Home Novel Cinta Dia Mimpi Indahku
Dia Mimpi Indahku
Rozita Abd. Wahab
21/5/2014 23:51:44
45,302
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab : 4

BAIK pula mood Encik Kamarul hari ini. Tidak marah-marah seperti selalu. Senyumannya sampai ke telinga sebaik saja dokumen yang dihulurkan oleh Rifhan diselaknya satu per satu.

Rifhan duduk di kerusi yang paling jauh dari Encik Kamarul. Menyampah betul dia dengan lelaki yang seorang itu. Jika tidak mengingatkan kedudukan Encik Kamarul di dalam syarikat itu sudah lama Encik Kamarul dihamputnya, marah dan geram.

Mesyuarat berakhir dan Rifhan tersandar kelegaan. Hari ini dia tidak ditembak oleh sesiapa, terutamanya Encik Kamarul yang hobinya memang menembak orang. Kesalahan sebesar kuman pun akan dibesar-besarkan.

“Suka nampak.” Amelia menyapa ketika melalui meja Rifhan.

Rifhan tersengih. Terbayang senyuman Encik Kamarul di ruang mata. Bukankah lebih manis bila tersenyum daripada menunjukkan muka garang seperti singa?

“Rifhan, apa yang kau berangan tu?” Amelia menepuk meja Rifhan. Sengaja hendak mengejutkan gadis bermata coklat itu daripada terus mengelamun.

Rifhan terkejut lalu merenung wajah Amelia yang bertugas sebagai setiausaha kepada Encik Kamarul. Dia meneruskan kata-kata yang tersimpan sejak tadi.

Handsome bos kau hari ni. Senyum sampai ke telinga. Mimpi apa agaknya malam tadi?” tanyanya.

“Aku pun perasan juga. Dalam meeting tadi, bukan main lagi dia senyum. Siap memuji kerja kau,” balas Amelia.

“Itulah... kembang juga punggung aku tadi. Selalunya pandang saja muka aku. Muka dia dah jadi macam singa.”

Kedua-duanya ketawa serentak tanpa menyedari ada sepasang mata yang memandang. Berdiri tegak di hadapan pintu biliknya.

“Ehem...” Zainal yang terpandang kelibat Encik Kamarul tercegat di hadapan biliknya berdehem untuk memberi amaran kepada Amelia dan Rifhan namun kedua-duanya begitu seronok ketawa. “Amy, sini sekejap.” Dia memanggil.

Amelia menoleh ke arah lelaki itu. “Kau ni... tak boleh tengok aku senang sikit.” Panjang muncungnya. Diatur juga langkahnya ke meja Zainal yang terletak selang sebuah meja dari meja Rifhan. “Apa?”

“Sedap kau mengutuk. Kau ketawa. Kau tak sedar bos kau dok pandang kau orang berdua,” tegas Zainal.

“Hah? Alamak!” Berubah pucat wajah Amelia sebaik saja mendengar kata-kata Zainal. Tanpa menoleh ke belakang dia meneruskan langkah ke arah pantri.

Rifhan yang menyedari perubahan mendadak pada wajah Amelia terus menghadap komputer. Baru dia tersedar, Encik Kamarul sedang melangkah keluar dari biliknya.

“Amelia ke mana?” tanya Encik Kamarul sambil berdiri di hadapan Rifhan.

“Pantri, Encik Kamarul.” Rifhan cuba mengawal nada suaranya.

“Saya nak keluar. Pesan pada dia... saya tak balik ofis hari ni,” pesan Encik Kamarul.

Seperti burung belatuk Rifhan hanya mengangguk. Langkah Encik Kamarul dihantarnya dengan pandangan kelegaan.

Seketika kemudian, Amelia menjenguk dari ruang pantri. “Mana dia?” tanyanya.

“Dah keluar,” jawab Rifhan. Nafas ditarik dalam-dalam, kemudian dilepaskan.

Amelia mengurut dada. Lega.

“Itulah, nak mengumpat pun padang kiri kanan.” Zainal menyampuk. Tersenyum-senyum dia mengingatkan kekalutan kedua-dua orang gadis itu. Tahu pun takut dengan Encik Kamarul tetapi dengan ALLAH tidak tahu takut pula. Mengumpat orang tak kira masa.

