biasa, kebanyakan pekerja di situ pulang lewat kerana mereka diberi tempoh masa yang sangat ketat untuk menyediakan sesuatu kertas kerja. Selain membuat analisa ke atas kredibiliti kredit pelanggan, mereka juga perlu meneliti dokumen undang-undang dan perkara yang berkaitan.

Tiba-tiba Nadia teringat akan sesuatu. Dia mencapai telefon bimbit yang diletakkan di dalam laci meja lalu mendail satu nombor.

“Assalamualaikum,” sapa Nadia.

“Waalaikumussalam. Nadia, bila balik dari Eropah?” tanya Aza ceria.

“Aku touched down, Sabtu lepas.”

“Kau kat mana ni?” tanya Aza lagi.

“Ofis,” jawab Nabila pendek.

“Tak balik kerja lagi?”

“Belum. Biasalah, bila balik dari cuti panjang, kerja menimbun.”

“Macam mana trip kau?” tanya Aza berkenaan percutian Nadia ke Eropah baru-baru ini.

“Seronok sangat!”

“Ceritalah, mesti seronok. London macam mana sekarang? Aku rindu nak pergi sana lagi.” Aza kedengaran begitu teruja.

“London sangat lain dari waktu kita di sana dulu… banyak benda yang dah berubah.”

“Ada gambar tak? Aku nak tengok.”

“Nanti aku e-mel gambar-gambar tu. Tak pun kau datang melawat kita orang di rumah. Senang, tak payah aku e-mel. Lagipun kita dah lama tak jumpa, kan…”

“Itulah masalahnya. Aku bukannya tak nak pergi sana. Tahulah dengan jadual kerja Zul yang tak menentu, dengan anak-anak lagi, aku memang sibuk sangat. Kalau kau orang datang melawat aku pun boleh, kan…”

“Hmm… okey juga tu. Tapi, aku tak boleh janji bila,” kata Nadia.

“Datanglah… nanti aku boleh masak.” Aza membuat cadangan.

“Aku ada sesuatu nak cerita pada kau,” kata Nadia mendatar.

“Apa dia? Serius bunyinya.”

“Aku terjumpa seseorang di sana.”

“Seseorang? Siapa?” Suara Aza naik beberapa not.

“Kau masih ingat Arief?”

“Arief? Arief mana?” tanya Aza.

“Cuba kau ingat balik. Kau pernah dengar nama tu...”

“Maaflah, Nadia… aku tak boleh ingat. Arief yang mana ni? Kau pernah cerita pada aku?” Aza meminta kepastian.

“Arief mana lagi...”

“Oh, maksud kau, Arief tu?” tanya Aza sambil menekan perkataan ‘tu’.

“Ya… aku terserempak dengan dia di sana.”

“Apa? Banyak-banyak tempat, di situ kau jumpa dia? Kecilnya dunia ni! Kau terjumpa dia di mana sebenarnya? Macam mana rupa dia sekarang?” soal Aza bertalu-talu, tidak sangka sama sekali dengan berita terbaru Nadia.

“Di Budapest. Aku tersempak dengan dia di atas kereta api,” beritahu Nadia mendatar seolah-olah tidak bersemangat.

“Dia kenal kau lagi?”

“Dia ada tegur aku.”

“Lepas tu, apa yang berlaku?” tanya Aza lagi.

“Tak ada apa-apa pun yang berlaku...”

Aza melahirkan kebimbangan. “Itu aje? Betul ke ni?”

“Betul. Kami hanya terserempak sekejap.”

“Aku ingat ada cerita sensasi tadi. Buat saspens sahaja aje.”

“Waktu tu, aku pun saspens juga. Yalah, tak sangka setelah begitu lama akhirnya kita orang ditemukan kembali. Aku ingat aku takkan berjumpa dia lagi… ”

“Kebetulan pula. Macam mana rupa dia sekarang?”

“Hmm… tak banyak berubah. Aku masih kenal dia.”

“Kau orang ada berbual tak?”

“Tak… hari dah malam. Lagipun aku tak tahu apa yang perlu dibualkan lagi. Lepas tu, kita orang tak terserempak lagi.” Nadia tidak menceritakan kepada Aza bahawa seboleh-bolehnya dia mahu lari dari situ. Dia lega apabila keesokan harinya, mereka tidak bersua lagi.

“Tak apalah Nadia… cerita lama. Eh, bila kau senang datanglah sini, boleh kita bercerita. Anak aku menangis tu, aku telefon kau sekejap lagi.” Aza berjanji.

Talian dimatikan. Nadia bersandar ke kerusi. Niat untuk menyambung kerja sudah terbantut. Fikirannya melayang kepada peristiwa 11 tahun lepas. Tidak semena-mena, hatinya berasa sakit seperti ditusuk sembilu. Tidak sangka kisah cinta pertamanya berakhir begitu saja. Adakah cinta memang menyakitkan? Jika benar cinta menyakitkan, mengapa terlalu ramai orang yang ingin bercinta? Nadia bermonolog sendiri. Selepas itu, dia mengemas mejanya dan meninggalkan pejabat.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.