Home Novel Cinta Jatuh Hati Di Paris
Jatuh Hati Di Paris
Zura Rahman
29/1/2014 09:49:37
49,473
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Sementara itu, di London.


“Kau dah siap assignment kau, Lyn?” tanya Mutia sambil mengupas bawang. Mutia mengelap mata yang mula berair dengan lengan baju.

“Ada sikit lagi. Hari ini aku akan siapkan,” balas Lyn.

“Sibuk betul minggu ni. Minggu depan nak exam, minggu ni nak siapkan assignment pula. Nak pecah dah kepala aku ni…” gerutu Mutia. Mereka semua sibuk mengulang kaji pelajaran memandangkan lagi dua minggu cuti semester akan bermula. Masing-masing bertungkus lumus menyiapkan kertas kerja dan juga persediaan menghadapi peperiksaan.

Lyn ketawa mengekek dengan jawapan Mutia. Dia bernasib baik kerana dia tidak ada banyak kertas kerja seperti Mutia.

“Hai, geng... dah siap ke ayam masak merah?” Nadia yang muncul di dapur bertanya. Kerinduan terhadap tanah air membuatkan mereka sepakat untuk memasak sesuatu yang pedas dan menyelerakan.

“Apa pula siap, tengah kupas bawang ni,” jawab Mutia yang sedang menahan air hidung daripada keluar. Tugas memasak hari ini diberi kepada Mutia dan Lyn. Menu Asia atau lebih tepat masakan Melayu menjadi pilihan.

“Tengok tu, baru kupas bawang sikit dah meleleh air mata, hidung segala. Kau kena banyak praktis duduk di dapur ni, Mutia,” kata Lyn tanpa berlapik. Mutia yang pada mulanya ditugaskan untuk memasak lauk-pauk telah mengalih tugasnya itu kepada Lyn dengan alasan air tangan Lyn lebih sedap. Lyn yang tidak berpuas hati dengan sikap Mutia yang tidak rajin ke dapur mula mengungkit dan pertelingkahan kecil bermula.

Suasana di dapur riuh-rendah. Walhal, mereka hanya memasak ayam masak merah, nasi putih dan sedikit sayur campur tetapi lagaknya seperti sedang mengadakan satu majlis keramaian. Apabila Lyn dan Mutia bertemu, suasana akan menjadi seperti anjing dan kucing. Sudahnya, Nadia terpaksa menjadi pengadil.

“Anak dara, kalau malas ke dapur, alamak susah nanti bila berkahwin.” Lyn mula berkhutbah seperti seorang emak kepada anak daranya dengan tujuan menyakat Mutia yang tidak gemar ke dapur.

“Zaman milenium sekarang ni, petik saja tangan semua boleh dapat. Piza, burger, tom yam, semua ada. Buat apa susah-susah nak ke dapur?” Giliran Mutia pula memberi hujahnya.

“Nanti kalau cik abang nak makan di rumah macam mana? Takkan nak order ayam masak merah di kedai pula.”

“Alah… bila kita fikir senang, semua perkara jadi mudah. Bungkus sahaja di luar dan makan di rumah. Senangkan…” Mutia tetap tidak mahu mengalah. “Selagi kita hidup di bumi Malaysia, setakat nak cari lauk-pauk untuk makan malam tidak susah. Hanya perlu sediakan duit!”

Dia akui, dia memang kurang rajin untuk ke dapur. Sejak kecil, dia tidak diajar untuk menolong ibunya di dapur. Yang dia tahu, goreng telur, masak sup sayur dan masak nasi sahaja. Kalau nak suruh dia bergulai dan memasak sesuatu yang lebih rumit, dia tewas.

“Cik Mutia oiii… sekarang, kau boleh cakap macam tu. Bila kau kahwin nanti, jangan menyesal. Lelaki ni, salah satu cara untuk mengambil hatinya ialah dengan menjaga perutnya…”

Mutia ketawa mengekek. “Ada-ada saja kau ni. Itu pepatah kuno tau. Dah tak relevan pada zaman sekarang.”