“Yang kau pun satu... dah nampak tu, cakaplah awal-awal,” bebel Amelia lalu menjegilkan matanya pada Zainal.

“Eh, aku cakap tadi pun dah cukup baik tau. Kalau aku biarkan saja... haa padan muka kau orang,” balas Zainal.

“Yalah... yalah. Aku tahu aku yang salah.” Amelia mengakui kesilapannya.

“Hmm... sedar pun.”

Rifhan hanya memerhatikan gelagat Amelia dan Zainal yang bertekak di hadapannya. Dia tidak mahu ambil peduli. Dia hendak menghubungi Hafsyam. Biarpun baru awal pagi tadi mereka bertemu, ada rasa rindu yang menular di hatinya. Rindu pada si kekasih hati yang dicintai.

“Helo! Hafsyam ada?” Rifhan bertanya dengan sopan walaupun hatinya agak terusik kerana telefon bimbit Hafsyam yang dihubungi dijawab oleh suara seorang wanita.

“Hafsyam keluar sekejap. Pergi site. Dia tertinggal handphone dia,” jawab suara tersebut.

“Oh... okey. Tak apalah.”

“Ada pesan?” tanya wanita tersebut.

“Minta dia call saya nanti... Rifhan.”

“Rifhan Ahmad?”

Agak terkejut Rifhan mendengar gadis itu menyebut nama penuhnya. “Ya.”

“Hmm.... Syam selalu cerita pasal you. Kat PC dia ni... besar gambar you.” Gadis di hujung talian ketawa mesra. Bagaikan sudah mengenali dirinya.

Rifhan tersengih. Rasa bangga pun ada kerana Hafsyam meletakkan gambarnya sebagai wallpaper pada skrin komputernya. Memang Hafsyam pernah bercerita tetapi dia hanya ketawa. Tidak pula dia menyangka Hafsyam benar-benar meletakkan gambarnya di situ.

“I Rania... officemate Hafsyam.” Gadis itu memperkenalkan dirinya.

“Hai, Rania! Terima kasih ya. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Hampa. Itu yang Rifhan rasakan. Tidak pernah Hafsyam meninggalkan telefon bimbitnya di mana-mana jika dia menghubunginya, tetapi kenapa hari ini lelaki itu begitu cuai?

Hampir jam 5.00 petang, barulah Hafsyam menghubungi Rifhan. Suara Hafsyam seperti orang kepenatan. Termengah-mengah.

“Berapa kilometer berlari?” tanya Rifhan.

Hafsyam hanya tergelak, melepaskan keluhan keletihan.

“Berlari Syam naik ke atas. Teringat janji Syam dengan Han. Handphone tertinggal pula tu.”

“Han call tadi. Orang lain yang jawab.”

“Siapa?”

“Rania.”

“Oh... okey, sekejap lagi Syam keluar. Han nak turun ke bawah atau nak tunggu kat atas?”

“Kat atas ajelah. Syam sampai nanti Syam call.” Tersenyum-senyum Rifhan sebaik mematikan talian. Selepas kejadian pagi tadi, dia mula memikirkan permintaan Hafsyam. Lelaki itu mahu menyuntingnya sebagai isteri. Mungkin sudah tiba masanya dia menimbangkan perkara itu. Apa gunanya dia berkorban untuk keluarga? Beria-ia hendak membantu sedangkan ibu tidak tahu menghargai apa yang diberikannya. Di mata ibu, cuma Anita sedangkan selama ini yang membayar bil api dan air, yang menyediakan barang-barang dapur di rumah itu adalah dirinya. Tidak adil namanya jika ibu masih berpihak pada Anita walaupun secara terang-terangan Anita yang bersalah.

Rifhan keluar dari pejabat sebaik sahaja mendapat panggilan daripada Hafsyam. Lelaki itu sudah menantinya di bawah. Amelia dan Zainal masih meneruskan kerja mereka ketika dia keluar dari pejabat.

“Hmm... pagi tadi muncung sedepa. Ini senyum sampai ke telinga.” Hafsyam mengusik.

Rifhan mencebik. “Muncung salah, senyum salah.”

“Bukan salah, tapi musykil,” giat Hisyam.