“Wah! Wah! Wah! Tak relevan konon… jangan pula kau kena masuk kelas memasak bila dah kahwin nanti!”

“Wei… aku belajar pandai-pandai bukan nak duduk di dapur 24 jam. Aku akan cari seorang suami yang memahami tugas seorang isteri yang bekerja. Tak begitu, Nadia?” Mutia mengarahkan pertanyaan kepada Nadia yang sedang menyukat gula.

Kali ini, Nadia hanya tersengih, tidak mahu memihak pada mana-mana pihak walaupun kata-kata Lyn ada kebenarannya. Bagi dirinya, seorang wanita harus tahu ke dapur walau setinggi mana mereka belajar. Tugas di dapur itu secara naturalnya ialah tugas seorang wanita. Walaupun lelaki boleh menggantikan tugas wanita di dapur, ia mungkin tidak sama.

“Kau orang ni, kalau satu hari tak bergaduh tak boleh ke? Macam anjing dengan kucing!” tegur Aza sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Hidup ini jika tidak diselang-selikan dengan sedikit pergaduhan, kurang serinya. Macam bila kita masak, mesti ada rasa masam, manis, masin dan pedas… baru sedap,” jawab Lyn. Dia tersengih.

“Amboi! Bukan main kau sekarang ni. Bermadah-madah macam ni… hmm ada apa-apa yang aku tak tahu?” tanya Aza sambil mengecilkan mata ke arah Lyn.

Lyn menjongket bahu. “Hah? Apa? Takde apa-apa…”

Aza mendekatkan dirinya dengan Lyn.“Baik kau beritahu aku apa yang terjadi…”

“Apa? Tak ada apa-apalah…” Lyn buat-buat sibuk dengan kuali yang sudah tidak berisi. Dia menguis-nguis baki minyak yang tertinggal di kuali. Mutia yang sedang mengambil pinggan sudah tersengih lebar.

“Beritahu aku, budak lelaki mana yang sudah mengambil hati kau?”

“Eh, mana ada. Kau orang ni. Kalau nampak aku gembira sikit mesti nak kaitkan dengan budak lelaki. Bosan!”

“Kau marah ke? Aku bergurau aje....” Aza tidak sedap hati jika kata-katanya akan membuat Lyn kecil hati kerana antara mereka berempat, Lyn sahaja yang belum ada teman lelaki. Bukan tidak ada yang mencuba, tapi Lyn seperti kurang berminat. Manakala si jejaka yang dia suka pula menolaknya mentah-mentah. Dia memeluk kawannya itu. “Jangan marah ya… aku gurau aje tadi.”

“Tak marah pun…”

“Kau masak apa ni?” tanya Aza seraya menjenguk ke dalam periuk yang sedang dikacau-kacau oleh Nadia. Dari tadi, dia melihat Nadia memberi perhatian terhadap masakannya.

“Bubur kacang,” jawab Nadia.

“Wow, nampaknya hidangan makan malam kita akan lengkap dengan pencuci mulut tradisional sekali!” Sejak tinggal bersama, mereka bergilir-gilir memasak. Walaupun tiada jadual khusus untuk memasak, mereka sudah arif akan peraturan di rumah itu. Mereka akan memasak dan mengemas secara bergilir-gilir. Untuk berlaku adil, sesiapa yang memasak, dia akan dikecualikan daripada mengemas selepas makan. Jadi untuk kali ini secara rasminya Nadia tidak perlu berada di dapur, tetapi dia dengan sukarela sudah menawarkan diri untuk membuat pencuci mulut.

“Mana kau dapat kacang hijau ni?”

“Adalah…” Nadia tersengih lebar. “Ia akan menjadi pencuci mulut terbaik tahun ini!” Kali terakhir dia menikmati bubur kacang hijau ialah sebelum dia datang ke bumi Inggeris ini. Kerana kerinduan yang teramat, dia beria-ia benar memasaknya hari itu.

“Wow, siap ada gula melaka lagi! Ini sudah dikira betul-betul asli!” kata Aza apabila melihat beberapa keping gula Melaka di situ.

“Mesti. Bubur ni harus dimasak dengan sempurna, cukup manis, lemak dan masin. Mana nak dapat bubur macam ini di sini…” sambung Nadia. Keningnya diangkat sedikit. Api dapur ditutup. “Siap!” katanya membuat pengumuman.

“Jom, makan!” kata Lyn yang sudah bersedia untuk menyuap nasi ke mulut. Begitu pantas Lyn bertindak. Tadi dia dilihat masih berada di dapur bersama ayam masak merahnya, sekarang dia sudah berada di meja makan.

Makan malam hari ini dirasakan begitu menyelerakan. Dengan hidangan Melayu begini, fikiran masing-masing melayang ke bumi Malaysia.

“Setahun lagi kita akan habis belajar. Apa perancangan kau orang?” Nadia membuka bicara.

“Kerjalah. Buat apa lagi…” jawab Lyn.

“Kau nak kerja di mana?”

“Insya-ALLAH di Kuala Lumpur.”

“Aku pun,” kata Nadia. Mutia dan Aza juga mengiakan.

“Kalau macam tu, apa kata bila kita kerja nanti, kita tinggal satu rumah? Senang sikit,” cadang Nadia.

“Bagus tu. Tapi kalau kita semua dapat kerja di tempat lain-lain macam mana? Shah Alam ke, Rawang ke… macam mana nak duduk satu rumah?

“Yang itu kita fikirkan kemudian,” kata Nadia.

“Aku cadang lepas graduation nanti, aku nak bertunang dengan Zul. Jadi mungkin aku takkan lama tinggal bersama-sama kau orang,” kata Aza. Itu yang dia dan Zul telah persetujui.

“Sebelum itu, kau masih boleh duduk sama-sama kita orang, kan?” tanya Nadia. “Bila kau orang nak kahwin?”

“Tak pasti lagi. Kami nak kerja dulu setahun dua, lepas tu baru kahwin.”

“Kau Nadia, macam mana?” tanya Mutia yang kelihatan begitu berselera menjamah nasi.

“Kata Arief, bila aku balik Malaysia nanti, dia mahu perkenalkan aku dengan mama dan papanya.”

“Maksudnya?” tanya Mutia.

“Aku jumpa mama dan papa Arief dulu, kemudian baru dia hantar rombongan merisik. Kemudian, Insya-ALLAH kami akan bertunang.”

“Hmm... pelik pulak bunyinya,” kata Lyn.

Mata Nadia tiba-tiba tertumpu ke arah Lyn.

“Sorry… aku tak maksudkan apa yang aku kata tadi. Hmm… maksudnya ibu bapa Arief nak jumpa kau dulu sebelum mereka masuk merisik?”

“Macam itulah lebih kurang…”

“Ibu bapa dia orang tidak tahu ke pasal hubungan kau orang berdua?”

Nadia menggeleng-gelengkan kepala.

“Kenapa?”

“Arief kata, dia belum bersedia memberitahu keluarganya kerana dia pun masih lagi belajar. Tak lama lagi, dia akan habis belajar dan mula bekerja. Kami rasa itu waktu yang sesuai.”

“Ooo…”

“Boleh aku tanya sesuatu?” tanya Aza pula.

“Aku pernah dengar Zul cakap yang Arief ni anak orang kaya. Betul ke?”

“Aku tak tahu kaya atau tidak sebab dia tak pernah cerita, cuma dia ada bagitahu yang papa dia ada perniagaan sendiri di Kuala Lumpur. Tapi, aku dapat rasa dia daripada keluarga senang.”

“Aku pun rasa macam tu. Gaya dia, gaya anak orang kaya walaupun dia nampak macam low profile,” komen Lyn.