Dikenakan topi keledar di kepala Rifhan. Gadis itu mengeluh lagi sebelum duduk di belakangnya. Dia tahu, Rifhan memang tidak suka naik motosikal.

Seperti biasa, kedua-dua bahunya dipaut kuat. Motosikal meluncur laju, mencelah di antara kereta-kereta yang tersekat dek kesesakan lalu lintas. Itulah untungnya bila menunggang motosikal tapi peratusan kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal adalah yang paling tinggi.

Hafsyam memberhentikan motosikalnya di hadapan sebuah kompleks membeli-belah. Sejak tengah hari tadi dia belum mengisi perutnya. Terlalu sibuk melawat tapak pembinaan yang baru 50% siapnya.

“Kita makan dulu. Syam belum lunch,” ujarnya.

“Laa... kenapa tak lunch tadi?”

“Sibuk sangat. Itulah... sampai terlupa handphone. Nasib baik tak ada orang mengamuk.” Hafsyam tersengih.

Rifhan mencebik lagi. Tahu sangat dia siapa yang dimaksudkan oleh Hafsyam. “Macamlah Han ni suka mengamuk.”

“Memang tak suka tapi sekali mengamuk... nyamuk pun takut.” Hafsyam bergurau kemudian ketawa kecil.

Rifhan turut ketawa. Mereka mendaki anak tangga masuk ke kompleks membeli-belah tersebut lalu menuju ke restoran makanan segera. Dia mencari tempat yang kosong, sementara Hafsyam membeli makanan untuk mereka berdua.

“Han kena habiskan ayam tu,” ujar Hafsyam lalu meletakkan pinggan berisi dua ketul ayam goreng di hadapan Rifhan.

“Mana boleh habis?” Rifhan memuncung.

“Dua ketul aje kan? Bukannya tiga.”

“Tak habis, jangan marah.”

“Han tu dah cukup kurus. Nanti orang kata Syam selalu dera Han, tak bagi makan.” Hafsyam tersenyum kemudian menggigit paha ayam di tangannya.

Rifhan tergelak namun seketika wajah cerianya berubah mendung. Teringat akan kata-kata yang dihamburkan oleh Anita keadanya.

“Kenapa ni? Tiba-tiba tak ceria?” tegur Hafsyam, kurang senang dengan perubahan yang ketara pada wajah buah hatinya itu.

Rifhan menggeleng. Kata-kata Anita menerjah ke telingnya. ‘Perasanlah... ingat dia cantik sangat pakai baju tu. Kurus sekeping.’

“Han...”

Rifhan merenung wajah Hafsyam. Ada sesuatu yang ingin ditanyakan kepada Hafsyam. Dia sudah memikirkan perkara itu. Andai sebelum ini dia merasakan belum tiba waktunya untuk dia meneruskan langkah bersama Hafsyam, tetapi setelah apa yang berlaku pagi tadi, dia yakin itulah yang terbaik untuk dirinya.

“Betul Syam nak kahwin dengan Han?” tanya Rifhan, wajah Hafsyam masih menjadi sasaran matanya.

Hafsyam berubah ceria. Seketika tadi dia dilanda resah dek kerana wajah Rifhan yang berubah secara tiba-tiba.

“Tentulah... Syam dah tak sabar ni.” Meleret senyuman Hafsyam.

Rifhan tersenyum. “Bila nak hantar rombongan?”

Hafsyam terkejut dengan pertanyaan itu. Baru malam tadi Rifhan mengatakan dia belum bersedia. Rifhan menolak apabila dia mencadangkan agar mereka segera berkahwin. Alih-alih hari ini Rifhan pula yang bertanyakan soalan itu.

“Bila-bila masa saja sayang, esok pun boleh.”

Rifhan mencubit ayam di dalam pinggan kemudian disuap ke mulutnya. Sedikit masa lagi dia akan keluar dari rumah itu. Dia akan hidup bersama Hafsyam tapi pelajaran Azira tidak akan diabaikan. Itu janjinya, dia akan pastikan Azira menamatkan pengajiannya.

“Boleh tanya sikit tak?”

Rifhan memandang Hafsyam. “Tanyalah.”

“Kenapa tiba-tiba Han berubah fikiran?” tanya Hafsyam.

Rifhan tersenyum. Sudah dijangka, Hafsyam pasti akan bertanyakan soalan itu. “Entahlah, Han cuma rasa dah tiba masanya Han keluar dari rumah tu. Tak tahan Han kalau apa yang Han lakukan selama ini tidak pernah dihargai,” luahnya.

“Macam orang merajuk saja gayanya.”

Rifhan menunduk. Memang dia merajuk. Merajuk dengan sikap pilih kasih ibu. Hanya Anita yang baik. Anita seorang yang berbakti pada keluarga mereka. Apa yang telah dilakukannya untuk keluarga mereka tidak pernah dipandang oleh ibu. Bukan niatnya hendakkan pujian tetapi cukuplah sekadar menghargai dan menyayangi dirinya dan adik-adik yang lain seadilnya.

“Han kecil hati dengan ibu.” Sememangnya dia tidak pernah berahsia dengan Hafsyam. Malah lelaki itu yang menjadi tempat dia mencurahkan masalahnya. Lelaki yang amat memahami keadaan dirinya.

“Apa ibu dah buat?” tanya Hafsyam. Tentunya ada sesuatu yang telah berlaku, yang menggores hati Rifhan.

“Entahlah... Han rasa Han ni macam budak-budak. Benda kecil pun Han nak kecil hati tapi masalahnya dah selalu sangat. Siapa yang boleh tahan.” Rifhan membetulkan sandarnya. Sakit hatinya mengingatkan kebiadaban Anita.

“Apa bendanya? Cuba cerita sikit.”

“Syam ingat tak blaus yang Syam hadiahkan pada Han dulu tu. Han sayang baju tu. Han cuma pakai sesekali saja. Alih-alih pagi tadi... Han cari tak jumpa. Tak ada dalam almari Han. Tau tak Han jumpa kat mana?” Wajah Hafsyam direnung Rifhan.

“Belum cakap, mana Syam nak tau,” Hafsyam tersengih.

“Dalam almari Nita. Dah dipakainya. Basuh pun belum. Mana Han tak sakit hati? Han terus marah dia. Kebetulan depan ibu dan ayah. Nita mengaku... dia ambil, dia pinjam. Pinjam apanya? Cakap pun tidak. Itu dah kira mencuri namanya. Sudahnya dia hina Han. Dia cakap macamlah blaus tu lawa sangat. Han pun kurus sekeping. Mendidih hati Han. Ibu pula beria-ia sebelahkan Nita. Dah terang-terang Nita yang salah tapi ibu suruh Han yang minta maaf pada Nita sebab Nita dah tak ada selera nak makan. Ibu kata orang yang bersalah kena minta maaf. Mana adil? Nita yang salah tapi Han pula kena minta maaf. Ibu memang macam tu. Dah banyak kali sangat perkara macam ni berlaku. Semalam Zira yang kena. Nita punya pasal juga. Hari ni Han pula, mana Nita tak naik tocang,” luah Rifhan. Masih berbaki rasa geramnya pada Anita.

Hafsyam merenung wajah si buah hati. Simpati dia pada kekasih yang terpaksa berhadapan dengan perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Anita memang melampau tetapi tidak sepatutnya Hajah Saodah melayan anak-anaknya begitu.

“Sabar ajelah, Han. Malam ni Syam call mak. Syam ajak mak datang hujung minggu depan. Macam mana? Boleh?” cadangnya. Emaknya pasti gembira mendengar berita itu.

Rifhan tersenyum kemudian menunduk. Ayam goreng di dalam pinggannya dikuis dengan hujung jari.

“Malu pulak dia.” Hafsyam tergelak. “Kita bertunang sekejap saja. Lepas tu terus kahwin. Syam akan cari rumah sewa. Kita tinggal berdua. Tak ada orang nak kacau kita. Tak ada orang yang akan sakitkan hati sayang lagi,” sambungnya selepas itu.

ifhan tersenyum. Bahagia rasanya mendengar perancangan Hafsyam. Tidak sabar pula dia menanti waktunya. Menanti untuk dinobatkan sebagai isteri kepada lelaki yang dicintainya itu.

Previous: Bab : 3
Next: Bab : 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.