“Aku positif dia anak orang kaya cuma dia tak nak menunjuk-nunjuk.” Buat pertama kali Mutia sependapat dengan Lyn.

“Jadi, kau tak tahu langsung pasal keluarga dia?” tanya Aza.

“Sikit-sikit adalah. Dia tak suka bercerita sangat hal famili dia. Lagipun kita orang bukannya jumpa selalu. Bila bercakap di telefon, tak terlintas nak bercerita pasal benda macam tu.”

“Bila dia grad, Nadia?”

“Tahun ni. Katanya dia akan balik Malaysia, tunggu aku di sana. Bila aku balik nanti, dia nak bawa aku jumpa ibu bapa dia.”

“Hmm, tak sabar rasanya nak habis belajar… kerja… ada duit sendiri… lepas tu kahwin.” Lyn berangan-angan.

“Kau ni, Lyn... tak habis-habis dengan angan-angan kau nak kahwin. Teman lelaki pun kau belum ada!” tingkah Mutia.

“Pasal teman lelaki jangan sebut. Sensitif tau!” Lyn menggoyang-goyangkan jari telunjuknya berupa amaran.

“Apasal pulak? Macam mana Ameer yang kau usha tu?”

“Melepaslah… dia sudah ada teman wanita rupa-rupanya.” Lyn menjuihkan bibir.

“Aku tak pernah nampak pun dia berkepit dengan mana-mana budak perempuan di sini?” tanya Mutia.

“Memanglah… sebab… awek dia tu sedang belajar di Malaysia.”

“Ooo begitu…”

“Sudah nasib badan. Tak apa, suatu hari nanti aku yakin aku akan jumpa juga ‘Prince Charming’ aku tu,” kata Lyn sambil tersengih.

“Insya-ALLAH...” Nadia menyokong. Dia tidak mahu mengecilkan hati kawannya yang kurang bernasib baik dalam bercinta. Jika dia berada di tempatnya, tentu sekali dia rasa cemburu apabila melihat rakan-rakannya bahagia bersama teman lelaki masing-masing.

“Okey, berbalik pada perancangan kita. Aku kira kita setuju untuk tinggal bersama-sama, kecuali jika tempat kerja masing-masing jauh,” kata Nadia.

“Setuju!” Lyn, Mutia dan Aza menjawab serentak. Mereka makan dengan begitu berselera. Habis nasi satu periuk. Lauk ayam masak merah juga tidak bersisa.

Selepas usai mengemas dapur dan meja makan, Nadia masuk ke bilik. Dia menunaikan solat isyak dan memanjatkan doa kepada ALLAH supaya dipermudahkan semua pembelajarannya dan supaya dia dapat lulus dengan cemerlang. Selepas itu, Nadia melipat telekung sembahyang dan meletakkannya di dalam almari. Dia kembali ke meja belajar. Beberapa buah buku tersusun kemas di atas meja studi yang terletak di hujung bilik.

Buku Statistik setebal hampir dua inci diambil dan muka surat 94 dibuka - Advanced Probability Theory. Dia perlu membuat sedikit ulang kaji bagi subjek ini, tetapi buku itu diletakkan kembali. Dia masih punya masa untuk mengulang kaji sebelum hari peperiksaan. Yang penting dia harus memahami formula yang begitu sinonim dengan mata pelajaran statistik, bukan sahaja menghafal formula itu.

Nadia mencapai sebuah buku lain. Banyak lagi perkara yang perlu dia lakukan.Assignment yang masih belum siap sepenuhnya serta ulang kaji mata pelajaran bagi peperiksaan minggu depan, tetapi dia tiada angin untuk berbuat begitu malam ini. Ingatannya melayang.

‘Apa yang dia sedang buat?’ Nadia bertanya sendiri. ‘Main permainan video atau berbual di alam maya atau menggodek komputernya?’ Nadia menghantar satu pesanan ringkas kepada buah hatinya nun jauh di sana.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.